Salam,
Tidak diketahui siapa penulis atau penyusun artikel ini,namun ianya amat menari perhatian,di siarkan tanpa editan walaupun se ayat.
Abu Abdillah Syed Hasan bin Nurhasan al-Khurasani (1875-1944) dan penglibatannya dalam pembaharuan Islam di Kelantan 15.1 PEMBAHARUAN ISLAM DI KELANTAN
Kelantan, dari segi perkembangan Islam, merupakan negeri dalam Malaysia yang mempunyai kedudukan dan sifatnya yang tersendiri. Ramai orang menyebutnya "Serambi Makkah", sebagai gelaran kehormatan sebab Islam yang nampak kukuh dan ilmunya yang berkembang baik di negeri itu.
Kelantan, dulunya mempunyai berbagai-bagai pondok yang tersebar di seluruh negeri itu, menjadi tumpuan para pelajar Islam yang datang dari berbagai-bagai negeri di Malaysia, juga dari negara tetangga seperti Thailand, Singapura dan Indonesia. Kota Bharu, sebagai ibu negeri, merupakan pusat penyebaran ilmu Islam dalam negeri itu. Tok guru-tok guru pada umumnya memperoleh ilmunya, terutama dari al-Azhar, Mesir, al-Masjidil-Haram, Makkah, Darul-Ulum, Deoband, dan Baitul-Hikmah, India.
Arus pembaharuan Islam yang pada mulanya bersumber dari Timur Tengah juga mengalir ke Kelantan. Idea ini dibawa oleh pelajar yang belajar terutama di Mesir, melalui majalah dan kitab, sama ada yang langsung dari pusat sumber di Timur Tengah atau melalui pantai barat Semenanjung. Demikianlah misalnya tokoh-tokoh ulama Kelantan tidak terasing daripada majalah al-Urwatul-Wuthqa (Paris, 1884), al-Manar (Kahirah, 1898), Al-Imam (Singapura, 1906), al-Ikhwan (Pulau Pinang, 1926), dan Saudara (Pulau Pinang, 1928).
Meskipun majalah ini tidak dibaca oleh orang awam, namun amat besar pengaruhnya kepada kelompok ulama Islam pada masa itu. Pandangan yang dikemukakan ialah pembaharuan mengikut ajaran Islam dalam berbagai-bagai segi kehidupan kaum muslimin.
Dengan yang demikian, pengaruh pemikiran tokoh-tokoh tajdid di Timur Tengah terutama tiga seuntai, Syed Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, dan Syed Rasyid Ridha mengalir ke dalam pemikiran ulama tempatan seperti Tok Kenali, Haji Wan Musa, Haji Mohd. Said, dan Datuk Haji Muhammad bin Haji Mohd. Said (Datuk Laksamana) untuk kemudian menyebar ke tengah-tengah masyarakat. Maka dilakukanlah peninjauan semula kepada beberapa aspek hukum fikah dan ilmu tauhid. Pada umumnya, tokoh-tokoh pembaharuan hendak kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dan tidak mahu terikat kepada taklid, lebih-lebih lagi taklid buta. Maka lahirlah perbezaan pendapat di dalam beberapa masalah seperti masalah usalli, talkin, sifat Dua Puluh, dan lain-lain, persoalan yang tidak didapati dalilnya sama ada di dalam al-Quran mahupun di dalam al-Sunnah.
Di tengah-tengah pertumbuhan ilmu agama yang diterajui oleh ulama anak Kelantan sendiri muncul pula nama Abu Abdillah Syed Hasan bin Nurhasan al-Khurasani (1875-1944). Beliau ini bukan putera Kelantan. Beliau berasal dari Khurasan. Beliau menitikberatkan ajarannya kepada ilmu Hadis dan banyak menekankan dalil sunnah.
Menurut Datuk Yusuf Zaki (Wawancara: 1 Februari 1990) beliau ialah ulama yang mula-mula mengajarkan Hadis secara ilmiah; beliau seorang ahli Hadis dan tidak menganut mazhab Hanafi (beberapa orang mendakwa bahawa beliau menganut mazhab Hanafi-peny.). Beliau berpegang kepada sunnah.
Menurut Datuk Yusuf Zaki, Datuk Haji Muhammad Said (1920-an) ialah Menteri Besar Kelantan yang membawa fahaman pembaharuan, dan menulis perkara itu di dalam majalah; beliau belajar di Mesir (nama ini disebut di dalam Deklarasi Kuala Pilah (1982) sebagai salah seorang nama mujahid fahaman Sunnah). Namun, agaknya beliau tidak mengembangkannya secara sistematik, sehingga tidak berlaku seperti di Perlis.
Ketika ditanyakan apakah ada hubungan di antara kelompok Perlis dengan Kelantan, Datuk Yusuf Zaki menceritakan bahawa Abu Bakar al-Asyaari memang ada datang ke Kelantan untuk mengembangkan fahamannya di sini. Namun, agaknya kurang berkesan. Kisah yang sama juga kami dapati daripada Ustaz Hasan Idris (Wawancara: 29 Januari 1990).
Datuk Yusuf Zaki juga menceritakan kedatangan seorang ulama bernama Syeikh Azhari Sudan yang kemudian kembali ke Makkah.
Apabila ditanyakan pendapat beliau mengapa di Kelantan dewasa ini ada penentangan yang kuat menuduh Nik Abdul Aziz sebagai Kaum Muda, walhal dari sejak dahulu Ustaz tersebut sudah dikenali sebagai tokoh pembaharuan; beliau menjawab bahawa itu adalah sebab politik. Bahkan sejak ayahnya lagi, Haji Nik Mat telah menjadi pengikut Tok Khurasan.
Datuk Yusuf Zaki menerangkan bahawa termasuk aliran pembaharuan yang kuat di negeri ini ialah aliran Syah Waliyullah al-Dahlawi. Bukunya Hujatullah al-Balighah banyak dibaca dan diajarkan. Dalam buku ini tidak ada gambaran tarikat.Memang kami jumpai di dalam perpustakaan, orang menyebut ajarannya sebagai "Tariq Syah Waliyullah", maksudnya: Cara Syah Waliyullah. Agaknya perkataan "tariq" di situ tidak ada kena mengena dengan sesuatu ajaran tarikat.
Datuk Yusuf Zaki juga menyebut nama Haji Abdullah Nuh (meninggal 1947). Beliau ialah salah seorang pengembang ajaran Syah Waliyullah. Beliau seorang ulama lepasan India dan Pakistan. Antara muridnya termasuklah Datuk Haji Muhammad Nasir, bekas Menteri Besar Kelantan
.
Menurut Datuk Yusuf, murid Tok Khurasan dan murid Haji Wan Musa ialah orang yang menyebarkan pemikiran pembaharuan kepada masyarakat Islam di sini.
Datuk Yusuf Zaki yang mengkagumi perkembangan fahaman Ahlus-Sunnah di Perlis, mengemukakan pertanyaan: Berapa lama lagikah Majlis Agama negeri ini tidak terikat lagi kepada mazhab Syafii?
Ustaz Abdullah Qari, seorang guru di Ma'ahad Muhammadi, yang dikenal sebagai seorang tokoh pembaharuan, (Wawancara: 28 Januari 1990) menerangkan bahawa al-Sunnah di Kelantan telah ditegakkan oleh beberapa orang ulama. Namun, tidak diketahui bila mulanya. Salah seorang penegaknya ialah Ustaz Nik Mat, bapa kepada Ustaz Nik Abdul Aziz, Ketua Dewan Ulama PAS (sekarang Menteri Besar Kelantan). Beliau adalah murid Tok Kenali. Beliau telah menunjukkan keberanian di dalam menegakkan al-Sunnah. Tokoh lain ialah allahyarham Datuk Mufti Haji Noor. Beliau berpengaruh dalam penyebaran al-Sunnah. Demikianlah misalnya beliau berpendapat bahawa al-Sunnah melarang menyebut "Sayyidina" dalam salat, salat hajat mestilah disertai oleh tuan rumah dan beliau tidak melakukan jabat tangan selepas salat.Menurut Ustaz Abdullah Qari, allahyarham Haji Noor mengatakan bahawa buku-buku karangan Ustaz Qari sesuai dengan pendapat beliau. Menurut Ustaz Abdullah, Ustaz Nik Abdul Aziz juga ialah seorang penegak al-Sunnah.
