Memaparkan catatan dengan label Usul Fiqh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Usul Fiqh. Papar semua catatan

Sabtu, 9 Januari 2010

Maslahah Dalam Kontek Hak Jagaan

Aspek utama dalam penentuan hak hadhanah (penjagaan) yang melibatkan kanak-kanak yang belum mumayiz oleh hakim adalah dengan melihat kepada aspek yang paling utama iaitu kebajikan anak itu sendiri. Pada dasarnya sebaik sahaja berlaku perceraian, sememangnya Islam meletakkan ibu sebagai golongan yang paling utama yang berhak mendapat hak hadhanah kanak-kanak yang belum mumayiz.

Ibu adalah layak kerana mereka ini mempunyai wilayah hadhanah dan penyusuan dan dilihat lebih penyayang, pengasih, penyabar, simpati, lemah lembut dan dapat memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang dalam mendekati kanak-kanak. [Sayid Sabiq, Fiqh Sunnah, Juz 8, hal.339; al-Syaibini, Mughni Muhtaj, hal. 452]. Malah jika diperhatikan peruntukan undang-undang keluarga Islam di Malaysia juga memberi hak tersebut kepada ibu [Lihat Seksyen 82 Akta Undang-undang Keluarga Islam WP 1984].

Namun, apa yang menjadi keutamaan sebenarnya bagi mahkamah memutuskan mereka yang berhak mendapat hak hadhanah adalah dengan melihat aspek kepentingan atau kebajikan anak itu yang lebih utama. Ini kerana sekiranya ibu itu yang mendapat hak tersebut tetapi gagal untuk melaksanakannya dengan baik hingga boleh mengabaikan kebajikan anak tersebut, maka mahkamah boleh memerintahkan hak hadhanah itu ditarik balik. Maka dalam menentukan aspek kebajikan anak ini, mahkamah akan mengaplikasikan konsep maslahah dalam membuat keputusan.

KONSEP UMUM MASLAHAH

Secara literal, dalam bahasa Arab Maslahah beerti sesuatu yang tidak mengandungi keburukan. Maslahah juga ditakrifkan sebagai manfaah, iaitu kebaikan dan faedah. Maka, jika diteliti sebenarnya kebajikan bolehlah ditakrifkan juga sebagai kepentingan. Maka kebajikan anak bolehlah dianggap juga sebagai kepentingan anak.

Maslahah menurut lafaz hakiki bermaksud sesuatu dalam keadaan sempurna untuk tujuan apa benda itu digunakan. Contohnya pen faedahnya adalah untuk menulis. Menurut lafaz majazi iaitu perbuatan yang mendatangkan kebaikan. Contohnya belajar akan mendapat ilmu dan ilmu memberi faedah kepada penuntutnya.

Secara konseptual, Imam Ghazali dalam Kitab al-Mustasfa mendefinisikan maslahah sebagai kefahaman asas tentang penghasilan kebaikan dan penolakan keburukan dan merujuk kepada lima objektif syarak iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. [Jil. 1, hal. 216]

Kata Al-Khawarizmi dalam kitab al-Maqasid al-Ammah li al-Syariah al-Islamiyyah pula menyatakan maslahah sebagai: (Pemeliharaan terhadap objektif syarak dengan menghindar keburukan daripada makhluk). Maka, kebajikan boleh dicapai menerusi dua cara iaitu menghasilkan kebaikan dan mengelakkan keburukan atau salah satu daripadanya.


APLIKASI MASLAHAH MENERUSI MAQASID SYARIAH


Secara dasarnya, bagi mencapai tahap maslahah yang dikehendaki agar kebajikan kanak-kanak itu tidak terabai, mahkamah akan merujuk kepada maqasid syariah (objektif syariah) merangkumi tiga iaitu :

a) Keperluan asas (maslahah daruriyyah)

Kepentingan yang terhenti ke atasnya kehidupan manusia sama ada dalam persoalan keduniaan atau keagamaan. Sekiranya gugur, maka kelangsungan maslahah dunia akan terganggu malah membawa kerosakan dalam kehidupan, hilangnya kejayaan dan akan membawa kerugian yang besar. [al-Syatibi, al-Muwafaqat, hal. 157]. Dalam kes penentuan hak hadhanah, bagi keperluan asas (maslahah daruriyyah) ianya dapat dilihat dalam lima aspek utama iaitu melibatkan soal agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.

i. Kebajikan Menjaga Agama ( Daruriyyah al-Din)

Menurut Seksyen 82(a) Akta Undang-undang keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melatakkan syarat Islam bagi seorang penjaga demi menjaga kebajikan agama kanak-kanak. Maka jika berlaku pasangan itu murtad, hakim akan memberi hak hadhanah kepada yang beragama Islam kerana bimbang akan terpengaruh dan merosakkan pegangannya jika diserahkan kepada yang telah keluar Islam.

Malah soal agama ini juga bukan melibatkan soal penjaga yang akan
mendapat hak mestilah seorang Islam tetapi juga perlu diberi perhatian sekiranya penjaga itu beragama Islam, ia haruslah mampu untuk mendidik anak tersebut tentang Islam. Ini dapat dilihat misalnya dalam kes Tunku Mahmood Shah lwn Noor Faridah Sutherland Abdullah [(1997) JH XI (II) 165].

Dalam kes ini, Mahkamah mendapati ibunya tidak mampu menyediakan pendidikan agama kerana beliau sendiri ialah saudara baru yang belum tahu selok-belok agama dan dalam ahli keluarganya hanya beliau sahaja yang memeluk Islam. Jika diberikan kepada ibu, kebajikan agama kanak-kanak akan terancam. Mahkamah memutuskan hak jagaan dua orang anak dikekalkan dalam jagaan plaintif.

ii. Kebajikan Menjaga Nyawa ( Daruriyyah al-Nafs)

Umumnya kanak-kanak tidak mampu berdikari, jika dibiarkan nyawanya akan terancam. Maka, syarak meletakkan syarat berkemampuan ke atas penjaga. Seperti mampu memberi nafkah yang cukup kepada anak.

Kebajikan nyawa termasuklah penyediaan tempat tinggal dan kediaman yang selamat. Kegagalan menyediakannya akan menyebabkan mafsadah atau kebajikan anak terancam kerana rumah berfungsi sebagai pelindung kapada segala bahaya.

Begitu juga dari aspek kesihatan kanak-kanak. Syarak memberikan hak kepada ibu menjaga kanak-kanak semasa sakit walaupun dalam jagaan bapa dan ibu diberi kelonggaran menjaga kanak-kanak di rumah bapa dengan syarat tidak berlaku perbuatan berdua-duakan antara bekas pasangan dan syarak juga membenarkan kanak-kanak ditempatkan di rumah ibu semasa sakit walaupun sebenarnya dalam jagaan bapa. Di sini, jelas menunjukkan kebajikan nyawa kanak-kanak diutamakan berbanding hak ibu bapa.

iii. Kebajikan Menjaga Akal ( Daruriyyah al-Aql)

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din mendefinisikan akal dari sudut kerohanian sebagai satu keupayaan untuk menggarap ilmu pengetahuan tentang hakikat segala hal dan berupaya menimbang segala baik dan buruk yang diperintahkan oleh hati. Penjagaan akal dilihat dari dua aspek iaitu negatif dan positif. Secara negatifnya seperti larangan mengambil minuman memabukkan dan makanan yang boleh merosakkan kesihatan akal. Secara positifnya seperti mendapatkan seberapa banyak maklumat dan pengetahuan. Penjagaan akal dikonotasikan dengan pendidikan. Apabila dikolerasikan dengan hadhanah, pendidikan menjadi mekanisme terbaik bagi proses perkembangan minda kanak-kanak.

Penjagaan emosi kanak-kanak juga dalam kategori maslahah daruriyyah khusus bagi hadhanah sahaja. Menurut Seksyen 82 (c), hak jagaan anak akan diberikan kepada mereka yang mampu memberikan kasih sayang kepada kanak-kanak bagi memastikan emosinya terjaga.

iv. Kebajikan menjaga Keturunan (Daruriyyah al-Nasl)

Dalam hadhanah, tidak wujud hubung kait penjagaan keturunan dengan kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak itulah yang dimaksudkan dengan keturunan. Dalam Islam, penjagaan keturunan diertikan sebagai menjauhi zina yang memberi implikasi dengan melahirkan anak tak sah taraf ( nasab ).

Ibn al-Subki menambah dalam kepentingan asas dengan memasukkan kebajikan menjaga maruah (al-‘Ird). Penjagaan maruah ini dilihat sebagai kesinambungan bagi penjagaan keturunan. Contohnya kanak-kanak yang diberi kepada seorang penjaga kemudian telah mencabul kehormatan seperti sumbang mahram dan rogol lantas mengancam maruahnya.

v. Kebajikan penjagaan Harta ( Daruriyyah al-Mal)

Penjagaan kebajikan harta kanak-kanak lebih melihat kepada konsep wilayah al-mal iaitu penguasaan menurut syarak yang diberikan kepada pihak yang mempunyai kuasa mentadbir ke atas harta pihak yang mempunyai kekurangan demi memelihara maslahahnya. Kuasa wali ini diberikan kepada bapa dan tidak kepada ibu meskipun ibu diberikan hak hadhanah. Dalam hadhanah tidak melibatkan pengurusan harta kanak-kanak tapi jika berlaku pencerobohan terhadap harta anak itu, maka perlu dielakkan demi menjaga kebajikannya.


b) Keperluan biasa (maslahah hajiyyah)


Iaitu suatu keperluan bagi menjamin kelegaan dan menghilangkan kesempitan yang pada kebiasaanya boleh menyebabkan manusia terdedah kepada kesusahan dan kesempitan tanpanya. Ia juga boleh dianggap sebagai sesuatu yang bersangkut-paut dengan kepentingan umum dan tidaklah sampai ke tahap darurah dan tidaklah pula sampai ke tahap mendatangkan kerosakan pada adatnya.

