Rabu, 25 Jun 2008

Urf(Adat resam) Sebagai Sumber Hukum(3)

Kehujjahan Uruf

Para ulama telah menjadikan `urf sebagai salah satu asas dalam pembinaan hukum. Ini jelas dapat difahami dari kata-kata dan fatwa yang dikeluarkan oleh mereka. Ada di antara mereka yang berdalil dengan firman Allah yang bermaksud:

“Terimalah apa yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik”

Menurut al-Qarafi, berdalil dengan ayat ini ternyata sekali kelemahannya kerana `urf dalam ayat ini bermaksud sesuatu yang makruf. [ Al-Qarafi, Syihabuddin Ahmad ibn Idris al-Qarafi, Anwar al-Baruq fi Anwa’ al-Furuq, Mesir: Dar al-Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, 1344 H, Jilid III, h. 49),.Tetapi Mustafa Ahmad al-Zarqa` berpendapat bahawa `urf dalam ayat ini adalah dikehendaki dengan maknanya yang lughawi iaitu perkara baik yang menjadi kebiasaan bukan dimaksudkan dengan maknanya pada istilah fiqh, maka berdalil dengan `urf dalam ayat ini boleh mengukuhkan pemakaian `urf manusia dalam amalan-amalan dan mu`amalat mereka adalah dari sesuatu adat yang mereka kira baik dan menjadi kebiasaan oleh akal mereka, selalunya `urf satu kaum itu menandakan hajat dan keperluan mereka kepada perkara yang sudah dikenali dan teradat di kalangan mereka, maka diambil kira itu sebahagian dari perkara-perkara yang dikira baik. [Mustafa Ahmad Zarqa`, al-Madkhal al- Fiqhi al-`Am,).

Sementara itu ada juga fuqaha yang berdalilkan dengan hadith(athar)* yang diriwayatkan bermaksud:

“Apa-apa yang didapati dan dilihat oleh orang-orang Islam sebagai suatu yang baik maka ia juga baik di sisi Allah”.

Dilalah hadith di atas menunjuk kepada kehujahan Ijma` bukan `urf kecuali apabila sandaran Ijma` itu adalah `urf yang sahih, maka petunjuk hadith atau athar ini hanyalah ke atas satu bentuk `urf dari berbagai-bagai `urf, bukan ke atas `urf secara mutlak.

[`Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz Fi Usul al- Fiqh, Baghdad,1987]. *Al-Zailai menyatakan hadis diatas adalah gharib marfu`,mauquf kepada Ibnu Masud,(Nasb al-Rayah:3/123).


Sungguhpun demikian, orang Islam tidak melihat sesuatu yang baik itu berdasarkan hawa nafsu mereka, bahkan mereka melihat berdasarkan tabiat semulajadi ( fitrah) mereka dan dari kaca mata Syariat yang menghukum dan menurut reality kehidupan mereka. [ Dr. Ali Jarisyah, al- Masyru`iyyah al-Islamiyyah al-`Ulya, Dar al-Wafa`, Mesir, 1986, h. 152]. Maka hadith atau athar ini menurut kebanyakan fuqaha boleh menjadi hujah kepada pengamalan `urf.

Walaupun ‘urf tetap diambil kira, diberi pertimbangan dan sah pembinaan hukum ke atasnya, tetapi ia pada hakikatnya bukan merupakan dalil yang berasingan atau sumber hukum yang tersendiri bahkan ia dirujuk kepada dalil-dalil Syarak yang mutabar, kerana ‘urf tidak boleh mencipta hukum bersama Allah dan tidak ada siapa pun yang mempunyai autoriti mentasyri’ hukum melainkan Allah sahaja. Sesungguhnya apabila beberapa hukum Syariat mengambil kira ‘urf maka itu merupakan suatu keringanan dan rahmat dari Allah yang menurunkan Syariat dan Dialah sumber hukum yang sebenarnya, bukan ‘urf yang hukum datang selari dengannya.

Apabila Allah mengizinkan kita membina hukum-hukum berdasarkan ‘urf maka keizinan Allah itulah sumbernya bukan ‘urf. Maka ‘urf dalam dua keadaan ini tidak lebih dari kaedah fiqhiyyah yang dapat diambil faedah darinya ketika pelaksanaan hukum-hukum tidak akan meningkat kepada tahap sumber atau dalil. . [`Abd al-Karim Zaydan, al-Wajiz Fi Usul al- Fiqh,)

Seorang mujtahid dalam menetapkan suatu hukum, menurut Imam l-Qarafi , harus terlebih dahulu meneliti kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat setempat, sehingga hukum yang ditetapkan itu tidak bertentangan atau menghilangkan kemaslahatan disisi masyarakat tersebut. Seluruh ulama mazhab, menurut Imam al-Syathibi (w. 790 H./ ahli usul fiqh Maliki) [Abu Ishaq al-Syathibi, al-Muwafaqat fi Ushul al-Syaria’ah, Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1973, Jilid II, h. 179-188], dan Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah (691-751 H/1292-1350 M./ ahli ushul fiqh Hanbali) [Ibn Qayyim al-Jauziyah, A’lam al-Muwaqq’in ‘an Rabb al-‘Alamin, Beirut: Dar al-Jail, 1973, Jilid II, h. 293 dan Jilid III, h. 3], menerima dan menjadikan ‘urf sebagai dalil syara’ dalam menetapkan hukum, apabila tidak ada nash yang menjelaskan hukum suatu masalah yang dihadapi.
.
Para ulama juga sepakat menyatakan bahwa ketika ayat-ayat al-Qur’an diturunkan, banyak sekali ayat-ayat yang mengukuhkan kebiasaan yang terdapat di tengah-tengah masyarakat. Misalnya, harus berjual beli yang sudah ada sebelum Islam. Hadits-hadits Rasulullah saw juga banyak sekali yang mengakui kewujudan ‘urf yang berlaku di tengah masyarakat, seperti hadits yang berkaitan dengan jual beli tempahan (salam).

Dalam sebuah riwayat dari Ibn ‘Abbas dikatakan bahwa ketika Rasulullah saw hijrah ke madianh, beliau melihat penduduk setempat melakukan jual beli salam tersebut. Lalu Rasulullah saw bersabda:
Siapa yang melakukan jual beli salam kurma, maka hendaklah ditentukan jumlahnya, takarannya, dan jangka waktunya (H.R. al-Bukhari).

Dari berbagai kes ‘urf yang dijumpai, para ulama usul fiqh merumuskan kaedah-kaedah fiqh yang berkaitan dengan ‘urf, di antaranya adalah:

1. Adat kebiasaan itu boleh menjadi hokum(al-adah al-muhakkamah)

2. Tidak diingkari perubahan hukum disebabkan perubahan zaman dan tempat.
(la yunkaru taghayyuru al-ahkami bitaghayyuri al-azminati wal amkinati)

3. Yang baik itu menjadi ‘urf, sebagaimana yang disyaratkan itu menjadi syarat.
(al-Ma`rufu urfan kal masyruuti syartan)

4. Yang ditetapkan melalui ‘urf sama dengan yang ditetapkan melalui nash (ayat dan atau hadits)
(al-thabitu bil urfi kal thabiti bin nash)

Para ulama usul fiqh juga sepakat bahwa hukum-hukum yang didasarkan kepada ‘urf boleh berubah sesuai dengan perubahan masyarakat pada zaman tertentu dan tempat tertentu. [Jalal al-din Abd al-Rahman al-Suyuthi, al-Asybah wa al-Nazaha’ir, h. 80 dan 88].

1 ulasan:

yati berkata...

salam tuan,
kalau tuan berkelapangan tulislah berkenaan sumber hukum yang lain, istishab, masolihul mursalah, istihsan dll. bahan ni boleh juga dijadikan sebagai rujukan untuk pelajar2 spm,dan stpm saya. syukran tuan.