Menurut Ustaz Abdullah Qari, kitab al-Umm pernah diterjemahkan pada zaman Tok Kenali, tetapi tidak lengkap. Sekarang tidak tahu lagi urusan ini. Allahyarham Tok Kenali tidak menyebut apa-apa tentangnya.Selanjutnya beliau menerangkan bahawa allahyarham Mufti Haji Ismail juga seorang penganut al-Sunnah. Sekarang ini buku-buku Wahabi, Ibn Taimiyah, dan sebagainya telah banyak diguna. Timbalan Mufti Haji Hasbullah juga mengajarkan akidah salafiyah di masjid. Perkembangan al-Sunnah di Kelantan dan Petani banyak dipengaruhi oleh pelajar dari Saudi. Sekolah Madinatul 'Ilmi, kepunyaan PAS di Kampung Kandis Bacok (dekat Pondok Moden) akan mendidikkan al-Sunnah dan hendak bergerak ke arah al-Sunnah.
Saya sendiri, kata Abdullah Qari, banyak membaca buku-buku Indonesia. Itulah yang mendorong saya menyokong al-Sunnah. Sebelum Tok Khurasan belum lagi ada orang yang mengajarkan Hadis. Tok Kenali sendiri juga menggalakkan belajar Hadis kepada Tok Khurasan. Kemudiannya, Tok Kenali juga mengajarkan al-Bukhari tanpa tafsiran.
Tuan Haji Hasan bin Haji Yaakub, pemilik penerbitan dan percetakan Aman Press, sebuah syarikat yang telah banyak menerbitkan buku-buku agama, menerangkan bahawa ramai orang yang mengamalkan al-Sunnah, namun tidak berjuang untuk menjayakannya. Dewasa ini orang semakin banyak mengikuti fahaman pembaharuan tanpa menyedari bahawa ia telah melangkah keluar daripada mazhab Syafii.
Pendapat seperti ini juga telah dikeluarkan oleh Ustaz Hasan Idris, seorang tokoh pendidikan agama yang terkemuka di negeri Kelantan (Wawancara: 29 Januari 1990). Beliau sendiri katanya, adalah pendukung idea pembaharuan. Beliau mengamalkan al-Sunnah tetapi tidak berdaya memperjuangkannya. Pada waktu mudanya dahulu, beliau bersemangat hendak membasmi perkara yang terkeluar daripada al-Sunnah, namun semangatnya itu terpendam sebab sikap masyarakat yang masih mempertahankan amalan dan pemikiran tradisional. Demikian juga tokoh-tokoh agama yang berasal dari Indonesia atau Makkah. Mereka pada mulanya penuh semangat hendak menegakkan al-Sunnah. Namun reaksi yang negatif sama ada daripada pihak yang berkuasa dan rakyat biasa, menyebabkan semangat itu menjadi padam dan luntur. Akhirnya tinggal beramal untuk diri sendiri sahaja. Setiap penyebaran perkara yang dipandang baru, tokoh penyebarnya akan dipanggil oleh pihak berkuasa dan dinasihati agar jangan membuat masyarakat menjadi gempar. Hal ini melemahkan semangat dan menghilangkan keberanian.
Tentang Ustaz Nik Abdul Aziz, beliau memandangnya sebagai orang yang berani. Beliau menentang pemikiran tradisional. Salah seorang penentang beliau ialah Tok-Guru Abdurrahman dari pondok Sungai Durian. Tok guru ini masih kuat mengikuti fahaman tradisional.Menurut Ustaz Hasan Idris, penentangan terhadap Nik Abdul Aziz bukan dilatari oleh politik. Penentang beliau sentiasa ada sejak dahulu lagi.
Menurut beliau, al-Barzanji bukanlah suatu kesalahan besar. Orang lambat-laun akan melupakannya.Bagi Ustaz Hasan Idris, orang Malaysia yang pergi ke Makkah boleh melakukan talfik. (Beralih mazhab dalam beberapa perkara.)
Tentang susunan pentadbiran agama Islam negeri, Datuk Nik Sulaiman, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan (Wawancara: 28 Januari 1990) menerangkan bahawa pentadbiran agama Islam dijalankan oleh tiga badan, iaitu: (1) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, (2) Jabatan Agama, dan (3) Yayasan Islam Kelantan. Tentang kewangan pentadbiran agama Islam ini diperoleh daripada sumber Kerajaan, Zakat dan Baitul Mal, Wakaf, dan Sedekah. Berbagai-bagai rancangan untuk kemajuan Islam telah dibuat dan dilaksanakan. Fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Ulama, dengan dipengerusikan oleh Datuk Mufti. Di samping itu, ada Dewan Syura yang dianggotai oleh para ulama dan cendekiawan, yang membincangkan masalah yang berkaitan keagamaan. Untuk meningkatkan ilmu pengetahuan Islam telah diadakan siri "Muzakarah Ilmiah" di masjid Muhammadi. Kewujudan Muzakarah Ilmiah ini adalah sebagai memenuhi suatu resolusi yang dicapai menerusi persidangan Dewan Syura yang pertama pada 10 November 1987. Muzakarah Ilmiah akan dihadiri oleh para ulama yang berwibawa.
Ketika ditanyakan tentang aliran keagamaan yang hidup di Kelantan, Ustaz Uthman Muhammadi, salah seorang anggota Majlis Agama (Wawancara: 28 Januari 1990) mengatakan bahawa fatwa dilakukan dalam mazhab Syafii; aliran yang tidak bermazhab belum mendapat tempat di Kelantan. Fatwa yang lain daripada mazhab Syafii tidak laku di negeri ini. Tentang fahaman Syiah, menurut beliau "sangat kecil". Kumpulan pengikut Syah Waliyullah memang ada.
Darihal pemurnian mazhab Syafii dengan berpegang kepada pendapat Imam Muhammad ibn Idris sendiri, tidak kepada mujtahid bawahan beliau, menurut Ustaz 'Uthman Muhammadi, pada dasarnya dapat diterima, dan hendaklah kita kembalikan kepada suatu mesyuarat oleh mereka yang arif.
Ketika ditanyakan berkenaan dengan pemilihan masalah khilafiah di dalam mazhab Syafii, seperti azan Jumaat apakah sekali atau dua kali, Timbalan Mufti, Datuk Haji Hasbullah (Wawancara: 28 Januari 1990) menjawab: "Itu bukan suatu kesalahan". Ketika dilanjutkan pertanyaan dengan: Bagaimana kalau ada masjid yang melakukan azan satu kali sahaja?, Timbalan Mufti mengatakan: "Kita akan nasihati". Nampaknya jika nasihat itu tidak berkesan orang yang melakukan azan satu kali tidak akan diapa-apakan oleh pihak penguasa agama. Jika betul demikian, itu adalah suatu sikap yang benar.
Mufti negeri Kelantan, Sahibul Al-Samahah Datuk Muhammad Cik Wook (Wawancara: 29 Januari 1990), (meninggal 1990) menerangkan, bahawa Perlis di satu pihak dan orang lain di satu pihak yang lain, memang berlainan pemikiran dan sikap. Perlis lebih cepat dalam pembaharuan. Mereka tidak terikat kepada sebarang mazhab. Di pihak lain, sifat keterikatan kepada mazhab Syafii itu masih tebal. Sebab itu untuk menyamakan mazhab Syafii dengan mazhab yang lain bukan suatu perkara yang mudah. Pemurnian mazhab Syafii sebaiknya dimulai dari pengajian tinggi. Memang kita rasakan bahawa fikah yang ada sekarang ini sudah berusia seribu tahun, banyak yang tidak sesuai lagi dengan cara hidup kita sekarang ini. Perlu ada tinjauan dan pemikiran baru.
Tentang kes penentangan terhadap Ustaz Nik Abdul Aziz, beliau mengemukakan tiga faktor:
1. Perkembangan politik yang berlaku sekarang.
2. Sejak akhir-akhir ini, Ustaz Nik Abdul Aziz lebih berani mengeluarkan pendapat dengan suara yang lebih lantang.
3. Faktor pertentangan di dalam parti pun ada juga, pengikut kaum tua tidak menyukai Ustaz Nik Abdul Aziz sebab mereka mengecap sebagai Kaum Muda. Sebenarnya, Ustaz Nik Abdul Aziz telah sejak dulu dikenali sebagai golongan tajdid.
Tentang dakwaan bahawa allahyarham Haji Noor, bekas mufti Kelantan, termasuk penganut fahaman tajdid, Datuk Mufti mengatakan bahawa daripada beliau ini banyak perkara yang tidak dapat difahami. Walau bagaimanapun, beliau menolak talkin dan sebab itu ketika penguburan Almarhum Sultan Yahya Petra (Yang di-Pertuan Agong Malaysia) talkin tidak dibacakan. Memang di Kelantan, talkin sudah hapus atau hampir hapus. Menurut Datuk Mufti, sekarang ini sedang dipersiapkan peraturan istiadat kemangkatan raja, yang di dalamnya akan dimasukkan "tidak bertalkin".