Dalam bab hadhanah, keperluan biasa bertujuan menjamin kelegaan kanak-kanak dan menghilangkan kesempitan seperti menyediakan makanan yang berzat bagi menjamin kelegaan kanak-kanak. Jika tidak dipenuhi, kelegaan ini akan hilang. Maka atas dasar itu, mahkamah berhak untuk mempertimbangkan semua perkara tersebut.


c) Keperluan mewah (maslahah tahsiniyyah)


Keperluan mewah adalah sebahagian daripada keperluan biasa kerana menjadi pelengkap bagi kedua-dua keperluan biasa dan asas. Keperluan mewah adalah seperti mengelokkan keadaan mereka dan menjadikannya serasi dengan kehendak maruah dan akhlak yang mulia seperti menjaga kebersihan, menutup aurat dan sebagainya. Jika tidak dijaga akan menyebabkan dipandang keji oleh manusia yang rasional tetapi tidak sampai ke tahap membantutkan kehidupan seseorang.

Dalam kes Safura binti Badaruddin lwn Azhar Arifin [(1999) JH XIII (2) 237], Mahkamah telah membandingkan kediaman plaintif dan defendan. Meskipun rumah defendan sekadar rumah sewa tetapi lebih selesa dan keselamatan terjamin. Berbeza dengan plaintif yang menyewa bilik bersama dengan orang lain yang berkeluarga. Kelihatan kedua-dua pihak dapat memenuhi keperluan asas kanak-kanak, tetapi defendan mempunyai keperluan mewah sebagai tambahan kepada keperluan asas. Keperluan mewah yang tidak dimiliki plaintif akan mencacatkan keperluan asas kanak-kanak.


PENENTUAN PRIORITI


Apa yang jelas, sekiranya berlaku pertembungan antara satu dengan yang lain, didahulukan keperluan asas atas keperluan biasa dan keperluan mewah, dan keperluan biasa atas keperluan mewah. [al-Syatibi, al-Muwafaqat, hal. 157]

Secara prinsipnya, ketiga-tiga objektif syarak adalah tidak berasingan malah saling menyempurnakan. Keperluan asas adalah asal bagi objektif syarak kerana adalah punca bagi keperluan biasa dan keperluan mewah. Maka sesiapa yang mencacatkan yang utama maka dia telah mencacatkan yang cabangnya. Manakala mencacatkan keperluan biasa dan keperluan mewah dianggap hampir mencacatkan keperluan asas. Keperluan asas dikatakan sebagai fardhu ain dan keperluan biasa dan mewah yang tahap pentingnya seperti kedudukan perkara-perkara sunat. [Hassan Hj Ahmad 2001].

Maka atas dasar inilah, apabila berlaku pertembungan antara kelima-lima keperluan asas, maka didahului penjagaan agama atas nyawa, nyawa atas akal, akal atas keturunan, keturunan atas harta. Dalam penentuan keutamaan antara ketiga-tiga teori kebajikan ini, al-Syatibi telah menyusun lima pendekatan:

I. Kepentingan asas sebagai asas keperluan biasa dan mewah.
II. Kerosakan keperluan asas akan merosakkan keperluan-keperluan lain
III. Kerosakan keperluan lain tidak semestinya merosakkan keperluan asas.
IV. Kerosakan keperluan biasa atau mewah kadangkala boleh merosakkan kepentingan asas.
V. Wajib menjaga keperluan biasa dan mewah bagi tujuan menjaga keperluan asas.

Secara kesimpulannya, meskipun ibu adalah golongan yang paling berautoriti ke atas hak hadhanah anak, namun ianya boleh berpindah kepada pihak lain sekiranya mahkamah berpandangan ianya demi memelihara kebajikan anak itu sendiri.

Maka pertimbangan yang dirujuk oleh mahkamah adalah berdasarkan kepada aplikasi maslahah melibatkan aspek-aspek dalam maqasid syariah meliputi soal daruriyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. Aspek daruriyyah yang perlu diambilkira meliputi soal agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Jelas bahawa semua konsep serta aspek ini telah diaplikasikan secara berkesan oleh mahkamah bagi menentukan hak hadhanah kepada pihak yang berhak.
 
Sumber:
http://www.fiqhmalaysia.com.

Khamis, 16 Julai 2009

Sumber Hukum/Dalil-Dalil Fiqhiyyah Mazhab 4

Assalamualaikum,

Pertemuan kali ini,ingin hendak membahaskan secara ringkas dan umum terhadap sumber-sumber hukum atau dalil-dalil fiqh setiap mazhab(4 mazhab utama).Kita mulakan dengan;-

Mazhab Hanafi.

Mazhab yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah a l-Nu`man bin Thabit bin Zuwata Al-Kufi keturunan Parsi.ra(w150H).Mazhab ini berkembang di Iraq,Syam,Hind(sekitarnya)Mesir,Turkistan dan lain-lain tempat.Ada nazam yang menyebut tentang mazhab ini:-

Al-Fiqh yang ditanam oleh Ibnu Mas`ud,dipetik oleh Alqamah kemudian Ibrahim,Nu`man yang mengisarnya,diuli oleh Ya`qub,Muhammad membuat(bakar) roti dan dimakan oleh manusia seluruh antero alam.


Sumber-Sumber/Dalil-Dalil Fiqhi Mazhab

1.
Al-Quran Al-Karim 2.Al-Sunnah Al-Nabawiyah. 3.Aqwal Al-Sahabah(opinion of a companion). 4.Al-Ijmak.(consensus of legal opinion) 5.Al-Qiyas(analogy) 6.Al-Istihsan(juristic preference) 7.Al-Urf(custom).

Sahabat/Murid Imam Abu Hanifah.

a.Abu Yusuf Ya`kub b Ibrahim al-Kufi(w182H)-Ketua Hakim/mujtahid mutlaq.
Kitab-Kitab beliau;-

-Al-Kharaj-berkenaan dengan percukaian/kewangan negara/hasil mahsul negara.
-Al-Athar-mengandungi himpunan fatwa terpilih daripada ulamak Kufah.
-Kitab al-Ikhtilaf baina Abi Hnaifah wa Ibnu Abi Laila-Himpunan masalah-masalah/isu yang menjadi ikhtilaf antara dua ulamak tersebut.
-Kitab al-Radd Ala Sair Al-Auzaie-Pandangan Abu Yusuf yang mneyanggah pandangan Imam Al-Auzaie dalam isu Hukum-hakam peperangan/penjanjian/gencatan senjata/harta rampasan.

b.Muhammad Bin Hasan al-Syaibani(w189H).Menetap di Iraq.Pernah belajar dengan Imam Malik.Al-Thauri dan Al-Auzaie.

Kitab-Kitab beliau;-

-Kitab-Kitab Zahir Al-Riwayat(himpunan 6 buah kitab)

-Al-Mabsut Au Al-Asl-Himpunan fatwa Imam Abu Hanifah,fatwa khilaf/sepakat antara beliau dan Abu Yusuf.Kitab ini banyak disyarah oleh ulamak kemudianya antarnya-Syaikhul Ilsam Abu Bakar al-Ma`ruf-dinamakan Mabsut al-Bukra.

-Al-Jami` al-Syoghir-mengandungi 1532 masalah fiqh.Kitab ini banyak periwayatan dari Abu Yusuf.
-Al-Jami` al-Kabir-Kitab penting Imam Muhamad,mengandungi isu fiqh utama.
-Al-Siyar al-Soghir.
-Al-Siyar al-Kabir.
-Al-ziyadat.

Kitab-Kitab Ghair Zahir Riwayat:-

Dinamakan bukan zahir riwayat kerana belia tidak meriwayatkan pandangan yang sah dan sabit dan zahir seperti kitab zahir riwayat diatas.

Antara tulisanya:

Al-Riqqiyyat,Al-Harunniyat,al-Jurjaniyyat,al-Kausaniyyat.


Sahabat Besar yang lain-

Imam Abu Huzail,Zufar Bin Huzail al-Kufi(W 158H).Mahir dalam ilmu hadis dan al-qiyas.

Imam Al-Hassan bin Ziyad al-Luk lui(w204h) mahir dalam Hadis.

Lain-lain;-

Isa bin Aban(w220h),muhammad b Sammaah(w233h),al-Khassaf(w245h),al-Tahawi(w321h),Al-Karkhi(w240h),Al-Bazdawi(w472h).

Sekian ringkasan(tidak teratur tulisan) mengenai Mazhab Hanafi.

Ref:

Fiqh alIslami-Dr Wahbah Jil 1(edisi terjemahan).
Mustalahat Al-Fuqaha alUsuliyyin-Dr Ibrahim al-Hafnawi.
Manahij al-Tasyri` Al-Islami-Dr Muhammad Baltaji
Islamic jurisprudence-Imran Ahsan Khan Nyazee(english)-rujukan LLM AOI IIUM.




Rabu, 25 Jun 2008

Urf(Adat resam) Sebagai Sumber Hukum(3)

Kehujjahan Uruf

Para ulama telah menjadikan `urf sebagai salah satu asas dalam pembinaan hukum. Ini jelas dapat difahami dari kata-kata dan fatwa yang dikeluarkan oleh mereka. Ada di antara mereka yang berdalil dengan firman Allah yang bermaksud:

“Terimalah apa yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik”

Menurut al-Qarafi, berdalil dengan ayat ini ternyata sekali kelemahannya kerana `urf dalam ayat ini bermaksud sesuatu yang makruf. [ Al-Qarafi, Syihabuddin Ahmad ibn Idris al-Qarafi, Anwar al-Baruq fi Anwa’ al-Furuq, Mesir: Dar al-Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, 1344 H, Jilid III, h. 49),.Tetapi Mustafa Ahmad al-Zarqa` berpendapat bahawa `urf dalam ayat ini adalah dikehendaki dengan maknanya yang lughawi iaitu perkara baik yang menjadi kebiasaan bukan dimaksudkan dengan maknanya pada istilah fiqh, maka berdalil dengan `urf dalam ayat ini boleh mengukuhkan pemakaian `urf manusia dalam amalan-amalan dan mu`amalat mereka adalah dari sesuatu adat yang mereka kira baik dan menjadi kebiasaan oleh akal mereka, selalunya `urf satu kaum itu menandakan hajat dan keperluan mereka kepada perkara yang sudah dikenali dan teradat di kalangan mereka, maka diambil kira itu sebahagian dari perkara-perkara yang dikira baik. [Mustafa Ahmad Zarqa`, al-Madkhal al- Fiqhi al-`Am,).

Sementara itu ada juga fuqaha yang berdalilkan dengan hadith(athar)* yang diriwayatkan bermaksud:

“Apa-apa yang didapati dan dilihat oleh orang-orang Islam sebagai suatu yang baik maka ia juga baik di sisi Allah”.

Dilalah hadith di atas menunjuk kepada kehujahan Ijma` bukan `urf kecuali apabila sandaran Ijma` itu adalah `urf yang sahih, maka petunjuk hadith atau athar ini hanyalah ke atas satu bentuk `urf dari berbagai-bagai `urf, bukan ke atas `urf secara mutlak.

[`Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz Fi Usul al- Fiqh, Baghdad,1987]. *Al-Zailai menyatakan hadis diatas adalah gharib marfu`,mauquf kepada Ibnu Masud,(Nasb al-Rayah:3/123).


Sungguhpun demikian, orang Islam tidak melihat sesuatu yang baik itu berdasarkan hawa nafsu mereka, bahkan mereka melihat berdasarkan tabiat semulajadi ( fitrah) mereka dan dari kaca mata Syariat yang menghukum dan menurut reality kehidupan mereka. [ Dr. Ali Jarisyah, al- Masyru`iyyah al-Islamiyyah al-`Ulya, Dar al-Wafa`, Mesir, 1986, h. 152]. Maka hadith atau athar ini menurut kebanyakan fuqaha boleh menjadi hujah kepada pengamalan `urf.

Walaupun ‘urf tetap diambil kira, diberi pertimbangan dan sah pembinaan hukum ke atasnya, tetapi ia pada hakikatnya bukan merupakan dalil yang berasingan atau sumber hukum yang tersendiri bahkan ia dirujuk kepada dalil-dalil Syarak yang mutabar, kerana ‘urf tidak boleh mencipta hukum bersama Allah dan tidak ada siapa pun yang mempunyai autoriti mentasyri’ hukum melainkan Allah sahaja. Sesungguhnya apabila beberapa hukum Syariat mengambil kira ‘urf maka itu merupakan suatu keringanan dan rahmat dari Allah yang menurunkan Syariat dan Dialah sumber hukum yang sebenarnya, bukan ‘urf yang hukum datang selari dengannya.

Apabila Allah mengizinkan kita membina hukum-hukum berdasarkan ‘urf maka keizinan Allah itulah sumbernya bukan ‘urf. Maka ‘urf dalam dua keadaan ini tidak lebih dari kaedah fiqhiyyah yang dapat diambil faedah darinya ketika pelaksanaan hukum-hukum tidak akan meningkat kepada tahap sumber atau dalil. . [`Abd al-Karim Zaydan, al-Wajiz Fi Usul al- Fiqh,)

Seorang mujtahid dalam menetapkan suatu hukum, menurut Imam l-Qarafi , harus terlebih dahulu meneliti kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat setempat, sehingga hukum yang ditetapkan itu tidak bertentangan atau menghilangkan kemaslahatan disisi masyarakat tersebut. Seluruh ulama mazhab, menurut Imam al-Syathibi (w. 790 H./ ahli usul fiqh Maliki) [Abu Ishaq al-Syathibi, al-Muwafaqat fi Ushul al-Syaria’ah, Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1973, Jilid II, h. 179-188], dan Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah (691-751 H/1292-1350 M./ ahli ushul fiqh Hanbali) [Ibn Qayyim al-Jauziyah, A’lam al-Muwaqq’in ‘an Rabb al-‘Alamin, Beirut: Dar al-Jail, 1973, Jilid II, h. 293 dan Jilid III, h. 3], menerima dan menjadikan ‘urf sebagai dalil syara’ dalam menetapkan hukum, apabila tidak ada nash yang menjelaskan hukum suatu masalah yang dihadapi.
.
Para ulama juga sepakat menyatakan bahwa ketika ayat-ayat al-Qur’an diturunkan, banyak sekali ayat-ayat yang mengukuhkan kebiasaan yang terdapat di tengah-tengah masyarakat. Misalnya, harus berjual beli yang sudah ada sebelum Islam. Hadits-hadits Rasulullah saw juga banyak sekali yang mengakui kewujudan ‘urf yang berlaku di tengah masyarakat, seperti hadits yang berkaitan dengan jual beli tempahan (salam).

Dalam sebuah riwayat dari Ibn ‘Abbas dikatakan bahwa ketika Rasulullah saw hijrah ke madianh, beliau melihat penduduk setempat melakukan jual beli salam tersebut. Lalu Rasulullah saw bersabda:
Siapa yang melakukan jual beli salam kurma, maka hendaklah ditentukan jumlahnya, takarannya, dan jangka waktunya (H.R. al-Bukhari).

Dari berbagai kes ‘urf yang dijumpai, para ulama usul fiqh merumuskan kaedah-kaedah fiqh yang berkaitan dengan ‘urf, di antaranya adalah:

1. Adat kebiasaan itu boleh menjadi hokum(al-adah al-muhakkamah)

2. Tidak diingkari perubahan hukum disebabkan perubahan zaman dan tempat.
(la yunkaru taghayyuru al-ahkami bitaghayyuri al-azminati wal amkinati)

3. Yang baik itu menjadi ‘urf, sebagaimana yang disyaratkan itu menjadi syarat.
(al-Ma`rufu urfan kal masyruuti syartan)

4. Yang ditetapkan melalui ‘urf sama dengan yang ditetapkan melalui nash (ayat dan atau hadits)
(al-thabitu bil urfi kal thabiti bin nash)

Para ulama usul fiqh juga sepakat bahwa hukum-hukum yang didasarkan kepada ‘urf boleh berubah sesuai dengan perubahan masyarakat pada zaman tertentu dan tempat tertentu. [Jalal al-din Abd al-Rahman al-Suyuthi, al-Asybah wa al-Nazaha’ir, h. 80 dan 88].

