Rabu, 27 April 2011

Imam Al-Nawawi

PEMIKIRAN FIQH
AL-IMAM AL-NAWAWI


Oleh

Abd. Rasyid Bin Idris
(Institut Al-Qayyim)




PEMIKIRAN FIQH
AL-IMAM AL-NAWAWI**




الحَمْدُ ِللهِ نَحمَدُهُ وَنَستَعِينُهُ وَنَستَهدِيهِ وَنَستَغفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِن شُرُورِ أَنفُسِنَا وَسَيِّئَاتِ أَعمَالِنَا، مَن يَهدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ، وَمَن يُضلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، أَشهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبدُهُ وَرَسُولُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجمَعِينَ، أَمَّا بَعدُ.

Pendahuluan

            Al-Imam Al-Nawawi merupakan salah satu nama yang terbilang di persada kesarjanaan Islam. Kemasyhuran beliau merentasi berbagai disiplin ilmu seperti Fiqh, Hadith, Ulum Al-Hadith, Nasab, Tarikh, Bahasa Arab dan sebagainya.

            Khidmat dan sumbangan Al-Nawawi terhadap Islam khususnya di bidang ilmu Hadith sangat besar. Setiap sarjana ilmu hadith seakan-akan berhutang dengannya atas apa yang telah beliau tinggalkan dalam ilmu tersebut. Namanya juga jarang diabaikan oleh para fuqaha’ dalam menyatakan pendapat ulama berhubung satu-satu masalah fiqh. Kecenderungan beliau dalam membahaskan dalil-dalil yang dikemukakan oleh fuqaha’ (khususnya mazhab Syafi‘i) menjadikan sahsiahnya agak tersendiri dan unik. Menyandarkan suatu fatwa kepadanya seakan-akan memberi kekuatan kepada fatwa tersebut. 

Keperibadian, pemikiran, manhaj dan sumbangan Al-Nawawi dalam pelbagai bidang ilmu terus dikaji dan dibincangkan sejak sekian lama hingga ke hari ini. Sehingga kini di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi sudah terdapat lebih 20 tajuk tesis M.A dan PhD berkaitan dengannya. Kehebatan ilmunya diiktiraf dan dihormati, sumbangannya terhadap agama dan umat ini dihargai. Sungguhpun begitu, ia tidak bermakna Al-Nawawi tidak pernah tersilap di dalam pendiriannya. Ini kerana tiada seorang insan (tidak kira betapa hebatnya dia) yang tidak terlepas daripada kesilapan. Justeru itu, sebarang kesilapannya turut dinyatakan oleh para pengkaji. Ia tidak mencacatkan kehebatan Al-Nawawi sebaliknya ia hanyalah bukti bahawa beliau juga insan dan insane itu tidak sunyi dari salah dan silap.

Kertas kerja serba ringkas ini hanyalah sedikit pengumpulan terhadap tulisan para sarjana terdahulu. Tulisan ini cuba menumpukan kepada manhaj pemikiran Al-Imam Al-Nawawi khususnya di bidang Fiqh. 

            Sebenarnya menghimpunkan fakta berkaitan topik yang besar ini dalam waktu yang singkat amat memenatkan. Namun mudah-mudahan usaha yang sedikit ini dapat dimanfaatkan oleh sidang pembaca dan hadirin.
 
Latar Belakang

            Beliau ialah Syeikh Al-Islam Muhyi Al-Din Abu Zakaria Yahya Bin Syaraf Bin Muriy Bin Al-Hasan Bin Al-Husein Bin Muhammad Bin Jum‘ah Bin Hizam Al-Dimasyqi Al-Syafi‘i Al-Nawawi[1].
            Menurut adat kebiasaan Arab seseorang itu dipanggil berdasarkan nama anak khasnya yang sulung atau anak lelaki. Namun beliau dipanggil Abu Zakaria kerana namanya Yahya walaupun tidak pernah berkahwin apatah lagi memiliki anak. Ia sekadar panggilan beradab sahaja. Panggilan yang seumpama dengannya seperti Abu Al-Hasan untuk yang bernama Ali, Abu Hafs untuk Umar, Abu Ishaq untuk Ibrahim, Abu Yusuf untuk Ya‘qub dan sebagainya[2].


Beliau digelar Muhyi Al-Din (Penghidup Agama) walaupun beliau sendiri tidak menyukai gelaran tersebut atas dasar sifatnya yang tawadhu‘ dan merendah diri. Namun gelaran itu memang bersesuaian dengan sumbangan dan jasanya yang besar dalam menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W dan mematikan bid‘ah. Beliau melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar menggunakan lisan dan tulisannya[1].

            Gelaran Al-Nawawi adalah bersempena nama kampung kelahiran dan kewafatannya iaitu Nawa yang terletak di Hauran, Syria. Gelaran Al-Dimasyqi pula adalah kerana beliau tinggal lama di kota Damsyiq. Al-Syafi‘i dinisbahkan kepadanya kerana beliau bermazhab Syafi‘i. Malahan Al-Nawawi telah memberikan nafas baru dalam penulisan mazhab Syafi‘i di mana beliau menjelaskan martabat hadith yang dijadikan hujah oleh fuqaha’ mazhab seperti yang dilakukan dalam kitabnya Al-Majmu‘.   

            Beliau dilahirkan pada bulan Muharram tahun 631 Hijrah di Nawa. Beliau mula menghafal Al-Quran dan mempelajari ilmu Fiqh semasa berusia 10 tahun. Pada tahun 649 Hijrah, beliau mengikuti bapanya ke kota Damsyiq untuk belajar di Dar Al-Hadith yang terletak di timur Masjid Umawiy. Pada tahun 651 Hijrah beliau menunaikan ibadah haji bersama bapanya kemudian pulang semula ke Damsyiq.

            Al-Nawawi meninggal dunia di kampung halamannya di Nawa selepas menziarahi Al-Quds dan Al-Khalil pada bulan Rejab tahun 677 Hijrah. Beliau dikebumikan di sana.[2]

Akhlak dan Peribadi

            Al-Nawawi adalah seorang manusia yang sangat tekun bekerja. Ibn Al-‘Attar (salah seorang muridnya) menyatakan bahawa gurunya itu tidak pernah menghabiskan waktu siang mahupun malamnya melainkan untuk ilmu. Beliau akan terus-terusan menelaah kitab sekalipun di perjalanan. Seterusnya beliau sibuk menulis dan mengajar serta menasihati umat Islam dan pemimpin-pemimpinnya. Beliau juga sangat prihatin dalam mengeluarkan diri daripada perselisihan pendapat di kalangan fuqaha’ dan mengambil berat tentang amalan hati. Beliau seorang yang hafal hadith-hadith nabi dan mengetahui nilai hadith yang sahih ataupun dhaif, Beliau juga menguasai kaedah-kaedah dan usul mazhab (Syafi‘i), pendapat para ulama dari kalangan sahabah dan tabi‘in, serta perselisihan ulama.[3] Beliau mengetuai dar Al-Hadith Al-Asyrafiyyah selepas kematian Al-Imam Abu Syamah tanpa mengambil sebarang upahpun.    
Beliau sangat membenci sifat bersangka buruk terhadap orang lain. Dalam kitabnya Al-Azkar, beliau menulis satu bab bertajuk: “Ghibah (Mengumpat) dengan hati”. Beliau menyatakan bahawa bersangka buruk adalah haram. Sebagaimana haramnya bercakap tentang keburukan orang lain demikianlah juga haram bercakap tentang keburukan orang lain di dalam diri sendiri.[4]

Keilmuan

            Kehidupan ilmiah Al-Nawawi semasa di kota Damsyiq terkenal dengan 3 perkara iaitu:
Pertama: Kesungguhan dalam menuntut ilmu.
            Beliau telah menimba ilmu dalam usia yang muda dan memperolehi kelazatan menuntut ilmu. Beliau bersungguh-sungguh membaca, menelaah dan menghafal karya para ulama. Al-Nawawi telah menghafal kitab Al-Tanbih dalam masa 4 bulan setengah, menghafal bahagian ibadat dari Al-Muhazzab dalam masa 5 bulan setengah yang berikutnya.
            Ketekunan dan kekuatan hafalannya menyebabkan beliau dilantik oleh gurunya Abu Ibrahim Ishaq Bin Ahmad Al-Maghribi menjadi pembantu pengajar dalam halaqahnya. Kemudian beliau mengajar di Dar Al-Hadith Al-Asyrafiyyah. Seterusnya dilantik mengetuai Dar Al-Hadith tersebut.

Kedua: Keluasan ilmunya.
            Setiap hari Al-Nawawi akan membaca di hadapan gurunya 12 pelajaran berbentuk syarah ataupun tashih. Pengajiannya itu meliputi: 2 kelas untuk kitab Al-Wasit karangan Al-Ghazali, 1 kelas untuk Al-Muhazzab, 1 kelas untuk Al-Jam‘ Bayna Al-Sahihayn, 1 kelas Sahih Muslim, 1 kelas Al-Luma‘ fi Al-Nahu  karangan Ibn Jinniy, 1 kelas untuk kitab Islah Al-Mantiq karangan Ibn Al-Sikkit tentang ilmu bahasa, 1 kelas ilmu Saraf, 1 kelas Usul Fiqh kadangkala kelas kitab Al-Luma‘ oleh Abi Ishaq, atau Al-Muntakhab oleh Fakhr Al-Razi,  1 kelas untuk ilmu nama-nama perawi dan 1 kelas untuk ilmu Usul Al-Din.  Setiap kitab yang beliau pelajari itu akan diulas, dijelaskan maknanya dan diperbetulkan bahasa atau faktanya jika perlu.

Ketiga: Penghasilan karya yang produktif.
            Al-Nawawi mula menulis pada tahun 660 Hijrah dalam usianya 30 tahun. Bahasa penulisannya mudah difahami, fikrahnya juga jelas, adil dalam mendatangkan penadapat-pendapat fuqaha’ dan dalil yang mapan.
Karya-karyanya masih mendapat perhatian umat Islam hingga hari ini sama ada sebagai bahan rujukan dan sandaran mahupun sebagai bahan kajian ilmiah. Antara karya ilmiahnya ialah:
  1. Al-MajmuSyarh Al-Muhazzab – Kitab yang mensyarahkan perkataan Abu Ishaq Al-Syirazi berkaitan hukum hakam Fiqh mazhab Al-Syafi‘i. Kelebihannya ialah Al-Nawawi turut membahaskan kekuatan hadith-hadith yang digunakan sebagai hujah dengan cara menerangkan kekuatan dan kelemahan tyang terdapat dalam sanad hadith tersebut. Ini merupakan antara bentuk yang agak berbeza daripada kebiasaan fuqaha’ di zamannya. Sungguhpun begitu beliau tidak sempat menghabiskannya. 
  2. Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim – Merupakan salah satu kitab yang mensyarahkan hadith-hadith di dalam Sahih Muslim, bahkan ia adalah yang paling utama.
  3. Al-Azkar (Zikir-zikir) – Mengandungi himpunan hadith berkaitan dengan zikrullah.
  4. Riyadh Al-Salihin (Latihan Orang-orang Soleh) – Mengandungi ayat-ayat dan hadith-hadith yang dibahagikan berdasarkan tajuk-tajuk berkaitan akhlak dan keperibadian mulia.
  5. Al-Idoh fi Al-Manasik (Penerangan tentang Ibadah Haji) – Merupakan kumpulan risalah berhubung ibadah haji.
  6. Al-Khulasoh (Kesimpulan) – Di sini beliau meringkaskan hadith-hadith yang tersebut di dalam kitabnya Syarh Al-Muhazzab.
  7. Raudah Al-Talibin wa ‘Umdah Al-Muftin (Taman Para Penuntut dan Teras para Mufti) – Merupakan ringkasan Al-Nawawi ke atas kitab Syarh Al-Wajiz oleh Al-Rafi‘i.
  8. Al-Arba‘in Al-Nawawiyyah (40 hadith Himpunan Al-Nawawi) – mengandungi 40 hadith pilihan beliau dalam berbagai perkara asas Islam.
  9. Al-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran (Penerangan tentang Adab Pembaca Al-Quran) – Kitab ringkas mengandungi adab-adab manusia yang bermuamalah dengan Al-Quran. 

Pandangan Ulama

Kebanyakan ulama yang membicarakan tentang Al-Nawawi akan mengkaguminya dan mengakui betapa besarnya sumbangan beliau terhadap agama dan umat ini. Sebarang kesilapan pendirian yang dilakukan oleh beliau hanyalah bukti bahawa beliau hanya seorang manusia, bukan Tuhan Yang Maha Sempurna. Hanya segelintir kecil penuntut ilmu yang kurang sopan dalam membicarakan tentang hal ini.
Di sini disertakan beberapa pandangan ulama tentang beliau:
1. Kata Al-Zahabi:
            «…seorang imam, hafiz yang terulung, menjadi ikutan, Syeikh Al-Islam, symbol para wali, penghidup agama… »[5]
            «…mufti umat, Syeikh Al-Islam, penghidup agama…seorang hafiz, faqih mazhab Syafi‘i yang zuhud, salah seorang tokoh terkenal… »[6] 

2. Kata Ibn Kathir :
            «…seorang syeikh, imam, ‘allamah yang hafiz, ‘abid yang mulia, penyusun mazhab…salah seorang daripada ‘abid dan ulama yang zuhud…besederhana dalam kehidupan dan bersabar atas kesusahannya, seorang wara‘ yang tiada tandingan di zamannya dan sebelumnya untuk jangkamasa yang lama.. »

3. Kata Al-Suyuti:
            « …imam yang faqih, hafiz yang terulung, menjadi ikutan, Syeikh Al-Islam, simbol para wali, penghidup agama… »[7]

Fatwa Al-Nawawi

            Al-Imam Al-Nawawi merupakan mujtahid fatwa iaitu beliau mensahihkan apa yang merupakan pandangan mazhab Syafi‘i. Di kala itu, beliau jarang sekali mengemukakan pandangannya sendiri. Adakalanya apa yang rajih di sisi mazhab berbeza dengan pendapatnya sendiri. Ini kerana tugas beliau dalam menyatakan pandangan mazhab hanyalah menyampaikan. Ia berbeza dengan tugas menilai pelbagai pendapat ulama yang memerlukan proses mentarjih dalil.
Di sisi fuqaha’ mazhab Syafi‘i apabila bercanggah pendapat Al-Nawawi di dalam kitab-kitabnya, mereka menyusunnya seperti berikut:
1. Al-Tahqiq                      2. Al-Tanqih                            3. Al-Majmu‘
4. Al-Minhaj                      5. Al-Raudoh                           6. Syarh Sahih Muslim
7. Al-Fatawi                      8. Tashih Al-Tanbih

Menurut Dr. Muhammad ‘Uqlah nisbah kesamaan pendapat Al-Nawawi di dalam kitab-kitabnya berdasarkan kira-kira 900 masalah yang beliau kaji adalah melebihi 95%.
            Sungguhpun begitu, untuk mengithbat pandangan Al-Nawawi yang terkini dan mutakhir berdasarkan tulisannya yang terkini adalah suatu yang sukar. Ini kerana apabila beliau mula menulis satu-satu kitab, tidak semestinya beliau akan menghabiskannya sebelum menulis kitabnya yang lain. Adakalanya beliau menulis lebih dari satu kitab dalam satu masa.
Sebagai contoh, apa yang dinyatakan oleh Al-Subki bahawa Al-Nawawi selesai menulis kitab Al-Raudoh pada hari Ahad 15 Rabi‘ul Awwal tahun 669Hijrah dan mula menulis Syarh  Al-Muhazzab pada hari Khamis bulan Syaaban tahun 662 Hijrah. Beliau selesai bab Al-Jana’iz (Jenazah) pada 10 Muharram tahun 673 Hijrah, pada hari yang sama beliau memulakan kitab Al-Zakah (Zakat) dan menghabiskan bab ihram pada hari Isnin 9 Syawwal tahun itu juga. Pada hari itu juga beliau memulakan bab Sifat Haji dan menyelesaikan bahagian ibadat pada hai Isnin 14 Rabi‘ul Awwal 674 Hijrah. Kemudian beliau memulakan bab Al-Bay‘ (Jual beli) hingga ke bab Riba dan beliau meninggal dunia sebelum sempat menghabiskan syarahya ke atas kitab tersebut. 
Kitab Tashih Al-Tanbih pula telah beliau habiskan pada pagi Jumaat 27 Rejab tahun 671 Hijrah.  
Pendek kata, Al-Nawawi menulis apa yang beliau perolehi daripada pengajian dan pengkajian begitu juga apa yang diperolehi semasa menuntut ilmu akan beliau tulis dalam kitabnya. Ini berbeza dengan cara Al-Rafi‘i dan Ibn Rif‘at yang hanya menulis apabila sudah merasakan cukup kelengkapan untuk menulis.
            Contoh pilihan fatwa beliau :
  1. Wajib berwuduk selepas memakan daging unta seperti pendapat mazhab Ahmad dan Ishaq. Kata Al-Nawawi: Mazhab ini lebih kuat dalil sekalipun jumhur berbeza daripadanya.[8]
  2. Tidak makruh bersiwak di bulan Ramadan bagi orang yang berpuasa secara mutlak. Ini sama dengan pendapat Al-Muzani dan kebanyakan ulama.
  3. Permulaan tempoh masa menyapu khuf adalah dari masa menyapunya selepas berhadas. Ini merupakan salah satu riwayat dari pendapat Ahmad, ia juga pendapat Daud Al-Zahiri. Kata Al-Nawawi: ia adalah pilihan yang rajih di sudut dalil.
  4. Barangsiapa yang menanggalkan khufnya ataupun sudah tamat tempohnya sedangkan dia masih dalam keadaan suci disebabkan sapuan khuf, tidak perlu berwuduk kembali atau membasuh kedua kakinya. Taharahnya kekal dan sah solat dalam keadaan itu selama mana dia belum berhadas. Keadaannya sama seperti ketika belum menanggalkan khufnya. Kata Al-Nawawi: inilah yang dipilih dan paling kuat. Ini juga pendapat Al-Hasan Al-Basri, Qatadah dan Ibn Al-Munzir.[9]
  5. Harus jamak solat kerana sakit.
  6. Haram bersetubuh dengan wanita haid tetapi harus bersentuhan dengan apa yang di bawah pusat dan atas lutut. Ini adalah pendapat Al-Auza‘i, Al-Tsauri, Ahmad, Ishaq dan ramai lagi. Kata Al-Nawawi:bahawasanya mazhab ini lebih kuat di sudut dalil.[10]
  7. dan banyak lagi.


