Rabu, 9 September 2009

Sebat-VI-Bahagian Akhir Kertas Kerja

Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor

(c) Seksyen 125 hingga seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor telah memperuntukkan seperti berikut:

“125. Hukuman sebat

(1) Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.

(2) Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

(3) Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat, iaitu—

(a) sebelum hukuman itu dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu adalah dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu;

(b) jika pesalah itu sedang hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan;

(c) hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud itu;

(d) orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang;

(e) orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah;

(f) selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya;

(g) sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit;

(h) pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut Hukum Syarak;

(i) jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan dia duduk;

(j) jika semasa pelaksanaan hukum sebat itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

(4) Dalam hal pesalah itu dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.

(5) Jika Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu, oleh sebab umur tua, keuzuran atau apa-apa sebab lain tidak dapat menjalani hukuman sebat pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujukkan kepada Mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksanakan mengikut cara yang difikirkannya munasabah.

Huraian—Umur tua ertinya telah mencapai umur lima puluh tahun atau lebih.

126. Masa melaksanakan hukuman sebat

(1) Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada hukuman pemenjaraan, hukuman sebat itu tidaklah boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan yang berkenaan.

(2) Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan yang mengesahkan hukuman itu.”.

10. Berdasarkan KAJ, Peraturan Penjara dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor, didapati terdapat beberapa perbezaan dari segi prosedur yang berhubungan dengan perlaksanaan hukuman sebat antaranya melibatkan perkara-perkara seperti berikut:

(a) alat sebatan;
(b) tukang sebat;
(c) bahagian anggota yang boleh disebat;
(d) cara berpakaian orang yang disebat;
(e) peremitan hukuman sebat; dan
(f) orang yang diberi pengecualian terhadap hukuman sebat.

11. Perbezaan yang wujud ini telah menyebabkan timbulnya persepsi bahawa wujud percanggahan yang berkaitan dengan undang-undang Negeri dengan undang-undang Persekutuan sehingga sesetengah pihak berpandangan bahawa apabila wujud percanggahan antara undang-undang Negeri (enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan) dengan undang-undang Persekutuan (KAJ), maka undang-undang Persekutuan akan mengatasi undang-undang Negeri. Justeru, salah faham ini telah menyebabkan pihak tersebut merasakan bahawa dalam sesetengah keadaan, sesuatu hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah tidak boleh dilaksanakan setakat yang bertentangan dengan KAJ atau Peraturan Penjara.

12. Tanggapan ini sebenarnya merupakan suatu bentuk salah faham tentang prinsip ketinggian undang-undang. Bagi menjelaskan isu ini rujukan dibuat dalam kes Kamariah bte Ali dan lain-lain v. Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia dan satu lagi [2002] 3 MLJ 657. Dalam kes tersebut Y.A. Abdul Hamid bin Mohamad (Hakim Mahkamah Rayuan pada masa tersebut) antara lain, menyebut bahawa–

“Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan ('Senarai II')…”.

13. Seterusnya rujukan juga dibuat terhadap Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan yang telah memperuntukkan kuasa untuk membuat undang-undang diberikan kepada Badan Perundangan sesuatu Negeri yang antaranya termasuklah undang-undang yang melibatkan tatacara jenayah Syariah.

14. Dalam konteks pelaksanaan hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mana-mana mahkamah atau Pegawai yang Menjaga oleh pihak penjara, perlu difahami bahawa setiap prosedur yang terdapat dalam KAJ, Peraturan Penjara dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor telah digubal dengan tujuan untuk melaksanakan bidang kuasa eksklusif masing-masing sebagaimana yang telah diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada mahkamah sivil, mahkamah Syariah dan pihak penjara.

15. Ini disebabkan kerana mahkamah Syariah kecuali Wilayah Persekutuan (ditubuhkan di bawah bidang kuasa Persekutuan) adalah mahkamah yang ditubuhkan di bawah bidang kuasa Negeri dengan bidang kuasa jenayahnya yang terhad kepada kesalahan yang melibatkan “perintah agama” (precept). Penubuhan dan bidang kuasa mahkamah Syariah adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Senarai II , Jadual Sembilan yang memperuntukkan seperti berikut:

“ LIST II - STATE LIST

1. Except with respect to the Federal Territories of Kuala Lumpur, Labuan and Putrajaya, Islamic law and personal and family law of persons professing the religion of Islam, including the Islamic law relating to …………… creation and punishment of offences by persons professing the religion of Islam against precepts of that religion, except in regard to matters included in the Federal List; the constitution, Organisation and procedure of Syariah courts, which shall have jurisdiction only over persons professing the religion of Islam and in respect only of any of the matters included in this paragraph, but shall not have jurisdiction in respect of offences except in so far as conferred by federal law, the control of propagating doctrines and beliefs among persons professing the religion of Islam; the determination of matters of Islamic law and doctrine and Malay custom.”.

16. Selain itu, bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman yang melibatkan kesalahan jenayah syariah adalah seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] seperti berikut:

“ 2. Criminal Jurisdiction of Syariah Courts.

The Syariah Courts duly constituted under any law in a State and invested with jurisdiction over persons professing the religion of Islam and in respect of any of the matters enumerated in List II of the State List of the Ninth Schedule to the Federal Constitution are hereby conferred jurisdiction in respect of offences against precepts of the religion of Islam by persons professing that religion which may be prescribed under any written law:

Provided that such jurisdiction shall not be exercised in respect of any offence punishable with imprisonment for a term exceeding three years of with any fine exceeding five thousand ringgit or with whipping exceeding six strokes or with any combination thereof.”.

17. Berdasarkan seksyen 2 Akta 355 yang tersebut di atas, mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman sebat terhadap pesalah yang melakukan kesalahan di bawah enakmen/akta kesalahan jenayah Syariah, dengan syarat ia tidak melebihi 6 kali sebatan. Bagi melaksanakan hukuman tersebut, sebagai contoh, di Selangor seksyen 125 hingga seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor telah digubal sebagai suatu prosedur yang mesti dipatuhi oleh pihak penjara.

18. Manakala penggubalan KAJ pula dibuat berdasarkan Butiran 4, Senarai I, Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan seperti berikut:

“ Legislative Lists
List I - Federal Lists
1. External affairs, including—
“....Civil and criminal law and procedure and the administration of justice, including -…..”

19. Penggubalan KAJ yang berada di bawah bidang kuasa Persekutuan adalah untuk menjalankan pentadbiran acara jenayah bagi kesalahan jenayah yang dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan akta-akta lain, tetapi KAJ tidak terpakai dalam kes-kes kesalahan jenayah syariah di bawah enakmen/akta kesalahan jenayah Syariah dan juga tidak terpakai terhadap pelaksanaan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah.

20. Seterusnya berhubung dengan prosedur sebat yang diperuntukkan dalam peraturan 131 hingga 137 Peraturan Penjara, peraturan tersebut sebenarnya digubal bagi menjalankan kuasa pihak penjara yang melibatkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh banduan ketika berada dalam tahanan penjara sahaja. Ia tidak terpakai dalam prosedur sebatan bagi hukuman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

21. Ini adalah kerana peraturan 131 hingga 137 terletak di Bahagian 12, iaitu bahagian yang memperuntukkan tentang “Kesalahan, Hukuman dan Pembelengguan”. Apa yang terkandung di dalam bahagian 12 Peraturan Penjara antaranya ialah bentuk-bentuk kesalahan yang dilakukan oleh banduan di dalam penjara yang boleh dikategorikan sebagai kesalahan kecil, seperti bertengkar dengan mana-mana banduan lain dan kesalahan besar, seperti melarikan dan atau cuba melarikan diri. Kesalahan-kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman oleh Pegawai yang Menjaga dan salah satu hukuman ialah hukuman sebat.

22. Malahan jika diteliti, peruntukan Bab 12 Peraturan Penjara, sebagai contoh peraturan 131 telah menggunakan istilah “banduan/prisoner” dalam peruntukannya. Sedangkan enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan pula menggunakan istilah “pesalah/offender” atau “tertuduh/ accused” manakala KAJ menggunakan istilah “tertuduh/accused” dalam peruntukan yang berkaitan dengan pelaksanaan prosedur sebat.

23. Oleh yang demikian peraturan 131 hingga 137 Peraturan Penjara berhubung prosedur sebatan terhadap banduan merujuk kepada hukuman sebat yang dijatuhkan oleh pihak penjara di atas. Atas sebab itu peraturan sebat yang terkandung dalam Bahagian 12 Peraturan Penjara tersebut hendaklah dibaca dalam konteks kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh banduan dalam penjara sahaja dan tidak boleh dibaca dalam konteks pesalah yang dijatuhkan hukuman sebat oleh mahkamah Syariah.

24. Berdasarkan kepada keseluruhan penjelasan di atas, tidak timbul isu percanggahan prosedur sebat yang diperuntukkan dalam enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan dengan prosedur sebat yang diperuntukkan dalam Peraturan Penjara kerana kedua-dua prosedur perlu dipatuhi oleh penjara, bergantung pada jenis kesalahan. Malahan dalam sesetengah keadaan, seorang banduan yang telah dijatuhkan hukuman penjara dan sebat berdasarkan kepada akta/enakmen kesalahan jenayah Syariah, boleh dan mempunyai kebarangkalian untuk disebat menggunakan kedua-dua prosedur, iaitu sebagaimana dalam enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Peraturan Penjara, dengan syarat banduan tersebut telah melakukan kesalahan besar di dalam penjara yang boleh dihukum sebat di bawah Peraturan Penjara. Oleh yang demikian, hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah akan dilaksanakan dengan menggunakan prosedur di bawah enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan dan hukuman sebat yang dijatuhkan oleh Pegawai yang Menjaga akan dilaksanakan menggunakan prosedur di bawah Peraturan Penjara.

25. Seterusnya ditegaskan sekali lagi, tanggapan bahawa undang-undang Persekutuan akan mengatasi undang-undang Negeri apabila berlaku percanggahan antara undang-undang Negeri dengan undang-undang Persekutuan adalah tidak benar sama sekali kerana rujukan perlu terlebih dahulu dibuat kepada kuasa untuk menggubal sesuatu undang-undang menurut Perlembagaan Persekutuan tersebut terlebih dahulu sebelum ia diputuskan sebagai tidak sah atau mengatasi undang-undang yang bercanggah.

Masalah Pelaksanaan Hukuman Sebat Oleh Pihak Penjara Bagi Hukuman Yang Dijatuhkan Oleh Mahkamah Syariah

26. Bagi menjelaskan isu ini rujukan akan dibuat kepada butiran 3 dan butiran 3 (b) Senarai I – Senarai Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan segala perkara yang berkaitan dengan keselamatan dalam negeri termasuk penjara, adalah terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.

27. Penjara yang dimaksudkan di sini adalah mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat yang diisytiharkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta, sebagai penjara, iaitu, seperti yang diperuntukkan di dalam seksyen 3 Akta Penjara 1995 [Akta 537].

28. Berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan tersebut dan Perkara 74 [1] Perlembagaan Persekutuan, bolehlah dirumuskan bahawa, Negeri tidak diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk mewujudkan penjara dan/atau melaksanakan apa-apa kuasa yang diperuntukkan kepada penjara oleh mana-mana perundangan yang berkaitan. Oleh itu, sebagaimana yang diperuntukkan dalam subsekysen 2(1) Akta 537, takrif “mahkamah” adalah termasuk mahkamah Syariah. Malahan mahkamah Syariah juga adalah sebuah mahkamah yang ditubuhkan secara sah menurut Butiran 1 Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan segala hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah tersebut, yang selaras dengan peruntukan seksyen 2 Akta 355, hendaklah dilaksanakan oleh pihak penjara. Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa pihak penjara sebenarnya mempunyai kuasa yang luas untuk melaksanakan segala hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil dan juga mahkamah Syariah, termasuk hukuman sebat.

Masalah Isu Pelaksanaan Hukuman Yang Dijatuhkan Terhadap Pesalah Perempuan Dan Pesalah Lelaki Berumur Lebih Daripada 50 Tahun.

29. Berbanding dengan KAJ, tiada sebarang peruntukan spesifik di dalam enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan, yang memberi pengecualian kepada pesalah perempuan dan pesalah yang berumur lebih daripada 50 tahun, daripada dikenakan hukuman sebat.

30. Peruntukan umum mengenai pesalah yang boleh dikenakan hukuman sebat di bawah enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan terdapat dalam subseksyen 125(1) yang berbunyi seperti yang berikut:

“ Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.”.

31. Di dalam subseksyen 125(1) tersebut, perkataan yang digunakan ialah “tertuduh” sahaja, tanpa merujuk atau memberi pengecualian kepada jantina ataupun umur seseorang pesalah. Memandangkan perkataan “tertuduh” ini digunakan secara umum sahaja, maka ia adalah terpakai kepada setiap pesalah yang dikenakan hukuman sebat oleh mahkamah Syariah.

32. Walaupun secara umumnya tiada pengecualian hukuman sebat ke atas mana-mana pesalah, namun dalam keadaan-keadaan tertentu, hukuman sebat yang telah dijatuhkan oleh mahkamah Syariah boleh digantikan dengan hukuman lain yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

33. Subseksyen 125(5) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor memperuntukkan:

“Jika Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu, oleh sebab umur tua, keuzuran atau apa-apa sebab lain tidak dapat menjalani hukuman sebat pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujukkan kepada Mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman dilaksanakan mengikut cara yang difikirkannya munasabah.”.

Huraian – Umur tua ertinya telah mencapai umur lima puluh tahun atau lebih.”

34. Walaupun pihak penjara mempunyai kuasa untuk melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah yang dijatuhkan hukuman sebat oleh mahkamah syariah, namun pihak penjara hendaklah memberi perhatian dan mematuhi segala prosedur berkaitan pelaksanaan hukuman sebat yang telah ditetapkan di bawah enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan, terutamanya subseksyen 125(2) dan (3) sebagaimana yang dinyatakan terdahulu.

35. Walaupun di dalam subperaturan 131(2) Peraturan Penjara ada menyebut bahawa penjara tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan hukuman sebat ke atas banduan perempuan dan banduan lelaki yang berumur lebih daripada 50 tahun, namun sebagaimana yang telah dibincangkan terdahulu, peruntukan ini tidak terpakai kepada hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah. Oleh yang demikian tidak timbul soal pengecualian dalam hukuman sebat yang dijatuhkan atas pesalah perempuan dan pesalah lelaki yang berumur lebih daripada 50 tahun kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen 125(5) enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Pelaksanaan Hukuman Sebat Tanpa Hukuman Pemenjaraan

36. Berdasarkan kepada subseksyen 125(4) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor telah diperuntukkan—

“ Dalam hal pesalah itu dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.”.

37. Berdasarkan peruntukan di atas, seseorang hakim diberi kuasa dan boleh menjatuhkan hukuman sebat tanpa hukuman pemenjaraan. Walau bagaimanapun, bagi tujuan pelaksanaan hukuman sebat tersebut, tertuduh yang telah dijatuhi hukuman sebat tersebut hendaklah ditahan di penjara bagi membolehkan hukuman sebat tersebut dapat dilaksanakan.

38. Hukuman seperti ini telah pun dijatuhkan oleh mahkamah Syariah iaitu di Pahang dalam Kes Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang melibatkan kes Pendakwa Syarie lawan Mohd Nizam bin Ibrahim , kes Pendakwa Syarie lawan Mohd Nasha bin Ibrahim , kes Pendakwa Syarie lawan Mohd Nasir bin Mohamad @ Sulaiman dan kes Pendakwa Syarie lawan Noor Azah binti Baharudin . Kesemua kes ini melibatkan kesalahan di bawah minum minuman yang memabukkan dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000.00 atau penjara selama 3 tahun jika gagal membayar denda dan sebatan sebanyak 6 kali sebatan.

39. Walau bagaimanapun, kesemua kes-kes tersebut telah dirayu di Mahkamah Rayuan Syariah Pahang dan masih tidak selesai sehingga hari ini. Oleh yang demikian, hukuman sebat masih tidak dapat dilaksanakan sehingga kes di peringkat rayuan diputuskan.

40. Seterusnya, sekalipun hukuman sebat boleh dijatuhkan tanpa hukuman penjara, timbul persoalan tentang bagaimana sekiranya pesalah tersebut adalah seseorang yang layak ditangguhkan pelaksanaan hukuman sebat sebagaimana yang terkandung dalam perenggan (b) dan (j) subseksyen 125(3) enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu pesalah yang hamil dan pesalah yang diperakui oleh Pegawai Perubatan sebagai tidak dapat menerima sebatan.

41. Bagi menjawab persoalan ini, adalah dicadangkan agar tertuduh tersebut dikenakan bon jaminan dan dikehendaki hadir ke penjara selepas pesalah tersebut layak untuk dilaksanakan hukuman sebat.

42. Walau bagaimanapun, bagi memastikan kes-kes sebegini dikendalikan dengan lebih teratur, adalah wajar jika suatu perincian dibuat melalui kaedah yang seragam oleh Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Masalah Hukuman Sebat Terhadap Pesalah Muda Yang Berumur Sepuluh Tahun Hingga Enam Belas Tahun.

43. Di Selangor, berdasarkan seksyen 43 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 [Enakmen No. 9/1995] perbuatan seseorang kanak-kanak yang belum baligh tidaklah menjadi kesalahan. Walau bagaimanapun tiada tafsiran berhubung perkataan “baligh” di bawah enakmen tersebut. Manakala dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor ada memperuntukkan tentang tafsiran “Pesalah muda” di bawah seksyen 2 Enakmen tersebut yang bermaksud “seseorang pesalah yang berumur lebih daripada sepuluh tahun dan kurang daripada enam belas tahun”. Oleh itu disimpulkan bahawa seorang kanak-kanak yang telah baligh dianggap sebagai seorang pesalah muda yang berumur lebih daripada sepuluh tahun dan kurang daripada enam belas tahun.

44. Seterusnya berdasarkan kepada Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor, tidak terdapat sebarang pengecualian terhadap pesalah muda daripada dikenakan hukuman sebat. Pengecualian yang ada hanyalah melibatkan hukuman penjara yang tidak boleh dikenakan ke atas pesalah muda sebagaimana yang terkandung dalam seksyen 128 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor seperti berikut:

“128. Pesalah muda

(1) Apabila mana-mana pesalah muda disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman denda atau pemenjaraan, Mahkamah itu hendaklah, sebagai ganti apa-apa tempoh pemenjaraan kerana keingkaran membayar denda atau hukuman pemenjaraan—

(a) memerintahkan pesalah itu dilepaskan selepas teguran wajar diberikan jika difikirkan patut oleh Mahkamah; atau

(b) memerintahkan pesalah itu diserahkan kepada ibu atau bapa atau penjaganya atau saudara dewasanya yang terdekat atau kepada mana-mana orang lain, sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah, apabila ibu atau bapa, penjaga, waris atau orang lain itu menyempurnakan bon dengan penjamin, sebagaimana yang dikehendaki oleh Mahkamah, bahawa dia akan bertanggungjawab bagi kelakuan baik pesalah itu selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua belas bulan atau, tanpa menghendaki mana-mana orang mengikat apa-apa bon, membuat suatu perintah berkenaan dengan pesalah itu yang memerintahnya supaya berkelakuan baik selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun dan mengandungi apa-apa arahan kepada pesalah itu mengikut jenis syarat-syarat yang disebut dalam perenggan 130(a), (b) dan (c) yang difikirkan oleh Mahkamah itu patut diberikan.

(2) Mahkamah yang di hadapannya seorang pesalah muda disabitkan boleh, sebagai tambahan atau sebagai ganti menghukum pesalah itu mengikut cara yang diperuntukkan dalam seksyen ini, mengenakan ke atas ibu atau bapa atau penjaganya denda yang tidak melebihi dua ratus ringgit dalam mana-mana kes yang Mahkamah itu, selepas siasatan ringkas, berpuas hati bahawa ibu atau bapa atau penjaga itu telah, dengan sebab mereka cuai dalam menjaganya dengan sepatutnya atau selainnya, menyumbang kepada salah laku pesalah itu:

Dengan syarat bahawa tiada ibu atau bapa atau penjaga boleh didenda tanpa dia diberi peluang untuk didengar dan, jika dia berhasrat demikian, mengemukakan keterangan untuk membela dirinya.”

45. Oleh yang demikian, berdasarkan peruntukan-peruntukan di atas, dapatlah difahami bahawa memandangkan enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan tidak memberi pengecualian terhadap seseorang pesalah muda maka mereka boleh dijatuhkan hukuman sebat tanpa hukuman penjara. Walau bagaimanapun terdapat sedikit kekeliruan berhubung perkara ini kerana subseksyen 125 (4) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor pula telah memperuntukkan bahawa, dalam hal pesalah yang dikenakan hukuman sebat sahaja, pesalah tersebut hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan, sedangkan dalam kes-kes yang melibatkan pesalah muda, mereka tidak boleh dipenjarakan. Justeru, bagi merungkaikan kekeliruan ini, dicadangkan agar pesalah muda ini dikenakan bon jaminan oleh penjaga mereka atau saudara yang terdekat atau mana-mana orang yang lain yang ditetapkan oleh mahkamah seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen 128 (b) enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi memastikan kehadiran pesalah muda ke penjara untuk menjalani hukuman sebat yang telah dijatuhkan oleh mahkamah Syariah.

Terdapat Negeri Yang Masih Tidak Mempunyai Prosedur Hukuman Sebat

46. Berdasarkan pemerhatian terhadap penguatkuasaan prosedur sebat yang termaktub dalam enakmen Negeri-Negeri, didapati Negeri Perlis masih belum mempunyai sebarang prosedur yang berkaitan dengan hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah. Walaupun Negeri Perlis telah mewartakan model undang-undang seragam iaitu Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Perlis) 2006 pada 25 Mei 2006, Enakmen tersebut masih belum dikuatkuasakan sehingga hari ini. Oleh yang demikian mahkamah Syariah masih menggunakan Enakmen Prosedur Jenayah Dalam Syarak (Negeri Perlis) 1991 [Enakmen No. 7 Tahun 1993] yang tidak mempunyai sebarang peruntukan yang berkaitan dengan prosedur sebat.

Terdapat Beberapa Kekaburan Terhadap Prosedur Sebat Yang Terkandung Dalam Enakmen/Akta Tatacara Jenayah Syariah Negeri

47. Walaupun model undang-undang seragam yang berhubung dengan tatacara jenayah Syariah telah dikuatkuasakan di hampir setiap Negeri, namun masih terdapat sedikit kekaburan terhadap prosedur tersebut antaranya—

(a) alat sebatan (apakah yang dimaksudkan dengan tiada “buku” dan “ruas” sedangkan semua rotan secara semula jadi mempunyai “buku” dan “ruas”;
(b) tempat (tempat pelaksanaan hukuman sebat sebaik-baiknya ditetapkan dalam peraturan bagi mengelakkan kekeliruan);
(c) masa (apa yang dimaksudkan dengan “dilaksanakan seberapa segera yang praktik);
(d) kategori orang yang melaksanakan hukuman sebat (apakah yang dimaksudkan dengan “orang yang adil”);
(e) pakaian yang perlu dipakai oleh pesalah (apakah yang dimaksudkan dengan “pakaian mengikut hukum Syarak”); dan
(f) pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah muda (berumur 10-16 tahun);




Terdapat Prosedur Sebatan Yang Bercanggah Antara Satu Sama Lain Dalam Kaedah dan Enakmen Yang Masih Sama-Sama Berkuatkuasa

48. Sebelum penguatkuasaan model undang-undang seragam bagi prosedur jenayah di Negeri Kelantan iaitu Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2002 [Enakmen No. 8 tahun 2002] yang mempunyai prosedur pelaksanaan hukuman sebat, pihak penjara telah menggunakan Kaedah-Kaedah Hukuman Sebat 1987 [Kn. P.U. 09/89] yang telah digubal di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 [Enakmen 2/85] bagi melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah Negeri Kelantan.

49. Walau bagaimanapun, setelah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2002 diluluskan, kaedah tersebut tidak dimansuhkan (repeal). Keadaan ini menyebabkan kedua-dua prosedur tersebut masih berkuat kuasa sehingga hari ini sehingga menyebabkan kekeliruan terhadap pelaksanaan hukuman tersebut. Ini disebabkan oleh perbezaan berhubung pelaksanaan hukuman sebat tersebut yang antaranya melibatkan saiz rotan. Justeru, adalah wajar sekiranya Kaedah-Kaedah Hukuman Sebat 1987 tersebut dimansuhkan bagi memastikan keseragaman terhadap pelaksanaan hukuman sebat tersebut dengan Negeri-Negeri lain dan Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Kurangnya Hukuman Sebat Yang Dijatuhkan Oleh Mahkamah Syariah

50. Walaupun mahkamah Syariah telah diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman sebat terhadap pesalah yang telah melakukan kesalahan di bawah enakmen/ordinan/akta kesalahan jenayah Syariah, namun hakikatnya sangat sedikit bilangan hukuman sebat yang dijatuhkan terhadap pesalah tersebut. Malah berdasarkan kepada kajian secara umum di kebanyakan Negeri, tiada satu pun hukuman sebat yang dijatuhkan ke atas pesalah-pesalah tersebut sekalipun selepas enakmen tatacara jenayah Syariah di bawah model undang-undang seragam yang mempunyai prosedur hukuman sebat dikuatkuasakan. Setakat ini, Negeri Kelantan telah melaksanakan hukuman tersebut. Manakala di Pahang, Perak dan Johor terdapat hukuman sebat yang pernah telah dijatuhkan tetapi tidak dapat dilaksanakan atas sebab rayuan yang telah dikemukakan.

51. Keadaan ini menyebabkan realiti sebenar tentang masalah yang melibatkan pelaksanaan hukuman sebat oleh pihak penjara tidak dapat diketahui. Oleh itu, langkah penambahbaikan juga sukar untuk diambil memandangkan hukuman sebat ini masih tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Kewujudan “ International Convention on the Rights of the Child (CRC)” dan Beberapa Konvensyen Antarabangsa Yang Lain”

52. Terdapat suatu konvensyen (perjanjian antarabangsa) yang berkaitan dengan hak kanak-kanak iaitu Convention on the Rights of the Child (CRC) yang telah diratifikasi dan ditandatangani oleh Malaysia. Antara kandungan konvensyen tersebut ialah kanak-kanak tidak boleh diseksa atau dikenakan hukuman berat sebagaimana yang terkandung dalam perkara 37 dan 39 konvensyen tersebut seperti berikut:
“Article 37
States Parties shall ensure that:

(a) No child shall be subjected to torture or other cruel, inhuman or degrading treatment or punishment. Neither capital punishment nor life imprisonment without possibility of release shall be imposed for offences committed by persons below eighteen years of age;


Article 39
States Parties shall take all appropriate measures to promote physical and psychological recovery and social reintegration of a child victim of: any form of neglect, exploitation, or abuse; torture or any other form of cruel, inhuman or degrading treatment or punishment; or armed conflicts. Such recovery and reintegration shall take place in an environment which fosters the health, self- respect and dignity of the child.”.

53. Memandangkan Malaysia telah menjadi ahli kepada konvensyen tersebut, maka Malaysia terikat dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalamnya. Oleh itu, dikhuatiri akan timbul masalah apabila pasukan pemantau yang memerhatikan kepatuhan negara-negara ahli terhadap konvensyen yang telah ditandatangani mendapati bahawa Malaysia telah tidak mematuhi peruntukan konvensyen tersebut.

Kewujudan “Universal Declaration of Human Rights 1948” Dan Beberapa Konvensyen Antarabangsa Yang Lain

54. Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR) merupakan suatu instrumen berkaitan hak asasi manusia yang menggariskan hak-hak asasi yang terpakai kepada semua orang tanpa sebarang perbezaan, seperti bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama fahaman politik atau fahaman-fahaman lain, asal usul bangsa, keturunan atau sosial, harta benda, kelahiran atau apa-apa taraf lain.

55. Dalam UDHR tersebut, terdapat suatu peruntukan yang menyatakan perkara berikut:



“ Article 5
No one shall be subjected to torture or to cruel, inhuman or degrading treatment or punishment”.

56. Dalam merealisasikan matlamat Article 5 UDHR tersebut, terdapat pihak-pihak yang mengkritik dan menganggap bahawa kebanyakan undang-undang di Malaysia terutamanya yang berkaitan dengan hukum Syarak telah tidak mematuhi prinsip-prinsip yang terkandung dalam UDHR tersebut. Walau bagaimanapun, memandangkan UDHR tersebut hanyalah merupakan sebuah deklarasi yang tidak mengikat di sisi undang-undang serta tidak mempunyai sebarang mekanisme pemantauan yang bertujuan untuk menjamin serta memberi perlindungan yang sejajar dengan prinsip-prinsipnya, pelaksanaan hukuman sebat yang terdapat di Malaysia tidaklah tergugat.

57. Selain itu, terdapat juga konvensyen antarabangsa yang lain iaitu International Convention of Civil and Political Right 1969 dan United Nations Convention Againts Torture And Other Cruel, Inhuman Or Degrading Treatment Or Punishment 1984 yang kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama dengan matlamat UDHR. Golongan yang memperjuangkan prinsip-prinsip hak asasi menurut acuan mereka ini, menganggap hukuman yang dijalankan di Malaysia adalah berupa “torture” atau “cruel inhuman or degrading punishment”. Walau bagaimanapun Malaysia bukanlah ahli kepada konvensyen-konvensyen tersebut.

CADANGAN

58. Bagi memastikan bahawa pelaksanaan hukuman sebat oleh pihak penjara terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah benar-benar berkesan, dicadangkan agar perkara-perkara berikut dilaksanakan―

(a) mahkamah Syariah menggunakan kuasa yang diberikan untuk menjatuhkan hukuman sebat terhadap pesalah yang telah disabitkan melakukan kesalahan di bawah enakmen/akta kesalahan jenayah Syariah yang berkaitan dengan sewajarnya bagi memastikan matlamat kepada pewujudan hukuman tersebut yang bertujuan dan bersifat ta’dib akan dapat dicapai dan direalisasikan;

(b) kaedah yang terperinci yang melibatkan hukuman sebat yang seragam perlu digubal dan dikuatkuasakan di Negeri-Negeri dan Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi menjelaskan lagi prosedur pelaksanaan hukuman sebat terutama yang melibatkan perkara-perkara berikut:

(i) alat sebatan;
(ii) tempat;
(iii) masa;
(iv) kategori orang yang melaksanakan hukuman sebat;
(v) pakaian yang perlu dipakai oleh pesalah;
(vi) pelaksanaan bagi pesalah yang dihukum sebat tanpa hukuman penjara; dan
(vii) pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah muda (berumur 10-16 tahun);

(c) bagi Negeri yang masih belum mempunyai undang-undang yang berkaitan dengan prosedur hukuman sebat, Negeri tersebut perlu untuk mewujudkan undang-undang yang berkaitan dengan menerima pakai model seragam enakmen tatacara jenayah Syariah yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja; dan

(d) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Negeri-Negeri wajar mewujudkan forum perbincangan dan ruang kerjasama yang berterusan dengan pihak penjara terutama dari aspek latihan dan kursus yang berkaitan, bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan hukuman sebat.

PENUTUP

59. Walaupun masih terdapat beberapa masalah yang melibatkan pelaksanaan hukuman sebat, namun segala masalah tersebut bukanlah suatu halangan yang besar kepada pelaksanaan hukuman tersebut. Kuasa untuk menjatuhkan hukuman sebat telah diberi kepada mahkamah Syariah dan prosedur yang khusus bagi pelaksanaan hukuman tersebut juga telah digariskan dalam kebanyakan enakmen/akta tatacara jenayah Syariah Negeri. Terpulanglah kepada kebijaksanaan seseorang hakim untuk menggunakan kuasa dan budi bicara masing-masing dalam memilih sesuatu hukuman yang hendak dijatuhkan dengan sewajarnya. Bagi pihak penjara pula, dalam menjalinkan semangat dan rangkaian kerjasama yang termaktub dalam undang-undang, apa yang penting adalah, komitmen mereka untuk melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah Syariah, dengan mematuhi setiap prosedur yang telah ditetapkan dalam enakmen/ordinan akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan. Semoga dengan semangat kerjasama dan kefahaman ini akan memartabatkan lagi sistem pentadbiran agama dan institusi kehakiman Syariah di negara ini agar sentiasa cemerlang, dipandang tinggi dan kelihatan unggul di mata masyarakat dan dunia.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mantap....koi copy info ni ye tuan.cukup dah untuk esok ni :)
p.c.

Tanpa Nama berkata...

Pjg tul koi nk baca ni..Neway tq :)