Khamis, 14 Ogos 2008

Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan(3))

heeh laju je jika main copy n paste ni hehe.Takpe janji kita boleh kongsi isu yag hangat duk diperbincangkan.

Antara kes yang dirujuk dalam forum Bar Counsel baru ni ialah kes Subashini-mari kita lihat dan baca tulisan peguam dibawah ni.

Subashini v Rajeswaran -Ketidakadilan ke atas orang Islam kenapa didiamkan
OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Di dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, peguam Subashini telah mengemukakan sembilan persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah.

Saya berpendapat sembilan persoalan undang-undang yang dikemukakan tersebut tidak menjawab isu sebenar . Isu sebenar adalah adakah seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 ( selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut ) selaras atau bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,artikel yang melarang diskriminasi .

Isu tersebut sepatutnya harus diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana Seksyen 51 secara jelas mendiskriminasi pihak yang beragama Islam kerana seksyen tersebut melarang pihak yang beragama Islam ( sama ada suami atau isteri ) untuk pergi ke Mahkamah Sivil bagi mendapatkan perintah penceraian di atas alasan beliau telah memeluk Islam.

Secara ringkasnya fakta kes ini adalah seorang wanita Hindu , Subashini Rajasingham telah berkahwin dengan seorang lelaki Hindu bernama Saravanan Thangathoray pada tahun 2001.

Hasil perkahwinan mereka terdapat dua orang anak iaiti Dharvin Joshua berumur 3 tahun dan Sharvind berumur 1 tahun. Saravanan kemudiannya telah memeluk agama Islam dengan nama Islamnya Muhammad Shafi.

Memandangkan isterinya kekal dalam agama Hindu, Muhammad Shafi tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan perintah pembatalan perkahwinannya dengan isterinya yang masih beragama Hindu.

Menurut undang-undang Islam, perkahwinan Muhammad Shafi adalah dikira terbatal secara automatik apabila beliau memeluk Islam tatkala isterinya enggan masuk Islam dan kekal dalam agama Hindu.

Bagaimanapun di dalam undang-undang yang sedia ada Muhammad Shafi perlu mendapatkan perintah Mahkamah terlebih dahulu bagi membatalkan perkahwinannya dengan bekas isterinya tersebut kerana Seksyen 46 ( 1 ) Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 memperuntukkan bahawa:

“ Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk satu kepercayaan lain daripada Islam , maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan demikian oleh Mahkamah.”

Muhammad Shafie tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah kerana meskipun perkahwinannya dengan bekas isterinya dikawal oleh Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 ( selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut ) , Akta tersebut sendiri menghalang Muhammad Shafie untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi ( Sivil ) kerana berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut diperuntukkan:

“ Jika satu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam maka pihak yang satu lagi yang tidak masuk Islam boleh mempetisyen untuk penceraian.”

Berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut adalah jelas Muhammad Shafie dihalang oleh undang –undang sivil sendiri untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Sivil.

Seksyen 51 digubal di atas falsafah bahawa memasuki agama Islam dikira satu kesalahan matrimonial dan yang demikian pihak yang masuk Islam dinafikan haknya untuk mendapatkan remedi di Mahkamah Sivil.

Di dalam kes Pedley v Majlis Agama Islam , Pulau Pinang ( 1990 ) 2 MLJ 307 Y.A Hakim Wan Adnan menyatakan bahawa “ satu perkahwinan bukan Islam tidak dibubarkan apabila satu pihaknya memeluk Islam. Ia hanya memberi alasan kepada satu pihak satu lagi yang tidak masuk Islam untuk memfailkan petisyen penceraian ( di Mahkamah sivil ).

Meskipun di dalam kes tersebut Kadi Besar memutuskan bahawa perkahwinan di dalam keadaan tersebut akan dibubarkan mengikut undang –undang Islam, Hakim Wan Adnan menyatakan; “ pernyataan Kadi Besar itu tidak akan menjejaskan keadaan Plaintif di dalam pandangan undang-undang peribadinya dan undang-undang sivil negara.”

Kesan ketara seksyen 51 dalam konteks kes ini adalah perkahwinan antara Muhammad Shafie dan Subashini akan terus wujud selagi mana Subashini tidak memfailkan petisyen penceraiannya di Mahkamah Tinggi dan ini mendatangkan satu ketidakadilan kepada pihak yang masuk Islam.

Meskipun di dalam kes ini Muhammad Shafi telah mendapatkan perintah pembubaran perkahwinannya dengan Subashini di Mahkamah Syariah namun ianya tidak berkesan membubarkan perkahwinannya ke atas Subahsini , Ini kerana menurut seksyen 4 atau 8 Akta tersebut perkahwinan tersebut , jika sah hendaklah berterusan sehingga dibubarkan

( a ) dengan kematian salah satu pihak ;

( b ) dengan perintah sesuatu Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa yang layak ; atau

( c ) dengan dikri pembatalan yang dibuat oleh sesuatu Mahkamah

“Mahkamah” di dalam seksyen tersebut ditakrifkan sebagai Mahkamah Tinggi atau Hakim Mahkamah Tinggi.

Di dalam kes ini bagaimanapun Subashini telah memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membubarkan perkahwinannya dengan Muhammad Shafi . Sebelum petisyen penceraian tersebut didengar, Subahsini telah membuat permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi bagi :-

a.Menghalang Muhammad Shafi mengislamkan anak –anak mereka ;

b.Menghalang Muhammad Shafi untuk memulakan atau meneruskan prosiding berhubung dengan perkahwinan mereka dan anak-anak mereka di Mahkamah Syariah .

Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan injunksi tersebut meskipun pada awalnya membenarkan injunksi diberikan secara ex parte telah membatalkan perintah injunksi tersebut atas alasan-alasan berikut :-

a.Injunksi tidak boleh diberikan ke atas apa-apa prosiding di Mahkamah Syariah di bawah seksyen 54 (b) Akta Relif Spesifik 1950 kerana Mahkamah Syariah bukan Mahkamah yang lebih rendah daripada Mahkamah Tinggi ;

b.“Subject matter” bagi permohonan injunksi tersebut adalah termasuk dalam perkara yang berkaitan undang-undang Islam maka berdasarkan Perkara 121 ( 1A ) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan tersebut.

Subashini telah memfailkan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Rayuan dua orang Hakim ( Hakim Dato’ Suriyadi dan Dato” Hassan Lah ) telah memutuskan menolak rayuan Subashini manakala Hakim Gopal Sri Ram memberikan keputusan yang menentang ( dissenting judgment ).

Keputusan Mahkamah Rayuan khususnya keputusan Hakim Dato’ Hassan Lah telah dikritik secara bertalu-talu oleh pihak bukan Islam dan juga sesetengah orang Islam sendiri kerana Hakim tersebut telah memberikan satu pandangan bahawa Subashini masih mempunyai peluang ( recourse ) untuk pergi ke Mahkamah Rayuan Syariah jika beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah kerana di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam ( Wilayah Persekutuan )1993 iaitu di bawah seksyen 53 terdapat peruntukkan yang membenarkan Mahkamah Rayuan Syariah untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafie .

Yang Arif Hakim Hasan Lah di dalam penghakimannya menyatakan;

“ I think the wordings in that section ( section 53 ) is wide enough to enable the wife to apply to the Syariah Appeal Court to exercise its supervisory and revisionary powers to make the ruling on the legality of the husband's application and the interim order obtained by the husband on the ground that the Syariah Court had no jurisdiction over the matter as she is not a person professing a religion of Islam. The wife could have done that rather than asking the Civil Court to review the Syariah Court's decisions”.

Kritikan yang dibuat oleh pihak-pihak bukan Islam adalah Mahkamah Syariah tidak layak sama sekali mengadili orang bukan Islam dan cadangan Dato Hasan Lah adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam sahaja.

Kritikan tersebut secara jelas mengabaikan atau mengenepikan perkara –perkara berikut :-

a.Cadangan Hassan Lah adalah bagi memberikan ruang untuk Subashini mendapatkan peluang untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah , sekiranya beliau tidak berpuashati , melihat atau menyemak legaliti keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam melakukan hal tersebut Subashini hanya perlu menulis surat kepada Mahkamah Rayuan Syariah untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah menyemak kembali keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafi

b.Tidak langsung membicarakan peruntukkan seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 yang menghalang sama sekali Muhammad Shafi memfailkan penceraiannya dan mendapatkan perintah-perintah yang berkaitan ( ancillary orders ) di Mahkamah Sivil yang mana seksyen 51 ini adalah satu diskriminasi yang ketara ke atas orang Islam dan boleh dihujahkan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan persamaan di sisi undang-undang ( equality before the law ).

c.Memaksa untuk Muhamad Shafie untuk tunduk dan menyerah diri kepada bidangkuasa Mahkamah Sivil ke apabila Muhammad Shafie dijadikan Responden di dalam petisyen penceraian yang difailkan oleh Subahshini di bawah seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 sedangkan berdasarkan seksyen 3 ( 3 ) Akta tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa Akta tersebut tidak terpakai kepada orang Islam tetapi enggan mengarahkan Subashini untuk tunduk kepada Mahkamah Syariah bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah .

d.Tidak langsung mengambil kira kritikan Hakim Dato Suriyadi di dalam penghakimannya kepada pihak-pihak yang menjadi pemerhati di dalam kes tersebut seperti Sisters In Islam, Woman's Aids Organization ( WAO ), Woman's Centre for Change ( WCC ), Bar Council dan yang lain yang meskipun diberi peluang untuk mengemukakan hujah mereka telah tidak membuat persiapan yang mencukupi ( ill prepared ) di dalam mengemukakan hujah bagi membantu Mahkamah.

Hakim Dato Suriyadi menyatakan, “ Well-intentionned third parties, championing certain views did not contribute much to the proceeding before us due to their ill preparedness.”

Kesimpulannya kes Subahsini ini merupakan satu lagi plot baru pihak-pihak tertentu memanipulasi keadaan bagi mewujudkan satu rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam khususnya terhadap peranan Mahkamah Syariah dan perlaksaaan undang-undang Islam di negara ini.

Kes ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Intipati dari keputusan mahkamah.

Mahkamah Persekutuan i menolak rayuan R Subashini untuk menghalang suaminya yang telah memeluk Islam daripada membawa kes perceraian mereka ke mahkamah syariah, atas sebab-sebab teknikal.

Dalam keputusan majoriti 2-1, mahkamah tertinggi di Malaysia itu, memutuskan ia kerana Subashini telah memfailkan petisyen perceraian mereka terlalu awal daripada tempoh yang ditetapkan di bawah Akta Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA).

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa pertikaian bagi membubarkan perkahwinan seorang bekas setiausaha itu dengan suaminya yang memeluk Islam serta bagi mendapatkan hak penjagaan anak mereka terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil.

Rayuan Subashini itu didengar oleh panel tiga orang hakim - Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk Azmel Ma’amor dan Datuk Abdul Aziz Mohamad.

“Perkahwinan bukan menurut Islam antara seorang suami dan isteri masih kekal sehinggalah ia dibubarkan oleh Mahkamah Tinggi berdasarkan petisyen perceraian oleh pasangan yang kekal dengan agamanya mengikut Seksyen 51 (1) Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976,” kata Nik Hashim.

Nik Hashim berkata, perintah mahkamah syariah membubarkan perkahwinan sivil tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang selain ianya merupakan satu keterangan perceraian mengikut hukum Syarak.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan bahawa suami Subashini, T. Saravanan, berhak merujuk kepada mahkamah syariah kerana beliau tertakluk kepada undang-undang Islam selepas menjadi seorang muslim.

Di bawah LRA, Subashini hanya boleh memfailkan petisyen perceraian tersebut selepas tamatnya tempoh tiga bulan dari tarikh suaminya, T Saravanan memeluk Islam.

Bagaimanapun, Subashini memfailkan petisyen perceraian itu 12 hari sebelum tamat tempoh tiga bulan berkenaan.

Oleh itu, petisyen perceraian tersebut dianggap batal dan tidak sah.

Subashini, 28, yang beragama Hindu, mahu menghalang suaminya itu, yang telah memeluk Islam dengan nama Muhammad Shafi Saravanan Abdullah, daripada membawa prosiding perceraian mereka ke mahkamah syariah.

Suaminya telah memeluk agama Islam pada bulan Mei 2006 bersama-sama dengan anak lelaki sulung mereka, Dharvin Joshua, 4.

Suaminya kemudiannya membawa prosiding perceraian mereka ke mahkamah syariah serta memohon hak penjagaan anak lelaki kedua mereka, Sharvin, 2.

Mahkamah Persekutuan juga memutuskan hari ini bahawa Muhammad Shafi tidak menyalahgunakan proses mahkamah apabila menukar agama anaknya yang berusia empat tahun itu tanpa pengetahuan ibunya.

Menurutnya, mengikut undang-undang Islam, hanya seorang sahaja - ibu atau bapa - mesti dimaklumkan mengenainya pertukaran agama anak tersebut.

TJ:` apa yang diboldkan istulah isu sebenarnya mengapa mereka beriya-iya nak pinda rtikel 121(1A) ni. Sedangkan kalau diperhatkan dimana remedi bagi yang memeluk Islam ? dek sekatan Law Refor, S 51 tu,menyebabkan seseorang yang memeluk islam masih lagi terikat(perkahwinan sivil mereka) dengan pasangan(bekas) yang masih belum Islam selagi tiada petisyen perceraian dibuat oleh pasangan yang belum Islam di Mahkamah sivil.Bila lagi nak pinda yang ni?....

Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan(2)

Pasca pindaan 121(1A)...

sebahagian kes yang disebut:

selepas pindaan kepada Perkada 121 Perlembagaan itu ternampak perubahan sikap Mahkamah Sivil. Dalam kes Dalip Kaur lwn Pegawai Polis, Bukit Mertajam [ 1982 ] 1 MLJ 1; [ 1982] 8 JH 306 perayu telah memohon deklarasi bahawa anak lelakinya pada masa ia meninggal dunia pada 3 Oktober 1991 bukan seorang Islam dan atau ia telah keluar daripada ugama Islam dan untuk deklarasi lanjutan bahawa ia berhak mendapat mayat si mati itu. Si mati telah dilahirkan seorang Sikh dan dididik mengikut ugama Sikh. Ia telah memeluk ugama Islam pada 1 Jun 1991 di hadapan Kadi Daerah Kulim dan kemasukannya telah didaftar mengikut seksyen 139 Enakmen Pentadbiran Agama Islam, 1962, Kedah. Perayu telah berhujjah bahawa selepas simati memeluk ugama Islam ia telah melalui Deed Poll pada 9 September 1991 menolak ugama Islam dan kembali kepada amalan kepercayaan Sikh. Juga dihujjahkan bahawa si mati telah diterima balik ke ugama Sikh oleh seorang padri Sikh dan si mati selalu hadir sembahyang di kuil Sikh.

Di hujjah juga bahawa si mati terus memakan babi dan tidak berkhatan. Ada keterangan yang diberi bahawa si mati telah bertunang dengan seorang perempuan Islam dan perkahwinan mereka telah ditetapkan pada 15 November 1991. Di dalam perbicaraan di hadapan Mahkamah Tinggi, Yang Ariff Pesuruhjaya Kehakiman, Dato' Abdul Hamid bin Haji Mohamad telah memutuskan bahawa tandatangan di Deed Poll itu bukan tandatangan si mati dan beliau juga menolak keterangan padri Sikh dan abang si mati mengenai penerimaan semula si mati ke ugama Sikh dan kehadirannya di sembahyang di kuil Sikh. Beliau memutuskan bahawa si mati adalah seorang Islam semasa ia meninggal dunia. Perayu telah membuat rayuan. Apabila rayuan itu didengar Mahkamah Agung telah menghantar kes itu balik ke Mahkamah Tinggi supaya Yang Ariff Pesuruhjaya Kehakiman merujuk beberapa soalan mengenai Hukum Syara' yang timbul kepada Jawatankuasa Fatwa Kedah. Ini telah dibuat dan selepas mendapat jawapan daripada Jawatankuasa Fatwa itu Yang Ariff Pesuruhjaya Kehakiman telah mengesahkan pendapat dan keputusannya. Perayu telah membuat rayuan.

Diputuskan (1) Yang Ariff Pesuruhjaya Kehakiman berhak menerima jawapan-jawapan dari Jawatankuasa Fatwa kepada soalan-soalan yang dikemukakan kepada mereka dan yang mana telah dipersetujui oleh semua pihak. Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa si mati adalah seorang Islam kerana ia telah disabit ke Islamannya dengan ia mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Kadi seperti yang tercatat di dalam surat ikrar orang yang masuk Islam dan berkekalan Islamanya kerana tidak ada hukuman dari mana-mana Mahkamah Syariah Negeri Kedah vang mensabitkan ia terkeluar daripada Islam.

(2) Yang Ariff Pesuruhjaya Kehakiman telah menimbang semua keterangan di hadapannya dan telah membuat beberapa pendapatnya yang teguh dan yang tidak boleh dikatakan berlawanan dengan tekanan beratnya keterangan. Mahkamah Rayuan tidak seharusnya menganggu pendapat-pendapat fakta hakim yang membicarakan kes itu yang tekah melihat dan mendengar saksi-saksi dan membuat taksiran mengenai kebolehpercayaan dan kesan keterangan yang diberi. Beliau telah tidak menyalaharah diri di dalam perkara undang-undang atau fakta.

Dalam keputusannya Mohamed Yusuf HMA Mohamed yang menyokong keputusan Hashim Yeop Sani Hakim Besar telah berkata -

"Adalah jelas daripada kenyataan penghakiman yang dibuat oleh Yang Ariff Pesuruhjaya Kehakiman bahawa keputusan mengenai persoalan sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau telah keluar daripada ugama Islam sebelum mati, ialah persoalan yang melibatkan Hukum Syarak yang memerlukan penelitian serius dalam pentakrifan yang betul mengenai Hukum Syarak itu. Tanpa nas yang sah untuk menyokong hujah-hujah itu, adalah tidak mencukupi untuk mengatakan bahawa sama ada masih wujud pra-syarat sebelum seseorang itu menjadi Islam atau sekiranya si mati telah dibuktikan telah bersembahyang di kuil Sikh, maka ia sudah semestinyalah seorang murtad.

Dalam persoalan dalam kes ini, pada pandangan saya, tidak boleh ditentukan melalui penggunaan fakta secara mudah sebagaimana yang dibuat oleh Yang Ariff Pesuruhjaya Kehakiman semata-mata atas alasan kesahihan dan keberkaitan bukti mengikut undang-undang sivil. Isu yang sebegitu serius, pada pandangan saya, berkehendakkan perhatian oleh juru pakar yang berilmu dan berkelayakan dalam Hukum Syara'.

Melihat kepada keadaan ini, maka adalah mustahak supaya pemutusan persoalan yang menjadi isu dalam kes ini berkehendakkan perhatian yang mendalam mengenai Hukum Syarak oleh pakar-pakar yang terlatih dan berkelayakan berbuat demikian. Forum yang layak untuk berbuat demikian ialah Mahkamah Syariah."

Dalam kes Mohamed Habibullah lwn Faridah [ 1992] 2 MLJ 793; 1992] 9 JH 23 responded yang telah berkahwin dengan perayu telah memohon pembubaran perkahwinan di Mahkamah Syariah, Kuala Lumpur. Oleh kerana kes itu lambat diselesaikan dan untuk mengelak gangauan dari suaminya, dia telah memfailkan guaman di Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur terhadap supaya menuntut gantirugi dan injunksi oleh kerana perbuatan serangan dan serangsentuh oleh suaminya. Telah dihujjahkan oleh peguam bagi pihak suami bahawa Mahkamah Tinggi Sivil telah mempunyai bidangkuasa mendengar tuntutan itu atau mengeluarkan injunksi oleh kerana kedua-dua pihak adalah orang Islam dan presiding itu berhubung dengan undang-undang keluarga.

Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan dia mempunyai bidangkuasa mendengar kes itu. Perayu telah membuat rayuan. Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan itu. Harun Hashim H.M.A. dalam keputusan telah berkata tujuan Parlimen dengan mengadakan perkara 121 (1 A) Perlembagaaan ialah menyingkir bidangkuasa Mahkamah Tinggi Sivil mengenai apa-apa perkara yang dibawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Oleh kerana itu apabila ada cabaran kepada bidangkuasa, pendekatan yang betul ialah melalui sama ada Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa dan bukan sama ada badan perundangan negeri mempunyai kuasa memperbuat undang-undang itu yang memberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah. Pihak-pihak dalam kes itu adalah orang Islam, mereka adalah suami dan isteri dan tuduhan serangan dan serang-sentuh itu dibuat di dalam masa perkahwinan. Perbuatan-perbuatan yang diadu itu termasuk di bawah seksyen 127 Akta Undang-undang Keluarga Islam, 1984, dan Mahkamah Syariah mempunyai kuasa mengeluarkan injunksi di bawah seksyen 107 Akta itu. Tidak syaklah Mahkamah Syariah telah diberi bidangkuasa mengenai perkara yang dibawa di hadapan Mahkamah Tinggi di dalam kes itu. Akta Mahkamah Kehakiman 1964 termasuk Seksyen 4 dalamnya tidak boleh dikatakan Akta atau peruntukan berkanun menyentuh Perlembagaan kerana ia adalah undang-undang biasa yang dibuat di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan akan tetapi dibuat cara biasa sahaja. Oleh kerana itu ia tidak boleh mengatasi peruntukan-peruntukan Perlembagaan itu sebagai dipinda dari masa ke semasa.

Walaupun pada satu ketika responden telah membuat suratakuan dia telah keluar dari agama Islam, temampak dari keterangan yang diberi bahawa dua-dua pihak adalah orang Islam apabila kes itu dibicarakan oleh Mahkainah Tinggi Sivil. Walaubagaimanapun untuk memutuskan sama ada seorang Islam telah murtad, mahkamah yang layak menjawab soalan itu hanyalah Mahkamah Syariah. Atas fakta-fakta di dalam kes itu Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidangkuasa mendengar dan memutuskan tindakan responden untuk mendapat gantirugi bagi serangan dan serangan sentuh terhadap suaminya dan mendapat injunksi berkaitan dengan perkara itu. Perintah injunksi sementara telah dibubarkan dan permohonan untuk membatalkan writ dan penyataan tuntutan telah dibenarkan.

Tamar Jalis:`yang diboldkan antara perkara yang paling tidak disenangi oleh `MEREKA` dari hari ke sehari cubaan untuk menggugat bidagkuasa MS dibuat dengan berbagai hujjah..InsyaAllah akan bawakan Kes Lina Joy/Subashini/Shamala.

Rabu, 13 Ogos 2008

Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan

Tesis saya dahulu dengan tajuk :Kedudukan mahkamah Syariah Selepas Pindaan Perkara 121 (1A) ....tapi malaslah nak menulis,so kali ni nak copy n paste je la,lagi pun benda nya lebih kurang sama je,sebab kandungan tesis dulu pun rujuk kat penulis ni jugak heheheheh(lihat sama artikel mengenai kes liwat-ada kaitan tuh mengeni pindaan ni dan bagaimana konflik boleh berlaku.)

bagaimana keadaan sebelum pindaan....

Pada tahun 1988 Perkara 121 perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan menyebut di fasal (1A) maksudnya Mahkamah Tinggi Sivil tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Pada masa dahulu sebelum pindaan itu dibuat terdapat banyak kes di mana Mahkamah Sivil telah membuat keputusan mengenai perkara yang termasuk dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dan adakalanya telah mengubah keputusan yang telah dibuat di Mahkamah Syariah.


Satu kesan yang terbesar yang diperolehi dari pindaan itu ialah mengelakkan percanggahan antara keputusan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi seperti yang terdapat di dalam beberapa kes terdahulunya. Umpamanya di dalam kes Myriam v Ariff [1971] 1 MLJ 275 di mana perceraian telah diadakan di hadapan Qadi dan Qadi Yang Ariff telah mencatatkan perintah atas persetujuan kedua-dua pihak memberi hak jagaan anak dari perkahwinan itu iaitu seorang anak perempuan berumur 8 tahun dan seorang anak lelaki berumur 3 tahun kepada bapa mereka. Ibu mereka kemudiannya telah berkahwin dengan lelaki yang bukan muhrim kepada anak itu dan ia menuntut hak jagaan anak itu. Abdul Hamid H, pada masa itu, memutuskan bahawa perintah yang dibuat oleh Qadi itu tidak menghalang pihak menuntut iaitu ibu anak itu membuat perrmohonan kepada Mahkamah Tinggi. Beliau merujuk kepada seksyen 45 (6) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam, Selangor, 1952, yang memperuntukkan: "Tiada apa-apa yang terdapat di dalam enakmen ini akan menganggu bidangkuasa Mahkamah Sivil dan apabila terdapat perbezaan atau percanggahan antara keputusan Mahkamah Qadi Besar atau seorang Qadi dengan keputusan Mahkamah Sivil, yang bertindak di dalam bidangkuasanya, keputusan Mahkamah Sivil adalah mengatasi."

Di dalam kes itu Hakim Yang Ariff memutuskan Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa di bawah Guardianship of Infants Act 1961, yang telah diterima oleh Dewan Undangan Selangor dengan syarat bahawa tiada apa-apa di dalam Akta itu yang berlawanan dengan agama Islam atau adat Melayu boleh dikenakan kepada seorang di bawah umur lapan belas tahun yang menganuti ugama Islam. Beliau juga memutuskan bahawa Akta itu tidak bercanggah dengan ugama Islam atau adat Melayu dan oleh kerana itu boleh dikenakan kepada orang-orang yang menganuti ugama Islam.

Hakim Yang Ariff ada membuat rujukan kepada undang-undang Islam yang beliau berkata memperuntukkan antara lain bahawa "seseorang perempuan yang berhak mendapat hak jagaan seorang kanak-kanak lelaki atau perempuan adalah hilang haknya jika perempuan itu berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu dalam mana seorang lelaki itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, semasa perkahwinan itu wujud."

Walau bagaimanapun beliau berkata "Saya berpendapat bahawa mahkamah terhalang membuat perintah bagi hak jagaan memberi anak itu kepada seorang ibu atau bapanya jika kebajikan anak itu memerlukan demikian." Sebelum itu beliau telah berkata "Di dalam usaha saya menghasilkan keadilan saya becadang menggunakan budibicara saya dan memberi perhatian pertama kepada kebajikan kanak-kanak itu. Dengan membuat demikian bukanlah niat saya mengenepikan agama dan adat pihak-pihak yang berkenaan atau kaedah-kaedah di bawah agama Islam, akan tetapi itu tidak semestinya bermakna mahkamah hendak mematuhi dengan tegasnya kepada kaedah-kaedah yang diperuntukkan oleh agama Islam. Mahkamah pada pendapat saya tidak dilucutkan kuasa Budibicaranya."

Akhirya Hakim Yang Ariff itu telah memberi hak jagaan anak lelaki yang kecil kepada ibunya dan hak jagaan anak perempuan yang besar itu kepada bapanya.

Undang-undang di beberapa negeri Melayu mengenai hakjagaan kanak-kanak telah dikanunkan di dalam Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam akan tetapi telah terdapat dua aliran. Mahkamah Syariah membuat keputusan atas asas Undang-undang Islam akan tetapi apabila permohonan dibuat ke Mahkamah Sivil keputusan-keputusan Mahkamah Syariah itu tidak diikuti bahkan adakala diketepikan dan kes-kes itu diputuskan berpandu kepada Akta Penjagaan kanak-kanak, 1961. Apa yang lebih tidak memuaskan dalam perkara ini ialah sungguhpun Akta Penjagaan kanak-kanak itu dikenakan kepada orang-orang Islam peruntukan yang lebih meluas dan dekat kepada undang-undang Islam yang terdapat di dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1876 tidak dikenakan kepada orang-orang Islam.



Di dalam kes Commissioner for Religious Affairs, Terengganu & Ors v Tengku Mariam [1969] 1 MLJ 110 Mahkamah Tinggi diminta memutuskan sama ada wakaf yang dibuat oleh Tengku Chik untuk faedah keluarganya sah atau tidak. Perkara itu telah sebelum itu dirujuk kepada Mufti yang telah mengeluarkan fatwa mengesahkan wakaf itu. Akan tetapi Hakim Yang Ariff di Mahkamah Tinggi telah tidak menghiraukan fatwa itu. Hakim itu berkata "Saya telah banyak benar menimbangkan perkara ini dan berpendapat bahawa jikalau mahkamah ini pun sendiri yang meminta fatwa itu, mahkamah ini mempunyai budibicara yang tidak terhad mengenai setakat mana ia menerima fatwa itu dan boleh enggan mengikat dirinya dengan fatwa itu. Saya tidak terdapat apa-apa di dalam Enakmen itu yang menyentuh kuasa mahkamah itu menghuraikan Undang-undang Islam dan saya bercadang menggunakan kuasa itu.

Undang-undang Islam yang dihuraikan oleh Hakim Yang Ariff itu berdasarkan kepada dua keputusan Privy Council, kes Abdul Fata Mohamed Ishak v Rasamava Dhur Chowdhurv (1894) L.R. 22 1A76 dan Fatimah binti Mohamad lwn Salim Bahshuwen [1952] A.C. 1. Hakim Yang Ariff di dalam kes Tengku Mariam itu telah memutuskan ia terikat dengan keputusan- keputusan Privy Council itu dan terpaksa memutuskan wakaf itu tidak sah. Rujukan tidak dibuat kepada peruntukan di dalam Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam, Terengganu, 1955 yang membezakan antara wakaf am dan wakaf khas, atau kepada Undang-Undang Islam yang terdapat di dalam al-Quran, hadith dan kitab-kitab ulama Islam. Apabila rayuan dibuat kepada Mahkamah Persekutuan (Lihat [1970] 1 MLJ 222), majoriti Mahkamah itu telah memutuskan bahawa pihak-pihak di dalam kes itu telah terhalang dari mencabar kesahan wakaf itu oleh kerana mereka telah pun bersetuju mengikut fatwa Mufti di dalam kes itu. Majoriti hakim itu walau bagaimanapun berpendapat seperti yang disebut oleh Suffian, Hakim Persekutuan, pada masa itu "bahawa atas autoriti keputusan-keputusan Privy Council itu yang disebutkan kepada kami, Hakim Yang Ariff yang membicarakan kes itu terikat dan juga kami terikat untuk memutuskan bahawa wakaf itu tidak sah, walaupun terdapat fatwa Mufti sebaliknya.: Hakim Ali yang memberi keputusan tidak bersetuju berpendapat bahawa pihak-pihak di dalam kes itu terikat dengan fatwa itu. Beliau berkata "Subseksyen itu (Seksyen 21(3) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam, 1955) adalah sekatan perundangan terhadap apa-apa persoalan selanjutnya mengenai kesahan wakaf itu. 'Mahkamah tidak boleh tidak memberi pengiktirafan kepadanya. Tidak memperdulikannya bermakna mahkamah melampaui bidangkuasanya."

Di dalam beberapa kes pula terdapat Mahkamah Tinggi telah tidak mengenakan undang-undang Islam kepada pihak-pihak yang berugama Islam akan tetapi mengenakan undang-undang yang berlawanan dengan undang-undang Islam.

Di dalam kes Ainan bin Mahmud vs Syed Abubakar [1939] MLJ 209 Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa seorang anak yang dilahir empat bulan selepas perkahwinan ibunya dengan seorang bernama Mahmud adalah anak sah taraf. Keputusan itu mengikut seksyen 112 Evidence Enactment akan tetapi jelaslah keputusan itu berlawanan dengan undang-undang Islam. Hakim di dalam kes itu berpendapat bahawa di dalam soal kesahtarafan anak mengenai orang-orang Islam, seksyen 112 Evidence Enactment terpakai dan menyingkirkan Undang-undang Islam. Sebaliknya jika perkara itu dibawa ke Mahkamah Syariah Undang-undang Islamlah yang dikenakan. Undang-undang itu telah baharu-baharu ini disebutkan dengan jelas di dalam Akta dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam.

Di dalam kes Nafsiah vs Abdul Majid [ 1969] 2 MLJ 174 dan 175 pihak menuntut telah menuntut ganti rugi kerana mungkir janji perkahwinan dan ia telah mendakwa bahawa ganti rugi hendaklah ditambah oleh kerana ia telah dipujuk supaya mengadakan hubungan jenis dan akibatnya ia telah melahirkan seorang anak. Pihak-pihak yang terlibat telah dituduh melakukan kesalahan di Mahkamah Syariah di bawah Seksyen 149 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam, Melaka, 1959 dan telah dihukum. Pihak menuntut membawa tuntutannya di Mahkamah Awam. Hakim Sharina memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa mendengar kes itu dan beliau telah menerima tuntutan itu dan memberi $1200 sebagai ganti rugi. Hakim Yang Ariff itu berkata "Saya tidak terdapat apa-apa peruntukan di dalam Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam, 1959, bahawa Kathi besar mempunyai bidangkuasa ekslusif di dalam semua perkara berhubung dengan atau yang timbul dari perkahwinan orang-orang Islam. Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dengan nyata memberi bidangkuasa kepada Mahkamah di bawah seksyen 24(a) dan 25(1) membicarakan perkara di dalam kes ini, yang mana tidak lain dari tuntutan gantirugi dan kemungkiran janji perkahwinan. Bertambah pula seksyen 109 Ordinan Mahkamah, yang tidak dimansuhkan oleh Akta Mahkamah Kehakiman, 1964, dengan terang memperuntukkan jika terdapat apa-apa perselisihan atau ketidakseimbangan antara peruntukan-peruntukan Ordinan Mahkamah 1948 itu dengan peruntukan mana-mana undang-undang bertulis pada tarikh berkuatkuasa Ordinan Mahkamah itu, peruntukan-peruntukan Ordinan Mahkamah, 1948, itu hendaklah mengatasi peruntukan lain itu. Sungguhpun benar Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam, 1959, tidak berkuatkuasa pada tarikh berkuatkuasa Ordinan Mahkamah 1948 Mahkamah Tinggi tidak syak lagi mempunyai bidangkuasa menyelesaikan semua perkara berhubung dengan hak pihak-pihak yang hadir di hadapannya dan saya tidak terdapat apa-apa peruntukan di dalam mana-mana undang-undang dan tidak ada undang-undang yang dirujuk kepada saya, yang menyingkirkan bidangkuasa mahkamah ini."

Rujukan tidak dibuat kepada Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam, 1959, Melaka, yang membuat peruntukan khas bagi pertunangan orang-orang Islam. Oleh kerana perkara itu berhubung dengan perkahwinan orang-orang Islam yang diperuntukkan di dalam Enakmen khusus yang memberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah, Mahkamah Awam hendaklah sebaik-baiknya memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidangkuasa di dalam perkara itu. Tuntutan mendapat gantirugi kerana mungkirjanji perkahwinan telah dihapuskan di England dengan adanya Law Reform (Miscellaneous Provisions) Act, 1970, akan tetapi di Malaysia,Undang-Undang Inggeris yang lama masih diikuti dan dikenakan juga kepada orang Islam.

Di dalam kes Roberts vs Ummi Kalthom [1966] 1 MLJ 163 Raja Azlan Shah H. (pada masa itu) telah memutuskan bahawa harta sepencarian ialah perkara undang-undang adat bukan perkara Undang-undang Islam. Kes itu telah diikuti oleh Salleh Abas, Hakim Besar, Malaya (pada masa itu) di dalam kes Boto' binte Taha v Jaafar bin Muhammad [ 1985 ] 2 MLJ 98 di mana beliau berkata bahawa harta sepencarian bukan bersandar kepada hukumm Islam akan tetapi bersandar kepada adat Melayu yang diamalkan oleh orang Melayu. Mahkamah Syariah juga mempunyai bidangkuasa menentukan pembahagian harta sepencarian dan Mahkamah itu diarahkan mengikut prinsip Hukum Syarak. Usaha tidak dibuat di Mahkamah Sivil untuk mencari asas harta sepencarian itu yang terdapat dalam Undang-Undang Islam. Sebaliknya usaha seperti itu telah pun dibuat oleh Mahkainah Syariah, sebagai contoh di dalam kes Zainuddin lwn Anita [ 1982] 4 J.H. 73 di Wilayah Persekutuan.

Di dalam perkara harta wakaf terdapat banyak kes-kes yang lama dari Pulau Pinang dan Singapura yang memutuskan bahawa kesahan wakaf hendaklah diputuskan mengikut undang-undang Inggeris. Sebagai contoh di dalam kes Re Syed Shaik Alkaff [1923] 2 M.C. 38 telah diputuskan bahawa peruntukan harta yang dianggap oleh seorang Islam yang waras sebagai baik dan sah mengikut ugama Islam tidak semestinya diterima sebagai charitable di dalam pandangan undang-undang Inggeris dan penggunaan perkataan wakaf atau amur al-khaira tidak semestinya menunjukkan niat kebajikan am (general charitable intention).

Oleh kerana itu peruntukan untuk membelanjakan baki harta itu untuk amur al-khaira (perkara kebajikan) di Terim, Mecca dan Medina mengikut budibicara wasi diputuskan tidak sah. Di dalam kes Re Alsagoffs Trust [1956] MLJ 244 peruntukkan wang sebagai hadiah kepada orang miskin yang membaca al-Quran di kubur si mati telah diputuskan tidak sah. Mahkamah Sivil terikat dengan seksyen 101 Akta Keterangan 1950 yang memperuntukan bahawa wasiat dan suratikatan amanah hendaklah ditafsirkan mengikut undang-undang Inggeris.

Di dalam kes-kes seperti kes-kes yang disebutkan di atas dengan pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, percanggahan antara Mahkamah Tinggi dengan Mahkamah Syariah tidak akan timbul lagi kerana perkara-perkara itu hanya boleh dibawa ke Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi tidak lagi mempunyai bidangkuasa di dalam perkara-perkara itu. Sungguhpun demikian ada juga terdapat undang-undang bertulis yang lama yang perlu dipinda untuk mengelakkan apa-apa keraguan. Antara undang-undang bertulis itu ialah:-


(a) Evidence Act, 150

Seksyen 112 Evidence Act, 1950, mengenai kesahtarafan dan seksyen 100 mengenai tafsiran wasiat hendaklah tidak dikenakan kepada orang-orang Islam.

(b) Guardianship of Infants Act, 1961

Akta itu hendaklah tidak terpakai di mana-mana negeri di mana peruntukan telah dibuat untuk hak jagaan kanak-kanak bagi orang Islam.

(c) Trustees Act (Act 208)

"Wakaf" hendaklah tidak termasuk di dalam takrif "trust" di bawah Akta ini.(Petikan Artikel Prof Ahmad Ibrahim)

tambahan TJ:Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 juga perlu dipinda......S.51-Seksyen 51 itu hanya memberi hak kepada pihak tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah sivil, manakala pihak yang memeluk Islam tidak mempunyai hak membubarkan perkahwinan.

kita lihat bagaimana nanti konflik boleh berlaku...................alamak kena menulis jugak gayanya.heheheh