Rabu, 13 Oktober 2010

Jenayah Sihir Siri 2


ISU 2: KEFAHAMAN TENTANG METODOLOGI PELAKSANAAN SIHIR.

Sekiranya seseorang telah percaya wujudnya ilmu dan amalan sihir, maka isu seterusnya ialah tentang kefahaman yang benar dan tepat tentang ilmu tersebut dan cara pelaksanaannya. Perkara ini sangat penting kerana pemahaman yang tepat tentang metodologi pelaksanaan sihir akan membantu proses penguatkuasaan undang-undang jenayah sihir.

Bagi memahami metodologinya, maka definisi yang diberikan oleh Ibnu Hajar Al-Haitami dalam Kitab As-Sihr boleh dianggap sebagai yang paling komprehensif.  Beliau menyatakan sihir ialah apa juga yang berlaku atau dapat dibuat atau dicapai oleh seseorang dengan pertolongan syaitan, setelah orang itu memenuhi kehendak syaitan tersebut dengan melaksanakan sesuatu yang dikehendaki oleh syaitan itu sebagai tanda atau isyarat taqarrub atau bersahabat atau tunduk dan mengikut atau menyembah syaitan itu.’[1]

Definisi di atas jelas menunjukkan bahawa antara intipati amalan sihir ialah seseorang pengamal sihir perlu melakukan satu perjanjian dengan syaitan atau iblis bagi memastikan ilmu dan amalannya itu berkesan.[2] Perjanjian ini memerlukan seseorang pengamal sihir mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syaitan yang hendak dipujanya itu. Antara syarat yang biasa dikenakan ialah pengamal sihir mesti melakukan upacara pemujaan iblis dan syaitan, dan menyediakan bahan-bahan sihir.[3] Penyediaan barangan ini seolah menjadi satu syarat penting dalam perjanjian dengan makhluk jin, syaitan dan iblis. Apabila tukang sihir mematuhi syarat tersebut, itulah tandanya dia telah mematuhi kehendak jin, syaitan dan iblis tadi. Di sinilah terzahirnya konsep ketuanan syaitan terhadap manusia dalam ilmu sihir dan tanpa mereka sedari, mereka telah mengambil syaitan itu sebagai tuhannya.[4]
 
Secara asasnya, terdapat dua kategori bahan-bahan yang biasa digunakan dalam upacara untuk menyihir. Yang pertama ialah ‘bahan luaran’ (iaitu bahan yang bukan berasal dari diri mangsa atau orang yang menyihirnya). Yang kedua ialah bahan ‘dalaman’ (iaitu bahan yang berasal dari diri mangsa atau penyihirnya). 

Bahan-bahan kategori pertama dan cara penyediaannya adalah berbeza-beza mengikut amalan tukang sihir itu.[5] Bahan-bahan ini lebih merupakan bahan simbolik yang menggambarkan bentuk kemudaratan yang hendak dikenakan kepada mangsa. Antara contoh bahan yang biasa digunakan ialah:

(a)               Bahan-bahan kotor dan busuk seperti darah, najis, bangkai, tengkorak, kain kafan mayat, air kencing, abu mayat dan yang seumpamanya. Bahan-bahan ini biasa digunakan dalam sihir bagi menjadikan seseorang itu gila, dibenci atau gangguan perasaan.

(b)               Bahan-bahan yang berbisa dan beracun seperti air lipan bara, bisa ular senduk, bisa ular kapak, ubur-ubur, bisa getah ipuh, buah kacang hantu,[6] katak puru bertanduk, bisa kala jengking dan yang seumpamanya. Bahan-bahan ini biasa digunakan bagi menyakiti fizikal mangsa, dan boleh jadi untuk membunuh mangsa.

(c)                Bahan-bahan tajam dan melukakan seperti kaca, mentol lampu, kelonsong telur ayam, benang sutera, berus besi, kawat sental periuk, tali sabut yang direndam, pisau berkarat, paku, ranting bunga kertas kuku manusia atau binatang[7] dan yang seumpamanya. Bahan-bahan ini biasa digunakan dalam penyediaan sihir untuk mencedera.

(d)               Bahan-bahan gatal dan miang seperti miang buluh, miang tebu, miang rebung, tali guni, ulat bulu mati beragan dan yang seumpamanya.[8] Bahan-bahan ini biasanya disediakan dalam sihir yang bertujuan untuk mendatangkan kemudaratan kepada tubuh mangsa terutama organ dalaman.

(e)                Bahan-bahan simpulan seperti kain, benang, rambut, tali sabut, tali yang mempunyai warna-warna tertentu, biasanya merah, hitam, kuning dan putih dan yang seumpamanya.
(f)                 Bahagian tertentu dari anggota badan manusia seperti tengkorak, tulang belulang atau apa-apa yang terhasil darinya seperti rambut, kuku, ludah, air mani, darah haid dan yang seumpamanya.[9]

(g)               Bahagian tertentu dari haiwan yang diambil dalam keadaan tertentu seperti taring harimau, gading gajah, tanduk kerbau, bulu kongkang, hati mawas putih, hati kura-kura, uri kucing, belangkas jantan betina yang melekat, telur labah-labah, tulang dagu kera duku.[10] Bahan-bahan tadi diperlukan dalam sihir yang bertujuan menjadikan mangsa itu bodoh dan malu apabila melihat orang atau dibenci orang kerana kegarangannya. 

(h)               Bahan-bahan yang diambil dalam keadaan tidak stabil. Sebagai contoh, benda-benda yang memusing ditengah-tengah air seperti daun, kayu atau haiwan mati, atau benda-benda yang tersangkut di sarang labah-labah, atau benda-benda bergantung yang sentiasa berpusing ke kanan dan ke kiri. Bahan-bahan ini biasanya digunakan dalam sihir yang bertujuan untuk menjadikan mangsa bingung dan tidak keruan.[11]

(i)                 Tanah liat, lilin atau jerami yang diukir dan dibentuk menjadi patung,[12] dipuja, dicucuk jarum atau duri nibung, disalai, dibakar dan sebagainya dengan tujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.[13] Metod sebegini telah pun diamalkan sejak beribu tahun dahulu dan ianya masih digunakan hingga ke hari ini dan ianya merupakan salah satu amalan yang diajarkan oleh syaitan kepada manusia.
"To some others at these times he [the Devil] teacheth how to make pictures of wax or clay. That by the roasting thereof, the persons that they beare the name of, may be continually melted or die away by continually sickness."[14]

‘Bahan dalaman’ kedua pula merujuk kepada apa-apa yang mempunyai identiti mangsa yang hendak disihir atau orang yang hendak melakukan sihir. Contohnya pakaian, kuku, rambut, bulu roma, pakaian dalam, baju, kain, seluar, tisu dan tuala yang pernah dipakai oleh mangsa.[15] Bahan ini adalah antara bahan yang sangat diperlukan bagi memastikan sihir yang dikenakan dapat mencari sasaran dengan tepat dan menghasilkan kesan yang cepat.[16]

Setelah semua barangan yang disyaratkan telah disediakan dan upacara pemujaan sudah dilakukan, maka orang tersebut mestilah menanam barang-barang tersebut di tempat-tempat yang biasa di duduki dan dilalui oleh orang yang hendak disakitinya itu, atau di selit di tempat-tempat sulit, atau di tabur dan dijirus di sekeliling rumah orang tersebut dan sebagainya. Jika barang pemujaan itu berupa minyak berpuja kebiasaannya di sapu di tiang rumah, kedai, kenderaan, pakaian dan sebagainya.[17] Apabila semua itu dilaksanakan, maka giliran khadam sihir pula yang berperanan menunaikan janjinya terhadap penyihir. Kesan sihir yang dikenakan ke atas mangsa akan dirasai apabila khadam sihir itu meresap masuk ke dalam tubuh mangsa melalui salur darah dan menyerang pusat operasi dalam tubuh manusia iaitu otak dan organ-organnya.[18] Mengenai kebolehan jin, syaitan dan iblis memasuki tubuh manusia melalui salur darah, Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
إن الشيطان يجري مجري دم إبن ادم
Sesungguhnya syaitan itu bergerak bebas di dalam tubuh anak Adam melalui saluran-saluran darahnya.[19]
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa keberfungsian ilmu sihir bergantung kepada pematuhan seseorang penyihir kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh khadam yang dipujanya.



