Rabu, 10 Mac 2010

Pandangan dari Peguam Syarie

Peguam Syarie Menulis: Kuasa Sultan hanya kurangkan hukuman

Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com



ISU Kartika Sari belum lagi reda, walaupun sudah menampakkan titik noktahnya. Penulis menerima pertanyaan orang ramai setiap kali isu ini timbul sama ada Kartika akan diampunkan oleh baginda Sultan Pahang atau hukuman sebat akan tetap dilaksanakan?

"Tunggu dan lihat." Itulah jawapan saya. Walau apapun keputusannya, ia adalah suatu yang positif terhadap perkembangan undang-undang jenayah Islam di Pahang khususnya dan di negara kita.

Mahkamah Syariah memang sering dijadikan sasaran oleh pihak yang tidak senang dengan kewujudannya, sama ada oleh bukan Islam atau orang Islam sendiri sekalipun, tanpa justifikasi dan alasan kukuh. Walhal Mahkamah Syariah dan undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah adalah berpaksikan kepada hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Malah ada juga pihak bukan beragama Islam yang berani mencadangkan supaya hukuman sebat syariah dihapuskan. Cadangan ini adalah sesuatu yang melampaui batas dan perlu dihentikan segera. Kenapa pula mereka mencampuri urusan umat Islam, sedangkan umat Islam tidak pernah mencampuri urusan agama mereka?

Kerana umat Islam berpegang kepada firman Allah dalam Surah al-Kaafirun, ayat 6 yang bermaksud: "Kamu dengan agama kamu dan kami dengan agama kami." Bukan Islam juga tidak perlu khuatir kerana undang-undang jenayah Islam dan hukuman sebat hanya dikenakan kepada orang Islam.

Kesalahan meminum minuman yang memabukkan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Enakmen No. 8 Tahun 1982) jelas menyebutkan perkataan orang Islam iaitu: Sesiapa jua orang Islam dalam mana-mana kedai atau tempat awam, menjual, membeli atau meminum arak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila sabit bolehlah dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan sebat tidak lebih enam kali sebatan.

Di setiap negeri, Sultan bertindak sebagai ketua agama dan mempunyai kuasa dalam perkara berkaitan hal agama Islam serta pentadbiran agama Islam. Bagi negeri yang tidak mempunyai institusi beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Wilayah dan Sabah, ketua agama yang bertanggungjawab ialah Yang di-Pertuan Agung.

Sebagai ketua agama negeri, baginda Sultan mempunyai kuasa eksklusif untuk mengurangkan atau meringankan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah.

Kuasa eksklusif ini terbahagi kepada dua keadaan berikut iaitu pertama apabila pesalah itu membuat permohonan rayuan kepada baginda Sultan dan kedua apabila baginda Sultan sendiri berkenan memberi pengampunan walaupun tidak dirayu atau dimohon oleh pesalah.

Dalam keadaan pertama, Seksyen 209 Enakmen 8 Tahun 1982 memperuntukkan bahawa baginda Sultan mempunyai kuasa untuk mengurangkan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang dijatuhkan dengan syarat rayuan dibuat oleh pesalah terlebih dulu di Mahkamah Rayuan dan notis rayuannya hendaklah diserahkan dalam tempoh 10 hari daripada tarikh tamat ulang bicara kes itu.

Dalam isu Kartika, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang menjatuhkan hukuman denda dan sebatan terhadap Kartika adalah bersifat muktamad kerana Kartika tidak merayu dan tempoh rayuan juga sudah tamat.

Namun dalam keadaan yang kedua, baginda Sultan mempunyai kuasa untuk meringankan hukuman dengan menggantikan hukuman yang berat kepada hukuman lebih ringan, walaupun tidak dirayu atau dimohon oleh pesalah atau tanpa persetujuan pesalah.

Seksyen 133 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2004 (Enakmen No. 9 Tahun 2004) memperuntukkan bahawa: Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Mufti boleh, tanpa persetujuan orang yang dihukum, meringankan mana-mana satu daripada hukuman yang berikut dengan menggantikannya dengan mana-mana hukuman yang disebut selepasnya, iaitu sebat, penjara atau denda.

Penulis memperbetulkan pemahaman sesetengah pihak, kuasa baginda Sultan yang diberikan oleh undang-undang adalah untuk meringankan hukuman yang dijatuhkan, daripada hukuman lebih berat (seperti sebatan) kepada hukuman lebih ringan (seperti penjara atau denda). Ia bukanlah bermaksud bahawa baginda Sultan mempunyai kuasa untuk mengampunkan terus kesalahan yang dilakukan seseorang seperti disabitkan oleh Mahkamah Syariah.

Dalam menjalankan kuasa menurut kehendak peruntukan Seksyen 133 itu, mufti negeri dikehendaki memberi nasihat kepada baginda Sultan sebelum kuasa meringankan hukuman itu dilaksanakan. Mufti akan memberi nasihat kepada baginda Sultan berdasarkan hukum syarak, sama ada hukuman enam sebatan atas kesalahan meminum arak selari dengan hukum syarak atau tidak.


Artikel dari Berita harian

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya pun berkata-kata dalam hati. Adakah Sultan nak ampunkan dia. Ampun di dunia jeerlah kot.