Pemikiran Fiqh

Al-Nawawi memilih untuk tidak keluar daripada kaedah dan usul mazhab Syafi‘i sekalipun beliau mempunyai kelayakan untuk berijtihad dan menilai dalil. Namun beberapa pilihan pendapat yang beliau pegang berbeza daripada apa yang masyhur di dalam mazhab membuktikan betapa beliau sebenarnya tidak terikat dengan keputusan mazhab Syafi‘i yang terdahulu. Beliau bukan muqallid buta. Bahkan disebabkan berpegang dengan kaedah mazhablahlah beliau dan ramai lagi ulama memilih pendapat yang berbeza samada kerana dalil yang lebih kuat.
Pemikiran fiqh beliau sebenarnya boleh difahami dengan cara meneliti beberapa pilihan pendapat tersebut. Kebiasaannya beliau akan menyatakan bahawa pilihannya itu adalah lebih kuat di sudut dalil berbanding qaul yang satu lagi. Beliau juga akan menyandarkan pendapat itu kepada ulama yang terdahulu sekalipun ia bercanggah dengan qaul jumhur. Adakalanya beliau sekadar mengisyaratkan bahawa pendirian mazhab tidak berdasarkan dalil yang kuat.
Contohnya tentang hukum kenajisan babi yang hidup. Kata Al-Nawawi: “tiada dalil bagi kita -ulama Syafi‘iyyah- suatu dalil yang jelas menyatakan kenajisan babi yang masih hidup”.[11]

Contoh-contoh lain pendapat Al-Nawawi:
1. Kata beliau[12]: “Suatu yang diketahui bahawa mayat tidak sampai kepadanya pahala bacaan Al-Quran (orang lain kepadanya) semata-mata. Bagi menjadikan pahala itu sampai kepada mayat, ada 2 cara:
i.                    Hendaklah diiringi bacaan itu dengan doa untuk mayat agar pahala itu sampai kepadanya. Doa selepas bacaan Al-Quran lebih hampir untuk diterima dan lebih banyak keberkatan.
ii.                  Hendaklah berniat bahawa pahala bacaan itu adalah untuk mayat tersebut.

2. Beliau mentarjihkan bahawa tarikh peristiwa Isra’ dan Mi‘raj ialah pada malam 27 Rabi‘ul Awwal  setahun sebelum Hijrah.[13]

Kesimpulan

Secara keseluruhannya Al-Nawawi masih terikat dengan disiplin, kaedah dan usul mazhab Syafi‘i dalam fatwanya. Namun pendapat-pendapat beliau yang berbeza dari qaul mazhab membuktikan beberapa perkara:
  1. Hukum hakam syarak mestilah berasaskan dalil dan hujah yang paling kuat.
  2. Kecintaan dan penghormatan terhadap pendapat imam-imam mazhab tidak menyebabkan dalil-dalil syarak yang kukuh diketepikan.
  3. Pendapat teramai tidak semestinya berdasarkan dalil yang kuat, adakalanya kebenaran di pihak yang sedikit.


والله أعلم






[1] Ibid (hal.19)
[2] Lihat: Ibn Qadi Syahbah. Tabaqat Al-Syafi‘iyyah. (1/98), http://www.alwarraq.com.
[3] Ibid
[4] Lihat: Al-Nawawi, Yahya Bin Syaraf. Al-Azkar. (hal.344), Mauqi‘ Ya‘sub.
[5] Al-Zahabi, Syams Al-Din. Tazkirah Al-Huffaz. (4/1470), Mauqi‘ Ya‘sub.
[6] Al-Zahabi. Tarikh Al-Islam. (12/345), http://www.al-warraq.com
[7] Al-Suyuti, Jala Al-Din. Tabaqat Al-Huffaz. (1/106), http://www.al-warraq.com
[8] Al-Nawawi. Syarh Sahih Muslim. (2/74), http://www.al-islam.com
[9] Al-Nawawi. Al-Majmu‘ (1/527),
[10] Ibid (1/474)
[11] Ibid (2/568)
[12] Al-Nawawi. Raudat Al-Tolibin wa ‘Umdat Al-Muftin. (2/212), http://www.al-warraq.com
[13] Dinukilkan oleh Ibn Kathir. Al-Bidayah wa Al-Nihayah. (3/135), Mauqi‘ Ya‘sub.