Selasa, 12 Oktober 2010

Jenayah Sihir Siri 1


PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SIHIR DI MALAYSIA:
ISU DAN CABARANNYA

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail[1]
LLB (IIUM), MCL (IIUM), PhD (UKM)

ABSTRAK
Penggunaan ilmu sihir dalam perlakuan jenayah merupakan satu isu perundangan yang sering diperkatakan namun sehingga hari ini perkara tersebut tiada penyelesaian. Ilmu dan amalan sihir yang secara ironinya dianggap bersifat kekampungan, merupakan satu masalah global kerana ia berlaku hampir di seluruh pelusuk dunia tanpa mengira bangsa, agama dan negara. Kertas kerja ini secara khusus cuba untuk mengenalpasti dan mengkaji isu-isu yang menjadi cabaran kepada pelaksanaan undang-undang jenayah sihir di Malaysia. Persoalan berkaitan kewujudan ilmu sihir, kebolehgunaannya serta metodologi penghasilannya diperbincangkan bagi menggambarkan jenayah sihir sebagai suatu yang bersifat realistik, bukannya semata-mata retorik. Perkaitan antara jenayah sihir dengan jenayah biasa yang dilihat melalui kacamata perbandingan pula jelas menunjukkan adanya persamaan antara kedua-dua bentuk jenayah tersebut. Kajian ini cuba merangka satu pendekatan undang-undang bagi membolehkan kes-kes sedemikian dibawa dan dibicarakan di mahkamah. Kertas kerja ini diharap dapat membuka dimensi baru kepada sistem perundangan negara berhubung dengan pelaksanaan undang-undang jenayah sihir.


PENGENALAN
Isu penggunaan ilmu sihir dalam kegiatan jenayah di Malaysia sering dibangkitkan namun ianya tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Bukan tidak wujud kes-kes individu yang menanggung derita akibat terkena sihir malah kedengaran juga berlaku persengketaan antara anggota masyarakat akibat dakwaan kononnya ada antara mereka yang mengenakan sihir terhadap yang lain. Unsur tuduh menuduh sebegini kerap kali didengar terutama dikalangan pasangan yang mempunyai hubungan sulit atau yang dimadukan,[2] peniaga,[3] artis dan selebriti,[4] ahli-ahli politik,[5] cendikiawan, ahli-ahli korporat dan tidak ketinggalan orang-orang dalam institusi keagamaan. Langkah permulaan yang diambil oleh Jabatan Mufti Selangor dengan menganjurkan Muzakarah Pakar bagi membincangkan isu jenayah sihir pada 17 Disember 2009 dan 21 Julai 2010 telah menghasilkan satu resolusi supaya kegiatan sedemikian dibanteras melalui mekanisma perundangan. Walau bagaimanapun, usaha murni tersebut kelihatan menemui jalan buntu apabila berhadapan dengan beberapa isu yang kelihatan rumit dan komplikated. Bagi tujuan membantu pihak terlibat dalam usaha mewujudkan undang-undang jenayah sihir, maka kertas kerja ini cuba mengenalpasti, menghurai dan menyelesaikan kekusutan yang timbul agar usaha-usaha yang sudah dimulakan dapat diteruskan. Sebanyak enam isu berkaitan pelaksanaan undang-undang jenayah sihir akan dibincangkan.


ISU 1: KEPERCAYAAN TENTANG KEWUJUDAN ILMU DAN AMALAN SIHIR.

Antara persoalan yang sering dibangkitkan ialah tentang kewujudan ilmu dan amalan sihir. Terdapat segelintir masyarakat yang menganggapnya sebagai cerita karut dan tidak kurang juga yang berpandangan bahawa ilmu tersebut hanya terdapat negara-negara miskin dan mundur. Realitinya, ilmu sihir adalah bersifat global, wujud dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat di seluruh dunia. Ia adalah antara ilmu tertua yang diamalkan dan diwarisi turun temurun semenjak bermulanya sejarah manusia hinggalah ke hari ini.[6] Para sejarawan berpendapat bahawa ilmu tersebut telah mula wujud sekitar 5000 tahun sebelum Masihi dan telah diamalkan secara meluas dalam tamadun-tamadun manusia yang terdahulu.[7] Keutuhan institusi sihir serta konsistensi yang ditunjukkan dalam penyebarannya bukan sahaja didorong oleh kehebatan yang ditunjukkan oleh tukang sihir itu sendiri, malah turut disokong oleh pemerintah[8] dan raja-raja[9] yang menaungi serta menjadikan tukang sihir sebagai tempat rujukan mereka.[10]
 

Di zaman tamadun Mesopotamia, pengaruh ilmu sihir pada adalah sangat meluas dan meliputi pelbagai aspek kehidupan serta lapisan masyarakat termasuk para pemerintah serta keluarga diraja.[11] Mereka yang mahir dalam bidang ini digelar āšipu dan bentuk sihir yang diamalkan pada zaman itu adalah berdasarkan pergerakan bintang-bintang dan planet-planet di langit.[12] Undang-undang Hammurabi turut mengandungi peruntukan berkaitan ilmu sihir. Menurut undang-undang tersebut, sekiranya seseorang menuduh seseorang yang lain mengamalkan ilmu sihir sedangkan orang yang membuat tuduhan tadi tiada bukti yang kukuh, maka tertuduh tadi akan diarahkan masuk ke dalam Sungai Suci (Holy River).[13] Sekiranya sungai tersebut menenggelamkannya, maka dia dikira bersalah dan sekiranya dia terselamat, maka orang yang membuat tuduhan tadi akan dikenakan hukuman mati.[14]
 

Tamadun Mesir pula memang dikenali sebagai tempat berasalnya segala ilmu yang aneh dan ganjil.[15] Sejarawan Yahudi, Greek dan Rom melabelkan masyarakatnya sebagai bangsa yang mahir dalam ilmu mistik.[16] Menurut Kitab Injil, upacara menilik nasib melalui pemujaan roh adalah berasal dari tamadun ini.[17] Pada zaman tersebut, ilmu sihir turut digunakan oleh pemimpin negara seperti Firaun bagi mengekalkan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah. Mereka menggaji ahli-tukang sihir yang hebat untuk menjadi pengawal peribadi, penasihat dan pegawai-pegawai kerajaan.[18] Malah, ada juga dikalangan raja Mesir sendiri, seperti Niktanibas, yang mempelajari dan mengamalkan ilmu sihir.[19]
 

Pengamal ilmu sihir dalam tamadun Rom dan Yunani terkenal kerana kemampuan mereka dalam melakukan perkara-perkara luarbiasa seperti melumpuhkan seseorang dengan bacaan mantera.[20] Mereka juga mampu menimbulkan permusuhan dan kekacauan dalam masyarakat dengan menyeru roh-roh orang yang sudah mati.[21] Menyedari akan bahayanya ilmu sihir, Julius Caesar telah memperkenalkan Undang-undang 12 (The Twelve Tables) yang memperuntukan hukuman bakar hidup-hidup.[22]

Di benua Asia pula, ilmu sihir disebarkan melalui negara China dan India.[23] Penulis Barat seperti Donald Harper menyatakan, semasa pemerintahan Dinasti Han, terdapat pemerintah-pemerintah yang menjadikan istana mereka sebagai lokasi perkumpulan ahli-ahli sihir.[24] Mengulas kewujudan undang-undang berkaitan amalan sihir, William Shaw pula memetik kenyataan J.J.M. de Groot dalam bukunya 'The Religious Systems of China' sebagai berkata:
The Penal Code of the Yuan (Mongol) Dynasty laid down that: "Whosoever plucks life out of a man or dismembers him with intent to procure a spectre to sacrifice to, shall be slowly carved to death with knives". Similar practices were mentioned in a Imperial Edict of 1846. [25]


Dalam Tamadun Islam, para ulama berpendapat bahawa ilmu sihir telah mula bertapak sejak dari zaman Nabi Idris a.s iaitu ketika turunnya malaikat yang bernama Harut dan Marut di negeri Babilon.[26] Perkara tentang sihir kebanyakannya disebut Al-Qur’an melalui kisah-kisah yang berlaku pada zaman Nabi-nabi sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW. Antaranya ialah kisah sihir pada zaman Nabi Ibrahim, Nabi Sulaiman, Nabi Saleh[27], Nabi Musa[28] dan Nabi Isa.[29] Islam mengakui kewujudan ilmu sihir tetapi melarang penganutnya dari terlibat dalam amalannya dan ia dikategori sebagai salah satu dosa besar. Hal ini dapat dibuktikan melalui ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis.[30] Islam juga menetapkan hukuman ke atas pengamal-pengamal sihir. Ini dapat dilihat melalui satu athar yang diriwayatkan oleh Bujalah r.a. bahawa pada zaman Saidina Umar r.a., bahawa beliau telah menetapkan bahawa hukuman bagi tukang sihir ialah mati:
فقتلوا ثلاث سواحر, أقتلوا كل ساحر وساحرة
Bunuhlah semua tukang sihir lelaki mahupun wanita, maka para sahabat pernah membunuh tiga orang tukang sihir.[31]


Pandangan Saidina Umar r.a. ini turut disokong oleh Saidina Uthmān r.a., Ibn Umar r.a., Hafsah r.a., Abū Mūsā r.a., Qais Ibn Asad r.a. dan tujuh tokoh ulama tabi’in. Kebanyakkan ulama Islam selepas itu juga menetapkan hukuman bunuh terhadap tukang sihir. Diantaranya ialah Imam Ahmad r.a., Imam Abū Thaur r.a., Imam Ishāq r.a., Imam Shafiiyy r.a. dan Imam Abū Hanīfah r.a.[32]

Semasa zaman Gelap Eropah, pihak gereja di Barat mengambil pendekatan mengawal kegiatan amalan sihir dari sudut keagamaan.[33] Sebagai contoh, ayat-ayat dalam Kitab Injil seperti Deuteronomi 18:11-12[34], Exodus 22:18[35], Leviticus, 20:27[36], Galatians 5:20, Revelation 21:8; 22:15; dan Acts 8:9; 13:6 menjadi justifikasi suci kepada para penganut kristian untuk menghapuskan kegiatan sihir dan pengamalnya. Ramai raja dan pemerintah ketika itu turut membantah penggunaan sihir dalam masyarakat. Antara pemerintah yang terkenal ialah Ostrogothic King Theodoric (493-526), Pope John XXII dan King James VI.[37] Menurut Martin Luther, amalan sihir pada zaman itu adalah satu perkara yang lumrah dan beliau menetapkan hukuman bakar hidup-hidup ke atas pengamalnya.[38] Hukuman seumpama itu juga termaktub dalam Kod Visigoth.

Kegiatan membanteras amalan sihir dan pengamalnya semakin memuncak dan pada tahun 1487,[39] satu buku yang terkenal mengenai pembanterasan sihir, Malleus Maleficarum atau lebih dikenali di Barat sebagai The Hammer of Witches telah ditulis oleh Heinrich Kramer dan Jacob Sprenger.[40] Pada kurun ke-16, hukuman ke atas tukang sihir mula ditambah. Statut  Henry VIII memperuntukkan hukuman mati bagi sesiapa yang menyeru atau memuja roh jahat. Akta yang paling ketat berhubung larangan penggunaan ilmu sihir diperkenalkan semasa awal pemerintahan Elizabeth I iaitu pada tahun 1563. Pewartaan undang-undang tersebut telah memberi impak besar kepada kehidupan masyarakat di Eropah. Sekitar tahun 1580 hingga 1660, bermulalah gerakan membasmi tukang sihir secara besar-besaran dan boleh dikatakan hampir seluruh Eropah dilanda gerakan yang berpusat di Jerman, Perancis dan Switzerland.[41]
 

Undang-undang yang diperkenalkan semasa pemerintahan Elizabeth I itu telah digantikan pada tahun 1736 dengan pengenalan akta baru semasa pemerintahan George II. Ia dikenali sebagai Witchcraft Act 1736.[42] Pada tahun 1951, akta tersebut pula telah dimansuhkan dan diganti dengan Fraudulent Mediums Act 1951.[43]
 

Di beberapa negeri di Australia turut mempunyai peruntukannya yang tersendiri. Antaranya ialah Seksyen 432, Bahagian XL dari Criminal Code of Queensland. Walau bagaimanapun, peruntukan ini telah dimansuhkan pada 10 November 2000 atas alasan diskriminasi agama.[44] Begitu juga dengan The Statutes Amendment and Repeal (Public Offences) Act 1991 (South Australia) dan seksyen 8 (1) (g) Tasmanian Police Offences Act 1935 dan seksyen 13 Victorian Vagrancy Act 1958.

Di negara-negara di benua Afrika, peningkatan jumlah kes pembunuhan yang dilakukan oleh orang ramai ke atas individu yang dituduh melakukan sihir menimbulkan satu kesedaran tentang perlunya satu undang-undang untuk menghalang ianya dari terus berleluasa. Antara undang-undang yang dikuatkuasakan sehingga sekarang ialah Tanzanian Witchcraft Ordinance 1928, South Rhodesian Witchcraft Suppression Ordinance 1899,[45] South African Witchcraft Suppression Act 1957, Zimbabwese Witchcraft Suppression Act 1890 dan seksyen 251 Cameroon Penal Code.


Di India, terdapat kes-kes penduduk kampung yang dituduh menjadi tukang sihir dibunuh oleh orang ramai dengan kejam. Pada 19 Julai 2005, kerajaan negeri Chhattisgarh, iaitu sebuah negeri di pedalaman India, telah meluluskan Witchcraft Atrocities (Prevention) Act 2005 bagi melindungi golongan wanita yang sering dituduh mengamalkan ilmu sihir.[46]
 

Di Arab Saudi, kerajaan telah mengisytiharkan ilmu sihir sebagai satu jenayah dan menetapkan hukuman mati bagi pengamalnya. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang jenayah sihir di negara itu mendapat tentangan hebat terutama dari Barat akibat ketiadaan undang-undang jenayah secara bertulis selain sistem perundangannya yang didakwa pihak Barat terlalu longgar dan tidak konsisten.[47]


Di Negara China, terdapat beberapa peruntukan undang-undang jenayah yang mempunyai kaitan dengan amalan sihir. Antaranya ialah Article 165, Part II: Specific Provisions, Chapter VI: Acts against the social order, The Criminal Law of the People’s Republic of China, yang diluluskan pada 1 Julai 1979 semasa sesi Kedua Kongres Rakyat Kebangsaan kali ke 50 yang menyatakan: 

Those who practice witchcraft for the purpose of spreading rumors or swindling people out of money and property shall be sentenced to imprisonment for not more than two years, to detention, or to surveillance. In a serious matter, the offender shall be sentenced to imprisonment for not less than two and not more than seven years.”

Di Malaysia, ilmu dan amalan sihir bukanlah suatu perkara yang asing. Bahkan hampir saban tahun, sebahagian daripada mereka percaya bahawa mereka telah menjadi mangsa dan telah mencari jalan untuk mendapatkan rawatan disamping ’menghantar balik’ sihir itu kepada tuannya’.[48] Kesedaran tentang perlunya ilmu dan amalan sihir diperangi melalui mekanisma perundangan telah pun disuarakan melalui Muzakarah Pakar pada 17 Disember 2009 dan 21 Julai 2010 anjuran Jabatan Mufti Selangor. Walau bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang langkah diambil bagi menanganinya.

Dengan melihat kepada sejarah perkembangan ilmu dan amalan sihir serta kewujudan undang-undang untuk membanterasnya, maka tiada alasan bagi kita untuk mempertikaikan kewujudan ilmu sihir dalam tamadun manusia. William Blackstone pernah menyatakan:
To deny the possibility, nay, actual existence, of witchcraft and sorcery is at once flatly to contradict the revealed word of God, in various passages both of the old and new testament: and the thing itself is a truth to which every nation in the world has in its turn borne testimony, either by examples seemingly well attested, or by prohibitory laws; which at least suppose the possibility of a commerce with evil spirits.[49]




[1] Pensyarah Undang-undang di Sekolah Pengajian Islam, Kolej Antarabangsa IKIP. Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Undang-undang Jenayah Sihir, anjuran IKIP International College, dengan kerjasama Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam Pahang dan Jabatan Kehakiman Syariah Pahang pada 11 Oktober 2010 di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan.
[2] Sebagai contoh, lihat kes Sabarudin Bin Non & Ors v PP [2005] 4 MLJ 37.
[3] Sebagai contoh, lihat kes Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman [1410] JH 41.
[4] Sebagai contoh, lihat kes Safura Bte Ya'cob v Saripah Raziah Bte Mustafa [2003] MLJU 9.
[5] Sebagai contoh, lihat kes Juraimi Bin Husin v PP, Mohd Affandi Bin Abdul Rahman & Anor v PP [1998] 1 MLJ 537, dan kes Dato Mokhtar Bin Hashim & Anor v PP [1983] 2 MLJ 232,
[6] Abd Razzak Naufal, 1982, Sihir Tarut…Harut…Marut, Singapura, Percetakan Nasional, hlm. 5.
[7] Abd Razzak Naufal, 1982, hlm. 7. Lihat juga cUmar Sulaymān Al-‘Ashqar, 2002, clam al-sihri wa al-shawazah, Edisi ke 4, Jordan, Dār Al Nafā’is, hlm. 19.
[8] Walter Farber, 1995, Witchcraft, magic and divination in Ancient Mesopotamia, dlm. Jack M. Sasson (pnyt.), Civilizations of the ancient near East, Edisi III, Bahagian 8 (Religion & Science), New York, Charles Scribner’s Sons, hlm. 1902.
[9] cUmar Sulaymān Al-‘Ashqar, 2002, hlm. 20.
[10] Ibrahīm Muhammad al-Jamal, 1403H, Al-sihr: Dirāsah fī zilāli al-qisasi Al-Qur’āni wa Al-sīrah Al-nabawiyyah, Kaherah, Maktabat Al-Qur’ān, hlm. 35.
[11] Walter Farber, 1995, hlm. 1902.
[12] Para sarjana Islam berpendapat bahawa ilmu sihir berasaskan pergerakan bintang (yang juga dinamakan sihir Bani Kaldan) ini sangat hebat dan antara kategori sihir yang terkuat. Lihat K.H.M. Ali Usman, 1979, Manusia jin mengganggu ketenteraman, Jakarta: Penerbit Bulan Bintang hlm. 45. Lihat juga cUmar Sulaymān Al-‘Ashqar, 2002, hlm. 18.
[13] Code No 2:“If any one bring an accusation against a man, and the accused go to the river and leap into the river, if he sink in the river his accuser shall take possession of his house. But if the river prove that the accused is not guilty, and he escape unhurt, then he who had brought the accusation shall be put to death, while he who leaped into the river shall take possession of the house that had belonged to his accuser.L.W. King, 1910, http://www.wsu.edu/~dee/MESO/CODE.HTM [9 Disember 2009].
[14] Walter Farber, 1995, hlm. 1898.
[15] Naomi Janowitz, 2001, Magic in the Roman World: Pagan, Jews and Christians, London: Routledge, hlm. 13.
[16] E.A Wallis Budge, 1988, Egyptian Magic, London, Arkana, hlm. 4.
[17] Naomi Janowitz, 2001, hlm. 13.
[18] cUmar Sulaymān Al-‘Ashqar, 2002, hlm. 19-20
[19] Ibrahīm Muhammad al-Jamal, 1403H, hlm. 36. Lihat juga cUmar Sulaymān Al-‘Ashqar, 2002, hlm. 23
[20] Eric Maple, 1973, Witchcraft: The story of man’s search for supernatural power, London: Octopus Books, hlm. 28.
[21] K.H.M. Ali Usman, 1979, hlm. 51.
[22] Geoffrey Scarre, 1987, Witchcraft and magic in 16th and 17th century Europe, London, MacMillan Education Ltd, hlm. 13, Kippenberg, H., 1995, Magic in Roman Civil Discourse: Why rituals could be illegal, hlm. 149, dlm. M. Meyer & P. Mirecki (pnyt.), Acient magic and ritual power, Leiden, Brill, hlm. 137-163.
[23] K.H.M. Ali Usman, 1979, hlm. 51.
[24] Donald Harper, 1987, Magic in East Asia, dlm. Lawrence E. Sullivan (pnyt.), Hidden truths: magic, alchemy and the occult, New York, MacMillan Publishing Company, hlm. 97-98. 
[25] J.J.M. de Groot, The Religious Systems of China, Book 2, Vol. 5 (3), t.trk, t.tp., hlm. 873.
[26] Muhammad Muṣṭafā al-Hadīdī Al-Thair, 1987, Penyuluh Arwah, Jakarta: Pustaka Amani, hlm. 101.
[27] Al-Qur’ān, al-Syucarā’ 26:153
[28] Al-Qur’ān, al-Baqarah 2:102, al-Acraf 7: 108, 111, 115 & 125, Yūnus 10: 76-81, Tāaha 20: 57,58, 66, 69, 70, 72, al-Isra’ 17: 101, al Syucar’a 26: 32, 40, 41, 44, 49, Surah al-Naml 27: 13, al Qaa 28: 36 & 48, al-Ghāfir: ayat 24, al-Zukhruf 43: 49, al-Dhariat 43: 30.
[29] Al-Qur’ān, al-Mā’idah 5:110
[30] Lihat ahīh al-Bukhāri, Kitāb al-Hudūd, Bab 44, Hadis no. 33, Abdul Basir Mohammed, 1999, Amalan sihir & ayat-ayat al Qur’an: Perbezaannya serta kesannya terhadap amalan perubatan, Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hlm. 25. Yūsuf al-Qarawiyy, 1969, al-Halāl wa al-harām fi al-Islām, Damsyiq, Masyūrat al-Maktab al- Islāmiyy, hlm. 232, Al-Nawawiyy, hahīh Muslim, 1924, juz 14, hlm. 109
[31] Muhammad Muṣṭafā al-Hadīdī Al-Thair, 1987, hlm.  9. Lihat juga Abd Basir Mohammed, 1999, hlm. 9.
[32] Abū cAbdullāh Muhammad b. Ahmad al-Ansāriyy al-Qurubiyy, 1387H/ 1967M, al-Jamīcu li ahkām al-Qur’ān, Kaherah, Dār al-Kitāb al-cArabiyy li al-Tibācah wa al-Nashri, hlm. 437-438.
[33] Richard Kieckhefer, 1990, Magic in the middle ages, Great Britain: Cambridge University Press, hlm. 177.
[34]Wizards thou shalt not suffer to live”
[35] "Thou shalt not suffer a witch to live"
[36] "A man or woman in whom there is a pythonical or divining spirit, dying let them die: they shall stone them: Their blood be upon them",
[37] Richard Kieckhefer, 1989, hlm. 179
[38] Susan C. Karant-nunn & Merry E. Wiesner-Hanks, 2003, Luther on women: A sourcebook, Cambridge, Cambridge University Press, hlm. 228. Lihat juga hlm. 236: "One should show no mercy to these [women]; I would burn them myself, for we read in the Law that the priests were the ones to begin the stoning of criminals."
[39] Jolly, Karen Louise, 2002, Witchcraft and magic in Europe: The middle ages, Philadelphia, University of Pennsylvania Press, hlm. 239.
[40] Russell, Jeffrey Burton, 1972, Witchcraft in the middle ages, Ithaca, New York, Cornell University Press, hlm. 230.
[41] Jolly, Karen Louise, 2002, hlm. 194.
[42] Stuart Gordon, 1993, The Encyclopedia of Myths & Legends, London: Headline Book Publishing Plc, hlm. 499.
[43] Anon, t.th.,  Fraudulent Mediums Acts 1951 (c.33), http://www.statutelaw.gov.uk/ content.aspx?ActiveText DocId=1100678 [11 Disember 2009]
[44] Anon, t.th, Paganism In Australia, http://www.janih.com/lady/laws.html [11 Jun 2009].
[45] Menurut Emmet V. Mittlebeeler, hukuman yang dikenakan kepada ordinary diviner ialah denda 100 pounds, atau penjara dengan atau tanpa kerahan tenaga untuk tempoh tidak melebihi 3 tahun, atau hukuman rotan tidak lebih 20 kali sebatan, atau mana-mana dua atau lebih dari hukuman yang diperuntukan. Manakala bagi professional diviner, hukuman yang dikenakan jika sabit kesalahan ialah denda sehingga 205 pounds, atau penjara dengan atau tanpa kerahan tenaga untuk tempoh tidak melebihi 7 tahun, atau hukuman rotan tidak lebih 36 kali sebatan, atau mana-mana dua atau lebih dari hukuman yang diperuntukkan. Sila rujuk Emmet V. Mittlebeeler, 1976, African custom and Western law: The development of the Rhodesian criminal law for Africans. New York: African Publishing Company, hlm. 142.
[46] Anon, t.th, India Human Rights Reports 2006, http://www.achrweb.org/reports/india/ AR06/chhattisgarh.htm [1 Disember 2009].
[47] Dalam satu artikel yang disirkan dalam laman web msnbc bertajuk Saudi Arabia to execute woman for 'witchcraft': Human rights group appeals to Saudi king to stop execution di http://www.msnbc.msn.com/id/ 23162712/ [10 Disember 2009], hakim yang membicarakan kes Fawza Salih tidak memberikannya peluang untuk Fawza membuktikan dirinya tidak bersalah atas satu dakwaan yang tidak mempunyai asas di sisi undang-undang. Kes ini juga mendedahkan kelemahan sistem perundangan Islam Arab Saudi dari segi undang-undang keterangan yang longgar, ketidakhadiran peguam dan hukuman yang bergantung kepada budibicara hakim. Untuk keterangan lebih lanjut, sila rujuk Heba Saleh, 14 Februari 2008, Pleas for condemned Saudi 'witch', http://news.bbc.co.uk/2/hi/ 7244579.stm  [10 Disember 2009].
[48] William Shaw, 1975, Aspects of Malaysian magic, Kuala Lumpur: Muzium Negara, hlm. 49.
[49] Morrison, Wayne, 2001, Blackstone’s commentaries on the laws of England, Vol IV, London, Cavendish Publishing Ltd, hlm. 47.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam Tuan,

Akak tumpang baca, nak ulas tak tahu. Semoga bila undang-undang ini diterimapakai kuranglah orang teranaya oleh si tukang-tukang sihir ni.

Tanpa Nama berkata...

Ciz p qfe n hot sex movies, sex. Mjm m, uxy vxpufo|fax eaxbdkz i oa fz.