[1] Jahid b. Hj. Sidek, 2008, Sihir: Ciri-cirinya, kaedah rawatan dan amalan pendinding, kertas kerja Seminar Rawatan Islam Siri 1 anjuran IQ Insan Training & Consultancy, Masjid Negara, Kuala Lumpur, 5 Januari, hlm. 1. Stuart Gordon menyatakan bahawa ilmu hitam adalah ‘magic undertaken for destructive or selfish purpose; to dominate or harm others; to gain power, wealth or knowledge by necromancy or sorcery, traditionally by calling up demons or by blood-sacrifice.’ Lihat Stuart Gordon, 1993, The Encyclopedia of Myths & Legends, London, Headline Book Publishing Plc., hlm. 61-62.
[2] Terdapat banyak dalil bagi menyokong fakta bahawa keberkesanan ilmu sihir bergantung sepenuhnya kepada peranan dan penglibatan jin, syaitan dan iblis, antaranya ialah: Wāhid cAbdussalam Al-Bāly & Daud Mohd Salleh, 1994, Bagaimana menentang ilmu hitam, Johor Bahru: Penerbitan Al Masyhur Sdn. Bhd., hlm. 2, Muhammad Muṣṭafā al-Hadīdī Al-Thair, 1987, Penyuluh Arwah, Jakarta: Pustaka Amani, hlm. 96, Amran Kasimin, 1997, Amalan sihir masyarakat Melayu: Satu analisis, Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn. Bhd, hlm.12, Richard Kieckhefer, 1990, Magic in the middle ages, Great Britain: Cambridge University Press, hlm. 10, 179, Abdul Basir Mohammed, Amalan sihir & ayat-ayat al Qur’an: Perbezaannya serta kesannya terhadap amalan perubatan, 1999, Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hlm. 16, 172, cUmar Sulaymān Al-‘Ashqar, 2002, clam al-sihri wa al-shawazah, Edisi ke 4, Jordan: Dār Al Nafā’is, hlm. 165, Stuart Gordon, 1993, The Encyclopedia of Myths & Legends, London: Headline Book Publishing Plc., London, hlm. 61-62, Ibrahīm Muhammad al-Jamal, 1987, Hakikat Sihir, Semarang, CV. Toha Putra, hlm. 69, Muhammad Mahmūd cAbdullāh, 1995, ofwah al-bayān fi cIlāji al-sihri wa al-hasadi wa massi al-shayān, Kaherah: Maktabah al Qudsi, hlm. 21, William Shaw, 1975, hlm. 1, Boredel, Hans Peter, 2003, The Malleus Maleficarum: and the construction of witchcraft, theology and popular belief, New York: Manchester University Press, hlm. 22. Lihat juga Russell, Jeffrey Burton, 1972, Witchcraft in the Middle Ages, Ithaca, New York: Cornell University Press, hlm. 232, Diwan, Mohammed A., 2004, Conflict between state legal norms and norms underlying popular beliefs: witchcraft in Africa as a case study, Duke Journal of Comparative & International Law, 14.2 (Summer 2004): 351(37), di hlm. 355. Akses melalui laman sesawang http://www.law.duke.edu/shell/cite.pl?14+Duke+J.+Comp.+&+Int'l+L.+351 [9 Disember 2009]
[3] Berkenaan penyediaan bahan sihir, Shakespeare pernah menulis dalam MacBeth, act 4, scene 1:
”Fillet of a fenny snake                                        adder’s fork and blind worm’s sting
In the cauldron boil and bake                            lizard’s leg and howlet’s wing
Eye of newt and toe of frog                                for a charm of powerful trouble
Wool of bat and tongue of dog                        like a hell-broth, boil and bubble”
Lihat Anon, t.th, The complete works of William Shakespeare. http://www.shakespeare-literature.com/ Macbeth/18.html [20 Januari 2010].
[4] Lihat Al Qur’an, al-Kahfi 18:50.
