Jumaat, 15 Oktober 2010

Jenayah Sihir Siri 4-Akhir


ISU 4: ILMU DAN AMALAN SIHIR SEBAGAI SATU BENTUK JENAYAH

Timbul pula persoalan bagaimana hendak mengaitkan ilmu dan amalan sihir sebagai satu bentuk jenayah? Adakah elemen-elemen yang menjadi tunjang bagi pelaksanaan jenayah seperti actus reus dan mens rea boleh dikenal pasti dan dibuktikan?

Seseorang yang ditembak di bahagian dadanya dengan menggunakan pistol lalu meninggal dunia, sudah tentu kelihatan berbeza dengan seorang mangsa yang meninggal dunia akibat disihir dengan ilmu ‘tuju-tuju’. Keadaan fizikal mangsa yang ditembak dapat dilihat secara jelas dengan mata kasar, sama ada bentuk kecederaannya, senjata yang digunakan, orang yang melakukannya dan kesan tindakannya. Bahkan jika dilakukan bedah siasat, pakar perubatan pasti dapat menyediakan laporan terperinci tentang punca kematian mangsa dengan penuh yakin. Berlainan pula halnya dengan keadaan fizikal mangsa yang dibunuh dengan menggunakan ilmu sihir, sama ada dari segi bentuk kecederaan, senjata, pelakunya mahupun kesan. Mangsa mungkin mendakwa mengalami kesakitan seolah-olah ditikam tetapi kesan tikaman tidak pula kelihatan. Sekiranya dijalankan bedah siasat untuk menentukan puncanya yang sebenar-benarnya, belum tentu pakar perubatan dapat membuat suatu kesimpulan yang beliau sendiri merasa berpuas hati tentang punca kematian mangsa.

Sebenarnya, perbuatan jenayah sama ada dilakukan secara biasa ataupun dengan menggunakan ilmu sihir tidak banyak bezanya. Sekiranya kita mengkaji dengan lebih mendalam, maka kita pasti mengatakan bahawa persamaan lebih banyak dari perbezaan, terutama dari aspek alatan yang digunakan, pelaku jenayah, perbuatan jenayah (actus reus) dan niat penjenayah (mens rea).

(a) Alatan yang Digunakan
Dalam kebanyakan kes jenayah terhadap tubuh badan,[1] selain menggunakan tulang empat kerat, penjenayah biasanya akan menggunakan sesuatu alat sebagai satu medium yang boleh mendatangkan kemudaratan langsung kepada tubuh mangsa seperti pisau, pistol, kayu, parang, lembing dan seumpamanya. Alatan tersebut boleh mengakibatkan kecederaan sekiranya digunakan untuk menetak, menembak, menikam atau mengelar mangsa. Kesan tikaman, tembakan atau tetakan tersebut dapat dilihat pada tubuh mangsa dan ianya jelas pada pandangan mata. Maka boleh dikatakan bahawa alatan atau senjata yang digunakan dalam melaksanakan niat jahat seseorang penjenayah adalah antara medium penting untuk memudaratkan mangsa. Penggunaan alatan seperti ini dapat dikesan oleh pakar forensik. Sebagai contoh, penggunaan pistol untuk membunuh. Sekiranya tidak diketahui siapa yang melepaskan tembakan ke arah mangsa sekalipun, pakar siasatan jenayah pasti dapat menjejakinya melalui ujian Compositional Analysis of Bullet Lead atau CABL.[2]

Dalam pelaksanaan sihir pula, peluru dan alat yang digunakan ialah makhluk halus yang terdiri dari jin, syaitan dan iblis yang dipuja. Jin, syaitan dan iblis ini ibarat peluru yang ditembak ke arah mangsa. Apabila makhluk-makhluk ini diseru dan dipuja, maka ia akan membantu tukang-tukang sihir dengan kebolehan istimewanya.[3] Antara kebolehan istimewanya yang tidak mampu dilakukan oleh manusia biasa ialah meresap ke dalam tubuh manusia melalui salur darah dan menyerang pusat operasi dalam tubuh manusia iaitu otak dan organ-organ mangsa.[4] Melalui resapan ini, khadam sihir akan dapat menguasai pemikiran manusia, menimbulkan kesakitan kepada organ-organ tertentu dalam tubuh mangsa bahkan dapat mengetahui apa yang terlintas dalam hatinya. Apabila otak dan saraf telah dapat dikuasai oleh khadam sihir, maka timbullah pelbagai gangguan kepada sistem dalam tubuh manusia.

Sebagai contoh, apabila penyihir menikamkan tujuh batang jarum di dada anak patung, ianya adalah simbolik dan isyarat kepada khadam sihir yang dipujanya agar mengenakan kesakitan kepada mangsa seolah-olah ditikam dengan benda tajam di bahagian dada. Walaupun jenis dan bentuk alatan yang digunakan dalam ilmu sihir berbeza dari bentuk senjata yang digunakan dalam jenayah biasa, namun kedua-duanya berkongsi tujuan dan ciri-ciri yang sama. Bahkan alatan-alatan tersebut boleh digunakan untuk menjejaki penjenayah. Sebagai contoh, melalui peluru yang diambil dari tubuh mangsa yang ditembak, pakar forensik pasti akan dapat mengetahui maklumat awal tentang jenis pistol, hinggalah kepada senarai pemiliknya. Dalam jenayah sihir pula, ‘peluru’ yang digunakan ialah khadam sihir. Khadam sihir inilah yang meresap masuk ke tubuh mangsa dan menimbulkan pelbagai gangguan kepada mangsa. Selagi mana khadam sihir ini tidak meninggalkan mangsa, selagi itulah mangsa akan menderita. Sebagai kesimpulan, kita dapati modus operandi bagi merealisasikan jenayah sihir dan jenayah biasa adalah sama; kedua-duanya memerlukan alatan tertentu untuk melaksanakan niat jahatnya.

(b) Pelaku jenayah
Dalam melakukan perbuatan jenayah, individu yang melakukannya dapat dikenalpasti sama ada dengan kehadirannya di lokasi kejadian atau juga melalui persubahatan ataupun pakatan jahat. Biasanya penjenayah akan mengambil tindakan proaktif (actus reus) bagi merealisasikan niat jahatnya (mens rea) atau mungkin juga menyumbang idea kepada pelaksanaannya. Dalam kebanyakan kes, penjenayah perlu berada di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan senjata yang digunakan sama ada pisau, peluru pistol atau sebagainya betul-betul mengenai mangsa. Tetapi ia berlainan pula dalam jenayah sihir.

Seorang tukang sihir tidak semestinya berada di lokasi kejadian, bahkan sihir yang dilaksanakannya boleh mengenai mangsa yang berada beratus-ratus kilometer dari lokasi sihir dilakukan. Ahli sihir tidak perlu berada berdekatan kerana ‘senjata’ yang digunakan mereka ialah senjata yang hidup serta mempunyai mata dan akal untuk memahami kehendak tuannya.[5] Dalam melaksanakan sihir, ahli sihir hanya perlu mengarahkan kepada khadam sihirnya supaya mencari mangsanya dengan berpandukan bahan-bahan yang berasal dari tubuh mangsa seperti rambut, kuku, air liur, pakaian, gambar dan seumpamanya. Khadam sihir adalah umpama peluru berpandu yang mampu mengesan sasarannya yang berada jauh. Ia boleh mencari mangsanya dengan cepat dan tepat kerana kebolehannya bergerak pantas.[6] Jarak dan masa bukanlah satu masalah bagi ahli sihir untuk melaksanakan jenayah tersebut. Oleh itu, senjata yang digunakan dalam jenayah sihir lebih berbahaya kerana ketepatan serta kepantasannya mengatasi ‘senjata mati’ yang digunakan dalam jenayah biasa.

Jika ditinjau dari aspek pelaku jenayah sihir yang sebenar, kebiasaannya ia dilaksanakan oleh seorang yang mahir dalam ilmu sihir atas permintaan seseorang yang menyimpan rasa dengki dan dendam terhadap mangsa. Penyedia khidmat menyihir ini akan mengenakan caj tertentu dan hal keadaan mereka adalah sama seperti pembunuh upahan yang mengambil upah untuk melakukan pembunuhan. Orang yang mendapatkan khidmatnya pula tetap dikira bersubahat kerana menghasut serta menyediakan segala keperluan seorang ahli sihir untuk menyihir mangsa. Dalam kes Dato Mokhtar Bin Hashim & Anor v PP,[7] Hakim menyatakan:-
“It is true that Rahmat Satiman did not fire the shots nor did he take part in binding the hands and eyes of the deceased before the shooting but it was Rahmat Satiman who had prepared the incense into five parts supposedly to weaken the deceased and had them strewn and burnt all around the compound of the deceased's house as instructed to him by the bomoh in Johor Bahru; and all these acts, I regard, were part and parcel of the planning and execution of the crime.”

Jadi, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kategori individu yang terlibat dalam melakukan jenayah sihir adalah sama dengan kategori penjenayah biasa dan mereka boleh dihukum atas kesalahan yang sama.

(c) Elemen Actus Reus dalam amalan Sihir
Di dalam undang-undang jenayah, prinsip actus non facit reum nisi mens sit rea (yang bermaksud an act does not make a man guilty of a crime unless his mind be also guilty)[8] merupakan prinsip asas yang dipakai dalam menentukan sama ada seseorang itu boleh disabitkan dan dihukum atas satu kesalahan jenayah ataupun tidak. Actus reus merupakan elemen fizikal yang perlu ada dalam membentuk tanggungan jenayah. Untuk menentukan kewujudan actus reus dalam perbuatan sihir, maka konsep ‘perbuatan’ dan ‘kesan yang terhasil dari perbuatan’ sihir mesti dibezakan. Ini kerana actus reus bukan tertumpu kepada perbuatan semata-mata tetapi seringkali memerlukan bukti bahawa sesuatu kelakuan itu mempunyai akibat yang tertentu sejauh mana ia relevan.[9]

Dalam memahami konsep ‘akibat jenayah’, undang-undang hanya berminat dengan akibat atau kesan, dan bukannya kelakuan yang membawa kepada akibat itu.[10] Jika konsep ini hendak diterap dalam jenayah sihir, maka actus reus bagi suatu jenayah sihir boleh dilihat sama ada pada ‘perbuatan’ ataupun pada ‘kesan yang terhasil dari sesuatu amalan sihir’. Dalam mengenakan sihir terhadap seseorang mangsa, lazimnya seorang tukang sihir akan melakukan beberapa perkara bagi memenuhi syarat-syarat yang dapat merealisasikan rancangan jenayah sihirnya itu. Perbuatan-perbuatan ini boleh dijadikan sebagai sebahagian siri perbuatan (series of act) yang akan membentuk actus reus bagi suatu jenayah sihir.[11] Antaranya ialah:

i)              Melakukan pemujaan dengan menggunakan bahan-bahan tertentu dengan tujuan untuk menyeru kehadiran makhluk-makhluk halus yang akan bertugas sebagai khadam sihir. Ritual ini sangat penting kerana ia merupakan titik tolak keberhasilan ilmu sihir yang dikenakan kepada seseorang mangsa. Tanpa penglibatan makhluk halus ini, maka sihir yang dikenakan tidak akan memberikan apa-apa kesan.

ii)            Melakukan sesuatu yang berupa isyarat sama ada melalui perkataan atau perbuatan  tertentu yang mengandungi makna yang simbolik terhadap bahan-bahan tertentu yang diambil dari tubuh mangsa (seperti rambut, air liur, kuku, pakaian, gambar) atau sesuatu yang mewakili mangsa seperti patung yang dibentuk dari tanah liat, lilin atau jerami yang mewakili jasad mangsa, yang akan dipuja dengan bacaan mantera tertentu, lalu objek-objek tersebut dipuja, dibakar, disimpul, diikat, dicucuk, ditikam, dikelar, digantung, dipusing-pusing, dilaga-laga dan berbagai-bagai lagi yang berupa isyarat tertentu kepada makhluk halus yang dipujanya. Terdapat juga jarum, kaca, miang buluh, benang, kain yang mempunyai warna tertentu, paku berkarat dan seumpamanya yang digunakan dengan tujuan untuk menunjukkan kepada khadam sihir apakah kesan yang hendak dikenakan kepada mangsa. Sekiranya ahli sihir mahukan mangsanya menderita kesakitan di bahagian perut, maka dia akan menikamkan jarum atau paku karat ke perut patung, lukisan atau gambar yang mewakili mangsa.

Perbuatan ahli sihir itu menjadi isyarat dan petunjuk kepada khadam sihir tentang kesan yang dikehendaki oleh pengamal sihri tersebut.[12] Oleh yang demikian, actus reus bagi suatu jenayah sihir boleh dilihat pada ‘kesan yang terhasil dari sesuatu amalan sihir’.

(d) Elemen Mens Rea dalam amalan Sihir

Elemen penting yang perlu ada untuk mewujudkan liabiliti jenayah ialah niat jahat atau mens rea. Mens rea adalah merujuk kepada niat yang lebih berupa elemen mental dan tidak dapat dibuktikan secara nyata.[13] Tidak hairanlah sekiranya ianya kelihatan mustahil untuk mendapatkan keterangan secara nyata bagi membuktikan niat seseorang.[14] Walau bagaimanapun, ianya dapat disimpulkan dari keterangan yang tidak nyata dengan merujuk kepada fakta kes dan keadaan persekitaran pada masa sesuatu kejadian itu berlaku. Maka boleh dikatakan bahawa niat ialah keadaan mental seseorang yang dapat disimpulkan berdasarkan perbuatan seseorang;[15] niat untuk membunuh boleh disimpulkan dari keadaan kecederaan yang ditanggung oleh simati.[16] Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab seorang hakim untuk membuat tafsiran tentang niat tertuduh berdasarkan fakta kes yang dibentangkan dihadapannya.

Untuk mengenalpasti niat penjenayah, maka bentuk perbuatan, tahap keseriusan serta sasaran perbuatan jenayah dapat memberi gambaran maksud yang hendak dicapai olehnya. Sebagai contoh, dalam kesalahan mematikan orang, tikaman dan bahagian anggota tubuh yang ditikam dapat memberi gambaran niat pembunuh, sama ada mahu mangsanya mati atau hanya untuk mencederakannya sahaja. Untuk menentukan kewujudan niat jahat atau mens rea di dalam amalan sihir, kaedah penyihiran dan bahan-bahan yang digunakan mesti diambil kira. Ada masanya bahan yang digunakan sama tetapi kaedah yang berbeza digunakan. Sebagai contoh, sekiranya jarum yang digunakan ditikam ke bahagian jantung atau otak, maka dapat disimpulkan bahawa ahli sihir tersebut memang berniat untuk membunuh mangsa. Tetapi sekiranya tikaman itu hanyalah pada tangan dan kaki, biasanya ianya bertujuan untuk mencederakan atau melumpuhkan mangsa sahaja atau mungkin untuk menjadikannya mangsa menderita untuk satu tempoh yang dikehendakinya (biasanya untuk satu tempoh yang panjang).

Untuk menjadikan mangsa gelisah, bingung dan tidak tentu arah, bahan-bahan seperti sampah, daun kayu atau binatang kecil yang telah mati diambil dari air yang berpusar, atau apa-apa objek seperti bangkai semut, labah-labah atau lipas yang terperangkap di sarang labah-labah, tergantung berpusing-pusing ke kanan dan ke kiri di tiup angin diambil dan dijadikan bahan sihir. Mangsa akan menjadi bingung tidak keruan atau menjadi tidak siuman, terasa berpusing-pusing kepalanya seperti keadaan bahan yang diambil di pusaran air atau berpusing-pusing tergantung di sarang labah-labah.[17] Hal-hal sebegini hanya dapat dikenal pasti oleh orang yang pakar dalam ilmu sebegini.

Apa yang diulas oleh Ratanlal & Dhirajlal mengenai niat untuk mengakibatkan kecederaan boleh diaplikasikan dalam jenayah sihir:
“… Where the accused inflicted a stab with a sharp-pointed weapon which entered the upper part of the deceased’s stomach, causing rupture of it and of the peritoneum, it was held that his act came within this clause. If a person stabs another in the abdomen with sufficient force to penetrate the abdominal wall and the internal viscera, he must undoubtedly be held to have intended to cause injury sufficient in the ordinary course of nature to cause death. It is not necessary that the accused must have the intention to inflict those injuries which he knew were sufficient in the ordinary course of nature to cause death. It would suffice if he intended to cause those injuries which were actually caused by him. If the medical evidence showed that those injuries were sufficient in the ordinary course of nature to cause death, the accused would then be guilty of murder under section 302.… the person who uses a sword or aruval chopping of an arm of a leg and by doing so severs the arteries of the arms or the leg, must know that he is inflicting an injury which in the ordinary course of nature is sufficient to cause death. The offence in that case is clearly murder. Where the accused stabbed the deceased only once in a vital part of the body and the deceased died as a result of that injury and the injury was one which in the ordinary course would have cause death, it was held that the accused was guilty of murder.”[18]

Kaedah sihir dijalankan dan bahan-bahan yang digunakan secara tidak langsung boleh menggambarkan niat tukang sihir. Dalam kes State lwn Basdev,[19] YA Hakim memetik kata-kata Coleridge J. dalam kes Reg v. Monkhouse:[20]
”The inquiry as to intent is far less simple than that as to whether an act has been committed, because you cannot look into a mans’ mind to see what was passing there at any given time. What he intends can only be judged of by what he does or says, and if he says nothing, then his act alone must guide you to your decision. It is a general rule in criminal law, and one founded on common sense, that juries are to presume a man to do what is the natural consequence of his act. The consequence is sometimes so apparent as to leave no doubt of the intention. A man could not put a pistol which he knew to be loaded to another’s head, and fire it off, without intending to kill him; but even there the state of mind of the party is most material to be considered.”

Oleh yang demikian, niat seseorang penyihir boleh dikenalpasti dan disimpulkan dengan melihat peralatan dan kaedah sihir itu dilakukan.


ISU 5: PROSEDUR PENYIASATAN DAN PENDAKWAAN KE ATAS AHLI SIHIR

Undang-undang adalah satu bidang ilmu yang menitik beratkan persoalan fakta dan keterangan yang boleh diterimapakai dan dibuktikan melalui pandangan mata dan logik akal. Manakala ilmu sihir mempunyai sifat yang sangat berlawanan dengan ciri-ciri tersebut.[21] Ilmu sihir tidak akan dapat diukur dengan apa-apa alat kerana sifatnya yang mistik dan misteri, susah untuk dicapai oleh akal kebanyakan orang kerana sifatnya yang luar biasa, dan mustahil untuk dilihat oleh pancaindera kerana ia melibatkan sesuatu yang ghaib dan tersembunyi. Justeru itu, untuk mensabitkan seseorang atas kesalahan melakukan jenayah dengan menggunakan ilmu sihir, satu kaedah pembuktian yang nyata, jelas dan dapat diterima kemunasabahannya sangat penting. Sebarang penggunaan kaedah yang tidak logik, perkataan yang sukar difahami, kelakuan yang misteri dan aneh mesti ditolak kerana dibimbangi akan menimbulkan keraguan serta menjadi senjata yang boleh menikam tuannya. Perbuatan seperti menilik dan meramal apa yang akan berlaku atau siapa yang melakukan, kebolehan membaca hati dan fikiran, melakukan upacara menurun[22] atau korban, penggunaan simbol atau bahan-bahan tertentu[23] atau ayat-ayat suci dari mana-mana agama atau mantera serapah yang difahami mahupun yang tidak difahami tidak boleh digunakan sama sekali dalam kaedah keterangan dan pembuktian dalam mahkamah. Ada kemungkinan juga kaedah tersebut bercampur aduk dengan ilmu sihir tanpa disedari dan sekiranya ianya dibenarkan dalam perbicaraan, ia pasti akan mengulangi sejarah hitam witchunting di Eropah sekitar kurun ke 16 yang menerima pakai keterangan spectral evidence secara longgar tanpa batasan.[24]
           
Sebelum sebarang tindakan undang-undang boleh diambil terhadap seseorang yang disyaki melakukan jenayah sihir di Malaysia, terdapat dua perkara asas yang mesti diselesaikan terlebih dahulu iaitu punca kuasa yang membolehkan siasatan jenayah sihir dijalankan dan organisasi atau jabatan yang diberi kuasa untuk menjalankan siasatan tersebut. Bagi mengatasi masalah ini, maka cadangan berikut dikemukakan:


a). Menggubal Akta Jenayah Sihir Malaysia
Untuk menjalankan suatu prosiding jenayah, pihak berkuasa memerlukan satu punca kuasa yang memberikannya kebenaran dan kuasa untuk melakukan satu-satu tindakan. Punca kuasa tersebut berupa peruntukan undang-undang atau arahan pihak berkuasa. Dicadangkan agar digubal satu Akta yang dinamakan Akta Jenayah Sihir yang mengandungi:
(a)   Peruntukan bagi menubuhkan sebuah jabatan siasatan khas yang mempunyai kuasa untuk menyiasat dan menjalankan segala prosedur yang berkaitan bagi membanteras kegiatan jenayah menggunakan ilmu sihir;
(b)   Definisi dan senarai kesalahan-kesalahan jenayah yang ada kaitan dengan sihir serta hukumannya;
(c)    Tatacara dan kaedah-kaedah yang mesti difahami dan dipatuhi oleh seseorang pegawai dalam menerima aduan, menjalankan siasatan, melakukan geledahan, membuat tangkapan, memeriksa orang dan barang;
(d)   Jenis keterangan yang boleh menjadi bahan bukti dan diterimapakai di dalam perbicaraan mahkamah.

b). Menubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir
Bagi menjamin ketelusan dalam siasatan dan kebolehpercayaan pada bukti dan keterangan yang dikemukakan, maka dicadangkan agar ditubuhkan satu badan penyiasatan khas yang dinamakan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir atau apa-apa nama yang difikirkan sesuai di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jabatan Siasatan Jenayah Sihir ini akan menggunapakai struktur organisasi yang sama seperti mana yang terdapat dalam Jabatan-jabatan Siasatan Jenayah di bawah PDRM. Antaranya ialah, Jabatan Siasatan Jenayah Sihir ini akan diketuai oleh seorang pengarah yang akan bertanggungjawab atas segala arahan, kawalan dan pengawasan segala perkara yang berhubungan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir. Jabatan ini akan mempunyai cawangan di setiap negeri bagi memudahkan orang awam untuk berurusan. Oleh kerana jabatan ini terlibat dalam menyiasat suatu jenayah yang sukar dikesan dengan mata kasar, maka ia perlu mempunyai beberapa pengkhususan. Antara pengkhususan terpenting ialah penubuhan sebuah Lembaga Penasihat Khas kepada Jabatan Siasatan Jenayah Sihir. Anggota-anggota yang dilantik mestilah seorang individu yang mempunyai integriti, kredibiliti dan reputasi yang baik, sama ada dari segi akademik atau pengalaman yang luas atau telah mencapai keunggulan yang diiktiraf dalam profesion berkaitan. Pegawai-pegawai jabatan juga ini hendaklah dilatih dan didedahkan, sama ada melalui kursus, latihan, bengkel, arahan kerja dan yang seumpamanya, tentang tatacara penyiasatan, kaedah untuk mendapatkan maklumat tentang tentang jenis sihir, bahan yang digunakan, dalangnya, cara untuk melakukan penggeledahan bagi mencari dan membuat pengecaman bahan-bahan yang digunakan dalam penyihiran. Pegawai Penyiasat juga mestilah menjalani latihan khusus bagi memahami selok belok pengamalan sihir yang merangkumi unsur-unsur yang menjadi teras ilmu sihir dan tipu daya yang terdapat di dalamnya dari segala aspek keagamaan, suku kaum etnik dan pengamalan-pengamalannya. Semua kandungan kursus dan latihan ini mesti digubal, diteliti dan diendorskan oleh Lembaga Penasihat Jenayah Sihir.

Setelah penubuhan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir ini dapat direalisasi, maka prosedur yang sebagaimana biasa diikuti dalam mana-mana prosiding di mahkamah seperti aduan kepada pegawai, siasatan, tangkapan, pengeledahan, pendakwaan dan perbicaraan akan berjalan seperti biasa. Walaupun tatacara dan prosedur yang dijalankan seakan-akan sama, namun terdapat beberapa kaedah khusus yang mesti digunapakai dalam menyiasat kes-kes berhubung jenayah sihir. Kaedah ini mesti dipatuhi secara ketat di setiap peringkat dan dengan penuh ketelitian supaya ketelusan siasatan dapat disaksikan oleh mereka yang terlibat.

