Sabtu, 17 Mei 2008

Harta Sepencarian(HSP)






Ta`rifan HSP:

"harta sepencarian” ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak


Seksyen 122. Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian

(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang—


(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;

(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;

(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada—


(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;

(b) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi, walau bagaimana pun, pihak yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

(5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.

InsyaAllah akan datang akan dibincangkan sejarah latarbelakang HSP/elemen sumbangan dan kes-kes berkaitan dengan HSP yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah

Proviso Mengenai Kesalahan Jenayah Murtad.

Perlu dinyatakan hukuman bagi keslahan jenayah syariah di Malaysia tertakluk pada Akta Parlimen (Akta Mahkamah Syariah(Bidangkuasa Jenayah) 1965(pindaan)1984,yang memberi kuasa kepada MS menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun,atau/dan denda tidak lebih dari RM5000,atau/dan sebatan tidak lebih dari 6 sebatan.Dibawa ini dinyatakan beberapa negeri yang ada mempunyai proviso tersebut.

Melaka.

Seksyen 63. Menghina agama Islam.


(1)-peruntukan dalam ni menyatakan beberap perkara yang dikira menghina Islam-hukuman
RM5000@36 bulan penjara@keduanya sekali

(2) Seseorang Islam yang mendakwa dirinya sebagai seorang bukan Islam adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan mengikut subseksyen (1) seksyen ini kerana mempersendakan Agama Islam dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman yang diperuntukkan dalamnya.


Seksyen 66. Percubaan murtad.

(1) Apabila seseorang Islam dengan sengaja, sama ada dengan perbuatan atau perkataan atau dengan cara apa jua pun, mengaku hendak keluar dari Agama Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang yang bukan Islam, Mahkamah hendaklah, jika berpuashati bahawa seseorang itu telah melakukan sesuatu yang boleh ditafsirkan telah cuba menukarkan iktikad dan kepercayaan Agama Islam sama ada dengan pengakuan atau perbuatannya sendiri, memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi enam bulan dengan tujuan pendidikan dan orang itu diminta bertaubat mengikut hukum syarak.

(2) Jika seseorang yang telah diperintahkan supaya ditahan di bawah subseksyen (1)-

(a) bertaubat dengan serta-merta, Mahkamah hendaklah, setelah mengesahkan taubatnya itu, membebaskan orang tersebut; atau

(b) jika orang itu pada bila-bila masa semasa dalam tahanan telah bertaubat, Pegawai Penjaga hendaklah melaporkan perkara itu kepada Mahkamah dan Mahkamah hendaklah memanggil orang itu dan setelah mengesahkan taubatnya itu, hendaklah membuat satu perintah untuk membebaskannya.

(3) Pegawai Penjaga hendaklah menyerahkan satu laporan kemajuan berhubung dengan orang yang ditahan itu kepada Mahkamah pada setiap minggu.

(4) Pusat Bimbingan Islam hendaklah diwartakan sebagai Pusat Tahanan di dalam Warta.


Sabah


Mempunyai proviso yang hampir sama dengan Melaka.


Perak.

Seksyen 13. Perbuatan atau perkataan murtad.

Seseorang Islam yang dengan sengaja, sama ada dengan perbuatan atau perkataan atau dengan cara apa jua pun, mengaku hendak keluar daripada Agama Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang yang bukan Islam adalah melakukan suatu kesalahan mempersendakan Agama Islam dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Terengganu.

Seksyen 7. Mendakwa bukan Islam.

Seseorang Islam yang mendakwa dirinya sebagai seorang bukan Islam untuk mengelakkan dirinya daripada diambil apa-apa tindakan di bawah Enakmen ini atau mana-mana Undang-Undang yang berkuat kuasa adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


Proviso di hantar ke Pusat Tahanan/Pemulihan.

Melaka-lihat diatas.Tempoh hanya 6 bulan sahaja.
Sabah -lihat diatas(sama dengan Melaka) cuma tempohnya 36 bulan.
Kelantan-

Seksyen 102. Pengesahan seseorang Islam.

(1) Tiada seorangpun yang telah diakui beragama Islam boleh mengaku bahawa dia bukan Islam melainkan setelah Mahkamah memberi pengesahan sedemikian.

(2) Sebelum Mahkamah membuat pengesahannya, seseorang itu hendaklah dianggap beragama Islam dan segala perkara yang berkaitan dengan Agama Islam adalah terkena ke atasnya.

(3) Jika seseorang Islam dengan sengaja cuba sama ada dengan perkataan atau perbuatan hendak keluar dari Agama Islam, Mahkamah bolehlah, jika berpuashati, memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi 36 bulan bagi tujuan pendidikan dan orang itu hendaklah diminta bertaubat mengikut Hukum Syarak.

(4) Pegawai Penjaga hendaklah menyerahkan laporan kemajuan kepada Mahkamah pada setiap bulan.

(5) Pusat Bimbingan Islam hendaklah diwartakan sebagai Pusat Tahanan di dalam Warta.


Kita berharap proviso yang ada ni diperbaiki,dipertingkatkan dan diselaraskan disetiap negeri.Pusat pemulihan aqidah hendaklah ditubuhkan di setiap negeri dan diwartakan.Kita berharap perkara sebegini perlu perhatian serius dan segera.Akta Mahkamah Syariah(Bidangkuasa Jenayah) juga sewajarnya dipinda setelah lebih 20 tahu berkuatkuasa.WA

Jumaat, 16 Mei 2008

Lagi Isu Murtad

Betullah seperti yang dikata,manusia akan memusuhi apa yang dia tidak tahu.Berbagai tohmahan timbul di forum hingga tergamak mengkufurkan institusi berkenaan.Sebagai jawapan pada persoalan yang di selatankan itu,cuba bayangkan senario ini )realiti kes yang difailkan dimahkamah).

1.Lelaki muslim bersekedudukan dengan non muslim hingga melahirkan anak,anak diberi nama muslim dan dibinkan dengan lelaki berkenaan,teru menjalani kehidupan(dijaga oleh ibunya) hingga dewasa,lalu nak kahwin dan pergi mohon di JPN,JPN tolak dengan alasan nama dan bin menunjukan seorang muslim,kena dapatkan pengistiharan di status di MS.Maka apkah pandangan anda dengan fakta diatas?masih nak kata dia tu muslim?kalau mahkamha benarkan atau istiharkan masih nak dakwa MS benarkan orang murtad?-

2.Masuk Islam bersahadah dan berkahwin mengikut tatacara Islam.Namun dalam kehidupan masih lagi menyembah apa yang disembah sewaktu belum Islam dulu,islam atas nama dan ada kad memeluk Islam.Kehidupan mereka tiada beza samada sebelum Islam atau sesudahnya.Maka apakah pandangan anda dengan situasi begini?bila mati ramai yang berebut mayatnya hingga bergaduh,masa hidup tiada siapa yang ambil tahu.Kalau dia nak tentukan status nya bagaimana?dari segi fiqh atau fatwanya bagaimana dengan org yang menyembah patung ni?adakah salah kalau kita tentukan statusnya bagi mengelakan banyak isu berbangkit kemudianya jika berlaku kematian umpamanya? kena ingat kita ni celik mata didunia ni,tahu2 dah berada dalam kedudukan dualisma undang-undang seperti yang ada la ni.

3.Mualaf-tidak melakukan apa-apa kesalahan yang menjurus pada murtad tapi kecewa dengan umat dan agensi Islam.Lalu mohon nak kaluar Islam.Sila lihat statistik sebelum ni-berapa banyak kes yang sebegini ditolak/dibuang.Dimana benarnya tuduhan mengatakan MS sewenang2 membenarkan orang murtad.?

4.Orang Islam(baka) lalu memohon nak jadi bukan Islam dengan menganut amna-mana agama dengan alasan tertentu,kes sebegini mentah-mentah ditolak oleh MS biarpun apa bukti sekalipun.Malah telah ada beberapa pendakwaan di MS kerana melakukan keslahan tersebut biarpun hukuman tidak setimpal.