[5] Jennifer Widner, 2001, Building the rule of law: Francis Nyalai and the road to judicial independence in Africa, New York, W.W. Norton Company Inc., hlm. 380.
[6] Amran Kasimin, 1995, Santau sebagai satu cabang ilmu sihir, Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn Bhd, hlm. 42.
[7] Amran Kasimin, 1995, hlm. 43.
[8] Amran Kasimin, 1995, hlm. 42.
[9] Ibrahīm Muhammad al-Jamal, 1403H, Al-sihr: Dirāsah fī zilāli al-qisasi Al-Qur’āni wa Al-sīrah Al-nabawiyyah, Kaherah, Maktabat Al-Qur’ān, hlm. 58. Lihat juga Dr. H.O.K. Rahmat S.H., Pencemaran akidah di nusantara, 1983, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 28. Dipetik dari Abdul Basir Mohammed, 1999, hlm. 187.
[10] Amran Kasimin, 1995, hlm. 52.
[11] Amran Kasimin, 1995, hlm. 52.
[12] Lihat William Shaw, 1975, Aspects of Malaysian magic, Kuala Lumpur: Muzium Negara, hlm. 50.
[13] Menurut K.H.M. Ali Usman, masyarakat Barat menganggap penggunaan patung atau objek yang membentuk manusia adalah petunjuk bahawa seseorang itu adalah tukang sihir. Sekitar tahun 1856 M, sebuah buku bertajuk Dogme & Rituel de la haute magie par tulisan Eliphas Levi diterbitkan di Perancis. Buku ini mengandungi aturan-aturan sihir yang digunakan oleh tukang sihir untuk membunuh mangsa dengan mengunakan patung lilin yang diukir mirip rupa mangsa. Lihat K.H.M. Ali Usman, 1979, hlm.51.
[14] Clyde K. Hyder, 1963, Rossetti's "Rose Mary": A Study in the Occult, Victorian Poetry, Vol. 1, No. 3 (Aug), West Virginia University Press, hlm. 197-207. http://www.jstor.org/stable/ 40001196 [20 Januari 2010].
[15] Ibrahīm Muhammad al-Jamal, 1403H, hlm. 55-57.
[16] Sekiranya diteliti dan dibandingkan dengan penemuan terbaru dalam bidang perubatan, maka boleh dikatakan bahawa konsep untuk mengesan seseorang individu melalui sampel DNA sebenarnya sudah lama diketahui oleh bangsa jin, syaitan dan iblis. Biasanya sampel DNA ini hanya diperolehi melalui sesuatu yang berasal dari tubuh manusia seperti darah atau peluh. Bahan-bahan tersebut mengandungi sampel DNA mangsa dan ini memudahkan khadam sihir untuk mengesan mangsanya dengan tepat. Ia seumpama peta bagi khadam sihir untuk menjejaki mangsa.
[17] Hj. Ahmad Hj. Che Din, 1997, Perubatan tradisional Melayu, adat resam masyarakat Melayu Islam, latihan pertahanan diri Melayu, perkara-perkara khurafat dan ajaran-ajaran sesat, Kuala Kangsar: t.pt., hlm. 35. Lihat juga Hj. Jahid b. Hj. Sidek, 2008, Sihir: Ciri-cirinya, kaedah rawatan dan amalan pendinding, kertas kerja Seminar Rawatan Islam Siri 1 anjuran IQ Insan Training & Consultancy, Masjid Negara, Kuala Lumpur, 5 Januari, hlm. 4-6. Lihat juga Ibrahim Abdul Alim Abdul Bar, 2006, Kajian Terperinci Kerasukan Syaitan dan Sihir: Panduan Berubat dan Bid’ah Semasa Rawatan (Buku terjemahan dari Kitab Ar Raddul Mubin al Bidai Ilaji al jin wa as Sihr), Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise, hlm. 94.
[18] Amran Kasimin, 1997, hlm. 132-133, Wāhid cAbdussalam Al-Bāly & Daud Mohd Salleh, 1994, hlm. 100, 111 & 128.
[19] ahīh al-Bukhāriyy jil. 4, hadis no. 2035 dan Al-Nawawiyy, ahīh Muslim, jil. 7, hlm. 18-19. Lihat juga Khairul Ghazali, 2001, Rupa & Wajah Iblis Laknatullah, Kuala Lumpur, Darul Nu’man, hlm. 90.

Tiada ulasan: