Jumaat, 15 Oktober 2010

Jenayah Sihir Siri 3


ISU 3: KEBOLEHGUNAAN ILMU SIHIR DALAM PELAKUAN JENAYAH

Bagi sesetengah orang yang percaya dengan kewujudan sihir, maka timbul persoalan adakah benar sihir boleh digunakan untuk membunuh atau mencederakan? Jika boleh, bagaimana pula hendak mengaitkannya dengan elemen-elemen jenayah? Para ulama Islam dan Barat secara jelas menyatakan bahawa ilmu sihir membolehkan pengamalnya mencederakan mangsa, mengubah rupa manusia menjadi mayat hidup[1] atau menjadi haiwan,[2] menghilangkan perasaan kasih dan sayang dalam institusi kekeluargaan, memisahkan antara suami dan isteri,[3] menghilangkan kewarasan akal, memperoleh harta secara tipuan,[4] mengakibatkan sakit, menjadikan seseorang tidak mampu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya sehingga peringkat membunuh seseorang tanpa perlu disentuh.[5] Martin Luther turut menggambarkan bagaimana bahayanya kesan sihir dengan menyatakan:

The law that sorceresses should be killed is most just, since they do many cursed things while they remain undiscovered, for they can steal milk, butter, and all things from the house; thinking about some cow, they can say one good word or another and get milk from a towel, a table, or a handle. And the devil leads milk and butter to their milking instrument. They can enchant a child to cry continually, not eating or sleeping, etc. They can also hide a lesion on someone’s knee, so that the body decays.[6]


Menyebabkan kematian seseorang dengan menggunakan ilmu sihir bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat. Mana-mana bangsa di dunia ini tahu bahawa sememangnya terdapat kes-kes pembunuhan yang dilakukan dengan menggunakan ilmu sihir.[7] Dalam masyarakat Melayu di Malaysia, santau dan tuju-tuju[8] adalah antara bentuk ilmu sihir yang biasa digunakan untuk membunuh mangsa.[9] Contohnya di dalam buku Aspects of Malaysian Magic, terdapat satu kaedah untuk membunuh mangsa dengan menggunakan ilmu sihir:

The best known of the Malay wax doll charms requires that the magician (bomoh or pawang) making it shall take nail parings, hair and other representative parts of his intended victim’s body, mix them with bees-wax or candle-wax, and from this fashion a male or female model according to the sex of the person to be operated against. This figure is then slowly scorched in a flame for seven consecutive nights while the magician intones some formula like ‘this is not wax I burn but the body of so-and-so’. At the end of the seventh ceremony the model is cast into the fire and as the wax melts away so, it is thought, does the life force (semangat) of the victim.[10]

Sihir juga boleh digunakan untuk mendatangkan kecederaan dan kecederaan parah kepada mangsa. Jika ditelitikan peruntukan di bawah seksyen 319 Kanun Keseksaan,[11] cedera termasuklah apa-apa bentuk kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh. Seorang tukang sihir, dengan sihirnya, boleh menyebabkan tubuh mangsa berkudis dengan bau yang busuk,[12] terasa sakit seperti ada sesuatu yang mencakar-cakar belakangnya atau telinganya,[13] merasa badannya seolah-olah ditusuk sesuatu yang tajam berbisa, anggota badan tertentu seperti belakang, leher atau dada terasa panas, terasa bisa-bisa seluruh badan atau sebahagian daripada badan, kadang-kadang badan terasa kebas dan sebagainya.[14] Hal ini adalah bertepatan dengan peruntukan seksyen 321 Kanun Keseksaan.[15]

Ilmu sihir juga boleh menyebabkan kecederaan parah sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen 320 Kanun Keseksaan.[16] Sebagai contoh, sihir jerutan mampu menyebabkan hilang tenaga kelakian atau mati pucuk. [17] Ivo of Chartres adalah antara ahli teologi yang menegaskan kemungkinan wujudnya unsur sihir bagi kes-kes mati pucuk. Beliau menyatakan:
”The Catholic faith teaches that there are demons and that by their doings they can inflict injury to men and prevent carnal copulation.”[18]

Sihir juga boleh digunakan untuk menyebabkan buta, tuli, bisu, lumpuh, herot muka yang diklasifikasikan sebagai cedera parah di bawah seksyen 320. Menurut Wahid Abdussalam Baly, apabila seseorang disihir oleh tukang sihir dengan niat untuk menyebabkan kecederaan parah, maka khadam sihir, bersesuaian dengan perintah tukang sihir itu, akan menyerang dan bersarang di otak khususnya di bahagian yang mengawal aktiviti pendengaran, penglihatan, pergerakan tangan mahupun kaki.[19]
 

Sihir juga boleh digunakan untuk melakukan serangan sebagaimana peruntukan di bawah seksyen 351 Kanun Keseksaan.[20] Serangan tidak memerlukan apa-apa sentuhan, tetapi memadai tindakan penyihir, sama ada melalui apa-apa isyarat atau persiapan yang menimbulkan kebimbangan kepada mangsa yang merasa dirinya akan dikenakan sihir. Istimewanya ialah perkataan berupa jampi mantera walaupun dalam bentuk perkataan boleh dikategorikan sebagai serangan.

Ilmu sihir juga boleh digunakan untuk mengurung orang dengan salah sebagaimana yang diperuntukan dalam seksyen 340 Kanun Keseksaan. Ilmu sihir bukan sahaja boleh digunakan untuk mengurung fizikal seseorang, malah dapat mengawal mental dan emosinya juga secara salah.

Terdapat sesetengah ahli sihir yang ingin mencuba ilmunya dengan memuja jin supaya memperkosa dan mengganggu wanita-wanita tertentu ketika ia sedang tidur. Wanita yang diperkosa ini akan merasai yang dirinya benar-benar diperkosa oleh lelaki tersebut. Terdapat juga kes-kes tukang sihir (bomoh) menggunakan ilmu sihir untuk mengkhayalkan wanita-wanita sebelum merogol mangsa. Ia merupakan kesalahan jenayah seksual yang berat dan serius di bawah seksyen 375 Kanun Keseksaan. Penggunaan jampi dan mantera bagi mengkhayalkan mangsa sebelum merogolnya boleh dilihat dalam kes PP v. Abdul Rahman Mohamad.[21]

Seksyen 425 Kanun Keseksaan secara khusus memperuntukkan kesalahan melakukan khianat.[22] Ilmu sihir yang menggunakan tanah kubur atau abu mayat yang ditabur sekeliling kedai boleh menyebabkan pelanggan kedai menjadi kurang berminat untuk memasuki kedai tersebut. Biasa berlaku keadaan di mana pelanggan nampak seolah-olah kedai tersebut ditutup sedangkan hakikatnya ianya dibuka seperti biasa, atau nampak dibuka tetapi seperti tidak perasan ataupun terasa hambar. Berlaku juga keadaan di mana kedai makan dipenuhi dengan lalat dan langau (sehingga makanan menjadi basi)[23] sedangkan kedai makan yang terletak bersebelahan dengannya tidak mengalami apa-apa masalah. 


Ilmu sihir juga biasa digunakan dalam kegiatan jenayah mencuri, merompak dan menyamun. Jika dibandingkan dengan kesalahan mencuri sebagaimana yang diperuntukan seksyen 378 Kanun Keseksaan, mencuri menggunakan ilmu sihir turut memenuhi kesemua elemen yang dinyatakan dalam seksyen tersebut.[24] Mencuri dengan menggunakan ilmu pukau menyebabkan seseorang mangsa tidak berupaya mengawal diri lalu mematuhi arahan tukang sihir dengan memberikan wang yang ada padanya,[25] barang-barang kemas yang dipakai,[26] mengeluarkan wang dari bank dan menyerahkan kepada pemukau.[27]

Bahan-bahan sihir seperti tangkal untuk tujuan kebal boleh mendorong dan menimbulkan keberanian dalam diri seseorang untuk melakukan jenayah rompakan bersenjata. Ini disebabkan kepercayaan bahawa pemakainya tidak akan dicederakan oleh apa-apa senjata. Menurut Wiliam Shaw, tangkal kebal ini telah pun digunakan semasa zaman kesultanan Melayu Melaka iaitu hampir lima kurun yang lalu bagi tujuan menghadapi musuh dalam peperangan.[28] Pada hari ini, tangkal-tangkal telah terbukti digunakan secara meluas oleh penjenayah-penjenayah terutama kumpulan-kumpulan perompak.[29] Kes rompakan yang dilakukan oleh Geng Ipol[30] dan juga Geng Pak Ee[31] adalah antara contoh kumpulan penjenayah yang menggunakan tangkal kebal ketika melakukan rompakan


Penipuan adalah suatu yang lumrah dilakukan oleh mereka yang dipengaruhi syaitan. Walaupun seksyen 415 Kanun Keseksaan mempunyai peruntukan berkaitan penipuan, namun ianya tidak mampu untuk menangani kesalahan menipu dengan menggunakan ilmu sihir. Ini disebabkan sifat ilmu sihir itu yang mampu mempengaruhi mangsa untuk percaya kepada apa yang dikata oleh tukang sihir. Menurut Ketua Biro Aduan dan Khidmat Awam MCA, Datuk Michael Chong, bagi tahun 2009 sahaja, biro itu telah menerima aduan sebanyak 17 kes membabitkan bomoh yang menipu sejumlah RM433 000.00 selain mencabul kehormatan mangsa berbanding lapan kes melibatkan RM260 000.00 pada tahun lepas. [32]

Kanun Keseksaan, melalui seksyen 441, memperuntukkan bahawa pencerobohan sebagai satu kesalahan jenayah. Dalam ilmu sihir, seorang tukang sihir boleh dikatakan melakukan pencerobohan apabila mengarah jin atau khadam belaannya menganggu mangsa. Begitu juga dengan kegiatan menceroboh tempat-tempat ibadah atau tanah-tanah perkuburan dengan tujuan melaksanakan upacara sihir dan pemujaan.[33] Tempat-tempat sebegini, terutamanya tanah perkuburan, merupakan antara tempat yang menjadi tumpuan upacara sihir seperti upacara tarik duit, tilik nombor, tilik nasib dan tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai lokasi pertapaan. Seksyen 297 Kanun Keseksaaan telah memperuntukan bahawa perbuatan tersebut adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum.

Ilmu sihir juga boleh digunakan untuk menganggu emosi dan perasaan seseorang. Ini adalah perkara yang lazim dilakukan oleh khadam sihir dan selalu didapati dalam mana-mana jenis sihir. Ia akan menimbulkan rasa tertekan, berserabut, benci, marah, meluat, sedih, sayu hati, malu, rasa rendah diri, mudah terasa hati dan yang seumpamanya. Kesan dari gangguan sebegini boleh menimbulkan pergaduhan, pertengkaran, pengasingan diri dari orang ramai hatta boleh juga menyebabkan akhirnya seseorang mangsa menjadi gila.

Dari perbincangan di atas, kita dapati ilmu sihir boleh digunakan dalam apa-apa bentuk jenayah sama ada yang terkandung dalam Kanun Keseksaan bahkan lebih dari itu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa amalan sihir ialah suatu jenayah yang dilaknat sejak berkurun lamanya dan ianya perlu dibanteras oleh pihak berkuasa. Emmet V. Mittlebeeler menyatakan:
“If we accept the theory that the law of crimes developed from direct public action against a malefactor, witchcraft may have been the first of all crimes.”[34]




[1] Stuart Gordon, 1993, hlm. 61-62 dan 498:
“Black magic means magic undertaken for destructive or selfish purpose; to dominate or harm others; to gain power, wealth or knowledge by necromancy or sorcery, traditionally by calling up demons or by blood-sacrifice”
[2] Muhammad Muṣṭafā al-Hadīdī Al-Thair, 1987, hlm.105
[3] Wāhid cAbdussalam Al-Bāly & Daud Mohd Salleh, 1994, hlm. 2
[4] Muhammad Muṣṭafā al-Hadīdī Al-Thair, 1987, hlm. 112-113.
[5] Wāhid cAbdussalam Al-Bāly & Daud Mohd Salleh, 1994, hlm. 2. Lihat juga Imam Abu al ‘Izz al Hanafi, Syarh al Aqidah al Thahawiyyah, hlm. 505.
[6] Susan C. Karant-nunn & Merry E. Wiesner-Hanks, 2003, Luther on women: A sourcebook, Cambridge, Cambridge University Press, hlm. 231.
[7] Untuk melihat kaedah membunuh dengan ilmu sihir di Eropah dan Australia, sila rujuk Ioana Anderson Miereanu, 1989, Magic in Eastern Europe, dlm. Lawrence E. Sullivan (pnyt.), Hidden Truth: Magic, Alchemy and the Occult, New York: Mc Millan Publishing Company, hlm. 120-121, dan Eric Maple, 1973, hlm. 105.
[8] Menurut Amran Kasimin, istilah tuju-tuju berasal daripada perkataan tuju. Lihat Amran Kasimin, 2009, Sihir Suatu Amalan Kebatinan, Bangi: Penerbit UKM, hlm. 37. Menurut Winstedt (1972: 375), tuju bererti aim at (target), direct magic against (a person). Tuju-tuju yang dimaksudkan di sini merujuk kepada bahan-bahan tertentu yang telah dipuja ataupun diseru dengan bantuan jin atau jin-jin dihembuskan atau ditujukan kepada orang-orang (mangsa) tertentu untuk membinasakannya. Pada kebiasaannya, ia dilakukan untuk tujuan membunuh atau menyakiti semata-mata.
[9] Menurut Dr. Amran Kasimin, santau yang cukup masak boleh menyebabkan kematian sekiranya mangsa tidak dirawat dengan segera. Lihat Amran Kasimin, 1995, hlm. 54.
[10] William Shaw, 1975, hlm. 50.
[11] Seksyen 319 Kanun Keseksaan memperuntukan: Barang siapa menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada seseorang adalah dikata menyebabkan cedera.
[12] Hj Jahid b Hj Sidek, 2006, Jin/ Syaitan: Hubungannya dengan pelbagai Gangguan Kesihatan manusia, kertas kerja Seminar Perubatan Islam 1, anjuran Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia, Pusat Penyelidikan Getah RRIM, Sungai Buloh, 16 September, hlm.8. Lihat juga Amran Kasimin, 2002, Tanda Sihir & Kekuatan Roh Untuk mengatasinya, Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn. Bhd., hlm. 104.
[13] Amran Kasimin, 2002, hlm. 105.
[14] Amran Kasimin, 2002, hlm. 105.
[15] Seksyen 321 Kanun Keseksaan memperuntukan:
Barangsiapa melakukan apa-apa perbuatan dengan niat dengan jalan demikian itu hendak menyebabkan cedera kepada seseorang, atau dengan mengetahui bahawa ia mungkin dengan jalan demikian itu menyebbakan cedera kepada seseorang adalah dikatakan “dengan sengaja menyebabkan cedera”.
[16] Kecederaan yang dikategorikan sebagai parah diperuntukan dalam seksyen 320 Kanun Keseksaan:
Hanya jenis-jenis cedera yang berikut sahaja dinamakan “parah”:
(a)                                   Hilang tenaga kelakian;
(b)                                   Hilang selama-lamanya penglihatan salah satu mata;
(c)                                   Hilang selama-lamanya pendengaran salah satu telinga;
(d)                                   Hilang sesuatu anggota atau sendi;
(e)                                   Binasa atau lemah selama-lamanya daya sesuatu anggota atau sendi;
(f)                                    Cacat selama-lamanya kepala atau muka;
(g)                                   Patah atau retak tulang atau selisih sendi;
(h)                 Apa-apa cedera yang membahayakan nyawa atau yang menyebabkan orang yang tercedera itu menderita kesakitan tubuh yang amat sangat, atau tidak boleh menjalankan pekerjaannya yang biasa selama dua puluh hari.
[17] Amran Kasimin, 2002, hlm. 118-119.
[18] Eric Maple, 1973, hlm.42. Richard Keickhefer turut menyentuh menyentuh persoalan ini dengan menyatakan:
Could they cause sexual impotence? Yes, Thomas Aquinas and other authorities concluded. As a lawyer in the late fifteenth century, Ulrich Molitoris encountered many cases in which women charged their husbands with impotence, but physicians testified that there was no natural cause, and thus they must be bewitched.
Lihat Richard Kieckhefer, 1990, hlm. 184.
[19] Wahid Abdussalam Baly, 1995, hlm. 115.
[20] Seksyen 351 Kanun Keseksaan memperuntukan:
Barang siapa membuat apa-apa isyarat atau apa-apa persiapan, dengan maksud atau dengan mengetahui mungkin bahawa isyarat atau persiapan itu akan menyebabkan seseorang yang hadir memahamkan bahawa ia yang membuat isyarat atau persiapan itu hampir hendak mengenakan kekerasan jenayah kepada orang itu, adalah dikatakan melakukan suatu serangan.
[21] [2005] 1 CLJ 700
[22] Seksyen 425 Kanun Keseksaan memperuntukan:
Barang siapa, dengan niat hendak menyebabkan, atau dengan mengetahui bahawa ia mungkin menyebabkan, kerugian atau kehilangan salah kepada awam atau kepada seseorang, menyebabkan kebinasaan apa-apa harta, atau menyebabkan sesuatu perubahan kepada apa-apa harta, atau kepada kedudukannya, yang membinasa atau mengurangkan harga atau kegunaannya, atau yang membencanakannya adalah melakukan “khianat”.
[23] Amran Kasimin, 2006, hlm. 38.
[24] Bagi kesalahan mencuri, seksyen 378 Kanun Keseksaan menyenaraikan elemen-elemen untuk membentuk satu jenayah curi. Elemen-elemen tersebut adalah:
(a)              mengambil apa-apa harta alih secara curangnya;
(b)              daripada pemilikan mana-mana orang;
(c)              dengan tiada kerelaan orang itu; dan
(d)              mengerakkan harta itu dengan tujuan hendak mengambilnya
[25] Mohd Jamilul Anbia Md Denin, 2009, Geng Arab beralih pukau pelancong asing, Harian Metro, 14 Mei: A26.
[26] Sarah Zulkifli, 2009, Mangsa pukau ‘tauke kantin’, Harian Metro, 3 Ogos: C2. Lihat juga Shanty Nur Shaffizan Shafee, 2009, Pukau kaki ekor, Harian Metro, 7 Ogos: C22.
[27] Amran Kasimin, 2002, hlm. 130-131.
[28] William Shaw (1975:33) menyatakan:
The type of charm used was recorded in a European account which stated that in 1511, when a Portuguese fleet was preparing to attach Malacca, one of their warships intercepted and captured a Sumatran vessel carrying warning of the impending invasion to the Malay King. The messenger, a Malacca nobleman, had suffered numerous wounds during the engagement, but to the amazement of the Portuguese sailors none of these bled. As was customary at that time, the wounded and the dead were stripped of all valuables and then thrown overboard. When it came to the courier’s turn, however, the Portuguese seaman discovered a “bracelet of bone, set in gold” on his left upper arm, and soon as this was removed, blood immediately poured from his wounds and he died.
[29] Lihat William Shaw, 1975, hlm. 33-36.
[30] Ahmad Tajol Ansar Ibrahim, 2009, Tangkal tak kebal, Harian Metro, 11 Mei: C1 dan 5 ahli Geng Ipol ditembak, Harian Metro,11 Mei: A4.
[31] Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Iskandar Shah Mohamed, 2009, Geng Pak Ee lut peluru, Harian Metro, 12 Ogos: C2.
[32] Bernama, 2009, Mangsa bomoh kebanyakkan mahu kelihatan cantik, kaya, Utusan Malaysia, 9 Disember: 24.
[33] Rudy Syareme Sheriffudin, 2009, Kalimah Allah dalam tokong, Harian Metro, 11 November: A6.
[34] Emmet V. Mittlebeeler, 1976, hlm. 135.

Rabu, 13 Oktober 2010

Jenayah Sihir Siri 2


ISU 2: KEFAHAMAN TENTANG METODOLOGI PELAKSANAAN SIHIR.

Sekiranya seseorang telah percaya wujudnya ilmu dan amalan sihir, maka isu seterusnya ialah tentang kefahaman yang benar dan tepat tentang ilmu tersebut dan cara pelaksanaannya. Perkara ini sangat penting kerana pemahaman yang tepat tentang metodologi pelaksanaan sihir akan membantu proses penguatkuasaan undang-undang jenayah sihir.

Bagi memahami metodologinya, maka definisi yang diberikan oleh Ibnu Hajar Al-Haitami dalam Kitab As-Sihr boleh dianggap sebagai yang paling komprehensif.  Beliau menyatakan sihir ialah ‛apa juga yang berlaku atau dapat dibuat atau dicapai oleh seseorang dengan pertolongan syaitan, setelah orang itu memenuhi kehendak syaitan tersebut dengan melaksanakan sesuatu yang dikehendaki oleh syaitan itu sebagai tanda atau isyarat taqarrub atau bersahabat atau tunduk dan mengikut atau menyembah syaitan itu.’[1]

Definisi di atas jelas menunjukkan bahawa antara intipati amalan sihir ialah seseorang pengamal sihir perlu melakukan satu perjanjian dengan syaitan atau iblis bagi memastikan ilmu dan amalannya itu berkesan.[2] Perjanjian ini memerlukan seseorang pengamal sihir mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syaitan yang hendak dipujanya itu. Antara syarat yang biasa dikenakan ialah pengamal sihir mesti melakukan upacara pemujaan iblis dan syaitan, dan menyediakan bahan-bahan sihir.[3] Penyediaan barangan ini seolah menjadi satu syarat penting dalam perjanjian dengan makhluk jin, syaitan dan iblis. Apabila tukang sihir mematuhi syarat tersebut, itulah tandanya dia telah mematuhi kehendak jin, syaitan dan iblis tadi. Di sinilah terzahirnya konsep ketuanan syaitan terhadap manusia dalam ilmu sihir dan tanpa mereka sedari, mereka telah mengambil syaitan itu sebagai tuhannya.[4]
 
Secara asasnya, terdapat dua kategori bahan-bahan yang biasa digunakan dalam upacara untuk menyihir. Yang pertama ialah ‘bahan luaran’ (iaitu bahan yang bukan berasal dari diri mangsa atau orang yang menyihirnya). Yang kedua ialah bahan ‘dalaman’ (iaitu bahan yang berasal dari diri mangsa atau penyihirnya). 

Bahan-bahan kategori pertama dan cara penyediaannya adalah berbeza-beza mengikut amalan tukang sihir itu.[5] Bahan-bahan ini lebih merupakan bahan simbolik yang menggambarkan bentuk kemudaratan yang hendak dikenakan kepada mangsa. Antara contoh bahan yang biasa digunakan ialah:

(a)               Bahan-bahan kotor dan busuk seperti darah, najis, bangkai, tengkorak, kain kafan mayat, air kencing, abu mayat dan yang seumpamanya. Bahan-bahan ini biasa digunakan dalam sihir bagi menjadikan seseorang itu gila, dibenci atau gangguan perasaan.

(b)               Bahan-bahan yang berbisa dan beracun seperti air lipan bara, bisa ular senduk, bisa ular kapak, ubur-ubur, bisa getah ipuh, buah kacang hantu,[6] katak puru bertanduk, bisa kala jengking dan yang seumpamanya. Bahan-bahan ini biasa digunakan bagi menyakiti fizikal mangsa, dan boleh jadi untuk membunuh mangsa.

(c)                Bahan-bahan tajam dan melukakan seperti kaca, mentol lampu, kelonsong telur ayam, benang sutera, berus besi, kawat sental periuk, tali sabut yang direndam, pisau berkarat, paku, ranting bunga kertas kuku manusia atau binatang[7] dan yang seumpamanya. Bahan-bahan ini biasa digunakan dalam penyediaan sihir untuk mencedera.

(d)               Bahan-bahan gatal dan miang seperti miang buluh, miang tebu, miang rebung, tali guni, ulat bulu mati beragan dan yang seumpamanya.[8] Bahan-bahan ini biasanya disediakan dalam sihir yang bertujuan untuk mendatangkan kemudaratan kepada tubuh mangsa terutama organ dalaman.

(e)                Bahan-bahan simpulan seperti kain, benang, rambut, tali sabut, tali yang mempunyai warna-warna tertentu, biasanya merah, hitam, kuning dan putih dan yang seumpamanya.
(f)                 Bahagian tertentu dari anggota badan manusia seperti tengkorak, tulang belulang atau apa-apa yang terhasil darinya seperti rambut, kuku, ludah, air mani, darah haid dan yang seumpamanya.[9]

(g)               Bahagian tertentu dari haiwan yang diambil dalam keadaan tertentu seperti taring harimau, gading gajah, tanduk kerbau, bulu kongkang, hati mawas putih, hati kura-kura, uri kucing, belangkas jantan betina yang melekat, telur labah-labah, tulang dagu kera duku.[10] Bahan-bahan tadi diperlukan dalam sihir yang bertujuan menjadikan mangsa itu bodoh dan malu apabila melihat orang atau dibenci orang kerana kegarangannya. 

(h)               Bahan-bahan yang diambil dalam keadaan tidak stabil. Sebagai contoh, benda-benda yang memusing ditengah-tengah air seperti daun, kayu atau haiwan mati, atau benda-benda yang tersangkut di sarang labah-labah, atau benda-benda bergantung yang sentiasa berpusing ke kanan dan ke kiri. Bahan-bahan ini biasanya digunakan dalam sihir yang bertujuan untuk menjadikan mangsa bingung dan tidak keruan.[11]

(i)                 Tanah liat, lilin atau jerami yang diukir dan dibentuk menjadi patung,[12] dipuja, dicucuk jarum atau duri nibung, disalai, dibakar dan sebagainya dengan tujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.[13] Metod sebegini telah pun diamalkan sejak beribu tahun dahulu dan ianya masih digunakan hingga ke hari ini dan ianya merupakan salah satu amalan yang diajarkan oleh syaitan kepada manusia.
"To some others at these times he [the Devil] teacheth how to make pictures of wax or clay. That by the roasting thereof, the persons that they beare the name of, may be continually melted or die away by continually sickness."[14]

‘Bahan dalaman’ kedua pula merujuk kepada apa-apa yang mempunyai identiti mangsa yang hendak disihir atau orang yang hendak melakukan sihir. Contohnya pakaian, kuku, rambut, bulu roma, pakaian dalam, baju, kain, seluar, tisu dan tuala yang pernah dipakai oleh mangsa.[15] Bahan ini adalah antara bahan yang sangat diperlukan bagi memastikan sihir yang dikenakan dapat mencari sasaran dengan tepat dan menghasilkan kesan yang cepat.[16]