Menurut Datuk Muhammad Cik Wook selanjutnya, Allahyarham Haji Noor, dalam mengemukakan sesuatu pendapat selalu memberi alasan Hadis, tidak mengagungkan mazhab dan tidak mengajarkan Sifat Dua Puluh. Fahaman ini juga didokong oleh allahyarham Haji Ismail, Timbalan Mufti pada masa itu. Datuk Mufti mengingatkan bahawa tidak semua yang kita pegang sekarang ini betul, kita mesti kembali kepada Sunnah.
Seperti dengan Timbalannya, Datuk Mufti juga menegaskan bahawa orang yang melakukan azan satu kali pada hari Jumaat tidak akan diambil tindakan. Sikap ini berlawanan dengan sikap negeri Perlis yang akan bertindak dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan azan dua kali.
Menurut Ustaz Nik Abdul Aziz, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan seorang ulama terkemuka di Kelantan yang menjadi Menteri Besar sekarang ini, (Wawancara: 1 Februari 1990) mengatakan penglibatannya dengan aliran pembaharuan sudah lama, bahkan sejak ayahnya lagi. Bapa beliau pernah belajar pada Syeikh Azhari, orang Sudan. Orang Islam pada masa itu masih kuat berpegang pada usalli dan membayangkan semua pekerjaan salat pada waktu takbiratulihram. Ayah beliau adalah pihak penentang cara lama ini. Kedatangan Tok Khurasan, memperkuatkan aliran pembaharuan. Antara yang belajar kepada Tok Khurasan ini termasuklah Allahyarham Haji Ahmad Mahir (Mufti). Nik Abdul Aziz sendiri bersimpati dengan bahasannya. Menurut beliau: "Saya sendiri memanglah orang yang menyokong pembaharuan".
Sejak akhir-akhir ini, orang mendakwa saya makan tupai, Ustaz Nik Abdul Aziz menerangkan selanjutnya. Masalahnya ialah: Tupai itu binatang bersih, makan barang bersih; tunjukkan sebab mengapa tupai diharamkan! Kalau tupai tidak haram bukan bererti kita makan haiwan itu. Demikian juga Sifat Dua Puluh; saya minta masyarakat supaya kembali kepada tauhid al-Quran. Heboh masyarakat mengatakan bahawa orang yang makan tupai itu menolak Sifat Dua Puluh. Tadinya saya mengajarkan Fiqhus-Sunnah. Tetapi untuk tidak merosakkan imej PAS saya tukar kepada al-Qardawi.
Ustaz Nik Abdul Aziz meneruskan, bahawa dasar di dalam menyebarkan ajaran al-Sunnah, jangan sebut perkataan "bidaah". Beri keterangan kepada masyarakat apa yang tentu kita buat, jangan yang tidak tentu. Tentang kenduri kematian, saya katakan, bahawa mungkin termakan harta anak yatim. Saya minta hilangkan persandingan. Walau bagaimanapun, saya tidak mempunyai hubungan sama sekali dengan Perlis.
Menurut Ustaz Nik Abdul Aziz, fahaman pembaharuan akan terus berkembang dan maju dengan pesat. Mahu tak mahu pihak Majlis Agama mesti tunduk kepada kenyataan kebangunan aliran ini. Di sini semasa khutbah Jumaat, pegang tongkat, membaca selawat dan sebagainya sudah banyak hilang sebab kesedaran. Walau bagaimana-pun, satu kali azan pada salat Jumaat belum pernah berlaku. Bagi saya pembaharuan perlu dikembangkan, tetapi bukan dengan cara kekerasan, namun dengan cara ilmu. Dalam pengajian jangan ditekankan kepada masalah khilafiah. Gunakan bahasa yang lunak.
Berbahagialah masyarakat Islam Kelantan sebab memperoleh pemimpin Islam, sama ada yang rasmi atau yang tak rasmi, yang mempunyai pemikiran terbuka dan penuh kematangan di dalam menegakkan ajaran al-Sunnah.
15.2 KES KESAN-KESAN ANJING
Sepulangnya Haji Nik Abdullah bin Haji Wan Musa (1900-1935) dari Makkah, beliau telah dipanggil oleh Tengku Ibrahim ibn Sultan Muhammad ke-IV, Raja1 Kelantan. Mereka bercakap-cakap tentang beberapa masalah keagamaan. Raja Kelantan yang ketika itu memelihara beberapa ekor anjing bertanya kepada Haji Nik Abdullah, apakah anjing boleh dipelihara atau tidak, dan bagaimana pula sekiranya tubuh kita terkena air ludah anjing. Haji Nik Abdullah mengatakan bahawa andainya binatang itu difikirkan sangat perlu untuk mengawal keselamatan rumahtangga, maka tiada salahnya memelihara haiwan itu. Berkenaan dengan kesan jilatan anjing, menurut beliau, mengikut pendapat Imam Syafii anggota tubuh manusia yang terkena jilatan anjing itu wajib disamak. Namun, mengikut pendapat Imam Malik, (jika lain daripada jilatan-peny.) tidak mesti disamak. Dalam perbezaan pendapat kedua-dua ulama mujtahid ini, menurut pendapat Nik Abdullah setiap peribadi boleh memilih pendapat yang mana yang hendak diamalkannya. Mengikut pendapat Haji Nik Abdullah semua pendapat imam mujtahid boleh diamalkan oleh kaum muslimin. Juga boleh dengan cara talfik, iaitu dicampurbaurkan antara satu dengan yang lain. (Lihat tentang talfik pada bab lain.)
Beliau berpendapat bahawa perbezaan pendapat di antara para ulama mujtahid disebabkan oleh daya ijtihad masing-masing mujtahid dengan panduan al-Quran dan al-Sunnah. Lagipun para imam mujtahid berkenaan tidak menyalahkan antara satu dengan lain.
Pandangan Haji Nik Abdullah seperti itu ditentang oleh ulama Syafiiyah yang dipaparkan di dalam kumpulan pengajian masing-masing. Ulama tradisional yang menentang pendapat ini antara lain termasuklah: Haji Ibrahim bin Haji Yusuf, Mufti pada masa itu (1928-1941); Haji Ahmad Mahir bin Haji Ismail, Haji Abdullah Tahir bin Haji Ahmad, dan Haji Ahmad Manan. Kesan daripada penentangan ini, maka masalah jilatan anjing menjadi persoalan yang dibincangkan oleh masyarakat.
Penentangan para ulama tradisional terhadap pendapat Haji Nik Abdullah ini berpanjangan dan berterusan, meskipun selepas kematian Haji Nik Abdullah. Haji Wan Musa yakin akan kebenaran pendapat anaknya, Haji Nik Abdullah. Beliau mempertahankan pendapat itu di dalam jemaah pengajiannya. Isu ini kemudian mendapat perhatian daripada Sultan Kelantan, Sultan Ismail ibn Sultan Muhammad ke-IV.
Untuk menyelesaikan masalah ini agar suasana tegang tidak terus-menerus menguasai masyarakat Islam Kelantan, maka Sultan memanggil semua ulama yang terlibat ke istana kediaman baginda (1936). Walau bagaimanapun, percubaan ini tidak membawa sebarang hasil. Bahkan pertengkaran dalam masyarakat semakin meluas.
Perkembangan berikutnya ialah semakin ketaranya sikap Raja Kelantan yang menyokong pendapat Haji Nik Abdullah. Raja Kelantan yang juga memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama, menganjurkan suatu perbahasan terbuka (1937) di istananya Seri Cemerlang. Juga turut diundang Sahibul Al-Samahah Haji Abbas Taha, Kadi Besar Singapura dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi Setiausaha Majlis Ulama Singapura. Kedua-dua tokoh ini adalah daripada kalangan Kaum Muda yang akan menjadi penyokong kepada pendapat Haji Wan Musa. Daripada kalangan masyarakat Kelantan nampaknya dapat menerima kelangsungan perbahasan ini, tidak ada yang menentang, meskipun dua orang tokoh Kaum Muda dihadirkan ke Kota Bharu. Perbahasan ini dikunjungi oleh ramai orang, sama ada daripada kalangan kerabat diraja, pegawai Kerajaan, dan orang ramai. Juga hadir di dalam majlis itu, Sultan dan Raja. Meskipun di dalam perbahasan berlaku kecam mengecam antara dua pihak, namun suasana hadirin tenang sahaja. Nampaknya mereka mampu mengawal perasaan.
Walau bagaimanapun, tidak ada suatu keputusan yang dapat diambil daripada perbahasan itu. Sultan Ismail sebagai hakim juga tidak menentukan yang mana satu daripada kedua-dua pendapat itu yang akan diamalkan oleh masyarakat Islam. Baginda menyerahkan kepada orang ramai sama ada hendak mengamalkan pendapat Haji Wan Musa ataupun pendapat lainnya.Sebagai kelanjutan daripada perbahasan ini, Haji Abbas Taha telah menyusun sebuah kitab yang bertajuk "Risalah Penting" yang isinya menguatkan pendapatnya berkenaan dengan masalah itu. Haji Wan Musa pula menulis sebuah risalah tulisan tangan, yang memuatkan kedua-dua pendapat yang bertentangan dan juga pendapat mufti besar Mesir pada ketika itu. Menurut risalah itu, Mufti Mesir mempunyai pendapat yang sama dengan pendapat Haji Nik Abdullah. Raja Kelantan pula dalam kedudukannya sebagai Yang Dipertua Majlis Agama menghantar tiga pertanyaan kepada Syed Muhammad Mustafa al-Maraghi, Syeikh Universiti al-Azhar pada masa itu. Jawapan Syeikh al-Azhar yang diterima dalam bulan April 1937 bersamaan dengan pendapat Haji Nik Abdullah juga. Baginda bertambah yakin akan kebenaran pendapat Haji Nik Abdullah itu.
Demikian isu itu telah berlalu. Ramai orang yang membenarkan pendapat Haji Nik Abdullah dan Haji Wan Musa. Namun, tidak ramai orang yang mengamalkannya. Kebanyakan kaum muslimin masih tetap menyamak anggota tubuhnya yang terkena sentuhan anjing. Di Kelantan sampai dewasa ini pun hampir-hampir tiada orang Islam memelihara anjing untuk mengawal rumahnya. Agaknya mereka masih waswas mengikuti pendapat yang "baru". Mereka telah terbiasa dengan cara lama. Mungkin pula sebahagiannya meskipun membenarkan pendapat "baru", namun untuk ihtiyat adalah lebih selamat jika diikut pendapat yang sedia ada. Sebab mengikutinya bukanlah suatu kesalahan dari segi pendapat yang mana pun juga.
Memang masalah ini adalah masalah yang kecil terutama jika dilihat dari segi perkembangan berfikir umat Islam pada masa kini. Namun kisah ini kita ulang kembali di sini, adalah untuk menunjukkan bahawa umat Islam Kelantan sejak tahun 1937 telah didedahkan secara terbuka dan rasmi akan ketidakmutlakan mazhab Syafii. Dan bahawa nilai mazhab Syafii dari segi kesahihannya sama saja dengan mazhab fikah yang lainnya, seperti Hanafi, Maliki, dan Hanbali. Dan bahawa tidak ada sesuatu tali yang mengikat kita hingga tidak dapat lepas daripada mazhab Syafii. Dan bahawa setiap fatwa dan pendapat ulama mestilah berdasar kepada dalil dan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.
Meskipun ramai orang Kelantan yang menentang fahaman Kaum Muda, namun negeri ini tidak pernah mengalami pertembungan fizikal antara dua golongan umat Islam itu seperti yang berlaku di Melaka misalnya. Dan bahkan jika diberi alasan dengan cara yang baik tanpa memancing emosi, mereka boleh terima dan bersedia mengamalkannya. Demikianlah misalnya acara talkin pada penguburan dan acara bersanding dengan merenjis tepung-tawar sudah hampir hilang daripada masyarakat. Demikian juga, memuliakan kuburan atau tempat yang dipandang keramat, membakar kemenyan pada malam Jumaat, melambat-lambatkan penguburan mayat dan perkara karut yang lain sudah lenyap ditelan zaman. Kita bersetuju dengan pendapat Ustaz Nik Abdul Aziz, bahawa dasar dalam menyebarkan ajaran al-Sunnah jangan disebut perkataan bidaah; beri mereka keterangan yang betul yang boleh diterima oleh pemikiran mereka. Allahyarham Ustaz Mohd. Daud Bukit Marak, seorang pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, di dalam suatu majlis pengajian di suatu masjid, ditanya orang tentang hukum mentalkinkan orang mati, beliau menjawab: "Andai kata orang mati di dalam kubur boleh kita ajar Islam, saya akan pergi ke jerat orang Cina dan mentalkinkan mereka semua". Agaknya keterangan seperti itu lebih mudah diterima rakyat awam.