Isnin, 16 Jun 2008

Urf(adat resam) Sebagai Sumber Hukum (2)

Urf yang juga dikenali dengan adat resam telah ditakrifkan dengan ‘sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi suatu perkara yang lumrah, sama ada dari segi objeknya:`urf itu qawli (perkataan) atau amali,dari segi skopnya: am atau khas, dan dari segi keesahanya:sahih atau fasid.

Maka `urf qawli, seperti perkataan ‘al-Walad’ dimaksudkan kepada anak lelaki sahaja, kebiasaan ini telah menyalahi penggunaannya dari segi bahasa.[ Yusuf al-Qaradawi (Dr.), `Awamil al-Sa`ah wa al-Murunah fi al-Syariah al-Islamiyyah, Dar al- Sahwah, Cairo, 1985, h. 31].

`Urf amali pula, seperti berjual beli tanpa akad oleh pembeli dan penjual atau seorang sahaja yang berakad sementara seorang lagi tidak, ini dikenali dengan Bai’ bil-Mu`atah. Membahagikan mas kahwin kepada tunai dan tangguh (pada kebanyakan Negara Arab). Menghidangkan makanan kepada tetamu telah dianggap keizinan kepada tetamu mengambilnya. [ `Abd al-Karim Zaydan, al-Wajiz Fi Usul al- Fiqh, Baghdad,1987, h.252].

Oleh yang demikian maka `urf boleh terbentuk dari kebiasaan manusia di atas sesuatu yang terbit dari berbagai golongan awam mahupun golongan tertentu. Berlainan dengan Ijma` kerana ia hanya terbentuk dari persepakatan para ulama mujtahidin sahaja, sedangkan orang awam tidak punya peranan dalam pembentukan Ijma`. [ ‘Abd al-Wahhab Khallaf, Ilmu Usul al-Fiqh, Dar al- Qalam, Kuwait 1986, h.89].

`Urf am, ialah sesuatu adat resam yang dihayati oleh semua orang dari berbagai peringkat dan lapisan masyarakat di seluruh negeri, atau `urf itu menjadi am apabila ia telah tersebut dengan meluas pemakaiannya di seluruh negeri Islam. Contohnya lafaz ‘dabbah’ dipakai pada binatang-binatang berkaki empat sahaja tidak kepada manusia. Lafaz talak digunakan bagi merungkaikan ikatan perkahwinan.

`Urf khas, ialah sesuatu yang menjadi kebiasaan kepada setengah-setengah masyarakat atau negeri, atau di kalangan ahli-ahli profesional atau di kalangan golongan tertentu, seperti `urf ahli perniagaan, pertanian, ahli bahasa dan sebagainya. Lafaz-lafaz yang telah menjadi istilah di kalangan para ulama dan profesional.

`Urf sahih, ialah `urf yang tidak bercanggah dengan nas Syarak, tidak menghilangkan maslahah mu`tabarah, tidak membawa kepada mafsadah rajihah, tidak menghalalkan yang haram dan tidak membatalkan yang wajib. Seperti kebiasaan melakukan akad tempahan (`aqad al-istina`). Adat menganggap pemberian yang diberi oleh peminang atau pengantin lelaki kepada pengantin perempuan seperti pakaian dan lain-lain sebagai hadiah tidak termasuk dalam mas kahwin. Telah menjadi adat di setengah negara Arab bahawa mas kahwin yang tertangguh tidak berhak dituntut melainkan setelah berlaku perceraian dengan talak atau mati.

`Urf fasid, ialah adat yang berlawanan dengan nas Syarak, atau menghalalkan yang haram atau membatalkan yang wajib atau mendatangkan kemudaratan atau menolak kemaslahatan, seperti adat berhutang dengan riba dari individu atau institusi kewangan, adat berjudi dan sebagainya. [`Abd al-Karim Zaydan, al-Wajiz Fi Usul al- Fiqh, Baghdad,1987, h. 253], [‘Abd al-Wahhab Khallaf, Ilmu Usul al-Fiqh, Dar al- Qalam, Kuwait 1986, h.89].

Jumaat, 13 Jun 2008

Urf(adat resam) Sebagai Sumber Hukum (1)

Salam,

Sedikit perbahasan Ilmu Usul Fiqh.

Kalau kita lihat dalam perbahasan ilmu Usul Fiqh,dalam kontek sumber/dalil hukum, para ulama Usul fiqh-klasik dan kontemporari- menyatakan bahwa sumber atau dalil syara` itu selalu diklasifikasikan kepada adillah al-ahkam al-muttafaq `alaiha ) dalil-dalil hukum yang disepakati ) dan adillah al-ahkam al-mukhtalaf fiha `(dalil-dalil hukum yang diperselisihkan ). [Sya`ban Zakiy al-Din, Ushul al-Fiqh al-Islami, Mesir: Dar al-Ta`lif, 1961, h. 25-31], [Al-Zuhaili, Wahbah, Ushul al-Fiqh al-Islami, Beirut: Dar al-Fikr, 1986, h. 417], [Khalaf, Abd al-Wahhab, ‘Ilm Ushul al-Fiqh, Kuwait: Dar al-Qalam, 1983, h. 21].

Adillah al-ahkam al-muttafaq `alaiha, menurut mereka, terdiri dari al-Qur`an, Sunnah, Ijma` dan Qiyas. Sedangkan adillah al-ahkam al-mukhtalaf fiha adalah istihsan, istishab, maslahah al-mursalah, al-`urf, sad al-adzariah, mazhab shahabi, dan syaru` man qablana.

Penetapan adillah al-muttafaq `alaiha tersebut, menurut `Abdul Wahhab Khallaf, didasarkan kepada firman Allah dalam surah al-nisa`, 4:59:
“Hai orang-orang yang beriman, taatilahAllah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah ( al-Qur`an) dan Rasul (Sunnahnya ), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama ( bagimu ) dan lebih baik akibatnya.”

‘Abdul Wahlab Khallaf selanjutnya mengatakan bahwa perintah mentaati Allah dan Rasul-Nya adalah mengikuti al-Qur`an dan Sunnah. Sedangkan perintah mentaati ulil amri di antara umat Islam mengandung pengertian mengikuti hukum yang telah disepakati para mujtahid, karena mereka adalah ulil amri dalam bidang hukum syara`. seterusnya, perintah mengembalikan segala persoalan yang diperselisihkan kepada Allah dan Rasul-Nya adalah perintah untuk mengikuti qiyas ketika hukum dari perkara yang diperselisihkan itu tidak dijumpai dalam nash dan ijma`.[ Abd al-Wahhab, ‘Ilm Ushul al-Fiqh, Kuwait: Dar al-Qalam, 1983, h. 21]

Hujah lain yan digunakan ulamak Usul ialah hadith Rasulullah ketika menugaskan Mu`az ibn Jabal ke Yaman menjadi qadhi (hakim). Ketika Rasulullah bertanyakan bagaimana cara Mu`az dalam menetapkan hukum suatu masalah.Mu`az berkata, “ Saya putuskan berdasarkan Kitab Allah ( al-Qur`an)”. Rasul bertanya, “ Jika tidak ada kamu temui dalam Kitab Allah?”. Jawab Mu`az, “ Saya putuskan dengan Sunnah Rasulullah.” Lalu Rasulullah saw. bertanyan lagi, “ Jika dalam Sunnah Rasulullah pun tidak kamu jumpai?” Jawab Mu`az, “ Saya akan berijtihad sesuai dengan pemikiran saya.” (H.R. Abu Daud, al-Tirmidzi, Ibn ‘Abdul Barr).*(Boleh lihat perbahasan status hadis di Nasb al-Rayah 4/63) Dan Ibnu Hazmin Menolak hadis ini(lihat al-Ihkam fi Usul al-ahkam 2)

Minoriti ulamak antaranya, ulama Zhahiriyyah menolak pendapat yang menempatkan ijma` dan qiyas sebagai dalil/sumber hukum yang disepakati para ulama(melainkan Ijmak Sahabat). Menurut mereka konsep ijma` tidak disepakati oleh seluruh ulama usul fiqh untuk dijadikan sebagai hujah, kerana, pengertian ijma` itu sendiri pun para ulama usul fiqh tidak sepakat. Al-Syafi`i sendiri hanya menerima ijma` apabila hukum ijma` itu merupakan konsesus para sahabat Rasulullah saw*. Kemudian, qiyas juga ditolak oleh ulama usul fiqh lain, seperti Syi`ah Imamiyyah dan Syi`ah Zaidiyyah; termasuk al-Auza`i dari kalangan Sunni ( Ahlussunnah ).[‘Ali Hasan ‘Abdul Qadir, Nazhrah ‘Ammah fi Tarikh al-Islami, Cairo” Dar al- Kutub al-Haditsah, 1956, h.277,289] [ Muhammad Yusuf Musa, al-Madkhal li Dirasah al-Fiqh al-Islami, Mesir: Dar al-Fikr al-‘Arabi,t.t. h. 171-178].* Imam Muhamad Abu Zahrah menyatakan: tidak kedapatan dalam mana-mana kalamnya(Imam al-Syafie) yang menunjukan beliau menolak ijamak selain ijmak sahabat,Tarikh al-Mazahib al-Islamiyah,Dar al-Fikr,452.)

Oleh sebab itu, menurut ulama Zhahiriyyah, tidak benar pendapat yang menyatakan ada kesepakatan para ulama usul menjadikan ijma` dan qiyas sebagai sumber hukum Islam yang disepakati.

‘Ali Hasaballah mengemukakan bahwa adillah al-ahkam itu ada yang bersifat naqli dan ada yang bersifat ‘aqli. Yang bersifat naqli adalah al-Qur`an, Sunnah, sedangkan yang bersifat ‘aqli adalah ijtihad, baik ijtihad itu bersifat fardi ( peribadi mujtahid tertentu ) maupun ijtihad yang bersifat jama’i( kolektif ). Oleh sebab itu, adillah al-ahkam, menurutnya terbagi tiga, yaitu al-Qur`an, Sunnah, dan ijtihad. Hal ini sejalan dengan hadits dari Mu`az ibn Jabal di atas.

Dalam pembagian ‘Ali Hasaballah ini, ijma`, qiyas, istihsan, istishab, maslahah al-mursalah, al-`urf, mazhab shahabi, syar`u man qablana, dan sad al-dzari`ah termasuk dalam adillah al-ahkam al-syar`iyyah al-ijtihadiyyah ( dalil-dalil hukum syara` yang diperoleh melalui ijtihad ).[Hasaballah, Ali, Ushul al-Tasyri` al-Islami, Mesir: Dar al-Ma`arif, 1971, h. 15].

Oleh kerana itu, penetapan ijma` dan qiyas dapat dijadikan sebagai dalil yang disepakati kehujahannya lebih didasarkan statusnya sebagai dalil di kalangan Ahlussunnah. Para ulama usul fiqh dari kalangan Ahlussunnah memang sepakat menyatakan bahwa ijma` dan qiyas dapat dijadikan sebagai dalil syara`, sekalipun kedudukannya sebagai dalil yang tidak berdiri sendiri sebagaimana al-Qur`an dan Sunnah.

Oleh sebab itu, untuk, menghilangkan kekaburan pengertian (sumber)mashadir al-ahkam al-syar`iyyah dan adillah al-ahkam al-syar`iyaah sebagaimana dihuraikan di atas, pembahagian yang dipilih adalah: pertama, sumber dan dalil hukum Islam ( yang disepakati ) dan kedua, dalil dan metode penggalian hukum Islam.

`Urf
Secara lughahnya, `urf bererti “ yang baik”. Sebahagian ulama ushul fiqh membezakan antara adat dengan `urf dalam membahas kedudukannya sebagai salah satu dalil untuk menetapkan hukum syara`. Adat didefinisikan dengan:

Sesuatu yang dikerjakan secara lansung berulang-ulang tanpa adanya hubungan rasional.

Definisi ini menunjukkan bahwa apabila suatu perbuatan dilakukan secara berulang-ulang menurut hukum akal, tidak dinamakan adat. Definisi ini juga menunjukkan bahwa adat itu mencakup persoalan yang amat luas, yang menyangkut permasalahan pribadi, seperti kebiasaan seseorang dalam tidur, makan, jenis makanan tertentu, atau permasalahan yang mnegenai orang ramai, yaitu sesuatu yang berkaitan dengan hasil pemikiran yang baik dan buruk. Adat juga terjadi dari sebab alami, seperti cepatnya seorang anak menjadi baligh di daerah tropika atau kawasan tertentu berbanding dnegan daerah atau kawasan biasa, atau cepatnya tanaman berbuah di daerah tropika, dan untuk daerah dingin terjadi kelewatan seseorang menjadi baligh dan tanaman berbuah. Di samping itu, adat juga boleh muncul dari hawa nafsu dan kerosakan akhlak, seperti rasuah, sebagaimana juga adat terjadi dari kess-kes tertentu, seperti perubahan budaya suatu daerah disebabkan pengaruh budaya asing.
Definasi `urf menurut ulama usul fiqh adalah,
“Kebiasaan majoriiy sesutau kaum baik dalam perkataan atau perbuatan.
[Ahmad Fahmi Abu Sunnah al-`Urf wa al-`Adah fi Ra`yi al-fuqaha`, Mesir: Dar al-Fikr, al-`Arabi, t.t., h. 8], [ Mushthafa Ahmad al-Zarqa`, al-Madkhal `ala al-Fiqhi al-Am, Beirut: Dar al-Fikr, Jilid II, 1968, h. 840], [`Abdul `Aziz al-Khayyath, Nazhariyyah al-`Urf, `Amman: Maktabah al-Aqsha, h. 24].

Berdasarkan definisi ini, Mushthafa Ahmad al-Zarqa`mengatakan bahwa `urf merupakan sebahagian dari adat, karena adat lebih umum dari `urf. Suatu `urf, menurutnya harus berlaku pada kebanyakan orang di daerah tertentu, bukan pada pribadi atau kelompok tertentu dan `urf bukanlah kebiasaan alami sebagaimana yang berlaku dalam kebanyakan adat, tetapi muncul dari suatu pemikiran dan pengalaman, seperti kebiasaan majorit masyarakat pada daerah tertentu yang menetapkan bahwa untuk memenuhi keperluan rumah tangga pada suatu perkahwinan boleh diambil dari mas kahwin yang diberikan suami dan penetapan ukuran tertentu dalam penjualan makanan.

Ada juga ulamak Usul tidak membezakan antara Urf dan Adat,bagi mereka:
Urf iaitu sesuatu yang telah menjadi kebiasaan kepada masyarakat dalam kehidupan harian sama ada perkataan mahupun perbuatan. Maka adat dan `urf menurut pandangan fuqaha memberi erti yang sama. Apabila mereka berkata ‘hukum ini sabit dengan `urf dan adat’ bukanlah bererti adat itu berlainan dengan `urf, bahkan kedua-duanya satu maksud sahaja, dan disebutkan kalimah adat itu untuk mengukuh sahaja.[ `Abd al-Karim Zaydan, al-Wajiz Fi Usul al- Fiqh, Baghdad,1987, h.252].