Setelah semua barangan yang disyaratkan telah disediakan dan upacara pemujaan sudah dilakukan, maka orang tersebut mestilah menanam barang-barang tersebut di tempat-tempat yang biasa di duduki dan dilalui oleh orang yang hendak disakitinya itu, atau di selit di tempat-tempat sulit, atau di tabur dan dijirus di sekeliling rumah orang tersebut dan sebagainya. Jika barang pemujaan itu berupa minyak berpuja kebiasaannya di sapu di tiang rumah, kedai, kenderaan, pakaian dan sebagainya.[17] Apabila semua itu dilaksanakan, maka giliran khadam sihir pula yang berperanan menunaikan janjinya terhadap penyihir. Kesan sihir yang dikenakan ke atas mangsa akan dirasai apabila khadam sihir itu meresap masuk ke dalam tubuh mangsa melalui salur darah dan menyerang pusat operasi dalam tubuh manusia iaitu otak dan organ-organnya.[18] Mengenai kebolehan jin, syaitan dan iblis memasuki tubuh manusia melalui salur darah, Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
إن الشيطان يجري مجري دم إبن ادم
Sesungguhnya syaitan itu bergerak bebas di dalam tubuh anak Adam melalui saluran-saluran darahnya.[19]
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa keberfungsian ilmu sihir bergantung kepada pematuhan seseorang penyihir kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh khadam yang dipujanya.



[1] Jahid b. Hj. Sidek, 2008, Sihir: Ciri-cirinya, kaedah rawatan dan amalan pendinding, kertas kerja Seminar Rawatan Islam Siri 1 anjuran IQ Insan Training & Consultancy, Masjid Negara, Kuala Lumpur, 5 Januari, hlm. 1. Stuart Gordon menyatakan bahawa ilmu hitam adalah ‘magic undertaken for destructive or selfish purpose; to dominate or harm others; to gain power, wealth or knowledge by necromancy or sorcery, traditionally by calling up demons or by blood-sacrifice.’ Lihat Stuart Gordon, 1993, The Encyclopedia of Myths & Legends, London, Headline Book Publishing Plc., hlm. 61-62.
[2] Terdapat banyak dalil bagi menyokong fakta bahawa keberkesanan ilmu sihir bergantung sepenuhnya kepada peranan dan penglibatan jin, syaitan dan iblis, antaranya ialah: Wāhid cAbdussalam Al-Bāly & Daud Mohd Salleh, 1994, Bagaimana menentang ilmu hitam, Johor Bahru: Penerbitan Al Masyhur Sdn. Bhd., hlm. 2, Muhammad Muṣṭafā al-Hadīdī Al-Thair, 1987, Penyuluh Arwah, Jakarta: Pustaka Amani, hlm. 96, Amran Kasimin, 1997, Amalan sihir masyarakat Melayu: Satu analisis, Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn. Bhd, hlm.12, Richard Kieckhefer, 1990, Magic in the middle ages, Great Britain: Cambridge University Press, hlm. 10, 179, Abdul Basir Mohammed, Amalan sihir & ayat-ayat al Qur’an: Perbezaannya serta kesannya terhadap amalan perubatan, 1999, Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hlm. 16, 172, cUmar Sulaymān Al-‘Ashqar, 2002, cᾹlam al-sihri wa al-shaᶜwazah, Edisi ke 4, Jordan: Dār Al Nafā’is, hlm. 165, Stuart Gordon, 1993, The Encyclopedia of Myths & Legends, London: Headline Book Publishing Plc., London, hlm. 61-62, Ibrahīm Muhammad al-Jamal, 1987, Hakikat Sihir, Semarang, CV. Toha Putra, hlm. 69, Muhammad Mahmūd cAbdullāh, 1995, Ṣofwah al-bayān fi cIlāji al-sihri wa al-hasadi wa massi al-shayṭān, Kaherah: Maktabah al Qudsi, hlm. 21, William Shaw, 1975, hlm. 1, Boredel, Hans Peter, 2003, The Malleus Maleficarum: and the construction of witchcraft, theology and popular belief, New York: Manchester University Press, hlm. 22. Lihat juga Russell, Jeffrey Burton, 1972, Witchcraft in the Middle Ages, Ithaca, New York: Cornell University Press, hlm. 232, Diwan, Mohammed A., 2004, Conflict between state legal norms and norms underlying popular beliefs: witchcraft in Africa as a case study, Duke Journal of Comparative & International Law, 14.2 (Summer 2004): 351(37), di hlm. 355. Akses melalui laman sesawang http://www.law.duke.edu/shell/cite.pl?14+Duke+J.+Comp.+&+Int'l+L.+351 [9 Disember 2009]
[3] Berkenaan penyediaan bahan sihir, Shakespeare pernah menulis dalam MacBeth, act 4, scene 1:
”Fillet of a fenny snake                                        adder’s fork and blind worm’s sting
In the cauldron boil and bake                            lizard’s leg and howlet’s wing
Eye of newt and toe of frog                                for a charm of powerful trouble
Wool of bat and tongue of dog                        like a hell-broth, boil and bubble”
Lihat Anon, t.th, The complete works of William Shakespeare. http://www.shakespeare-literature.com/ Macbeth/18.html [20 Januari 2010].
[4] Lihat Al Qur’an, al-Kahfi 18:50.
[5] Jennifer Widner, 2001, Building the rule of law: Francis Nyalai and the road to judicial independence in Africa, New York, W.W. Norton Company Inc., hlm. 380.
[6] Amran Kasimin, 1995, Santau sebagai satu cabang ilmu sihir, Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn Bhd, hlm. 42.
[7] Amran Kasimin, 1995, hlm. 43.
[8] Amran Kasimin, 1995, hlm. 42.
[9] Ibrahīm Muhammad al-Jamal, 1403H, Al-sihr: Dirāsah fī zilāli al-qisasi Al-Qur’āni wa Al-sīrah Al-nabawiyyah, Kaherah, Maktabat Al-Qur’ān, hlm. 58. Lihat juga Dr. H.O.K. Rahmat S.H., Pencemaran akidah di nusantara, 1983, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 28. Dipetik dari Abdul Basir Mohammed, 1999, hlm. 187.
[10] Amran Kasimin, 1995, hlm. 52.
[11] Amran Kasimin, 1995, hlm. 52.
[12] Lihat William Shaw, 1975, Aspects of Malaysian magic, Kuala Lumpur: Muzium Negara, hlm. 50.
[13] Menurut K.H.M. Ali Usman, masyarakat Barat menganggap penggunaan patung atau objek yang membentuk manusia adalah petunjuk bahawa seseorang itu adalah tukang sihir. Sekitar tahun 1856 M, sebuah buku bertajuk Dogme & Rituel de la haute magie par tulisan Eliphas Levi diterbitkan di Perancis. Buku ini mengandungi aturan-aturan sihir yang digunakan oleh tukang sihir untuk membunuh mangsa dengan mengunakan patung lilin yang diukir mirip rupa mangsa. Lihat K.H.M. Ali Usman, 1979, hlm.51.
[14] Clyde K. Hyder, 1963, Rossetti's "Rose Mary": A Study in the Occult, Victorian Poetry, Vol. 1, No. 3 (Aug), West Virginia University Press, hlm. 197-207. http://www.jstor.org/stable/ 40001196 [20 Januari 2010].
[15] Ibrahīm Muhammad al-Jamal, 1403H, hlm. 55-57.
[16] Sekiranya diteliti dan dibandingkan dengan penemuan terbaru dalam bidang perubatan, maka boleh dikatakan bahawa konsep untuk mengesan seseorang individu melalui sampel DNA sebenarnya sudah lama diketahui oleh bangsa jin, syaitan dan iblis. Biasanya sampel DNA ini hanya diperolehi melalui sesuatu yang berasal dari tubuh manusia seperti darah atau peluh. Bahan-bahan tersebut mengandungi sampel DNA mangsa dan ini memudahkan khadam sihir untuk mengesan mangsanya dengan tepat. Ia seumpama peta bagi khadam sihir untuk menjejaki mangsa.
[17] Hj. Ahmad Hj. Che Din, 1997, Perubatan tradisional Melayu, adat resam masyarakat Melayu Islam, latihan pertahanan diri Melayu, perkara-perkara khurafat dan ajaran-ajaran sesat, Kuala Kangsar: t.pt., hlm. 35. Lihat juga Hj. Jahid b. Hj. Sidek, 2008, Sihir: Ciri-cirinya, kaedah rawatan dan amalan pendinding, kertas kerja Seminar Rawatan Islam Siri 1 anjuran IQ Insan Training & Consultancy, Masjid Negara, Kuala Lumpur, 5 Januari, hlm. 4-6. Lihat juga Ibrahim Abdul Alim Abdul Bar, 2006, Kajian Terperinci Kerasukan Syaitan dan Sihir: Panduan Berubat dan Bid’ah Semasa Rawatan (Buku terjemahan dari Kitab Ar Raddul Mubin al Bidai Ilaji al jin wa as Sihr), Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise, hlm. 94.
[18] Amran Kasimin, 1997, hlm. 132-133, Wāhid cAbdussalam Al-Bāly & Daud Mohd Salleh, 1994, hlm. 100, 111 & 128.
[19] Ṣahīh al-Bukhāriyy jil. 4, hadis no. 2035 dan Al-Nawawiyy, Ṣahīh Muslim, jil. 7, hlm. 18-19. Lihat juga Khairul Ghazali, 2001, Rupa & Wajah Iblis Laknatullah, Kuala Lumpur, Darul Nu’man, hlm. 90.