Langkah Pertama: Siasatan Awal

Langkah pertama dalam menguatkuasakan undang-undang jenayah ialah menerima aduan dari mangsa atau seseorang yang menyaksikan sesuatu jenayah dilakukan. Ia juga dikenali sebagai maklumat pertama atau First Information Report (FIR).[25] Di dalam menilai kesahihan aduan atau dakwaan pengadu, langkah berhati-hati mesti diambil lebih-lebih lagi apabila ia adalah dakwaan tentang penggunaan sihir kerana ia melibatkan sesuatu yang tidak ketara pada pandangan zahir. Justeru itu, pengadu akan dirujuk kepada pegawai penyiasat kes jenayah sihir terlebih dahulu bagi dilakukan siasatan awal. Siasatan ini adalah saringan awal bagi memastikan simptom yang dialami oleh mangsa benar-benar berpunca dari sihir. Saringan ini boleh dilakukan melalui soal selidik berdasarkan perkara-perkara berikut:
(a)                                        Latarbelakang diri pengadu
(b)                                       Keadaan emosi dan perasaan pengadu
(c)                                        Keadaan sosial pengadu
(d)                                       Keadaan fizikal dan mental pengadu semasa jaga
(e)                                        Keadaan fizikal dan mental pengadu semasa tidur
(f)                                        Latarbelakang keluarga pengadu
(g)                                       Keadaan rumahtangga pengadu (sekiranya sudah berumahtangga)
(h)                                       Keadaan kediaman atau premis perniagaan pengadu

Saringan awal sangat penting bagi menentukan sama ada mangsa benar-benar di sihir. Ini kerana terdapat sesetengah mangsa yang mengalami simptom-simptom menyerupai simptom-simptom akibat disihir. Simptom tersebut boleh jadi berpunca dari gangguan makhluk halus yang pernah bersahabat atau berdamping dengannya hasil dari perwarisan atau dari amalan-amalan tertentu. Sekiranya pegawai penyiasat mendapati ada sebab untuk percaya bahawa simptom yang dialami oleh pengadu itu sememangnya berpunca akibat dari disihir, maka pengadu akan menjalani saringan kedua berupa sesi soal jawab bagi mengetahui lebih lanjut masalah yang dihadapi disamping mencari petunjuk-petunjuk yang boleh menyokong dakwaan pengadu.

Sesi soal jawab ini adalah saringan kedua dan ia mesti dirakam dengan media elektronik dan direkod atas kertas siasatan bagi tujuan penilaian semula. Dalam soal jawab ini, perkara-perkara berikut mesti ditanya secara terperinci dan setiap jawapannya mesti ditelitikan oleh pegawai penyiasat:

(a)                Perubahan keadaan diri, sikap dan persekitaran mangsa sebelum dan selepas mengalami gangguan yang merangkumi kesihatan fizikal, kewarasan akal dan kestabilan perasaan, perubahan tingkahlaku dan tabiat, perjalan rutin kehidupan seharian dan perniagaan.
(b)               Sejarah dan latarbelakang keluarga pengadu sama ada keluarga mangsa atau keturunannya pernah terlibat dalam amalan perubatan tradisional, sihir, perbomohan atau apa-apa ilmu-ilmu berunsur mistik dan kebatinan.
(c)                            Penglibatan mangsa dalam amalan berunsur kebatinan
(d)                           Sejarah dan kaedah rawatan yang pernah dijalani oleh mangsa

Langkah kedua: Siasatan Khas untuk mengesan Khadam Sihir

Setelah disahkan bahawa pengadu memang disihir, pegawai penyiasat akan menjalankan satu siasatan khas ke atas mangsa sihir dengan merujukkan mangsa tersebut kepada pusat rawatan yang telah dilantik oleh Lembaga Penasihat sebagai panel. Tujuan dijalankan siasatan khas ini ialah bagi mengetahui dengan lebih mendalam jenis sihir yang digunakan, dari bahan apa ia diperbuat, di mana bahan tersebut diletakkan, siapa yang melakukannya, bagaimana cara untuk melepaskannya serta lain-lain soalan yang difikirkan dapat membantu penyiasatan. Peranan dan kerjasama pusat rawatan ini sangat penting kerana mereka mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam hal ini.[26]

Pendekatan ini diambil berdasarkan prinsip bahawa sihir adalah satu bentuk serangan khadam sihir atas arahan tuannya. Maka cara terbaik dan termudah untuk mengetahui dalang disebalik serangan itu ialah dengan merawat mangsa itu dan mudah-mudahan dengan cara sedemikian, khadam sihir yang mendiami mangsa akan berkomunikasi dengan perawat dan pegawai penyiasat yang terlibat. Komunikasi dengan makhluk ini hanya boleh terjadi apabila ia bercakap menerusi lidah mangsa sihir yang telah dikuasainya. Dialog dengan khadam sihir bukanlah sesuatu yang mustahil kerana ianya ada dinyatakan dalam penulisan serta pengalaman-pengalaman sarjana dalam bidang ini.[27] Justeru itu, soal siasat terhadap khadam sihir yang berada dalam tubuh mangsa, yang dilakukan oleh panel pakar dengan pengawasan dan seliaan pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Sihir, merupakan satu pendekatan yang boleh diguna pakai bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai sihir yang dikenakan ke atas mangsa. Metodologi sebegini adalah bersesuaian dengan prinsip keboleh terimaan keterangan di bawah seksyen 45 Akta Keterangan 1950.

Siasatan khas ini hanya boleh dilakukan oleh pusat-pusat rawatan yang dilantik sebagai panel oleh Lembaga Penasihat Jenayah Sihir dan proses tersebut mesti diselia oleh pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Sihir. Pemilihan dan pelantikan ini dibuat oleh Lembaga Penasihat setelah meneliti, mengkaji dan memeriksa segala kaedah rawatan mangsa sihir yang digunakan oleh pusat rawatan tersebut. Pemeriksaan ini perlu dibuat bagi memastikan kaedah-kaedah yang digunakan tidak mengandungi unsur-unsur aneh, misteri, ganjil, tidak logik, tidak munasabah dan bertentangan dengan hukum alam. Perkara ini juga sangat perlu dititik beratkan kerana kaedah-kaedah yang digunakan oleh pusat rawatan bagi mendapatkan maklumat dari khadam sihir akan dijadikan isu dalam perbicaraan kes-kes jenayah sihir di mahkamah. Oleh yang demikian, pemilihan pusat-pusat rawatan ini sebagai panel dilakukan setelah ianya memenuhi kriteria-kriteria penting.

Bagi tujuan pembuktian di dalam mahkamah, cara yang berunsur mistik, misteri, aneh, luarbiasa atau yang tidak dapat dibuktikan dengan keterangan yang logik terpaksa diketepikan demi mengelakkan berlakunya pertikaian dan keraguan. Perkara ini perlu diberi perhatian serius walaupun kaedah tersebut bertepatan dengan ajaran agama atau kepercayaan sesuatu kaum. Pengenepian kaedah tersebut bukan bermaksud mempertikaikan kesahihannya, tetapi kerana mengelak dari timbulnya keraguan yang munasabah terhadap prosedur yang dijalankan, justeru dijadikan alasan untuk tertuduh dilepaskan dari liabiliti jenayah. Sebagai contoh, seorang Muslim percaya dengan yakin bahawa ayat-ayat al Qur’an boleh digunakan untuk merawat mangsa yang disihir dan ia sememangnya diakui benar dan berkesan untuk memaksa khadam sihir yang menyerang mangsa supaya menyerah diri dan keluar dari tubuh mangsa. Tetapi apabila kaedah yang digunakan untuk mendapatkan keterangan dari khadam sihir dikemukakan di mahkamah, maka akan timbul berbagai persoalan tentang kebolehterimaannya. Mungkin akan ada yang mempertikaikan bagaimana potongan ayat- ayat dapat memberi kesan kepada khadam sihir. Hal ini sukar untuk diterangkan lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pihak yang mempunyai kepercayaan atau agama yang berbeza. Masing-masing akan cuba untuk mengenengahkan kaedah yang digunakan menurut kepercayaan agama mereka. Jika perkara ini tidak diselesaikan dari awal, kemungkinan besar ianya boleh menimbulkan ketegangan agama dan konflik.

Untuk itu, mana-mana pusat rawatan yang ingin memberikan kerjasama dalam usaha membanteras kegiatan jenayah sihir perlu membuat permohonan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Sihir. Pemohon perlu memperihalkan latar belakang mereka, kaedah-kaedah yang digunapakai dalam melakukan rawatan dan juga kemahiran yang dimiliki secara telus. Pusat rawatan ini juga mesti memberi kebenaran dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Lembaga Penasihat dan Jabatan Siasatan Jenayah untuk melakukan pemeriksaan terhadap  aktiviti dan amalan mereka pada bila-bila masa. Mereka juga mesti bersedia untuk menjadi saksi pakar di mahkamah bagi tujuan pembuktian mengenai keadaan hal diri mangsa yang disihir. Dengan pemantauan berkala oleh Lembaga Penasihat dan seliaan oleh pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Sihir sepanjang rawatan, maka proses mendapatkan bukti atau keterangan dari khadam sihir dapat dibuat dengan telus, teliti dan adil mengikut kehendak Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Keterangan 1950.




ISU 6: KETERANGAN DAN PEMBUKTIAN DALAM MAHKAMAH

Proses memberi dan menerima keterangan dalam mahkamah bagi kes-kes jenayah adalah antara proses yang rumit kerana kerelevanan fakta yang dikemukakan sangat mempengaruhi keputusan hakim. Sebarang percanggahan atau keraguan yang munasabah dalam keterangan yang diberikan akan mencacatkan kes dan boleh menyebabkan pendakwaan bagi sesuatu kes jenayah kecundang.[28] Bagi tujuan memastikan mekanisma yang digunakan dalam proses memberi keterangan dalam mahkamah dapat disesuaikan dengan situasi dan keadaan kes, maka terdapat empat (4) kaedah yang boleh diguna pakai iaitu:

a). Keterangan dan Pengakuan Salah oleh Tukang Sihir
Jika tertuduh dalam keadaan yang waras dan berumur dewasa membuat pengakuan bahawa beliau adalah seorang tukang sihir dan telah melakukan jenayah dengan menggunakan sihir, maka pengakuan sedemikian membolehkan tindakan undang-undang dikenakan ke atasnya. Sebelum sesuatu pengakuan direkodkan, seorang hakim mesti memastikan bahawa tertuduh faham akan jenis dan akibat daripada pengakuannya dan ianya adalah secara sukarela.[29] Tertuduh juga mesti diberi amaran bahawa apa sahaja yang diucapkan akan digunakan sebagai keterangan terhadap dirinya.[30] 

Sekiranya tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan, maka proses perbicaraan akan dijalankan terhadapnya.[31] Pihak pendakwa mesti mengemukakan segala bahan-bahan bukti dan keterangan dari mangsa dan juga saksi untuk mewujudkan kes prima facie bahawa tertuduh memang telah menggunakan ilmu sihir terhadap mangsa.[32] Dalam menjalankan tatacara jenayah ini, maka peruntukan seksyen 173 (c), (d), (e), (f), (g) dan (h) Kanun Prosedur Jenayah mesti dipatuhi oleh pihak yang terlibat secara ketat dan teliti. Beban pembuktian adalah terletak pada pihak pendakwa untuk membuktikan fakta-fakta bahawa tertuduh telah menggunakan ilmu sihir dalam melakukan jenayah.[33] Tahap Pembuktian ini mestilah melampaui keraguan yang munasabah (beyond all reasonable doubt).[34]

b). Keterangan Oleh Saksi
Keterangan saksi merupakan salah satu cara pembuktian yang diterima mahkamah dalam kes jenayah. Melalui cara ini, beberapa orang yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan jenayah yang dilakukan akan dipanggil bagi memberikan keterangan. Bagi tujuan pembuktian melalui saksi dalam kes jenayah sihir, terdapat 2 kategori saksi yang boleh dipanggil untuk memberi keterangan:
            i). Saksi yang menjalankan penyiasatan, penggeledahan dan tangkapan
Saksi ini terdiri daripada pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan awal ke atas mangsa ataupun menyelia siasatan khas. Begitu juga pegawai yang melakukan penggeledahan ke lokasi-lokasi yang disyaki menjadi tempat dijalankan jenayah sihir atau disimpan barang-barang sihir, pegawai yang melakukan tangkapan ke atas tukang-tukang sihir, pegawai yang menjalankan ujian pengesanan ke atas bahan sihir dan pegawai yang menyaksikan pengakuan khadam sihir. Keterangan yang dikemukan oleh mereka boleh disokong dengan apa-apa catatan, dokumen, ujikaji atau rakaman yang dibuat sepanjang siasatan dijalankan.

ii). Saksi awam
Saksi ini terdiri dari ahli keluarga atau kenalan rapat mangsa yang mempunyai pengetahuan tentang apa yang berlaku kepada diri mangsa. Selain itu, mana-mana orang yang berada di tempat kejadian, atau melihat tertuduh melakukan sesuatu yang dikira sebagai amalan sihir juga boleh dipanggil bagi memberikan keterangan. Keterangan mereka boleh diberikan dalam bentuk lisan sebagaimana yang diperuntukan oleh seksyen 59 Akta Keterangan 1950.[35] Bagi menguatkan lagi keterangan tersebut, ianya boleh dibuat dalam bentuk akuan bersumpah selari dengan Akta Sumpah dan Ikrar 1949.[36] Seksyen 60 (1) (a) Akta Keterangan 1950 pula memperuntukan seseorang yang menyaksikan sesuatu kejadian boleh memberikan keterangan lisan tentang apa yang dilihatnya. Ini memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang menyaksikan pelaksanaan jenayah dengan menggunakan ilmu sihir untuk memberikan keterangan yang boleh diterima di mahkamah. Sekiranya ia merupakan satu fakta yang boleh didengar, maka orang yang mendengar fakta itu boleh menjadi saksi di mahkamah.[37]

c). Keterangan Pakar
Keteranagn pakar ialah satu kaedah pembuktian yang mula mendapat tempat dewasa ini berikutan keperluan terhadapnya dalam bidang yang melibatkan sains dan teknikal.[38] Saksi pakar dianggap sebagai pembantu kepada hakim dalam menilai bukti-bukti yang dikemukakan di hadapan mereka.[39] Memandangkan ilmu sihir ialah suatu ilmu yang sukar difahami oleh kebanyakan orang, maka keterangan dari seorang pakar merupakan elemen terpenting dalam perbicaraan seseorang yang dituduh sebagai tukang sihir.  Metod ini juga telah digunakan semasa perbicaraan ahli sihir di zaman gelap Eropah walaupun ianya tidak memenuhi kaedah-kaedah yang sepatut dan sewajarnya. Fakta ini dapat dilihat dari apa yang ditulis oleh Richard Kieckhefer:
Bartolo had heard certain theologians suggest that sorcerers can harm and even kill others with their touch or with the evil eye. Yet he is not a theologian, and this question he leaves to the theologians and to “Holy Mother Church”.[40]

Saranan oleh YAA Hakim Mahkamah Rayuan Sharicah dalam kes Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman[41] supaya dukun yang merawat perayu diminta memberi keterangan dan diterima sebagai pendapat pakar (ra’yu al khabir) menunjukkan keperluan pakar dalam bidang ini.
           
Dalam menggunapakai keterangan pakar bagi kes-kes jenayah yang melibatkan penggunaan ilmu sihir, maka ianya terbahagi kepada dua kategori. Yang pertama, pakar dalam bidang forensik, dan yang keduanya individu yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam selok belok ilmu sihir. Keterangan seorang pakar forensik amat diperlukan dalam menentukan bahan-bahan yang biasa digunakan dalam ilmu sihir. Dalam kes R v Clarke,[42] mahkamah menyenaraikan beberapa aspek yang memerlukan kepakaran forensik. Antaranya  ialah kategori yang dinamakan natural (biological) source seperti rambut, cebisan pakaian, darah, air mani, air liur, air kencing, DNA, cap jari, dan satu lagi kategori dinamakan non biological source seperti cat, kayu, kaca, kesan tapak kaki, minyak, kesan tayar dan lain-lain alatan yang digunakan.[43] Bahan-bahan yang disenaraikan ini juga didapati selalu digunakan dalam amalan sihir sebagaimana yang telah dibincangkan di halaman 8-9 kertas ini. Dengan adanya keterangan dari pakar yang menjalankan penyelidikan terhadap bahan-bahan ini, maka penyiasat boleh mengenalpasti, antaranya, apa bahan yang digunakan untuk menyihir, tuan punya bahan tersebut, cap jari yang ada pada bahan tersebut, darah dan jenis darah yang digunakan untuk upacara pemujaan dan segala peralatan dan bahan-bahan yang berkaitan dengannya. Pengesanan yang dilakukan dengan kaedah ini membolehkan penyiasat mengenal pasti penjenayah sihir dengan mudah.

Seseorang yang mempunyai pengetahuan, pengalaman dan pemahaman yang tepat mengenai selok belok ilmu sihir juga boleh dikategorikan sebagai pakar.[44] Walau bagaimanapun, tidak semua kepakaran tersebut boleh diterima pakai dan diiktiraf terutamanya bagi tujuan pembuktian di mahkamah. Pengakuan kepakaran ini boleh dibuat oleh sesiapa sahaja yang kononnya mereka telah banyak pengalaman mistik, ritual dan spiritual, banyak terlibat dalam rawatan dan banyak kemahiran-kemahiran yang dianggap luarbiasa.  Dalam penentuan dan pemilihan pakar jenayah sihir yang boleh diiktiraf, kriteria dan kebolehannya adalah suatu yang tidak diragui lagi. Sebagai panduan, berikut ialah kriteria-kriteria yang perlu dipenuhi oleh seseorang untuk diiktiraf sebagai seorang yang pakar yang boleh memberi keterangan dalam kes jenayah melibatkan ilmu sihir:

(a)                Seorang pakar mesti mempunyai kelayakan professional dalam jurusan yang beliau diminta pandangannya. Kelayakan ini sama ada melalui penguasaan bidang akademik atau pengiktirafan terhadapnya oleh badan professional. Sekiranya bidang tersebut tidak tersenarai sebagai suatu jurusan akademik atau professional, maka pengalaman, reputasi dan penyelidikan dalam situasi yang sama akan diambil kira dalam memilih pakar.[45] Antara syarat utama untuk menjadi pakar ialah beliau mesti berkemahiran dan kemahiran tersebut mesti dibuktikan kepada mahkamah. Kemahiran tersebut tidak semestinya melalui pendidikan dan pengajian khusus, tetapi juga melalui pengalaman.[46] Dalam kes R v Murphys,[47] hakim menyatakan:
One can acquire expert knowledge in a particular sphere through repeated contact with it in the course of one's work, not withstanding that the expertise is derived from experience and not from formal training.

Kenyataan di atas turut disokong oleh kes PP v Muhamed bin Sulaiman[48] yang mana hakim menyatakan:
As to the question whether or not Mr. Lum is an expert, it is true that this is a preliminary question to be determined, but it is a question upon which, in practice, considerable laxity prevails. This is because while the expert must be “skilled”, he need not be so by special study, he may be so by experience; and the fact that he has not acquired his knowledge professionally goes merely to weight and not to admissibility.

Dalam hal ini, pengiktirafan dan pelantikan sesebuah pusat rawatan sebagai panel rujukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Sihir boleh dijadikan sebagai syarat wajib untuk seseorang bergelar pakar dalam bidang jenayah sihir.

(b)               Beliau juga mesti mampu menerangkan selok belok ilmu sihir yang dianggap ghaib, batin dan tersembunyi supaya menjadi ‘nyata’ dan dapat diterima oleh semua pihak dalam perbicaraan. Keadaan yang ‘nyata’ itu bukan sahaja boleh diterima oleh akal yang waras bahkan juga boleh dilihat dengan mata kepala melalui bukti-bukti yang jelas.

(c)                Dikenali sebagai seorang yang mempunyai integriti, kredibiliti, reputasi yang baik serta berkemahiran tinggi sama ada dari segi akademik atau pengalaman yang luas atau telah mencapai keunggulan yang diiktiraf dalam profesion yang diceburinya.

(d)               Dikenali juga sebagai seorang yang bertanggungjawab, telus, berhemah dan bersifat terbuka, yang boleh diakui dan diterima pakai pandangan dan kata-katanya. Ernesto Abreu Gomez menyatakan:
The expert testimony presumes in the person that will render it, the expert, an exact wisdom of the subject to be dealt with; that is not only what the expert requires, the expert requires an exact and concised knowledge in the field that he will study; under these conditions, it is very natural for the expert to be a person, recognized publicly as an expert in the fields. But another attribute is still needed: Honesty. Honesty in experts is a basic commodity.[49]

(e)                Seorang yang hendak diiktiraf sebagai pakar mestilah bersih dari terlibat dalam apa-apa bentuk penyelewengan dan pemesongan fahaman agama dan akhlak, apa-apa perbuatan yang tidak bermoral atau bertentangan dengan adat kehidupan, dikenali sebagai seorang yang berakhlak mulia dan mempunyai toleransi dan timbangrasa yang tinggi serta dapat memberi keyakinan secara logik sekiranya apa-apa yang dilakukannya, kelihatan ganjil dan luarbiasa pada pandangan mata orang awam.

Pengiktirafan kepada kepakaran dalam bidang jenayah sihir ini perlu diberikan perhatian khusus memandangkan ianya akan memberi satu impak yang positif kepada sistem perundangan di Malaysia. Usaha untuk mewujudkan tenaga pakar yang berkemahiran dalam membanteras serta mencegah jenayah sihir ini juga sangat penting. Bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang ini, maka dicadangkan agar pihak berkuasa:

(a)                mewujudkan bidang pengajian atau subjek khusus dalam bidang undang-undang jenayah sihir. Sebagai contoh diwujudkan subjek Undang-undang Jenayah Sihir di Malaysia, Undang-undang Keterangan bagi kes-kes jenayah Sihir atau yang seumpamanya.[50]

(b)               Mewajibkan pendaftaran bagi pengamal atau perawat yang menjalankan rawatan terhadap mangsa sihir. Hanya pusat rawatan yang mendapat kelulusan dari Lembaga Penasihat Jenayah Sihir dan diisytihar bebas dari unsur aneh, ghaib, misteri dan meragukan sahaja yang boleh menawarkan khidmat rawatan terhadap mangsa sihir.

(c)                Melakukan satu kajian terperinci bagi mendapatkan pendekatan yang lebih konkrit dan komprehensif bagi menjayakan hasrat untuk mewujudkan undang-undang jenayah sihir dengan menemukan mereka-mereka yang benar-benar pakar dalam bidang ini yang kepakarannya telah terbukti dari hasil sumbangan mereka serta pendekatan dalam kaedah-kaedah yang digunapakai selama ini.

d). Keterangan Mengikut Keadaan (Circumstancial Evidence)
Kewujudan sesuatu petunjuk sama ada melalui rentetan kejadian yang berlaku atau bahan-bahan tertentu yang mempunyai kaitan dengan kejadian boleh menjadi satu keterangan dalam pembuktian jenayah di mahkamah. Keterangan mengikut keadaan bagi jenayah sihir boleh wujud dalam rentetan keadaan berikut:
(a)                Mangsa telah melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan seseorang merasa irihati, sakit hati, dengki, dendam, cemburu, marah, benci, meluat dan seumpamanya. Sebagai contoh, mangsa telah dinaikkan pangkat; mangsa telah menolak pinangan orang; dan yang seumpamanya.

(b)               Apabila keadaan (a) telah berlaku, tertuduh didapati pernah, sama ada dengan lisan atau perbuatan, membuat satu isyarat yang difahami oleh mangsa, sebagai ugutan untuk melakukan sihir; atau mungkin dilihat pernah melakukan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan amalan sihir seperti menabur sesuatu di sekeliling rumah mangsa, atau dilihat menemui seorang tukang sihir dengan membawa apa-apa yang mempunyai kaitan dengan sihir.
(c)                Apabila keadaan-keadaan (b) di atas wujud, mangsa tiba-tiba mengalami hal-hal luarbiasa dan aneh seperti kerap mengalami mimpi ngeri, melihat bayangan yang menakutkan; atau berlaku perkara-perkara pelik seperti penemuan bangkai ayam atau burung tanpa berkepala, langau berkeliaran dan cermin rumah tiba-tiba pecah meletup.[51]
(d)               Apabila kejadian (c) telah berlaku, selang beberapa lama, mangsa mula menunjukkan perubahan ketara sama ada dari segi fizikal mahupun mental, emosi dan perasaan, prestasi kerja dan perniagaan, hubungan sosial dan rumahtangga dan lain-lain yang berkaitan.

Penemuan bahan-bahan yang biasa digunakan dalam amalan sihir dalam milikan seseorang boleh menjadi bukti mengikut keadaan bahawa pemiliknya adalah pengamal ilmu sihir. Sebagai contoh tengkorak manusia, bilik khas yang mengandungi alatan pemujaan, dan sebagainya lagi. Dalam sistem perundangan sivil, keterangan mengikut keadaan ini diterima pakai dalam proses pensabitan jenayah di mahkamah dan biasanya ianya boleh digunakan untuk menyokong dengan keterangan dari saksi atau pendapat pakar. Dalam penggulungan perbicaraan, mahkamah hendaklah menimbangkan kesemua keterangan yang dikemukakan di hadapannya dan hendaklah memutuskan sama ada pendakwa telah membuktikan kesnya hingga tiada keraguan munasabah.[52] Jika mahkamah mendapati bahawa pendakwa telah berjaya membuktikan kesnya hingga tiada keraguan munasabah, maka mahkamah akan mensabitkan tertuduh atas kesalahan tersebut.[53] Jika sebaliknya, maka tertuduh hendaklah dibebaskan.[54]


KESIMPULAN

Undang-undang digubal untuk melindungi warga sesebuah negara dari sebarang ancaman terhadap hak-haknya yang terpelihara. Di Malaysia, kes-kes jenayah melibatkan ilmu sihir sering diperkatakan dan hingga kini, ianya tiada penyelesaian. Senario yang berlaku pada hari ini menuntut supaya pihak berwajib mengambil langkah proaktif bagi menutup pintu yang menjadi laluan masuk kepada anasir yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan masyarakat ini. Salah satu cara yang paling berkesan untuk memelihara keamanan dari ancaman ilmu sihir ialah dengan mewujudkan satu undang-undang khusus bagi mengheret pengamal ilmu ini ke muka pengadilan dan menghukum mereka-mereka yang berkenaan setimpal dengan apa yang dilakukan. Dalam masa yang sama, ianya diharap dapat membendung kecenderungan masyarakat mendapatkan khidmat pengamal sihir.


[1] Bahagian XVI, Kesalahan terhadap tubuh badan, seksyen 299-377 Kanun Keseksaan.
[2] National Research Council, 2004, Forensic Analysis: Weighing Bullet Lead Evidence, http://dels.nas.edu/dels/rpt_briefs/bullet_lead_final.pdf [9 Disember 2009].
“…in many cases, CABL is a reasonably accurate way of determining whether two bullets came from the same compositionally indistinguishable volume of lead. Thus, in appropriate cases, CABL may provide additional evidence that ties a suspect to a crime, or in some cases evidence that tends to exonerate a suspect. The value and reliability of CABL can be enhanced if the recommendations of this report are implemented.”
[3] Antara keistimewaan makhluk jin ialah kebolehan menjelma dalam apa jua bentuk yang dikehendaki, kebolehan bergerak ke suatu tempat yang jauh dalam masa yang singkat, kebolehan mendapatkan khazanah bumi seperti batu permata dan mutiara dari lautan, melakukan kerja pembinaan bangunan yang besar, dan kebolehan meresap ke dalam badan manusia. Hal ini dibuktikan melalui kisah Nabi Sulaiman a.s. dalam surah Saba’ ayat 13 dan Surah al Naml ayat 38-39. Lihat juga Muhammad Mushtafa Al Hadidi Atthair, 1987, hlm. 129 & 149, S. Ali Balidram, Syaitan dan Jin, t.trkh, Ipoh: Pustaka Muda, hlm. 26, Muhammad Mutawwali Asy Sya’rawi, 1992 Sihir dan Hasut, (ed. 3),  hlm.33, Khairul Ghazali, 2001, Rupa & Wajah Iblis Laknatullah, Kuala Lumpur: Darul Nu’man, hlm. 21-22. Lihat juga Abdul Basir Mohammed, Amalan sihir & ayat-ayat al Qur’an: Perbezaannya serta kesannya terhadap amalan perubatan, 1999, Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hlm. 85, ‘Adil ‘Izzat Muhammad al ‘Arif, 2001, Rahsia & Keajaiban Dunia Jin: Cara Hindari Gangguannya, Selangor: Pustaka Ilmi, hlm. 12-13.
[4] Amran Kasimin, 1997, hlm. 132-133, Wāhid cAbdussalam Al-Bāly & Daud Mohd Salleh, 1994, hlm. 100, 111 & 128.  
[5] Dalam kes Sabarudin Bin Non & Ors v PP [2005] 4 MLJ 37 hlm. 49, hakim menerima pendapat saksi yang mengatakan bahawa untuk mengenakan santau, seorang bomoh santau tidak perlu pergi melihat rumah mangsanya.
“When the fourth accused gave evidence, he agreed under cross-examination by the learned deputy that it was unnecessary to visit a person’s home if one wanted to exorcise ‘the santau’ or evil spirit.”
[6] Lihat Al-Qur’ān, Al-Naml  27: 38-39.
[7] [1983] 2 MLJ 232
[8] J.C. Smith & Brian Hogan, 1996, hlm. 30. Lihat juga CMV Clarkson, 1987, Understanding Criminal Law, London: Fontana Press, hlm. 22, L.B. Curzon, 2003, Dictionary of Law, Kuala Lumpur: International Law Books Services, hlm. 8.
[9] J.C. Smith & Brian Hogan, 1996, hlm. 32.
[10] J.C. Smith & Brian Hogan, 1996, hlm. 31.
[11] Dalam kes King Emperor v Nehal Mahto [1939] 1 LR Vol XVIII. hlm. 485, Yang Arif hakim memutuskan:
“When an accused person commits two or more acts, closely, following upon and intimately connected with each other, they cannot be separated and assigned, to one to one intention and the other to another but both must be ascribed to the original intention which prompted the commission of those acts and without which neither could have been done.”
[12] Amran Kasimin, 1997, hlm. 123-125
[13] Per Low Hop Bing dalam PP v Chong Chai [2006] 6 CLJ hlm. 52. Lihat juga Wing Commander Briggs in Re Eric Woodford [1946] 2 MLJ 19 hlm. 21.
[14] Lihat Lee Fah Sang v. PP [1967] 2 MLJ 163; Lim Heng Soon & Anor v. PP [1970] 1 MLJ 166; Lai Kim Hon & Ors v. PP [1981] 1 MLJ 84; Dato’ Mokhtar bin Hashim & Anor v. PP [1983] 2 CLJ 10; [1983] CLJ (Rep) 101; Khoo Hi Chiang v. PP [1994] 2 CLJ 151.
[15] Tham Kai Yau & Ors v. PP [1977] 1 MLJ 174 hlm. 176, per Raja Azlan Shah FJ (as HRH then was): “intention is a matter of inference”. Lihat juga Juraimi bin Husin v. PP [1998] 2 CLJ 383.
[16] Zainal Abidin bin Mading v. PP [1999] 4 CLJ 215.
[17] Amran Kasimin, 2009, Sihir Suatu Amalan Kebatinan, Bangi: Penerbit UKM, hlm. 37.
[18] Ratanlal & Dhirajlal’s Law of Crimes, 25th ed., hlm. 1315-1316.
[19] AIR [1956] SC 488.
[20] (1849) 4 Cox CC 55 (C).
[21] Emmet V. Mittlebeeler, 1976, African custom and Western law: The development of the Rhodesian criminal law for Africans, New York: African Publishing Company, hlm. 136:
“Witchcraft in general involves an attempt to explain phenomena and occurrences for which direct causes are not immediately apparent. The explanation is ex post facto: a calamity has occurred, and there must be a cause…”
[22] Sila rujuk Amran Kasimin, 2006, Sihir dan penjelasannya, Brunei, Pusat Da’wah Islamiah, hlm. 48-55 untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang upacara dan amalan menurun.
[23] Di Selatan Rhodesia, penggunaan hakata oleh nganga (bomoh) untuk mengesan ahli sihir yang bertanggungjawab menyihir ahli komunitinya kelihatan aneh dan didapati mengandungi elemen-elemen sihir. Hakata ialah 4 keping kayu yang berbentuk segiempat yang terukir pada setiap permukaannya simbol yang misteri dan sukar untuk difahami. Lihat Emmet V. Mittlebeeler, 1976, hlm. 136-138.
[24] Penggunaan spectral evidence dalam prosiding mahkamah pada waktu itu, khususnya perbicaraan ahli sihir di Salem, telah menimbulkan pelbagai persoalan dan kekeliruan dalam proses pengadilan. Spectral evidence secara umumnya merujuk kepada suatu kaedah keterangan yang mana mangsa sihir kononnya dapat melihat orang yang bertanggungjawab menyihirnya, sama ada ianya berlaku secara jaga ataupun dalam mimpi. Paul Boyer dan Stephen Nissenbaum dalam bukunya Salem possessed: The social origins of witchcraft, 1974, hlm.16 mendefinisikan spectral evidence sebagai "testimony about supernatural visitations from some demonic creature . . . who appear[s] in the specter (that is, shape) of an accused witch." Salah satu ciri – atau lebih tepatnya, satu masalah- pemakaian spectral evidence ialah ia tidak boleh disahkan kebenarannya kerana makhluk halus (atau specters) hanya boleh dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja sedangkan hadirin yang hadir sama tidak dapat melihat.
[25] Sila lihat seksyen 13 dan seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah serta Bahagian 10 Kanun Keseksaan. Lihat juga Mimi Kamariah Majid, 1999, Criminal procedure in Malaysia, ed. 3, Kuala Lumpur, University of Malaya Press, hlm. 104.
[26] Amalan ini adalah selari dengan peruntukan seksyen 45 Akta Keterangan 1950.
[27] cdil cIzzat Muhammad al-crif, 2001, Rahsia & Keajaiban Dunia Jin: Cara Hindari Gangguannya, Selangor, Pustaka Ilmi, hlm. 51, 102-103. Wāhid cAbdussalam Al-Bāly & Daud Mohd Salleh, 1994, Bagaimana menentang ilmu hitam, Johor Bahru, Penerbitan Al Masyhur Sdn. Bhd., hlm. 30-31, 69.
[28] Sila rujuk seksyen 173 (m) (i) dan 182A (1) Kanun Prosedur Jenayah.
[29] Seksyen 173 (a) dan (b) Kanun Prosedur Jenayah.
[30] Gurubaru v Kig AIR 1949 Orissa 67, 71. Dipetik dari Teo Say Eng, 2004, Malaysian Criminal Litigation Manual, Kelana Jaya, Malayan Law Journal, hlm. 83.
[31] Memandangkan pelaksanaan sihir tidak semestinya melibatkan kehadiran pengamal sihir di lokasi kejadian sewaktu kesalahan tersebut dilakukan, maka pembelaan alibi berdasarkan seksyen 402A Kanun Prosedur Jenayah mesti dilihat dengan lebih teliti tertakluk kepada jenis-jenis kes.
[32] Seksyen 173 (c) Kanun Prosedur Jenayah.
[33] Sila rujuk seksyen 101 dan 102 Akta Keterangan 1950.
[34] Sila rujuk seksyen 173 (m) (i) dan 182A (1) Kanun Prosedur Jenayah.
[35] Seksyen 59 Akta Keterangan 1950 memperuntukan:
“Segala fakta, kecuali kandungan dokumen-dokumen, boleh dibuktikan dengan keterangan lisan.”
[36] Seksyen 6 (1) mengkehendaki seseorang saksi yang hendak memberikan keterangan di hadapan mana-mana mahkamah supaya mengangkat sumpah.
[37] Seksyen 60 (1) (b) Akta Keterangan 1950.
[38] Ma. Auxiliadora Solano Monge, 1999, The expert testimony before the Inter-American Court of Human rights, ILSA Journal of International & Comparative Law, Vol 5, hlm. 580.
[39] Ma. Auxiliadora Solano Monge, 1999, hlm. 570.
[40] Richard Kieckhefer, 1990, hlm. 180.
[41] [1410] JH 41
[42] [1995] 2 Cr App R 425
[43] Martin Hannibal & Lisa Mountford, 2002, The law of criminal and civil evidence: Principles and practice, Essex: Pearson Education Ltd, hlm. 356-357.
[44] Bagi menjelaskan maksud ‘pakar’, hakim dalam kes Dato Mokhtar Hashim & Anor v PP [1983] 2 MLJ 232 menyatakan di halaman 255:
To qualify to give such evidence the witness must satisfy the court that he is indeed an expert, that he is specially skilled in the field of the enquiry carried out by him. An expert is one who is skilled in any particular art, trade or profession being possessed of peculiar knowledge concerning the same. The witness must have made a special study of the subject or have acquired special experience on the subject.
[45] Ma. Auxiliadora Solano Monge, 1999, hlm. 571.
[46] Harcharan Singh Tara, 2006, Examination of handwriting and signatures-Part II, Pitfalls for the unwary, Malayan Law Journal, 5 hlm. liv.
What is required is not whether one is gazette/ accredited, but an expert has to convince the court of ones expertise. Training usually is by process of apprenticeship, ie by superiors/ supervisors rather than ‘formal’ teaching alone. As mentioned by Judge McKennna, in spite of any of the ‘trappings’, accreditation, gazetting certification programs etc, one has to satisfy the court that one is sufficiently trained and that correct methodology has been used by the witness giving evidence. The people one has to convince ultimately are the judges.
Lihat juga kes Malaysia Building Society Bhd. v Sentiasa Harum Sdn. Bhd. & Ors [2003] 5 MLJ 328.
[47] [1980] QB 434
[48] [1982] 2 MLJ hlm. 322.
[49]  Ma. Auxiliadora Solano Monge, 1999, hlm. 571.
[50] Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Panel Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) telah menyediakan satu panduan kepada mana-mana pusat pengajian tinggi untuk menjalankan kursus yang berkaitan dengan rawatan tradisional di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Sila rujuk laman sesawang MQA untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya: http://www.mqa.gov.my/borang/prog_stand/oct09/Traditional%20and%20Complementary%20Medicine.pdf [3 Dis. 2009]. Skop ini harus dikembangkan bukan sahaja kepada kaedah merawat penyakit menerusi kaedah tradisional, tetapi juga mencakupi tatacara untuk menangani permasalahan melibatkan penyakit misteri melalui aspek perundangan.
[51] Pendakwaraya lwn Mat Saad bin Mat Isa & 2 Lagi [2005] 1 AMR 29 di hlm. 39.
[52] Lihat seksyen 173 (m) (i) Kanun Prosedur Jenayah.
[53] Lihat seksyen 173 (m) (ii) Kanun Prosedur Jenayah.
[54] Lihat seksyen 173 (m) (iii) Kanun Prosedur Jenayah.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam. Lengkap dan terperinci. Semoga undang-undang seperti ini dapat dilaksanakan memandangkan banyaknya mangsa yang pergi tanpa pengadilan sewajarnya. Juga, untuk menyekat kecenderungan manusia untuk menggunakan ilmu hitam/ilmu sihir bagi mencapai hajat.

Unknown berkata...

Wasalam,syaitan dan iblis laknatullah adalah musuhku!

mi berkata...

Terima kasih atas perkongsian. Banyak ilmu dapat.

Tubuhsatu berkata...

Assalamualaikum. saya mencari perawat yang boleh membuang sihir berpenjaga/sihir wali dibadan pesakit. Pesakit dikunci satubadan, menyebabkan pesakit diserang tidak mengira masa. Jika tuan dan puan tahu di mana tempat rawatan yang berkesan tolong mesej nombor telefon tempat rawatan kepada saya.
-Jalan Lemal.kelantan
Semoga Allah membalas kebaikkan tuan puan dengan kebaikkan yang banyak.Amin.
email : tubuhsatu@gmail.com

Rahmat berkata...

Rawatan pengasih ilmu putih jarak jauh/jarak dekat

-tunang/kekasih berpaling hati
-minyak pengasih
-pelaris niaga
-pelet
-pemikat
-buka aura
-santau sum power
-pelaris dalam galian
-santau angin
-santau tepuk bantal
-santau patung
-santau Siam
-santau di Kedah
-ilmu pengasih
-ilmu penunduk
-buka aura

Insha allah semua masalah bole selesai berkat ridho dan izin maha kuasa amin...

WhatsApp +62 887 4351 35870