Benarkan Mahkamah tidak pernah memberi ruang untuk kaunseling,taubat atau dirujuk kepada pusat oemulihan? jawapanaya tidak benar.Ambil cth kes Fatimah Tan,Hakim telah berapa kali menangguhkan prosiding dnegan menyerahkan plaintif untuk dirujuk kepada pihak terbabit.

kalau dulu,golongan yang mencela MS ni begitu beria membela MS ketika isu IFC-dengan mengatakan MS la yang layak menentuka siapa Islam atau tidak bukanya mahkamah sivil,hari ini lain pulak gayanya.jangan anggapan semua fakta kes adalah sama,dan keputusanya juga sama.Lihat senario diatas tu dulu.Dimanakah kelompok partisan/ngos dll dalam soal ini? apakah usaha nak selamatkan aqidah@hanya pandai nak komplen itu dan ini,atau hanya tahu menyatakan ini sistem kufur,itu sistem kufur? saya tak tahu bagaimana mereka hidup di Malaysia ni,duk dalam tanah kut hehehehhe

Khamis, 15 Mei 2008

Statistik Kes Permohonan Menetukan Status Diri

Assalamualaikum,

Bagi beberapa buah negeri yang saya dapat kumpul.Sehingga April 2008.Kes ini tidak termasuk penentuan status keagamaan bagi simati.

Selangor:

49 kes didaftarkan.
14 kes dibuang atas berbagai sebab.
35 kes masih dalam prosiding
sehingga kini tida satu pun kes status keagaaman diputuskan di Selangor.

Pahang.

4 kes didaftarkan.
i kes diputuskan.Permohon disahkan beragama Islam dan tidak dibenarkan atau ditolak permohonan plaintif untuk mengitsiharkan dirinya sebagai keluar Islam.
1 kes disahkan sebagai bukan Islam.
2 kes masih dalam prosiding.

Negeri Sembilan.

133 kes didaftarkan.
Dibenarkan atua disahkan status sebagai bukan Islam 18 kes.
Kes ditolak permohonan 5 kes.
Kes ditarik balik 9 kes.
Buang kes 16.
dalam prosiding 85.

Perak.
Daftar?
dibenarkan-1 kes
buang kes 1 kes.
dalam prosiding?

setakat tu fakta yang ada.InsyaAllah kalau ada yang baru akan dikeluarkan lagi.Perkara begini janganlah terlalu emosi kita perkatakan,fikir dan ulaslah dengan cara wajar dan betul.Ikutlah peruntukan yang telah diluluskan oleh pemerintah.Tu je setakat yang kita ada.Pihak-pihak kena usaha berdakwah dengan lebih gigih lagi.

Rabu, 14 Mei 2008

Penghakiman Kes Fatimah Tan

DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH
NEGERI PULAU PINANG

KES MAL NO: 07100-043-0191-2006

SITI FATIMAH TAN BT ABDULLAH ... PLAINTIF
Diwakili Peguam Ahmad Jailani
Daripada Tetuan Arizal, Jailani & Co.

MAJLIS AGAMA ISLAM P PINANG ... DEFENDEN diwakili Encik Munawir
Daripada Tetuan Lim Kim Siew

Di hadapan Y.A Hj Othman bin Ibrahim
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang


ALASAN PENGHAKIMAN

Fakta ringkas kes

Plaintif Siti Fatimah Tan bt Abdullah yang nama asalnya Tan Ean Hung, K/P: 690828-07-5020 pada asalnya ianya beragama Buddha dan mengamalkan ajaran Buddha.

Beliau pada asalnya menyembah tokong dan buddha. Pada 25/7/1998 telah memeluk Islam dan didaftarkan dengan nama Siti Fatimah Tan bt Abdullah. Pada 4/8/1999 beliau telah berkahwin dengan Ferdoun Aslanian No. Paspot 3369885, seorang warganegara Iran, selepas 4 bulan berkahwin, suami telah menghilangkan diri.

Mengikut keterangan plaintif sendiri di mahkamah, beliau tidak mengamalkan ajaran Islam dan tidak pernah diajar atau di bawa mempelajari Agama Islam oleh suami. Pada masa yang sama beliau beramal dengan ajaran Buddha dan menyembah berhala Tokong Tok Pek Kong, Kuang Yim Neo dan Ti kong, pada setiap hari walaupun semasa menjadi suami isteri bagi pasangan tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak faham Islam dan tidak yakin tentang ajaran Islam itu bahkan tujuannya hanya untuk berkahwin semasa memeluk Islam.

Beliau menyembah berhala itu pada setiap hari dan pada masa yang sama suami ada ikut serta semasa pergi ke Tok Kong Kuang Yim Neo. Ini disahkan lagi dengan keterangan baiyinah adik saudara kandung plaintif sendiri semasa memberi keterangan di mahkamah. Beliau tinggal bersama dengan kakaknya dan melihat kakaknya menjalankan upacara ajaran Buddha dengan menyembah tokong itu setiap hari

Apa yang dihujahkan oleh peguam plaintif iaitu amalan-amalan seharian yang berkaitan dengan agama itu menjadi tanggungjawab dan persoalan yang mahkamah kena selesaikan.

Mahkamah harus melihat dari sudut undang-undang yang ada supaya jelas untuk mahkamah membuat keputusan bagi tuntutan kes ini.

Di dalam Sek. 61(3)(b) .. dalam bidangkuasa malnya mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan (x) pengistiharan bahawa seseorang itu bukan lagi Islam;

Berdasarkan Seksyen 61(3)(b) – (x) di atas jelas memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk membicara dan memutuskan kes yang dibawa ke hadapannya dan tidak dipertikaikan lagi oleh pihak-pihak yang terbabit.

Dalam pada itu Defenden iaitu Majlis Agama Islam Pulau Pinang tidak mengambil apa-apa tindakan yang wajar setelah saman diterima. Afidavit yang difailkan oleh peguam menunjukkan bahawa saman telah disempurnakan. Kegagalan defenden hadir tidak menyebabkan kes ini ditangguhkan dan mahkamah boleh membuat keputusan kes itu.

Apa yang amat dikesalkan ialah Defenden tidak prihatin dalam menjalankan amanah yang diberikan iaitu bagi menjaga masalah orang Islam yang diletakkan ke atas Majlis iaitu badan yang diberi amanah tersebut.

Di dalam Seksyen 7(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 menyatakan – “maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Negeri Pulau Pinang selaras dengan Hukum Syarak.”

Undang-undang di atas jelas memberikan kuasa Majlis mengatur segala peraturan bagi menjamin masalah orang Islam terjamin dan sesuai dengan kaedah Fiqh iaitu –
تصرف الامام علئ رعيته منوط بالمصلحة
- “Tindakan perintah terhadap rakyat berpandukan maslahah”

Hal-hal sedemikian amat jelas supaya Majlis berperanan seperti yang termaktub di dalam undang-undang supaya sesuai dengan kehendak hukum syarak.

Mahkamah merujuk kes Majlis Agama Islam Negeri Sembilan didalam kes Han Mun Meng Mahkamah telah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah berbidangkuasa di dalam memutuskan kes tersebut sesuai dengan Pandangan Hakim Mahkamah Agung Mohamad Yusuf Muhamad menyatakan –
“ Adalah jelas daripada kenyataan penghakiman yang dibuat oleh Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman bahawa keputusan mengenai persoalan-persoalan sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau telah keluar daripada agama Islam sebelum mati, ialah persoalan yang melibatkan Hukum Syarak memerlukan penelitian serius dalam pentakrifan yang betul mengenai Hukum Syarak itu. Tanpa nas yang sah untuk menyokong hujah-hujah itu adalah tidak mencukupi untuk mengatakan bahawa sama ada terdapat prasyarat sebelum seseorang itu menjadi Islam atau sekiranya si mati telah dibuktikan telah bersembahyang di kuil Sikh, maka ia sudah semestinyalah seorang murtad.

Persoalan dalam kes ini, pada pandangan saya, tidak boleh ditentukan melalui penggunaan fakta secara mudah sebagaimana yang dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman semata-mata atas alasan kesahihan dan keberkaitan bukti mengikut Undang-Undang Sivil. Isu yang begitu serius, pada pandangan saya, berkehendakkan perhatian oleh pakar juri yang berilmu dan berkelayakan di dalam Hukum Syarak.

Melihat kepada keadaan ini, maka dalah mustahak supaya keputusan persoalan yang menjadi isu dalam kes ini berkehendakkan perhatian yang mendalam mengenai Hukum Syarak oleh pakar-pakar yang terlatih dan berkelayakan berbuat demikian. Forum yang layak untuk berbuat demikian ialah Mahkamah Syariah.

Di dalam kes terbaru, kes Lina Joy (Rayuan Sivil 01-2-2006(w). Mahkamah Persekutuan Malaysia telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa bagi memutuskan tindakan berkaitan pihak yang Islam dan yang menganuti Agama Islam.

Dalam kes ini juga Tuan Fairuz KHW menyatakan dengan bersetuju dengan pandangan ABIM dan pandangan Persatuan Peguam Syarie serta Persatuan Peguam Muslim dengan menyatakan – Di dalam rayuan di hadapan mahkamah sekarang, tiada ketentuan muktamad bahawa perayu tidak lagi menganuti agama Islam. Maka, kenyataan bahawa perayu tidak boleh lagi berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah hanya ada bidangkuasa terhadap seseorang yang menganuti agama Islam (profees) tidak boleh/wajar ditekankan. Cara seseorang keluar dari sesuatu agama adalah semestinya mengikut kaedah atau undang-undang atau amalan (practice) yang ditentukan atau ditetapkan oleh agama itu sendiri.

Mahkamah ini berpendapat 2 kes yang diputuskan di Mahkamah Sivil dan kes terbaru di Mahkamah Persekutuan itu jelas memberikan bidangkuasa kepada mahkamah syariah bagi membuat perintah yang dipohon. Tindakan pemohon untuk menggunakan undang-undang yang sedia ada wajar diterima dan tatacara yang telah tertulis wajar diambil perhatian di dalam menyelesaikan kes ini.
Di dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Pulau Pinang 2004 Seksyen 121(1)(b) menyatakan – jika apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran:

(b) defenden tidak hadir, Mahkamah boleh tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya.

Mahkamah telah menggunakan budibicara di dalam hal ini untuk meneruskan kes itu atas kepentingan pihak plaintif.

Adalah amat dikesalkan pihak Majlis Agama Islam yang diamanahkan untuk menjaga masalah orang Islam tidak bertindak dengan cepat bagi menyelamatkan akidah orang Islam. Kelewatan memfailkan hujahan dipenghujung kes hanya sia-sia sahaja dan mahkamah tidak terikat dengan pembelaan itu, bahkan mahkamah telah memutuskan untuk membuat keputusan terhadap kes tersebut, apa yang patut dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam ialah mengujudkan tatacara yang mengawal dan menyelia mereka yang menganut Islam untuk keluar Islam. Inilah yang patut dijelaskan dan diambil tindakan dan juga menyediakan tempat yang sesuai untuk mempelajari Islam bagi mereka yang baru memelok Islam sesuai dengan keadaan dan suasana mereka yang masih baru serta berjinak-jinak dengan agama Islam serta menjamin bahawa Islam dianuti itu difahami dan dilaksanakan oleh individu yang ingin melihat Islam itu diamalkan. Jika tiada tindakan atau kaedah yang patut bagi mengawal selia mereka tidak mustahil hal yang sama akan berulang dan mungkin lebih ramai yang akan datang ke mahkamah Syariah untuk menuntut hak mereka bagi mendapat perintah pengistiharan mereka bukan lagi Islam kesan dari keputusan kes Lina Joy di atas. Begitu juga kes Majlis Agama Islam Negeri Sembilan lwn Nyonya Tahir. Hakim Bicara memutuskan bahawa Nyonya Tahir semasa kematiannya bukannya seorang Islam.

Kes di atas amat sesuai kerana ianya mempunyai relevan dengan kes di hadapan mahkamah ini cuma yang berbeza hanya Nyonya Tahir mati dan mayatnya dipertikaikan.

Di dalam perbicaraan yang dijalankan di hadapan mahkamah baiyinah yang ada ialah adik lelaki beliau sendiri menjelaskan hal sebenar kepada mahkamah berkaitan amalan agama Fatimah Tan bt Abdullah dan sepanjang hidup bersama di rumah itu setiap hari melihat kakaknya menyembah tokong seperti nama-nama yang disebutkan di atas dan amalan itu berterusan sehingga sekarang.

Keterangan Bayinah ini menyokong dakwaan plaintif dan menjadi amalan mahkamah Syariah menggunakan baiyinah ini sebagai satu pembuktian yang hendak diambil kira bagi membuat keputusan kes, jika mahkamah tidak menggunakan kaedah ini mahkamah tidak dapat menjalankan fungsi mahkamah iaitu memberi keadilan kepada semua pihak.

Qarinah yang ditunjukkan lampiran “D” P4 – Iaitu “gambar plaintif bersama Toh Pek Kong di dalam rumah P5 – plaintif bersama Tin Kong di kawasan luar rumah itu Kuang Yim Neo iaitu Tok Kong Buddha yang disembah setiap hari oleh plaintif.

Semasa menjawab soalan mahkamah saksi Tan Jim Khim menyatakan beliau tidak pernah melihat suami bersembahyang secara Islam bahkan suami ikut sama kakak sembahyang secara buddha di Tok Kong Kuang Yim Neo.

Antara keterangan yang lain selalu makan babi dan menjadi amalan sejak dari kecil walau pun ketika memeluk Islam pun makan babi juga.

Semua perkara yang dijelaskan di atas adalah gambaran yang menunjukkan plaintif tidak tahu tentang Islam dan tidak mengamalkan Islam sejak berkahwin sampai sekarang ini. Adakah wajar beliau dibiarkan begitu tanpa apa-apa tindakan yang patut diambil bagi menjelaskan Islam dan bukan Islam. Undang-undang yang digubal itu adalah jelas supaya Agama Islam itu dijelaskan supaya dapat menjamin Agama Islam itu benar dan tidak ada apa yang patut dipertikaikan.



Di dalam kitab al Fiqh al Islami wa Adillatuh - Dr Wahbah az Zuhaili juzuk 8 m.s. 6127/6128 Hukum berdasarkan qarinah itu boleh diguna pakai di dalam memutuskan kes


القضاء بالقر ائن أصل من أصول الشرع وذلك سواء فى حال وجود البينة أوالاقرار أم فى حال فقد أى دليل من دلائل الا ثبات

Bermaksud –
‘Penghakiman berdasarkan qarinah merupakan sumber Hukum Syarak sama ada ketika itu ada keterangan atau pengakuan atau dalam hal keadaan tidak ada apa-apa bukti lain.”

Di dalam perkara qarinah itu perlu ada 2 perkara –
1. Perlu ada sesuatu yang zahir yang boleh dikenali serta sesuai untuk menjadikan asa untuk berpegang di atasnya.
2. Mesti ada hubungan yang ditunjukkan di atas perkara yang zahir dan perkara yang tersembunyi.

Mahkamah harus membuat keputusan terhadap permohonan ini supaya kekeliruan dapat dielakkan. Mahkamah akan menghuraikan berkaitan murtad yang dimaksud di dalam Islam supaya dapat diambil tindakan wajar di masa hadapan supaya hal-hal berkaitan akidah ini tidak menjadi serius.

Makna riddah (murtad) pada bahasa ialah “kembali daripada sesuatu kepada yang lain.” Ia adalah sekeji-keji kekufuran dan mendapat seberat-berat hukuman.

Pada pengertian Syarak, riddah ialah “kembali daripada agama Islam kepada Kekufuran, sama ada dengan niat atau perbuatan yang menunjukkan kepada kekufuran atau dengan perkataan yang mempersendakan, kedegilan atau pun i’tiqad.”

Dengan yang demikian, orang murtad ialah orang yang kembali daripada agama Islam kepada kekufuran. Umpamanya orang yang mengingkari kewujudan tuhan Yang Maha Pencipta, menafikan para Rasul, membohongi seseorang Rasul, menghalalkan perkara yang haram secara ijma” seperti zina, liwat, minum arak dan melakukan kezaliman, atau mengharamkan perkara yang halal secara ijma’ seperti jualbeli dan nikah kahwin, atau menafikan perkara yang wajib yang telah disepakati ijma’ ulama ke atasnya, seperti ia menafikan satu rakaat daripada solat fardu lima waktu; atau mengiktikadkan wajib perkara yang tidak wajib secara ijma’, seperti tambah satu rakaat daripada solat fardu yang lima; atau wajib berpuasa sebahagian daripada bulan Syawal, atau berazam untuk menjadi kafir pada esok hari, atau berbolak balik untuk menjadi kafir.

Contoh perbuatan yang boleh menyebabkan kekafiran ialah meletakkan al Quran atau buku hadis Nabawi ke atas perkara-perkara yang kotor atau keji, sujud / menyembah kepada berhala ataupun matahari.

Para ulama’ telah menetapkan unsur-unsur penting mengenai kesalahan ini. Antaranya ialah dengan keluarnya seseorang itu daripada Islam, iaitu dengan tidak lagi berpegang atau mempercayai kebenaran yang dibawa oleh Islam. Seseorang itu boleh terkeluar daripada Islam atau menjadi murtad dengan salah satu daripada tiga cara, iaitu melalui perbuatan, pertuturan atau iktikad (kepercayaan di dalam hati)

Sebagai tambahan untuk memperjelaskan lagi keadaan ini, seseorang itu boleh menjadi murtad secara perbuatan apabila ia melakukan penyembahan kepada selain daripada Allah 1 seperti menyembah berhala ( patung ), matahari, bulan bintang dan sebagainya. Ia juga boleh berlaku apabila seseorang itu melakukan perkara yang diharamkan oleh Islam dengan sengaja dan menganggapnya sebagai halal dengan tujuan merendah-rendahkan dan menghina segala peraturan yang dibuat oleh Islam.

Demikian juga jika ia meninggalkan perintah-perintah yang diwajibkan, di samping mengatakan perintah-perintah itu tidak diwajibkan ke atas mereka. Contohnya sebagaimana yang telah berlaku pada zaman Saidina Abu Bakar as Siddiq, sebahagian daripada umat Islam ketika itu enggan membayar zakat dengan anggapan bahawa zakat tidak lagi wajib selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.

Murtad boleh berlaku dengan penuturan perkataan yang menunjukkan kekufuran seperti mengengkari kewujudan Allah, menafikan rukun-rukun iman yang lain serta menidakkan kewajipan-kewajipan yang dikenakan ke atas seluruh umat Islam. Ini seperti mengatakan bahawa dia tidak diwajibkan solat atau mengatakan hukum-hukum Islam hanya sesuai untuk zaman dahulu, tetapi tidak lagi sesuai untuk zaman moden ini dan lain-lain kenyataan yang menunjukkan kepada merendahkan kedudukan agama Islam itu sendiri.

Melalui iktikad juga seseorang itu boleh murtad jika dia mempercayai sesuatu itu yang bertentangan dengan akidah Islam, seperti mengiktikadkan bahawa al Quran bukan wahyu, Nabi Muhammad s.a.w. bukan pesuruh Allah atau dengan mempercayai bahawa undang-undang ciptaan manusia adalah lebih baik daripada syariat Islam.

Secara ringkas, ulama’ bersepakat bahawa dua syarat bagi kesahihan murtad ini adalah berakal waras dan pilihan sendiri (sukarela).

Hukuman Bagi Orang Murtad

Ulama’ telah sepakat tentang wajibnya hukuman bunuh ke atas orang murtad berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. –

من بد ل دينه فاقتلوه

Bermaksud : “Sesiapa yang menukar ke Islamannya, bunuhlah dia”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi –yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah R.h

أن امرأة ارتد ت يو م أحد فا مر رسول الله (ص) أن تستتا ب فان تابت والاقتلت.

Bermaksud: seseorang perempuan telah bertindak murtad pada waktu perang Badar, Rasullah S.A.W telah menyuruh agar perempuan tersebut diminta bertaubat.Maka jika dia bertaubat dia kembali kepada Agama Islam dan jika tidak dia dibunuh.

لايحل دم امرىء مسلم الا باحدى ثلاث: الثيب الزانى, والنفس بالنفس, والتارك لدينه المفارق للجماعة.

Bermaksud: “Tidak halal darah seseorang Muslim kecuali dengan salah satu daripada tiga perkara; duda (thayyib) yang berzina, qisas nyawa dengan nyawa dan orang meninggalkan agamanya yang terpisah daripada jemaah.”

Murtad dianggap sebagai satu kesalahan besar dan dosanya tidak akan diampunkan oleh Allah, Allah berfirman didalam surah Al Baqarah ayat 217;


ومن يرتد د منكم عن دينه فيمت وهو كافر فأؤلئك حبطت أعملهم فئ الدنيا والأخرة وأولئك اصحب النار هم فيها خلدون

Yang bermaksud: “ Barang siapa yang murtad diantara kamu dari agamanya, lalu ia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalnya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”

Di dalam Kitab Kifayatuk Akhyar dinyatakan –

فصل فى الردة ومن ارتد عن الاسلام استتيب ثلاثا. فاءن تاب والاقتل ولم يغسل ولم يصل عليه ولم يدفن فى مقابر المسلمين.

Yang bermaksud: “Barang siapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat ( diterima taubatnya dan ia kembali kepada Islam) dan jika tidak, dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam”

Seterusnya disebutkan bahawa barangsiapa yang tetap dan kekal atas kemurtadannnya, ia harus ditumpahkan darahnya, disebabkan kerana ia telah melakukan perkerjaan yang paling keji dan paling berat hukumannya, iaitu kekufuran. Apabila telah dijalankan hukuman bunuh tersebut, maka mayat si murtad itu tidak boleh dimandikan, tidak boleh disolatkan dan tidak boleh dikuburkan bersama orang-orang Islam kerana dia adalah seorang kafir, yang tidak mempunyai hak untuk dihormati.

Berdasarkan kepada huraian di atas adalah jelas bahawa riddah (murtad) itu adalah suatu kesalahan besar di sisi agama Islam dan mempunyai hukuman yang sangat berat.

Berdasarkan keadaan palintif dan qarinah-qarinah yang ditunjukkan itu amat jelas bahawa beliau tidak mengamalkan ajaran Islam sejak dari mula memeluk Islam lagi, akibat dari kekurangan inilah beliau ingin kembali kepada agama asalnya iaitu buddha. Walaupun mahkamah memandang serius hal ini, tetapi mahkamah tidak mempunyai pilihan melainkan memutuskan iaitu permohonan plaintif ini diluluskan.

a. Bahawa Plaintif bukan lagi orang Islam mengikut Seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004
b. Majlis Agama Islam hendaklah membatalkan Sijil Memeluk Islam bilangan daftar 126/98 bertarikh 11.8.1998.



Hakim Mahkamah Tinggi Syariah
Pulau Pinang.

Tarikh:

Selasa, 13 Mei 2008

Undang-Undang Murtad di Malaysia

Sejak berita mengenai Kes Fatimah Tan di Penang keluar di media massa,heboh sana sini
cerita dan andaian,segala macam anggapan termasuk tohmahan dan cercaan dilemparkan samada kepada Mahkamah,Peguam dan pihak-pihak yang berkaitan.

Apa sebenarnya yang berlaku? Mahkamah membenarkan murtad?perlaksanaan syariah di malaysia longgar?Mahkamah gagal menjaga aqidah?tiada undang-undang mengenai murtad? segala macam mak nenek persoalan dilemparkan.Bagaikan kes Fatimah Tan ni la yg seumpamanya di Malaysia.Hakikat sebenarnya inilah kes kali yang ke entah berapa ratus-100,200 atau lebih lagi yang telah diputuskan oleh MS.Proviso jelas,dan Mahkamah telah membuat judgment berdasarkan beberapa aspek.Bukan secara sembrono camtu.Tidak sekali kali.

InsyaAllah tulisan akan datang akan melihat sejauhmana peruntukan undang-undang mengenai murtad di Malaysia.Kes-kes murtad(pengistiharan status) yang teah diputuskan di Malaysia.Apakah tepat andaian tiada langsung proviso mengenai murtad/cubaan murtad? ...............