Rabu, 9 September 2009

Sebat-V

MASALAH PELAKSANAAN HUKUMAN SEBAT YANG DIJATUHKAN OLEH MAHKAMAH SYARIAH DAN PENYELESAIANNYA

7. Walaupun enakmen/akta tatacara jenayah Syariah telah menyediakan prosedur yang khusus bagi melaksanakan hukuman sebat, namun masih terdapat rungutan dan masalah yang timbul berhubung dengan pelaksanaan hukuman tersebut. Antara masalah tersebut adalah seperti berikut:

Persepsi Bahawa Wujud Percanggahan Antara Undang-Undang Yang Digubal Oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengan Undang-Undang Yang Digubal Oleh Parlimen dan Peraturan Penjara Mengenai Prosedur Hukuman Sebat

8. Terdapat beberapa perbezaan yang wujud dalam peruntukan yang berhubungan dengan prosedur pelaksanaan hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah dalam enakmen/ordinan/akta tatacara jenayah Syariah Negeri-Negeri/Wilayah-Wilayah Persekutuan dengan prosedur pelaksanaan hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil yang terkandung dalam KAJ dan hukuman sebat yang dijatuhkan oleh Orang yang Menjaga di bawah Peraturan Penjara. Perbezaan ini telah menyebabkan timbulnya persepsi bahawa wujud percanggahan antara undang-undang yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan undang-undang yang digubal oleh Parlimen dan Peraturan Penjara mengenai prosedur yang perlu dipatuhi dalam melaksanakan hukuman sebat.

9. Bagi tujuan pembentangan dan memudahkan rujukan dibuat terhadap kertas kerja ini, diperturunkan ketiga-tiga prosedur yang terdapat dalam undang-undang yang berkaitan dengan pelaksanaan hukuman sebat seperti berikut:

Kanun Acara Jenayah

(a) Seksyen 286 hingga seksyen 291 KAJ telah memperuntukkan—

“ 286. Tempat melaksanakan hukuman sebat.

Apabila tertuduh dihukum sebat sahaja maka hukuman itu hendaklah dijalankan di tempat dan masa seperti yang diarahkan oleh Majistret.

287. Masa melaksanakan hukuman itu.

(1) Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada hukuman penjara, tidaklah boleh dijalankan hukuman sebat itu sehingga tamat tempoh tujuh hari daripada hukuman itu atau, jika hukuman penjara sehingga empat belas hari, maka sehingga tamat tempoh empat belas hari daripada tarikh hukuman itu, atau jika rayuan dibuat dalam tempoh itu sehingga hukuman itu telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

(2) Hukuman sebat hendaklah dijalankan seberapa segera selepas tamat tempoh tujuh hari atau empat belas hari, mana-mana yang berkenaan, atau dalam perkara rayuan sebaik-baik sahaja selepas menerima perintah Mahkamah Rayuan yang menetapkan hukuman itu.

288. Cara melaksanakan hukuman itu.

(1) Apabila tertuduh dikenakan hukuman sebat alat yang akan digunakan dan bilangan sebatan hendaklah dinyatakan dalam hukuman itu. Walau bagaimanapun sebatan itu tidak boleh melebihi dua puluh empat sebatan bagi orang dewasa atau sepuluh sebatan bagi pesalah muda sungguhpun bertentangan dengan mana-mana juga undang-undang am.

(2) Sebatan haruslah di bahagian anggota orang itu sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri yang bertanggungjawab berkenaan dengan keamanan dan ketenteraman awam dari semasa ke semasa.

(3) Rotan yang digunakan untuk menyebat tidak boleh lebih daripada diameter setengah inci.

(4) Berhubung dengan seorang tertuduh yang telah dikenakan hukuman sebat untuk suatu kesalahan di bawah seksyen 403, 404, 406, 407, 408, 409 atau 420 Kanun Keseksaan, atau pesalah muda, hukuman sebatan itu hendaklah dikenakan secara disiplin sekolah, iaitu dengan menggunakan rotan halus.

(5) Apabila seseorang telah disabitkan kesalahan di dalam sesuatu pembicaraan bagi dua atau lebih kesalahan yang berlainan di mana dua atau lebih kesalahan itu boleh di sisi undang-undang dihukum sebat, jumlah sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah bagi mana-mana kesalahan itu, sungguhpun berlainan dengan peruntukan undang-undang tidak boleh lebih daripada dua puluh empat sebatan bagi orang dewasa dan sepuluh kali bagi pesalah muda.

289. Keadaan-keadaan dan orang-orang yang tidak boleh dihukum sebat.

Hukuman sebat tidak boleh dikenakan secara beransur-ansur dan orang-orang seperti berikut tidak boleh dikenakan hukuman sebat:

(a) Perempuan;
(b) lelaki yang dijatuhkan hukuman mati;dan
(c) lelaki yang Mahkamah isytiharkan berumur lebih daripada lima puluh tahun.

290. Perakuan Pegawai Perubatan dikehendaki.

(1) Hukuman sebat tidak boleh dijalankan melainkan dengan kehadiran Pegawai Perubatan dan dia mesti memperakui bahawa pesalah itu adalah berkeadaan sihat untuk dikenakan hukuman sebat.

(2) Jika semasa dijalankan hukuman sebat, Pegawai Perubatan jika berpendapat pesalah itu tidak sihat untuk disebat lagi baki hukuman sebat hendaklah diberhentikan.

(3) Apabila dikenakan hukuman sebat di bawah seksyen 293 maka Pegawai Perubatan tidak dikehendaki hadir, tetapi hukuman sebat itu tidak boleh dijalankan melainkan jika Mahkamah berpendapat pesalah itu berkeadaan sihat untuk disebat.

291. Prosedur jika hukuman sebat tidak boleh dikenakan.

(1) Dalam sebarang kes di bawah seksyen 290 jika, suatu hukuman sebat tidak dapat dijalankan keseluruhannya atau sebahagian daripadanya, maka pesalah itu hendaklah ditahan sehingga Mahkamah yang menjatuhkan hukuman itu menyemak dan Mahkamah tersebut boleh dengan budi bicaranya sama ada meremit hukuman itu atau memenjara pesalah sebagai ganti hukuman sebat atau sebaliknya sebahagian daripada hukuman sebat yang tidak dijalankan bagi tempoh yang boleh berlanjutan sehingga dua belas bulan yang mana tempoh tersebut boleh dijadikan tambahan kepada hukuman-hukuman lain yang telah dihukum bagi kesalahan yang sama.

(2) Seksyen ini tidak memberi sebarang kuasa kepada mana-mana Mahkamah untuk mengenakan hukuman yang lebih daripada yang boleh dikenakan ke atas tertuduh mengikut undang-undang atau lebih daripada kuasa Mahkamah itu.”.

Peraturan Penjara

(b) Peraturan 131 hingga 137 Peraturan Penjara telah memperuntukkan—

“ 131. Hukuman sebat

(1) Apabila mana-mana hukuman sebat dijatuhkan ke atas seseorang banduan di bawah Peraturan-Peraturan ini, dia tidak boleh dikenakan lebih daripada satu hukuman berkenaan dengan perbuatan atau perbuatan-perbuatan, atau peninggalan atau peninggalan-peninggalan yang kerananya dia dihukum.

(2) Sesuatu hukuman sebat tidak boleh dikenakan kepada banduan perempuan atau banduan lelaki yang berumur lebih daripada 50 tahun.

(3) Sesuatu hukuman sebat yang lebih daripada sepuluh kali sebat dengan rotan ringan tidak boleh dijatuhkan atau dikenakan ke atas seseorang banduan muda dan bilangan maksimum sebatan yang boleh diaward kepada banduan muda oleh Pegawai yang Menjaga ialah enam.

(4) Hukuman sebat dengan rotan hendaklah dikenakan pada punggung pesalah itu.

(5) Bagi maksud hukuman di bawah peraturan ini, rotan yang digunakan—

(a) dalam hal seseorang dewasa, tidak boleh lebih daripada 1.25 sentimeter garis pusatnya; dan

(b) dalam hal banduan muda, ialah rotan yang ringan.

132. Menjalankan hukuman

(1) Apa-apa hukuman yang sah di sisi undang-undang yang dikenakan ke atas mana-mana banduan boleh dijalankan dalam mana-mana penjara atau sebahagiannya dalam suatu penjara dan sebahagiannya lagi dalam suatu penjara yang lain.

(2) hukuman sebat tidak boleh dikenakan dengan beransur-ansur

133. Kaedah-kaedah bagi mengenakan hukuman sebat

(1) Pada masa menjalankan tiap-tiap hukuman sebat Pegawai yang menjaga dan Pegawai Perubatan hendaklah hadir dan Pegawai Perubatan hendaklah memberikan arahan-arahan yang difikirkannya perlu bagi mencegah kemudaratan kepada kesihatan dan Pegawai yang Menjaga atau mana-mana pegawai lain yang dilantik bagi maksud itu hendaklah menjalankan arahan-arahan sedemikian itu.

(2) Hukuman sebat tidak boleh, kecuali dengan perintah khas dalam hal kecemasan, dikenakan dalam masa dua puluh empat jam dari hukuman itu diawardkan.

134. Peremitan hukuman sebat

(1) Pada bila-bila masa setelah hukuman sebat dikenakan Pegawai Perubatan, jika difikirkannya perlu bagi mencegah kemudaratan kepada kesihatan banduan itu, boleh mengesyorkan supaya tiada apa-apa hukuman boleh dikenakan lagi, dan dengan yang demikian Pegawai yang menjaga hendaklah meremitkan hukuman yang selebihnya itu.”.

Tiada ulasan: