Rabu, 9 September 2009

Sebat-IV

PELAKSANAAN HUKUMAN SEBAT DALAM KES JENAYAH SYARIAH: MASALAH DAN PENYELESAIAN
OLEH
TUAN HAJI MAHAMAD NASER BIN DISA

PENDAHULUAN

1. Mahkamah Syariah di Negeri-Negeri telah ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri-Negeri , selaras dengan Butiran 1 Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Penubuhannya juga disertai dengan bidang kuasa eksklusifnya yang tersendiri, yang melibatkan tuntutan ke atas kes-kes mal dan kes-ke jenayah setakat yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi orang-orang yang beragama Islam. Dalam melaksanakan bidang kuasa jenayahnya pula, mahkamah Syariah pada peringkat awal, tidak diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman sebat terhadap mana-mana orang yang telah disabitkan atas sesuatu kesalahan jenayah Syariah. Ini adalah kerana berdasarkan kepada Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965 [No. 23 of 1965 ], mahkamah Syariah pada masa itu, di bawah bidang kuasa jenayahnya, hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes-kes jenayah Syariah yang melibatkan kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi enam bulan dan denda tidak melebihi seribu ringgit atau kedua-duanya.

2. Walau bagaimanapun, pada tahun 1986, suatu pindaan telah dibuat melalui Akta A612, yang memberi kuasa kepada mahkamah Syariah untuk mendengar dan menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan jenayah Syariah yang boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau hukuman sebat tidak melebihi enam kali sebatan atau kedua-duanya. Terkini, Akta tersebut telah dikenali sebagai Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] dan bidang kuasa yang melibatkan kesalahan-kesalahan yang dikenakan hukuman tersebut dikekalkan.

3. Dengan bidang kuasa yang diberikan tersebut, hukuman sebat telah menjadi salah satu daripada hukuman terhadap beberapa kesalahan yang telah diperuntukkan di bawah enakmen/ordinan/akta kesalahan jenayah Syariah di Negeri-Negeri dan Wilayah-Wilayah Persekutuan.

PELAKSANAAN HUKUMAN SEBAT DI MALAYSIA

4. Di Malaysia, hukuman sebat yang dikenakan sebagai suatu hukuman bagi kesalahan jenayah wujud dalam tiga kategori seperti yang berikut:

(a) hukuman sebat bagi kesalahan jenayah yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil seperti kesalahan merogol di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan [Akta 574], kesalahan mengedar dadah di bawah seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan kesalahan memiliki senjata api secara haram di bawah seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37].

(b) hukuman yang diawardkan oleh Pegawai yang Menjaga di bawah Peraturan-Peraturan Penjara 2000 [P.U. (A) 325/2000] (Peraturan Penjara) kerana kesalahan yang dilakukan oleh seorang banduan di dalam penjara seperti melarikan diri atau cuba melarikan diri di bawah subperaturan 123(b) Peraturan Penjara; dan

(c) hukuman bagi kesalahan jenayah yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah iaitu di bawah enakmen/ordinan/akta kesalahan jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti kesalahan muncikari di bawah seksyen 24, kesalahan persetubuhan luar nikah di bawah seksyen 25, kesalahan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii di bawah seksyen 28 dan beberapa kesalahan lain yang terkandung dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 [Enakmen 9 /1995].

5. Pelaksanaan setiap hukuman sebat yang dijatuhkan bagi setiap kategori tersebut hanya diberi kuasa kepada pihak penjara. Selain itu, terdapat prosedur khusus yang telah diperuntukkan oleh undang-undang dalam melaksanakan hukuman sebat yang telah dijatuhkan atau diawardkan bagi setiap kategori tersebut. Prosedur-prosedur tersebut terkandung dalam undang-undang berikut:

(a) Kanun Acara Jenayah [Akta 593] (KAJ);
(b) Peraturan Penjara;
(c) enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah di bawah model undang-undang seragam yang telah diluluskan oleh Majlis Raja-Raja dan telah dikuatkuasakan di kebanyakan Negeri dan Wilayah Persekutuan. (Bagi tujuan penyediaan kertas kerja ini, rujukan akan dibuat kepada Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen 3/2003] (Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor).

6. Berdasarkan peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di atas, pelaksanaan hukuman sebat oleh pihak penjara hendaklah mematuhi prosedur-prosedur yang telah ditetapkan mengikut mahkamah yang menjatuhkan hukuman sebat tersebut. Dengan kata lain, sekiranya sesuatu hukuman sebat itu dijatuhkan oleh mahkamah sivil bagi kesalahan jenayah yang berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, maka KAJ akan dirujuk bagi melaksanakan hukuman sebat tersebut. Manakala sekiranya hukuman sebat itu diawardkan bagi kesalahan yang dilakukan oleh banduan ketika berada di bawah penjagaan penjara, maka prosedur bagi pelaksanaan hukuman sebat yang terpakai adalah sebagaimana yang terkandung dalam Peraturan Penjara. Begitu juga bagi kesalahan jenayah Syariah yang dijatuhkan hukuman sebat oleh mahkamah Syariah. Prosedur yang terpakai bagi melaksanakan hukuman tersebut adalah sebagaimana yang terkandung dalam enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah di Negeri-Negeri/ Wilayah-Wilayah Persekutuan


sambungan

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

phewww..panjangnya, kena ambik beberapa hari baca sampai habis..tq sir.