Urf yang juga dikenali dengan adat resam telah ditakrifkan dengan ‘sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi suatu perkara yang lumrah, sama ada dari segi objeknya:`urf itu qawli (perkataan) atau amali,dari segi skopnya: am atau khas, dan dari segi keesahanya:sahih atau fasid.
Maka `urf qawli, seperti perkataan ‘al-Walad’ dimaksudkan kepada anak lelaki sahaja, kebiasaan ini telah menyalahi penggunaannya dari segi bahasa.[ Yusuf al-Qaradawi (Dr.), `Awamil al-Sa`ah wa al-Murunah fi al-Syariah al-Islamiyyah, Dar al- Sahwah, Cairo, 1985, h. 31].
`Urf amali pula, seperti berjual beli tanpa akad oleh pembeli dan penjual atau seorang sahaja yang berakad sementara seorang lagi tidak, ini dikenali dengan Bai’ bil-Mu`atah. Membahagikan mas kahwin kepada tunai dan tangguh (pada kebanyakan Negara Arab). Menghidangkan makanan kepada tetamu telah dianggap keizinan kepada tetamu mengambilnya. [ `Abd al-Karim Zaydan, al-Wajiz Fi Usul al- Fiqh, Baghdad,1987, h.252].
Oleh yang demikian maka `urf boleh terbentuk dari kebiasaan manusia di atas sesuatu yang terbit dari berbagai golongan awam mahupun golongan tertentu. Berlainan dengan Ijma` kerana ia hanya terbentuk dari persepakatan para ulama mujtahidin sahaja, sedangkan orang awam tidak punya peranan dalam pembentukan Ijma`. [ ‘Abd al-Wahhab Khallaf, Ilmu Usul al-Fiqh, Dar al- Qalam, Kuwait 1986, h.89].
`Urf am, ialah sesuatu adat resam yang dihayati oleh semua orang dari berbagai peringkat dan lapisan masyarakat di seluruh negeri, atau `urf itu menjadi am apabila ia telah tersebut dengan meluas pemakaiannya di seluruh negeri Islam. Contohnya lafaz ‘dabbah’ dipakai pada binatang-binatang berkaki empat sahaja tidak kepada manusia. Lafaz talak digunakan bagi merungkaikan ikatan perkahwinan.
`Urf khas, ialah sesuatu yang menjadi kebiasaan kepada setengah-setengah masyarakat atau negeri, atau di kalangan ahli-ahli profesional atau di kalangan golongan tertentu, seperti `urf ahli perniagaan, pertanian, ahli bahasa dan sebagainya. Lafaz-lafaz yang telah menjadi istilah di kalangan para ulama dan profesional.
`Urf sahih, ialah `urf yang tidak bercanggah dengan nas Syarak, tidak menghilangkan maslahah mu`tabarah, tidak membawa kepada mafsadah rajihah, tidak menghalalkan yang haram dan tidak membatalkan yang wajib. Seperti kebiasaan melakukan akad tempahan (`aqad al-istina`). Adat menganggap pemberian yang diberi oleh peminang atau pengantin lelaki kepada pengantin perempuan seperti pakaian dan lain-lain sebagai hadiah tidak termasuk dalam mas kahwin. Telah menjadi adat di setengah negara Arab bahawa mas kahwin yang tertangguh tidak berhak dituntut melainkan setelah berlaku perceraian dengan talak atau mati.
`Urf fasid, ialah adat yang berlawanan dengan nas Syarak, atau menghalalkan yang haram atau membatalkan yang wajib atau mendatangkan kemudaratan atau menolak kemaslahatan, seperti adat berhutang dengan riba dari individu atau institusi kewangan, adat berjudi dan sebagainya. [`Abd al-Karim Zaydan, al-Wajiz Fi Usul al- Fiqh, Baghdad,1987, h. 253], [‘Abd al-Wahhab Khallaf, Ilmu Usul al-Fiqh, Dar al- Qalam, Kuwait 1986, h.89].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan