Selasa, 27 Mac 2012

Maqasid Al_Syariah




PERTAMA:KONSEP MAQASID

1.Definisi Maqasid 

Maqasid merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu.Dalam konteks ini maqasid yang dimaksudkan ialah maqasid atau objektif yang diletakkan oleh syara' dalam mensyariatkan hukum.Antara istilah popular yang digunakan ialah maqasid syariah, maqasid al-Syari'(Allah) dan maqasid syara' atau di dalam Bahasa Arabnya maqasid al-syariah, maqasid al-Syari' dan al-maqasid al- syar'iyyah. (2) 

(2) Ahmad al-Raisuni, Nazariyyat al-Maqasid I'nda al-Imam al-Syatibi, Beirut, al-Maahad al-Alami li al-Fikr al-Islami, 1992,m.s.13
 
Terdapat pelbagai pendefinisian telah dilontarkan oleh ulama usul fiqh tentang istilah maqasid. Ulama klasik tidak pernah mengemukakan definisi yang spesifik terhadap maqasid, malah al-Syatibi yang terkenal sebagai pelopor ilmu maqasid (3) pun tidak pernah memberikan definisi tertentu kepadanya. Namun ini tidak bermakna mereka mengabaikan maqasid syara' di dalam hukum-hukum syara'. Pelbagai tanggapan terhadap maqasid dapat dilihat di dalam karya-karya mereka. Kita akan dapati tanggapan ulama klasik yang pelbagai inilah yang menjadi unsur di dalam definisi-definisi yang dikemukakan oleh ulama mutakhir selepas mereka. Apa yang pasti ialah nilai-nilai maqasid syara' itu terkandung di dalam setiap ijtihad dan hukum-hukum yang dikeluarkan oleh mereka. Ini kerana nilai-nilai maqasid syara'itu sendiri memang telah terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah (4). 

(3) Hammad al-Obeidi, al-Syatibi wa Maqasid al-Syariah, Mansyurat Kuliat al-Da'wah al-Islamiyyah, Tripoli, cet. Pertama, 1401H/1992M, m.s. 131
(4) Muhammad Fathi al-Duraini, al-Manahij al-usuliyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1997M, m.s.48.  

Ada yang menganggap maqasid ialah maslahah itu sendiri, samada menarik maslahah atau menolak mafsadah.Ibn al-Qayyim menegaskan bahawa syariah itu berasaskan kepada hikmah-hikmah dan maslahah-maslahah untuk manusia samada di dunia atau di akhirat.Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia (5).Sementara Al-Izz bin Abdul Salam juga berpendapat sedemikian apabila beliau mengatakan "Syariat itu semuanya maslahah, samada menolak kejahatan atau menarik kebaikan…" (6).  

(5) Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1996M, jil.3, m.s.37
(6) Al-Izz bin Abdul Salam, opcit, jil.1, m.s.9.  

Ada juga yang menyifatkan maqasid sebagai mengelakkan kemudaratan. Al-Qadi I'yad telah berkata "berhukum untuk mengelakkan kemudaratan adalah wajib".Ada juga yang menyifatkan maqasid sebagai mengelakkan kesusahan atau masyaqqah.Ini sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibn al-Arabi dengan kata-katanya " Tidak harus membebankan seseorang dengan apa yang ia tidak mampu".(7) 

(7) Nuruddin Mukhtar, al-Khadimi, al-Ijtihad al-Maqasidi,Qatar , 1998M , m.s.49-50.
 
Ada juga yang memahami maqasid sebagai lima prinsip islam yang asas iaitu menjaga agama, jiwa, akal , keturunan dan harta.Di satu sudut yang lain, ada juga ulama klasik yang menganggap maqasid itu sebagai logik pensyariatan sesuatu hukum. (8)
(8) Nuruddin Mukhtar, al-Khadimi, al-Ijtihad al-Maqasidi,Qatar , 1998M , m.s.50
Manakala ulama-ulama mutakhirin seperti Al-imam al-Syatibi yang sinonim kepada ilmu maqasid tidak pernah mengemukakan definisi yang spesifik untuk istilah maqasid.Ini mungkin disebabkan beliau merasakan bahawa umum sudah memahaminya. (9)
(9) I'wad bin Muhammad al-Qarni, al-Mukhtasar al-Wajiz fi Maqasid al-Tasyri', Jeddah, Dar al-andalus al-Khadra', 1419H, m.s.17. 

Ibn Asyur mendefinisikan maqasid sebagai "Segala pengertian yang dapat dilihat pada hukum-hukum yang disyariatkan pada keseluruhannya atau sebahagian besarnya" (10) .Ini bermakna maqasid bukanlah pengertian yang dapat dilihat pada hukum – hukum tertentu secara khusus.Contohnya melahirkan kebaikan , menolak kejahatan dan konsep kesamarataan antara manusia yang ada pada setiap pensyariatan hukum-hukum syara'.Ibn Asyur telah membahagikan maqasid dengan lebih terperinci lagi dengan mengkategorikannya kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid khusus.Menurut beliau maqasid umum ialah maqasid yang dapat dilihat dalam hukum-hukum yang wajib dan melibatkan semua individu secara umum .Manakala maqasid khusus pula ialah cara yang digunakan oleh syariah bagi merealisasikan kepentingan umum melalui tindak- tanduk perseorangan.Contohnya hukum merekodkan perjanjian hutang dalam bidang muamalat.
(10) Mohammad al-Tahir al-Misawi, Ibn Asyur wa Kitabuhu Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah, Mkuala Lumpur, Al-Basyair li al-Intaj al-Ilmi, 1998M, m.s.171 .
 
I'lal al-Fasi mendefinisikan maqasid sebagai "matlamat syariah dan rahsia-rahsia pensyariatan setiap hukum (islam)".Beliau juga telah membahagikan maqasid kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid khusus.Maqasid umum ialah matlamat syariah secara umum, manakala maqasid khusus ialah rahsia di sebalik setiap hukum.Walaubagaimanapun definisi ini telah dikritik oleh Dr. Iwad bin Muhmmad al- Qarni .Beliau mengkritik pendefinisian ini dengan mengatakan bahawa perkataan rahsia adalah kurang sesuai digunakan kerana rahsia bukanlah maqasid secara mutlak.Ada kalanya sesuatu rahsia itu menjadi maqasid dan pada ketika lain ia bukanlah maqasid kepada sesuatu. (11)
(11) al-Qarni, opcit, m.s.18
 
Ahmad Al-Raisuni mendefinisikan maqasid sebagai "matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia".Beliau telah membahagikan maqasid dengan lebih teliti lagi berbanding dengan Ibn al-'Asyur iaitu dengan membahagikannya kepada tiga bahagian, iaitu maqasid umum , maqasid khusus dan maqasid serpihan (juziyy). Menurut beliau maqasid umum ialah objektif yang diambilkira oleh syara' dalam menentukan semua atau sebahagian besar hukum syara' , contohnya konsep keadilan dan kesamarataan (al-Musawah) yang terdapat dalam semua hukum syara'. Maqasid khusus ialah yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu atau beberapa kelompok hukum tertentu, contohnya hukum kekeluargaan. Manakala maqasid serpihan ialah yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu hukum tertentu, contohnya hukum sunat berkahwin.Namun apa yang menjadi topik perbincangan ilmu usul fiqh dan ilmu maqasid khasnya ialah maqasid umum. Manakala maqasid khusus menjadi topik perbincangan para fuqaha. (12) Jika diteliti definisi-definisi yang dikemukakan oleh para ulama tersebut, definisi yang paling tepat, padat dan merangkumi seluruh konsep maqasid ialah definisi yang dikemukakan oleh al-Raisuni.
(12) al-Raisuni, opcit, m.s.15
 
Kesimpulannya maqasid syariah ialah "matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia". 

2.Istilah-istilah lain yang berkaitan dengan maqasid. 

2.1)al-Hikmah
 
Ibn Rusyd menyifatkan maqasid sebagai hikmah pensyariatan hukum Al-hikmah membawa erti yang sama dengan maqasid. Istilah al-hikmah lebih kerap digunakan oleh fuqaha.Contohnya Ibn Farhun berkata:"Dan adapun hikmah qada ialah mengangkat kacau bilau, menolak bala bencana, mencegah orang zalim, membantu yang dizalimi, memutuskan pertikaian,menyuruh yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran".(13)
(13) Muhammad bin Farhun, Tabsirah al-Hukkam, Dar al-Maktabah al-Ilmiyyah, Mesir, 1301H, m.s.8 

Manakala di kalangan para fuqaha, para ulama usul istilah ini merujuk samada kepada maqasid sesuatu hukum ataupun kesesuaian (relevensi) sesuatu hukum (al-makna al-munasib).Contohnya mengelakkan masyaqqah adalah hikmah kepada adanya hukum rukhsah. 

2.2)Al-'illat
 
Ada sebahagian ulama yang menganggap bahawa maqasid itu ialah'illlah-''illat yang terkandung di dalam pensyariatan hukum. Al-Ilah ialah sifat zahir yang tekal yang ada pada sesuatu hukum syara (14).Sifat yang ada pada sesuatu hukum itu seolah-olah menggambarkan maqasid syara.Ini menjadikan al-'illat dan maqasid membawa pengertian yang sama.Atau dengan kata lain, maqasid sesuatu hukum dapat difahami daripada kefahaman terhadap 'illatnya.Istilah ini lebih banyak digunakan di dalam bidang tafsir ayat dan hadith yang berkaitan dengan hukum-hukum syara' (15).
(14) Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, Dar al-Fikr, Dimasyq, 1986, jil.1, m.s.646
(15) al-Raisuni, opcit, m.s.17 

2.3)Al-ma'na
 
Dari segi penggunaannya, istilah al-ma'na adalah sinonim kepada maqasid kecuali al-ma'na lebih popular digunakan oleh fuqaha terdahulu seperti al-Syatibi, al- Ghazali dan al-Tabari.
3. Pengkategorian - Pengkategorian maqasid.
Maqasid boleh dibahagikan kepada pelbagai kategori yang berbeza berdasarkan kepada perspektif yang berbeza.
3.1)Kategori maqasid berdasarkan puncanya terbahagi kepada dua: (16)
(16) al-Syatibi, al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, Beirut ,Dar al-Ma'rifah, 1416H/1996M, jil: 2, m.s: 321.
3.1.1)Maqasid Syari'(Allah)
 
Iaitu maqasid yang diletakkan oleh Allah dalam mensyariatkan hukum. Ianya berpusat kepada menarik kebaikan dan menolak kejahatan di dunia dan di akhirat. Menurut al-Syatibi, Maqasid Syari' terbahagi kepada empat bahagian (17):
(17) al-Syatibi, al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, Beirut ,Dar al-Ma'rifah, 1416H/1996M, jil: 2, m.s: 321. 

a.Tujuan Syari' (Allah) mencipta Syariat itu sendiri.
b.Tujuan Syari' (Allah) menciptakan Syariat untuk difahami.
c.Tujuan Syari' (Allah) menjadikan Syariat untuk dipraktikkan.
d.Tujuan Syari' (Allah) meletakkan mukallaf di bawah hukum Syarak.
a.Tujuan Allah mencipta Syariat.
 
Pada pandangan al-Syatibi, Allah mencipta syariat dengan tujuan untuk merealisasikan maqasidnya untuk sekelian manusia iaitu untuk memberikan kebaikan (maslahah) kepada mereka dan mengelakkan kerosakan / keburukan (mafsadah) daripada menimpa mereka. Menururtnya segala apa yang disyariatkan tidak terlepas daripada maqasid ini yang dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu (18) :
(18) ibid,jil:2, m.s:326. 

i) Kepentingan Asas (al-Dharuriyyat) :
Iaitu segala apa yang paling penting dalam kehidupan manusia samada bagi tujuan kebaikan agama dan hidup di dunia. Kehidupan manusia akan menjadi rosak samada di dunia atau di akhirat jika kepentingan asas ini tidak ada atau tidak dipenuhi. 

ii)Keperluan Biasa (al-Hajiyat) :
Ia merupakan keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia dan akhirat, yang mana tanpanya kehidupan manusia akan menjadi tidak sempurna dan mengalami kesempitan ataupun tidak sampai ke tahap rosak. 

iii)Keperluan Mewah (al-Tahsiniyat) :
Iaitu keperluan yang tidak sampai ke tahap kedua di atas. Ianya hanya untuk tujuan keselesaan dan kecantikan. Contohnya : adat, akhlak dan etika.
Berasaskan prinsip induktif beliau membahagikan kepentingan asas kepada lima, iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Menurut beliau, semua agama memandang perkara ini sebagai kepentingan asas.
Menurut beliau lagi, Syariat Islam menjaga menjaga kepentingan asas ini melalui dua cara (19):
(19) Al-Syatibi, opcit, jil:2, m.s:325.
 
Pertama:Secara positif
 
Dengan menentukan hukum yang boleh melahir dan menjaga kewujudannya. Contohnya bagi menjaga agama diwujudkan akidah, ibadat, ijtihad dan sebagainya. Begitulah juga hukum – hukum adat dan muamalat diwujudkan bagi mewujudkan kesempuraan dan kebaikan hidup manusia. 

Kedua:Secara negatif

Iaitu dengan menghalang apa – apa yang yang boleh menghapus, merosak atau menganggu kepentingan itu. Contohnya, diwajibkan hukum bunuh ke atas orang murtad bagi menjaga kepentingan agama, sementara hukum – hukum adat dan muamalat bagi menjaga kepentingan yang lain. 

Menurut beliau lagi, yang menjadi asas kepada semua kepentingan tadi adalah kepentingan asas. Sedangkan kepeluan biasa sebagai pendokong kepadanya, sementara keperluan mewah sebagai pendokong kepada keperluan biasa. Kedudukan ini perlu diambilkira dalam menentukan keutamaan hukum atau dalam memberi keutamaan kepada mana – mana maslahah apabila berlaku percanggahan antara satu sama lain. 

Berdasarkan kepada keutamaan inilah al-Syatibi membentuk lima kaedah berikut (20) :
(20) Al-Syatibi, opcit, jil:2, m.s:331.
 
-Kepentingan asas sebagai asas kepada keperluan biasa dan keperluan mewah. -Kerosakan kepentingan asa menyebabkan kerosakan kepada keperluan yang lain. -Tidak semestinya kerosakan keperluan lain boleh merosakkan kepentingan asas. -Kerosakan keperluan biasa atau keperluan mewah mungkin boleh menyebabkan kerosakan kepada kepentingan asas. -Wajib menjaga keperluan biasa dan keperluan mewah bagi tujuan menjaga kepeluan asas.
b. Tujuan Menjadikan Syariat untuk difahami.
Al-Syatibi menyatakan, syariat yang diturunkan oleh Allah S.W.T adalah untuk difahami oleh manusia untuk mereka melaksanakanya, jika ianya tidak dapat difahami oleh manusia, tiada erti pada penurunan syariat tersebut. Bukti mengenai kenyataan tersebut ialah penurunan al-Quran itu sendiri dalam bahasa arab sesuai dengan suasana arab lewat penurunannya dan juga isi kandungan al-Quran yang mudah difahami oleh manusia (21).
(21) opcit, jil:2, m.s:375.
 
c. Tujuan Allah mencipta Syariat bagi dipraktikkan.
 
Syariat yang diturunkan oleh Allah kepada manusia adalah untuk dipraktikkan. Tanggung jawab untuk mempraktikkannya ini dipanggil taklif. Taklif menurut al-Syatibi hendaklah mampu dipikul oleh manusia, malah para ulama telah berijma' tiada taklif di luar kemampuan manusia (22).
(22) opcit, jil:2, m.s:414.
 
Oleh yang demikian, jika ada taklif yang pada zahirnya dilihat seperti tidak mampu dipikul oleh mukallaf, maqasid syariat pada kes tersebut bukan terletak kepada hasil atau natijah kepada pelaksanaannya , tetapi pada usaha untuk merealisasikannya. Seperti suruhan berlaku adil di antara para isteri bagi suami yang berpoligami, ia adalah sesuatu di luar kemampuan manusia untuk berlaku adil 100% terutamanya dalam bab kasih sayang. Oleh itu yang menjadi maqasid syara pada waktu itu ialah usaha untuk merealisasikan keadilan tersebut dan bukannya natijah daripada usaha tersebut. (23)
(23) opcit, jil:2, m.s:416.
 
Dalam buku "al-Muwafaqat", al-Syatibi telah memperluaskan lagi contoh – contoh bagi kes seumpama ini (24). Beliau juga membangkitkan persoalan beban yang terhasil daripada taklif secara keseluruhannya. Kata beliau, bukanlah tujuan syariat untuk membebankan dan menyusahkan manusia (ini dapat dilihat melalui dalil – dalil yang menolak keadaan serba salah (al-haraj) dan menegaskan kemudahan serta toleransi (al- taysir dan al-samah). Walaubagaimanapun, beban yang munasabah dalam kadar yang normal hasil daripada taklif tidak dapat dielakkan, kerana itu merupakan tabiat taklif. Dengan itu , beban yang terhasil itu bukanlah maqasid syariat . Yang menjadi maqasid syariat ialah maslahah disebalik bebanan itu sendiri, samada kesenangan di dunia mahupun di akhirat menurut neraca keperluan asas yang telah diperbincangkan (25).
(24) opcit, jil:2, m.s:416 – 425.
(25) opcit, jil:2, m.s:429.
 
Al-Syatibi juga dalam bab ini memberikan alasan mengapa syariat Islam sentiasa menghindarkan kebersalahan (al-haraj) dan beban yang berat, yang pertamanya untuk mengelakkan kebosanan dan rasa benci mukallaf terhadap taklif dan yang keduanya, untuk menghindarkan daripada menganggu tugas – tugas hidup yang lain seperti mencari nafkah, menjaga anak isteri dan sebagainya demi untuk menumpukan perhatian kepada menyempurnakan taklif (26).
(26) opcit, jil:2, m.s:428.
 
Di bawah tajuk ini juga, al-Syatibi menghuraikan jenis beban atau masyaqqah yang hendak dihindarkan oleh syariat daripada manusia dan jenis yang sebaliknya.Beliau juga menegaskan bahawa berat atau ringannya masyaqqah itu adalah bersifat relatif. Ia perlu berasaskan kerja sebenar yang perlu dilakukan dan sejauhmana kepentingannya dalam hidup. 

d.Tujuan meletakkan mukallaf di bawah hukum syara'.
 
Dalam bab ini al-Syatibi menegaskan keumuman syara' dan sifatnya yang menyeluruh. Syariat Islam juga merangkumi alam syahadat dan alam ghaib bagi setiap mukallaf. Tegasnya lagi, tujuan meletakan mukallaf di bawah hukum Syariat ialah untuk mengelakkan semua manusia dari terikut – ikut dengan hawa nafsu agar dengan itu mereka akan menjadi hamba Allah dengan penuh sukarela (27).
(27) opcit, jil.2, m.s.425
 
3.1.2.Maqasid Mukallaf (hamba)
 
Iaitu maqasid atau tujuan mukallaf dalam melakukan sesuatu perbuatan. Maqasid mukallaf berperanan menentukan sah atau batal sesuatu amalan.
Berasaskan prinsip di atas beliau menyimpulkan beberapa kaedah, seperti berikut:
-Qasd mukallaf hendaklah selari dengan qasd syariah itu sendiri. -Sesiapa yang berhasrat untuk mencapai sesuatu yang lain daripada maksud awal pensyariatannya, sesuatu itu dianggap telah menyalahi syariat. (28)
(28) opcit, jil.2, m.s.613-615
3.2.Kategori maqasid berdasarkan tahap kepentingannya .
 
Pembahagian berdasarkan neraca ini merupaka pengkategorian yang paling popular di dalam ilmu ini.Pembahagian seperti ini telah dipelopori oleh al- Imam al- Haramayn di dalam bukunya al-Burhan pada peringkat awal perbincangan mengenai maqasid. Kemudian pembahagian ini menjadi ikutan kepada ulama selepas beliau seperti al-Ghazali, al-Izz bin Abdul Salam, al-Qurafi, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan al-Syatibi yang telah mengupas persoalan ini dengan lebih mendalam.(29)
(29) opcit, jil: 2, m.s: 321
 
Berdasarkan neraca ini maqasid terbahagi kepada tiga: 

3.2.1 Kepentingan Asas (al-Dharuriyyat) :
Iaitu segala apa yang paling penting dalam kehidupan manusia samada bagi tujuan kebaikan agama dan hidup di dunia. Kehidupan manusia akan menjadi rosak dan terancam samada di dunia atau di akhirat jika kepentingan asas ini tidak ada atau tidak dipenuhi. 

3.2.2.Keperluan Biasa (al-Hajiyat) :
Ia merupakan keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia dan akhirat, yang mana tanpanya kehidupan manusia akan menjadi tidak sempurna dan mengalami kesempitan alaupun tidak sampai ke tahap rosak.

3.2.3.Keperluan Mewah (al-Tahsiniyat) :
Iaitu keperluan yang tidak sampai ke tahap kedua di atas. Ianya hanya untuk tujuan keselesaan dan kecantikan. Contohnya : adat, akhlak dan etika. 

3.3.Kategori maqasid berdasarkan perkaitannya dengan hukum secara umum atau sebahagiannya terbahagi kepada tiga

3.3.1 Maqasid umum (maqasid ammah)
Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan semua atau sebahagian besar hukum-hukumnya.Contohnya menegakkan keadilan, menghasilkan kebaikan, menolak keburukan dan kesamarataan antara manusia.(30)
(30) Muhammad Uqlah, al-Islam Maqasiduhu wa Khasaisuhu, Maktabah al-Risalah al-Hadisah, 1991, m.s.112
 
3.3.2 Maqasid khusus (maqasid khassah)
Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu atau sekelompok hukum-hukum tertentu.Contohnya hukum-hukum muamalat, munakahat, jenayah dan sebagainya.(31)
(31) Al-Risuni, opcit, m.s.15
 
3.3.3 Maqasid serpihan (maqasid juz'iyyah) (32)
Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu hukum tertentu.Contohnya sunat berkahwin, makruh bercerai dan wajib membayar hutang.
(32) ibid, m.s.16
 
4.Faedah-faedah memahami maqasid 

Memahami maqasid syara' merupakan unsur penting dalam mengeluarkan hukum.Ini kerana maqasid ialah paksi yang akan memastikan setiap hukum itu akan seiring dengan kehendak dan matlamat Allah mensyariatkannya ke atas manusia. Dengan memahami maqasid atau maqasid syara' dapat menjelaskan lagi tujuan dan hikmah pensyariatan sesuatu hukum samada secara keseluruhannya atau sebahagiannya.
Selain itu ia juga dapat memperkembangkan lagi topik-topik perbincangan di dalam perkara-perkara ilmu maqasid seperti maslahah , qiyas, zarai'e dan sebagainya.

Apa yang menarik ialah jurang perselisihan pendapat antara fuqaha dapat dikurangkan lantas membuang perasaan taasub mazhab yang sebenarnya merugikan umat sendiri. Apa yang penting dalam setiap hukum yang dikeluarkan ialah ianya dapat mencapai dan selari dengan maqasid syara'. 

Akhirnya, memahami maqasid akan meyakinkan lagi bahawa islam itu datang untuk memberi maslahah dan kebaikan kepada manusia di dunia dan di akhirat.Justeru, individu muslim akan lebih rasional dan bersemangat dalam melakukan suruhan Allah Taala. (33)
(33) Nuruddin Mukhtar al-Khadimi, opcit, m.s.59
 
5.Kaedah mengenali maqasid 

Untuk menentukan sesuatu itu adalah maqasid yang dikehendaki oleh syari' bukanlah satu perkara yang mudah.Oleh itu ulama telah menggariskan beberapa kaedah untuk mengenali maqasid syara' Menurut al-Syatibi , terdapat tiga cara untuk kita mengenali maqasid syara' (34).
(34) al-Syatibi,opcit, jil.2, m.s.241
 
5.1. Penelitian kuantitatif.
 
Umumnya kaedah ini melibatkan penelitian secara deduktif terhadap dalil-dalil yang mensabitkan maqasid syara'. Penelitian ini boleh berlaku dalam dua keadaan samada penelitian terhadap semua dalil yang ada ataupun sebahagian daripadanya.Penelitian terhadap semua dalil sudah tentu akan menghasilkan natijah yang qat'ie manakala penelitian terhadap sebahagiannya pula akan menghasilkan natijah yang zanni.kaedah kedua ini lebih popular digunakan oleh fuqaha.Kesahihan kaedah ini terletak pada hakikat bahawa ia boleh memberi maklumat secara terperinci.(35)
(35) al-Syatibi, opcit, jil.2, m.s.241
 
5.2. Penelitian terhadap ilat hukum.
 
Kaedah ini melibatkan penelitian terhadap ilat-ilat hukum-hukum syara'.Kaedah ini tertumpu kepada usahsa untuk mengetahui rahsia di sebalik setiap hukum atau lebih dikenali sebagai masalik al-'illat di dalam ilmu usul fiqh.Secara umumnya terdapat sembilan cara untuk menentukan ilat sesuatu hukum iaitu ijma' ulama terhadap sesuatu 'illat, nas al-Quran, isyarat, kemunasabahan, memerhatikan keserupaan antara hukum dan sebagainya. (36)
(36) al-Syaukani, Irsyad al-Fuhul, Beirut ,Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994M, m.s.308
 
5.3. Penelitian terhadap semata-mata suruhan atau larangan Allah Taala terhadap sesuatu.
 
Kaedah ini berasaskan kepada bahawa boleh difahami ada maqasid tertentu di sebalik suruhan dan larangan .Maqasid di sebalik suruhan ialah melakukannya sementara maqasid di sebalik larangan ialah meninggalkan yang dilarang itu.(37)
(37) al-Syatibi, opcit, jil.2, m.s.241
 
KEDUA :KEDUDUKAN MAQASID SYARA' DALAM MENILAI SESUATU 

1. Kedudukan maqasid menurut perspektif syara' 

Sebagaimana yang telah dimaklumkan ,sesungguhnya dalil-dalil syariat Islam menegaskan bahawa setiap hukum-hukumnya mempunyai maqasid dan maksud yang tertentu (38). Sehubungan dengan itu, sudah menjadi makluman umum bahawa sesungguhnya tujuan pensyariatan itu ialah untuk kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat. (39)
(38) Mohammad al-Tahir al-Misawi, opcit , m.s.118
(39) Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, Damsyik, Dar al-Fikr, 1986M, jil.2, m.s.1017
 
Maqasid syara' merupakan kayu ukur dalam menilai sesuatu.Dengan kata lain, dalam memahami sesuatu hukum ianya mestilah seiring dengan maqasid yang telah digariskan oleh syara'.Fenomena ini jelas dilihat di dalam al-Quran.dan al-Sunnah.. 

Jumhur ulama telah berpendapat bahawa hukum-hukum syara' mengandungi hikmah dan maqasidnya yang tersendiri yang mana ianya berkisar tentang menjaga kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat (40). Pengamatan terhadap hukum-hukum ini telah menghasilkan satu jalinan kaitan yang rapat antara hukum syara' dan maqasidnya. (41)
(40) Yusuf al-Qardawi, Madkhal li Dirasat al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1993M, m.s.57
(41) al-Misawi, opcit, m.s.82
 
Justeru dalam proses memahami hukum, seorang faqih bukan sahaja perlu memahami dalil-dalil hukum tersebut, malah perlu memandang lebih jauh lagi iaitu aspek maqasid hukum tersebut disyariatkan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hukum fiqh tanpa maqasid sama seperti jasad yang tiada ruhnya.

Antara dalil-dalil yang mengukuhkan kedudukan maqasid sebagai hujah yang mengikat ialah: 

a) Al-Quran al-Karim : 

Al-Quran al-Karim yang merupakan sumber primer maqasid syara' samada secara langsung ataupun tidak, telah mengajar pengamalnya tentang setiap perkara itu haruslah bermatlamat. Daripada al-Quran kita dapat mengetahui maqasid pengutusan rasul-rasul, penurunan al-Quran, pentaklifan mukallaf dengan tanggungjawab dan pembalasannya dan maqasid kejadian alam dan manusia .Al-Quran telah menjelaskan maqasid penciptaan manusia ialah untuk pengabdian kepada Allah.
Al-Quran juga telah mengisbatkan prinsip utama islam diturunkan iaitu untuk menjaga agama, jiwa, akal ,keturunan dan harta.Jika diteliti kesemua hukum islam beredar di bawah naungan lima prinsip utama ini (42).
(42) al-Misawi, opcit, m.s.80
 
Al-Quran juga telah menentukan banyak maqasid dan hikmah sesuatu hukum disyariatkan yang seterusnya membentuk teori maqasid itu sendiri.Contohnya Maqasid larangan bersetubuh dengan isteri ketika haid ialah untuk mengelakkan penyakit, maqasid ibadat haji ialah mendapat faedah yang banyak antaranya penyatuan umat islam , maqasid perkahwinan ialah memelihara diri , dapat hidup dalam kasih sayang dan keharmonian, maqasid ibadat puasa ialah menjana sifat ketakwaan, maqasid larangan mendekati zina ialah kerana buruk akibatnya dan lain-lain maqasid yang banyak dinyatakan di dalam al-Quran. (43)
(43) Nuruddin Mukhtar, opcit, m.s.69
 
Daripada al-Quran juga satu rumusan tentang berbagai kaedah fiqh "qawaid fiqhiyyah" dapat dibentuk .Kaedah fiqh ini penting dalam memahami hukum dan mempunyai kaitan rapat dengan maqasid syar'iyyah itu sendiri (44). Antaranya "Darurat (kes kesusahan )mengharuskan yang haram" , "setiap kesusahan atau masyaqqah itu diukur dengan seada-adanya", "setiap kesusahan ada kesenangannya", Ini bermakna maqasid mempunyai kedudukan yang kukuh dan nilai autoriti yang kuat dalam menilai sesuatu. (45)
(44) Muhammad Sidqi al-Borno, al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1996M, m.s.30
(45) Muhammad al-Zuhayli, Maqasid al-Syariah, Damsyik, Dar al-Maktabi, 1998M, m.s.43
 
Hukum-hukum syara' bukan diturunkan secara serentak dan pelaksanaannya juga adalah secara berperingkat-peringkat.Ini semua tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan sesuatu hukum itu akan sampai kepada matlamat ianya disyariatkan. (46) Sesuatu hukum tidak akan mencapai maqasidnya seikiranya dijalankan pada masa yang salah atau dalam keadaan umat yang masih belum dapat menerima hukum itu.Contohnya pengharaman arak adalah secara berperingkat-peringkat ialah untuk memlihara maslahat umat pada ketika itu yang mana minuman arak adalah adat yang sukar untuk ditinggalkan secara sekaligus.Jika pengharaman dibuat secara drastik, kemungkinan umat islam pada ketika itu tidak dapat mentaati larangan Allah itu dan maqasid pengharamannya tidak dapat dicapai.
(46) Mana' al-Qutan, Tarikh al-Tasyri' al-Islami, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1993M, m.s.52
 
Jika diteliti ayat-ayat yang berkait dengan hukum-hukum fiqh, boleh dikatakan ada terselit maqasid di sebalik pensyariatan hukum tersebut.Bukan setakat itu sahaja, ilmu usul fiqh pula telah menyediakan pelbagai instrumen seperti qiyas dan al-zarai' yang boleh digunakan untuk meluaskan lagi aplikasi objekif di dalam sesuatu hukum kepada hukum yang lain.Walaupun tidak ada dalil yang khusus di dalam al-Quran yang menyatakan setiap hukum ada maqasidnya tetapi berdasarkan dalil-dalil secara umumnya dapat kita simpulkan bahawa al-Quran sentiasa mengambilkira aspek maqasid dalam menyatakan sesuatu hukum.(47)
(47) Nuruddin Mukhtar, opcit, m.s.72
 
b) Al-Sunnah sebagai sumber kedua terpenting selepas al-Quran mempunyai peranan penting dalam menguatkan lagi apa yang dibawa oleh al-Quran, mentafsirkan al- Quran, menjelaskan dan menghuraikannya agar lebih jelas dan mudah dipraktikkan. Begitu juga di dalam bidang maqasid, al-Sunnah berperanan menguatkan lagi kedudukan maqasid dalam menilai sesuatu.Banyak al-sunnah yang menerangkan tentang sesuatu hukum turut menekankan aspek maqasid hukum tersebut.(48) Contohnya hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : " Sesungguhnya agama itu mudah" (49) Dalam hadith ini, dengan jelas ianya menunjukkan antara maqasid atau objektif syariat, iaitu memudahkan ummat, tidak membebankan dan senang untuk diamalkan. Begitu juga dengan sabda baginda : "Rasulullah S.A.W jika diberikan peluang untuk memilih antara dua perkara, maka baginda tidak akan memilih kecuali yang paling mudah selagimana ianya tidak berdosa.." (50) Ianya membawa objektif bahawa islam amat mementingkan kemudahan kepada umatnya. Dalam hadith yang lain pula, Rasulullah S.A.W bersabda : "Jika tidak kerana menyusahkan umatku nescaya sudah aku suruh mereka bersiwak untuk setiap kali solat" (51). Dari hadith ini jelas menunjukkan syariat islam bukan bertujuan untuk menyusahkan umat malah menyenangkan dan memastikan kemaslahatan mereka terjamin.
(48) Yusuf al-Qardawi, al-Sunnah Masdaran li al-ma'rifah wa al-hadarah, Dar al-Syuruq, Kaherah, 1997, m.s.231
(49) Hadith sahih riwayat al-Bukhari, lihat : al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, jil. 1, m.s. 23.
(50) Hadith riwayat al-Bukhari, lihat : al-Bukhari, opcit, jil. 3, m.s. 305.
(51) Hadith sahih riwayat al-Bukhari, al-Bukhari, opcit, jil. 2, m.s. 682. 

Autoriti maqasid syara' dalam menilai sesuatu tidak perlu dipertikaikan lagi kerana maqasid syara' bukanlah sesuatu yang asing dari dalil-dalil syara' malah ianya terkandung di dalam dalil-dalil itu sendiri samada secara langsung atau tidak.(52) Hasil penelitian secara kuantitatif dan deduktif terhadap dalil-dalil ini menunjukkan setiap hukum yang disyariatkan mempunyai maqasid yang tersendiri yang akhirnya tertumpu kepada menjaga kemaslahatan manusia sejagat. (53)
(52) Muhammad Fathi al-Duraini, al-Manahij al-usuliyyah, m.s.48
(53) Ramadan al-Buti, Dawabit al-Maslahah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1990M, m.s.70. 

c) Jika ditinjau pada zaman sahabat, mereka telah mengaplikasikan konsep maqasid syara' di dalam setiap ijtihad yang mereka lakukan (54).Jika dibandingkan dengan zaman Rasulullah S.A.W. penggunaan konsep ini agak lebih meluas memandangkan banyak perkara-perkara baru yang tiada nas mula timbul hasil daripada peredaran zaman dan perkembangan semasa. (55)
(54) Yusuf al-Qardawi, al-Sunnah Masdaran li al-ma'rifah wa al-hadarah, Kaherah, Dar al-Syuruq, 1997M, m.s.232.
(55) Nuruddin Mukhtar, opcit, m.s.92. 

Kefahaman para sahabat terhadap al-Quran adalah istimewa berbanding dengan kefahaman orang lain kerana mereka bukan sahaja memahami zahir al-Quran malah menjangkau tujuan di sebalik penurunannya itu. 

Justeru kita dapati ijtihad-ijtihad mereka bertepatan dengan kehendak syara' untuk menjamin kemaslahatan umat sejagat.Ahmad b. Hanbal menegaskan perbuatan para sahabat ini berpunca daripada pemahaman mereka tentang maqasid syara' itu sendiri. Antara contoh yang jelas ialah ijtihad mereka untuk mengumpulkan al-Quran di dalam satu mashaf, menjatuhkan talak tiga dengan satu lafaz, tidak membahagikan tanah rampasan perang kepada tentera dan banyak lagi.(56)
(56) ibid, m.s.96
 
Begitu juga keadaannya pada zaman tabi'in yang sempat hidup bersama sahabat.Mereka mewarisi secara praktikal pengambilkiraan maqasid syara' dalam mengeluarkan hukum yang berpusat kepada menarik maslahah dan menolak mafsadah.(57)
(57) Abdul Karim Zaidan, al-Madkhal li Dirasati al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1990M, m.s.114
Seterusnya corak berijtihad seumpama ini diwarisi sehingga ke zaman imam mujtahid dan hari ini. 

d) Hakikat ini telah diperakui oleh jumhur ulama usul dan furu' lebih lebih lagi apabila ulama usul telah mensyaratkan untuk seorang mujtahid melakukan ijtihad mestilah memahami maqasid syar'iyyah. Sehubungan dengan itu, pentafsiran nas secara lateral semata-mata a tanpa melihat kepada maqasid syara' di sebaliknya adalah bertentangan dengan tabiat tasyri'itu sendiri (58).
(58) Al-Duraini, opcit, m.s.49
Al-Qurafi bukan sahaja mensyaratkan mujtahid memahami maqasid syara', malah faqih muqallid juga mesti memahami maqasid syara'. (59)
(59) Dinukilkan oleh:al-Raisuni, opcit, m.s.290
 
Al-Imam al-Syafi'e mengambil langkah merujuk kepada maqasid syara' sebagai satu kaedah dalam berijtihad apabila tiada nas dari al-Quran atau al-Sunnah atau hadith ahad .Seterusnya, sekiranya beliau tidak mendapati apa-apa maslahah umum atau kepentingan umum beliau akan berpindah kepada sumber ijma'.Al-Imam al-Ghazali juga mengambilkira aspek maslahah sekiranya ada tanda-tanda ianya adalah maqasid syara'.(60)
(60) al-Ghazali, al-Mankhul, Tahqiq:Muhammad Hasan Hito, Beirut, Dar al-Fikr, 1400H, m.s.355
 
Para ulama usul umumnya menyentuh kedudukan maqasid syara' dalam membuat apa-apa penilaian apabila mereka membincangkan masalah tarjih.Menurut mereka dalam proses mentarjih antara pendapat ulama ada beberapa neraca antaranya lebih memudahkan manusia dan lebih hampir dengan maqasid syara'. (61)
(61) Yusuf al-Qardawi, al-Ijtihad al-Muasir baina al-Indibat wa al-Infirat, Kaherah, Dar al-Tauzi', 1994M, m.s.20 

Al-Imam al-Syatibi dilihat lebih tegas dalam hal ini apabila beliau menyifatkan mujtahid yang cuai dalam aspek maqasid syara' sebagai ulama yang menyeleweng dari agama (62). Menurut beliau , memahami maqasid syara' adalah prasyarat utama dalam berijtihad. (63)
(62) al-Syatibi, opcit, jil.4, m.s.170
(63) Dr. Qutub Mustafa Sanu, Adawat al-Nazar al-Ijtihadi al-Mansyud, Beirut, Dar al-Fikr, m.s.83 

Menurut Ilal al-Fasi, peranan maqasid syara' bukan sahaja pada kes-kes yang tidak dinaskan malah menjangkaui huku-hukum yang dinaskan sebagaimana yang berlaku dalam kes penundaan Umar hukum hudud bagi mencuri pada tahun kelaparan. 

Ibn A'syur pula bersependapat sedemikian dan mengukuhkan kepentingan memahami maqasid syara' dalam mengeluarkan hukum.Menurut beliau,proses untuk melakukan ijtihad lima perkara:

a)Memahami nas berdasarkan pengertian bahasa dan istilah syara'.
b)Meneliti kemungkinan nas berkenaan dinasakh atau ditaqyid atau di takhsis atau ada nas lain yang lebih utama daripadanya.
c)Mengenali 'illat hukum dan melakukan qiyas berasaskannya.
d)Menentukan hukum bagi kes yang tidak dinaskan dengan menggunakan kaedah qiyas.
e)Menentukan hukum ta'abbudi seada-adanya.
Menurut beliau, seorang mujtahid perlu memahami maqasid syara' dalam semua peringkat di atas. (64)
(64) al-Misawi, opcit,m.s.119.
 
Menurut Dr. Yusuf Hamid al-Alim, "memahami maqasid syara' bukan sahaja penting bagi mujtahid malah meliputi semua mukallaf agar kehendak mereka dalam tindak tanduk mereka selari dengan kehendak syara'". (65)
(65) Yusuf Hamid al-Alim, al-Maqasid al-Aamah li al-Syariah al-Islamiyyah, USA, al-Maahad al-Alami li al-Fikr al-Islami, 1991, m.s.106
 
2. Kaedah Pengaplikasian Maqasid. 

Selepas memahami makna sebenar maqasid, hakikatnya dan juga kedudukannya dalam syariat, tindakan selanjutnya pula ialah melihat kepada pengaplikasiannya terhadap hukum – hukum ijtihad. Ini kerana memahami maqasid adalah di antara syarat terpenting bagi seorang mujtahid untuk berijtihad dan bagi seorang mufti untuk berfatwa (66) menurut al-Syatibi dan diiktiraf oleh jumhur ulama terkemudian. Ini kerana sebarang ijtihad dan fatwa yang sepi daripada maqasid akan menyebabkan penyimpangan ijtihad ataupun fatwa tersebut daripada landasan syariat, kerana maqasid seperti yang telah kita katakana – ialah himpunan pemahaman terhadap sejumlah besar daripada dalil – dalil syara'.
(66) Lihat : al-Syatibi, opcit, jil. 4, m.s. 105,106.
 
Pengaplikasian maqasid dalam ijtihad juga amat penting kerana ianya akan menuju ruh syara' yang bertepatan dengan tabiat dalil – dalil dan syariat itu sendiri yang sentiasa mengambilkira persoalan menjaga kemaskahatan ummah dan mengelakkan mereka daripada mudharat. Prinsip ini juga merupakan asas atau tunjang kepada tasyri' itu sendiri (67). Oleh itu pengaplikasian ini amat – amat penting.
(67) opcit, jil. 1, m.s. 10.
 
Peringkat pengaplikasian maqasid pula boleh kita bahagikan kepada empat peringkat : (68) 

1.Memahami maqasid juz'i ataupun illat hukum dan menetapkannya. 

2.Melihat kepada pengaplikasian maqasid juz'i atau hukum lain yang boleh diaplikasikan ke atasnya maqasid tersebut. 

3.Memahami maqasid kulliy dan menetapkannya dalam semua keadaan hukum melalui kaedah deduktif. 

4.Melihat kepada kes – kes baru yang memerlukan hukum dan mempertimbangkannya menurut neraca maqasid kulliy melalui kaedah masalih mursalah dan istihsan, sehingalah mujtahid sampai kepada hukum yang benar – benar menepati maqasid tersebut.
(68) al-Khadimi, opcit, m.s. 62,
 
Dalam kes ini, Ibn Asyur telah mengkhususkan satu tajuk dalam bukunya yang beliau namakan sebagai : "Hukum – hakam Syara' yang boleh menerima kaedah qiyas berdasarkan illat – illat dan maqasid yang rapat dan paling hampir dengannya". (69)
(69) Lihat : Ibn Asyur, opcit, m.s. 108.
 
PENUTUP 

Maqasid Syara' atau lebih popular dengan istilah maqasid syar'iyyah merupakan matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syara' dalam pensyariatan hukum.Umumnya maqasid ini tertumpu kepada menarik maslahah dan menolak mafsadah daripada manusia sejagat. 

Maqasid syariah merupakan penaung kepada dalil-dalil syara', ia bukannya sesuatu yang asing dari dalil-dalil syara' malah terkandung di dalamnya samada secara langsung atau tidak.

Islam sebagai satu cara hidup adalah sesuai untuk semua bangsa dan setiap ketika bersumberkan wahyu yang berupa dalil-dalil yang terkandung di dalam al-Quran dan al- Sunnah.Dalil-dalil yang terbatas kuantitinya tidak akan terbatas aplikasinya sekiranya seorang mujtahid itu tidak hanya memahami dalil secara lateral semata-mata , malah melihat kepada aspek maqasid syara' di sebalik pensyariatan sesuatu hukum.
Justeru, kepentingan memahami maqasid syara' bagi seorang mujtahid dan pengkaji hukum tidak boleh dikesampingkan untuk memastikan penilaian yang dibuat terhadap sesuatu itu selari dengan kehendak al-Syari' . 
http://fikrah.interaktif.tripod.com/Agama/maqasid.htm


Selasa, 14 Februari 2012

Pindaan Per 121 Consti


KONTROVERSI BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH:
SATU PERSPEKTIF PERLEMBAGAAN*

 
  Dr Abdul Aziz Bari**
 
Abstrak

Kedudukan dan bidang kuasa mahkamah syariah sebenarnya tidak meragukan; apatahlagi selepas Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan fasal (1A) pada 1988. Tetapi ini tidak difahami oleh masyarakat termasuk anggota kerajaan sendiri. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila pihak media memberi ruang untuk memburukkan keadaan; terutamanya dengan memperjuangkan apa yang mereka anggap ancaman terhadap hak kebebasan beragama orang-orang bukan Islam di negara ini.
 
 
 
I. PENGENALAN
 
Kotroversi yang timbul ekoran kes Moorthy @ Mohamad Abdullah di mahkamah syariah itu berkisar tentang kedudukan dan bidangkuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Bagaimanapun ia melarat dan menyentuh banyak perkara; termasuk yang membabitkan kerangka dan kandungan perlembagaan. Kontroversi ini menarik kerana orang bukan Islam mempertikai kedudukan mahkamah syariah yang umumnya hanya menangani persoalan umat Islam. Ini jarang berlaku sebelum ini.
 
Dari satu sudut perbincangan atas mauduk-maudhuk itu agak ganjil kerana kita akan menyambut ulang tahun ke 50 perlembagaan dan kemerdekaan negara tahun depan: dalam usia sedemikan sepatutnya semua institusi dan amalan perlembagan sudah mantap dan diterima. Bagaimanapun dari sudut yang lain apa yang berlaku itu menunjukkan bahawa perlembagaan perlu terus menyesuaikan diri dengan perkembangan dan tuntutan semasa; sesuatu yang kita harus terima kerana itulah sifat masyarakat manusia sendiri.
 
Kontroversi berkenaan menjadi lebih panas dan membimbangkan kerana ia melibatkan isu hak kebebasan beragama yang secara kebetulan melibatkan kelompok yang paling tidak bernasib baik di dalam negara kita. Dengan kata lain ada aspek dan dimensi yang menyebabkan perbahasan ini berkait atau terpaksa dikaitkan dengan soal lain yang pada asasnya tidak bersangkut paut dengan kedudukan mahkamah syariah khususnya dan Islam umumnya.
 
 
II. PERKARA 121(1A) DAN PUNCA KONTROVERSI
 
Kontroversi yang timbul berpunca dari keputusan mahkamah sivil enggan menyemak keputusan mahkamah syariah berkenaan status dan kedudukan simati yakni Moorthy@ Mohamad Abdullah. Ini menyebabkan pihak-pihak yang berasa itu keputusan itu tidak adil mendakwa bahawa kedudukan mahkamah sivil telah lemah dan mahkamah syariah telah diberi kata putus dan mengatasi mahkamah sivil. Seterusnya mereka mahukan Perkara 121(1A) yang dijadikan oleh mahkamah sivil itu dipinda atau dimansuhkan.
 
Dakwaan bahawa mahkamah syariah mengatasi mahkamah sivil – yang dilihat membahayakan orang-orang bukan Islam - sebenarnya tidak tepat kerana Perkara 121(1A) menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas hal-hal yang terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah. Seperti yang termaklum bidang kuasa mahkamah syariah masih kecil dan terhad; sebagaimana yang tertera di bawah Akta Mahkamah Syariah 1965. seperti yang akan dihujahkan di bawah Perkara 121(1A) pada hakikatnya hanya menjelaskan bidang kuasa mahkamah syariah dan ia adalah selaras dengan peruntukan Akta berkenaan.
 
Sementara itu beberapa hari lalu sepuluh orang anggota cabinet yang bukan beragama Islam bermesyuarat dan meminta kerajaan membuat penjelasan mengenai persoalan pertukaran agama. Ini anih kerana mereka adalah anggota pentadbiran. Dari segi undang-undang perlembagaan tindakan tersebut salah kerana mereka tertakluk kepada prinsip tanggung jawab bersama: mereka tidak boleh mengambil pendirian yang berlawanan atau berbeza dengan kerajaan. Sepatutnya mereka meletakkan jawatan sebelum mengambil sikap itu. Perlu juga disebutkan bahawa ada di antara mereka yang meyokong pindaan yang memasukkan fasal (1A) ke dalam Perkara 121(1A) pada 1988 dahulu.
 
 
III. KEDUDUKAN ASAS DALAM PERLEMBAGAAN
 
Sebelum kita berbincang mengenai kontroversi dengan lebih spesifik ada beberapa perkara asas yang perlu ditangani terlebih dahulu. Ini termasuklah kedudukan Islam dalam perlembagaan, kedudukan mahkamah sivil dan syariah serta isu kebebasan beragama.
 
Meskipun kedudukan Islam sebagai “agama persekutuan” sebagaimana yang disebutkan dalam Perkara 3(1) itu terbatas Islam mempunyai kedudukan yang tinggi atau mengatasi agama-agama lain. Inilah kesimpulan dan gambaran yang tertera apabila kita meneliti peruntukan-peruntukan perlembagaan yang lain seperti Perkara 11(1), 11(4), 12(2) atau 150(6A). Kedudukan istimewa Islam ini tidak melanggar Perkara 8 yang menjamin hak sama rata kerana hak sama rata ini pun sebenarnya tidak mutlak. Selain itu Perkara 8 sendiri – umpamanya melalui fasal (5) – tidak bermaksud menyentuh soal agama. Peruntukan-peruntukan ini memperkukuh kedudukan Islam di dalam kerangka perlembagaan dan ini dengan sendirinya menafikan dakwaan bahawa negara dan perlembagaan kita adalah sekular. Dakwaan sekular juga menentang sifat dan sejarah asal negara ini.
 
Kita juga harus mengingati bahawa negara ini adalah negara persekutuan. Peruntukan mengenai Islam dan mahkamah syariah adalah peruntukan-peruntukan yang sebenarnya turut memanifestasikan semangat federalisme perlembagaan kita. Dari segi sejarah kerangka federalisme ini turut merumahkan imej dan ciri keMelayuan negara kita. Dari sudut demokrasi pula kerangka federalisme ini penting kerana ia adalah merupakan agen semak dan imbang yang paling efektif setelah elemen-elemen lain seperti parlimen, badan kehakiman dan media massa tidak begitu berjaya memainkan peranan penting itu. Akhir-akhir ini pihak yang menentang undang-undang moral dan jenayah syariah dan juga mereka yang menjuarai apa yang mereka dakwa sebagai penindasan atau penafian hak orang bukan Islam sering menyerang kedudukan negeri dan mendakwa negeri-negeri melanggar peruntukan perlembagaan melalui undang-undang yang mereka luluskan. Pihak-pihak ini jelas tidak memahami peruntukan dan semangat federalisme perlembagaan dan negara kita.
 
Kontroversi yang kita hadapi sekarang turut menyeret kedududukan mahkamah sivil. Apa pun komen kita terhadap prestasi dan komitmen mahkamah sivil sebenarnya ia tidak pernah diberi kuasa monopoli. Sebelum pindaan 1988 yang menjelaskan bidang kuasa mahkamah syariah itu pun sebenarnya kedudukan dan mahkamah sivil tidak sama dengan kedudukan mahkamah-mahkamah tertinggi di United Kingdom atau India. Ini kerana negara kita adalah negara persekutuan dan kita mempunyai mahkamah syariah – sesuatu yang tidak wujud di negara-negara tersebut. Kenyataan ini perlu disedari kerana para peguam mempunyai kecenderungan untuk meniru kes-kes dari England dan India secara membabi buta tanpa menyedari kedududukan dan kelainan kita.
 
Jika kita lihat Laporan Suruhanjaya Reid pula adalah jelas bahawa suruhanjaya tersebut menyedari kedudukan mahkamah syariah. Dan mereka tidak mengusik kedudukan itu. Ini dapat kita simpulkan melalui jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan bidangkuasa negeri dan mahkamah syariah. Ini diperkukuhkan lagi dengan kedudukan Peguam Negara yang tidak mempunyai bidangkuasa ke atas mahkamah syariah. Sebelum pindaan dibuat pada 1988 mahkamah sivil tidak menunjukkan sikap yang konsisten terhadap mahkamah syariah: walaupun dalam beberapa kes tertentu mahkamah sivil mengakui kedudukan dan bidangkuasa mahkamah syariah ada kes-kes lain di mana mahkamah sivil merubah keputusan mahkamah syariah. Pindaan 1988 dibuat untuk menghentikan kekeliruan itu. Boleh dikatakan bahawa ia hanyalah sekadar memperjelas kedudukan yang wujud atau bermula sejak 1957 lagi.
 
Sebab itu adalah salah jika ada pihak mengatakan kedudukan mahkamah sivil telah dilemahkan atau digugat oleh mahkamah syariah. Ini tidak timbul kerana seperti yang disebutkan di atas tadi mahkamah sivil tidak mengatasi atau memonopoli kuasa kehakiman di Malaysia. Apatahlagi apabila pada tahun 1988 juga – serentak dengan krisis kehakiman yang menyaksikan pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas – frasa “kuasa kehakiman” dipadamkan dari perlembagaan. Dari satu sudut kita boleh mengatakan ahawa mahkamah sivil sebenarnya semacam berkongsi dengan mahkamah syariah. Atau kita juga boleh mengatakan bahawa mahkamah sivil – meskipun mempunyai kuasa semakan kehakiman – hanya berkuasa dalam bidang-bidang yang tidak diletakkan di bawah kuasa mahkamah syariah. Dari sudut mahkamah syariah pula ia sebenarnya sekadar menangani apa yang terletak di bawah bidang kuasanya: mahkamah syariah tidak mengatasi atau mengancam kedudukan mahkamah sivil.
 
Satu lagi isu yang perlu ditangani ialah soal kebebasan beragama. Isu ini perlu dilihat dalam konteks kebebasan asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Persoalan ini terletak di bawah bidang kuasa mahkamah sivil. Bagaimanapun kita perlu memahami sifat dan ruang-lingkup hak kebebasan beragama terlebih dahulu. Hak yang merangkum hak memilih agama, menganuti, mengamal dan mengembangkannya itu bagaimanapun tidak mutlak Selain Perkara 11(5), Perkara 11(4) umpamanya memberi kebenaran untuk negeri-negeri menyekat penyebaran agama bukan Islam kepada orang-orang Islam. Pendeknya perlembagaan semacam memberi isyarat kepada mahkamah sivil supaya mengambilkira kedudukan Islam dan ini telah pun dilaksanakan oleh para hakim mahkamah sivil dalam beberapa kes tertentu.
 
 
IV. KONTROVERSI SEMASA: BEBERAPA PERJELASAN
 
Berdasarkan kepada pandangan di atas sifat sekular perlembagaan yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu adalah jelas tidak wujud. Kita sedar bahawa dakwaan ini dikemukakan untuk menafikan kedudukan istimewa Islam di dalam perlembagaan. Sekiranya dakwaan ini benar sekalipun kedudukan Islam dan umat Islam tidak terjejas kerana adanya peruntukan-peruntukan seperti Perkara 11(1). 11(4) dan 12(2). Apa pun agak nyata bahawa dakwaan negara atau perlembagaan sekular itu di ketengahkan untuk menyulitkan kedudukan Islam atau meletakkan Islam sama rata dengan agama-agama lain. Setelah menyedari bahawa mereka menemui jalan buntu pihak berkenaan menyarankan supaya Perkara 11 dimansuhkan.
 
Satu lagi dakwaan yang dibangkitkan mutakhir ini ialah betapa perlembagaan telah “ditulis secara senyap-senyap”. Ini juga tidak benar kerana pindaan 1988 itu diluluskan oleh parlimen – di Dewan Rakyat dan Dewan Negara – dengan undi majoriti dua pertiga. Dan kita jangan lupa bahawa pindaan itu dilakukan setelah pelbagai pihak mengadakan pelbagai seminar dan kertas yang menghujah betapa perlunya kedudukan mahkamah syariah diperkukuhkan. Kita berasa anih kerana rungutan itu muncul selepas hampir dua dekad.
 
Bagaimana dengan kenyataan Perdana Menteri tentang kebebasan beragama? Kenyataan tersebut jelas tidak menyenangkan sesiapa. Yang menarik ia bagaikan boomerang yang memukul tuannya sendiri. Umat Islam tidak senang. Orang-orang bukan Islam juga tidak senang kerana kenyataan itu dianggap kenyataan politik yang tidak memberi penyelesaian jangka panjang. Apa pun seperti yang dipaparkan di atas ruang lingkup hak kebebasan beragama sudah jelas dan ia tidak menindas atau menafikan hak orang bukan Islam. Ini kerana tidak ada siapa yang dipaksa memeluk Islam. Bagaimanapun sesiapa yang menganut Islam perlulah patuh kepada peraturan Islam. Dan ini diterima oleh perlembagaan sebagaimana yang dinyatakan oleh Perkara 8(5) dan Jadual Kesembilan.
 
 
V. PENUTUP
 
Kontroversi yang berlaku sekarang jelas bukan berpunca dari perlembagaan. Ia adalah masalah yang timbul akibat kekeliruan dan kejahilan tentang perlembagaan. Sebab itu tidak timbul soal meminda peruntukan berkenaan. Orang bukan Islam terlibat kerana hubungan mereka dengan orang Islam; bukan kerana mahkamah syariah menafikan hak mereka. Masalah ini boleh diselesaikan dengan memperbaiki undang-undang atau prosedur yang ada; ia tidak perlu melibatkan pindaan perlembagaan.
 
Kepemimpinan negara memainkan peranan penting dan mereka harus memahami perlembagaan. Ini sangat perlu kerana tuntutan pihak-pihak berkenaan sebenarnya berpunca dari sikap dolak-dalik, tidak jelas dan tidak berprinsip yang mereka tunjukkan. Kepemimpinan negara – dan pihak media – harus jelas dan tidak harus cuba untuk mengambil jalan selamat atau sekadar mengambilkira kepentingan politik semasa. Amat menyedihkan apabila ada menteri kabinet yang secara semberono mengatakan bahawa pada masa akan datang mahkamah sivil perlu diberi kata putus dalam kes-kes yang melibatkan konflik antara kedua-dua mahkamah itu. Ini bukan sahaja salah dari segi perlembagaan malah akan membangkitkan kemarahan pihak yang memang sudah tidak puas hati.
 
Kontroversi ini menunjukkan perlunya pendidikan perlembagaan yang berterusan kerana di dalam negara seperti Malaysia dokumen perlembagaan harus difahami oleh semua pihak. Bagaimanapun kelihatannya masyarakat kita semacam tidak mempunyai persiapan itu sedangkan orang lain begitu prihatin dan peka terhadap kedudukan dan hak mereka di dalam perlembagaan.

P/S: ni artikel lama....di terbitkan semula kerana ada golongan yang mengunkit btentang pindaan ini,dan berusaha untuk mengembalikan semuala pada asalanya jika berkuasa.
 

Rabu, 4 Januari 2012

Tokoh Ilmuan Agama Daerah Bera(dahulunya Temerluh)

 Artikel yang panjang,disiarkan dengan sedikit editan,ada kaitan dengan kampong,keluarga serta sekolah aku dulu,Artikel ini diambil dari blog-Sejarah Islam Pahang.Tq Ustaz
http://sejarahislampahang.blogspot.com/


TOKOH ULAMA SEKITAR DAERAH BERA
1600-1957.

Daerah Bera merupakan satu daerah yang baru wujud di Pahang dari segi pentadbiran modenya.(dulunya dibawah pentadbiran Daerah Temerluh);asas Kampong atau kawasan yang terkenal didalam sejarah daerah ini ialah Kampong Mengkarak Pengasas atau tokoh kepada daerah(kampong) ini tidak lain tak bukan ialah Tuk Mengkarak 1 ia itu Imam Zul Bayan atau yg bernama Hashim yang merupakan Mufti Pahang sekitar tahun 1720-1750.Nama Tok mengkarak sebagai nisbah kepada beliau sebagai pengasas atau tokoh utama di kampong ini.

Tuk Mengkarak (Imam Dzu Bayan)
(1630-1730)

Tokoh ini merupakan ulama yang mula membuka Kampung Mengkarak, di Daerah Bera. Beliau dikenali juga dengan nama Hashim. Beliau dikatakan berasal dari Sumatera dari suku Minangkabau, Ibunya adik beradik perempuan kepada Tuk Suji Bilang yang membuka penempatan di kawasan Temerloh.
Hubungan Imam Syahibudin dengan Imam Zu’l al-Bayan,dimana ibu Imam Dzulbayan merupakan adikberadik kepada Suji Bilang,datuk kpd Tuk Shahibudin;seperti berikut::

Tersayang-sayang pada rasaan
Kepada “Umbi” Datuk Perempuan
Orangnya arif lagi budiman
Upas jahil sudah termakan

Makam beliau kini terdapat di Mengkarak tetapi tidak dipelihara dengan baik. Makam ini terletak di tebing Sungai Pahang,kemungkinan besar dalam beberapa tahun lagi makam ini akan runtuh dihanyutkan oleh arus Sungai Pahang yang sentiasa mengubah tebing sungai.

Tokoh ini disebut oleh Tuk Shahibudin di dalam syair “Ghafilah ” dengan gelaran Imam Zu al- Bayan,yang bermaksud “Orang yang mempunyai kemampuan menjelas dan menerangkan sesuatu”. Beliau mempunyai kemampuan untuk menghuraikan dan mentafsirkan ajaran Hamzah Fansuri dengan jelas dan memuaskan hati pendenganr dari segi kefahaman teks,huraian dan tafsiran serta bandingan. Menurut cerita mitos beliau digelar “Imam Dua Bayang” yakni kerana kehebatan dan ketinggian ilmunya maka jika pada waktu malam beliau mempunyai dua baying tidak sebagaimana orang biasa yang mempunyai satu baying.
Tuk Mengkarak Seorang ulama yang terkenal di negeri Pahang dan menjawat jawatan Mufti ketika itu:

Cerita ini dipendekkan
Masyhur di Pahang Imam Zu’l al- Bayan
Ialah jadi Na’ib al-Sultan
Pulang kepadanya perintah sekalian

Dari sumber Tuk Shahibudin, beliau digelar Naib Sultan yakni pemangku sultan. Dari segi Bahasa Melayu kemungkinan kita memberi tafsiran bahawa beliau ini menjadi ganti sultan apabila baginda sultan tiada di dalam negara,ini telah menimbulkan beberapa kekeliruan sebenarnya maksud di sini beliau sebagai naib sultan di dalam hal-hal keagamaan, beliau menjawat jawatan mufti Negeri Pahang pada masa itu. Setakat nota ini ditulis,beliaulah merupakan mufti pertama(1700M) yang dapat dikesan secara jelas melalui bahan sejarah seperti Syair Ghafilah ini.

Beliau dipercayai mendapat pendidikan di Acheh kerana ajaran yang dibawa oleh beliau adalah dari Aliran Mertabat Tujuh Hamzah Fansuri dari Acheh, Oleh sebab kealiman beliau berbanding dengan ulamak-ulamak lain di Pahang ketika itu,dipercayai beliau mempelajari ajaran ini dari anak murid Shamsuddin Sumaterani.Sebuah buku karangan beliau dapat dikesan untuk membuktikan dakwaan ini. Sekembalinya ke Pahang beliau telah dilantik menjadi mufti.Ajaran yang di bawa oleh be;iau merupakan Ajaran Mertabat Tujuh sebagaimana beliau dapat dari gurunya Shamsuddin Sumaterani sebagaimana yang dijelaskan oleh Tuk Shahibudin di dalam Syair al Ghafilah:

Kepala ilmu mengenal diri
Dimisalkan tanah, buyung dan kendi
Sekalian alam wujud mazaji
Hanyalah Allah yang hakiki

Berbagai jenis kias dan misal
Siapa yang menang itulah handal
Alam Arwah , Alam Misal
Alam Ajsam , Insan Kamil

Alam Lahut , Alam Jabarut
Alam Nasut , Alam Malakut
Ayan Thabit dimisalkan ombak
Putus makrifat disanalah hanyut

Muhadith dan Qadim di sana terhimpun
Umpama laut ombak mengalun
Dimisalkan benih dengan pohon
Benihkan dahulu atau pohon?

Sedutan Syair Al Ghafilah

Huraian dari syair di atas mengenai ajaran Mertabat Tujuh yang diasakan oleh Hamzah Fansuri dan di bawa ke Pahang oleh Tuk Mengkarak boleh kita rujuk kepada sumber di bawah ini yang kami petik dari beberapa buah kitab. Hamzah Fansuri ialah ulama sufi dan penyair Indonesia. Tahun lahirnya masih belum diketahui secara pasti. Ada yang berpendapat Hamzah Fansuri lahir di Barus atau Fansur pada penghujung abad ke-16 dalam wilayah kekuasaan Aceh. Negeri asalnya masih menjadi pertikaian, sama ada “Syahru Nawi”, “Bandar Ayuthia” ibu kota kerajaan Siam pada zaman dahulu atau Syahru Nawi, nama lama tanah Aceh sempena nama seorang Pangeran Siam bernama Syahir Nuwi yang datang membangunkan Aceh sebelum kedatangan Islam . Ada ulama yang mengatakan Hamzah penganut Syiah yang sesat, dan tidak kurang pula meyakini bahawa dia mengikut Mazhab Imam Syafie dalam bidang fikah dan mengamalkan tarekat Qadiriyah. Pegangan sufinya sama saja dengan Abi Yazid Bisthami, al-Hallaj dan Abdul Karim al-Jili, yakin tidak mencampuradukkan ajaran sufi mereka dengan ahli sufi seperti Imam Ghazali dan sebagainya Hamzah benar-benar mengalami sufi berupa praktik bukan teori, kerana susah payahnya semasa pengembaraan, sedangkan pada zamannya alat perhubungan tidaklah selancar sekarang.

Hamzah mengembara di seluruh Asia Tenggara, walaupun yang dicatat hanyalah negeri seperti Pahang, Kedah, Banten, Jawa dan Siam. Riwayat lain mengatakan dia pernah sampai ke Makkah, Madinah, Baghdad dan Parsi dengan selamat bahkan mungkin dia juga menguasai beberapa bahasa daerah di seluruh Asia Tenggara. Kecaman yang mengatakan dia berfahaman “Wahdatul Wujud” itu merupakan perkara biasa kerana berlaku hampir kepada semua ulama sufi. Beberapa karangan Hamzah ialah Asraarul ‘Arifiin, Syarbul ‘Asyiqiin, al-Muhtadi, Ruba’i Hamzah Fanshuri, Ziinatul Muwahhidin, Syair Si Burung Pungguk, Syair Sidang Faqir, Syair Dagang dan Syair PerahuDi dalam hal taswuf atau ilmu kesufian, Syeikh Hamzah Fansuri menganut paham Wahdat Al Wujud, yaitu paham kesatuan antara Mahluk dan Tuhan. Dalam hal ini beliau sangat dipengaruhi oleh para sufi seperti Muhyidin Ibnu Arabi, Abdul Karim Jili, Al Hallaj, Bayazid Al Bistami, Fariduddin Attar, Jalaluddin Rumi, Al Ghazali dan lainnya.

Pada tahun 1650 di Sumatera, khususnya di Aceh, terjadi perdebatan sengit tentang paham Wahdat Al Wujud yang melibatkan ahli-ahli tasawuf, ushuludin, dan fiqih pada saat itu. Perdebatan ini dibicarakan antara lain oleh Syeikh Nuruddin Ar-Raniri di dalam buku Bustan Al-Salatin, yang menentang paham Wahdat Al-Wujud dari Syeikh Hamzah Fansuri dan para muridnya.Perdebatan itu akhirnya memuncak menjadi perseteruan politik. Pada masa Sultan Iskandar Tsani (1937-1641), Syeikh Nuruddin Ar-Raniri diangkat menjadi qadi Sultan. Pada masa itu pula, Syeikh Nuruddin Ar-Raniri kerap menyatakan di dalam khutbah-khutbahnya bahwa ajaran tasawuf Syeikh Hamzah Fansuri dan Syeikh Syamsudin Sumatrani telah sesat, karena termasuk ajaran kaum zindiq dan pantheis. Kemudian atas saran Syeikh Nuruddin Ar-Raniri dan ulama istana Aceh pada waktu itu, Sultan Iskandar Tsani memerintahkan pembakaran ribuan buku karangan penulis penganut paham Wahdat Al Wujud di halaman masjid Raya Kutaraja. Karya-karya Syeikh Hamzah Fansuri juga termasuk yang dibakar. Bahkan, para murid dan pengikut Syeikh Hamzah Fansuri banyak yang dikejar-kejar dan dibunuh

Oleh kerana syair-syair Hamzah dibawa ke Pahang dan diajarkan di pusat-pusat pengajian di Pahang ketika itru,maka kita dapati lahir seorang tokoh penyair di Pahang iaitu Tuk Shahibudin(1708) yang juga menulis syair-syair untuk menolak ajaran Mertabat Tujuh Hamzah Fansuri ini di Pahang.Syair-syair beliau merupakan kecaman-kecaman terhadap pengikut fahaman ini yang hanya mengikut secara membuta tuli.

Di samping itu , Tuk Mengkarak oleh kerana berketurunan bangsawan beliau juga mahir di dalam pentadbiran;di antara jasa beliau ialah membina sebuah mahkamah timbang tara bagi menghukum pesalah,Setiap pesalah yang ringan atau yang dikenakan denda akan diletakkan di atas satu dacing yang mempunyai dua piring. Semua pesalah dinaikan ke atas salah satu piring dacing itu, manakala dacing yang disebelah lagi diletakkan padi atau beras,pisang jagung dan sebagainya. Cara ini pernah ditegur oleh Pak Sako di dalam bukunya. Ini kerana Pak Sako tinggal di Kampung Buntut Pulau yang mana masih menyimpan dacing tersebut sekitar tahun 1930an,dacing ini diwarisi dari Imam Muda Mamat anak kepada Imam Zul’ al –Bayan yang tinggal di sana.Pak Sako mungkin tidak memahami konsep Takzir di dalam Islam, konsep ini mempunyai pelbagai cara bagi si Hakim untuk menjatuhkan hukuman bagi kesalahan kecil dan kesalah yang tidak ada di dalam hokum Hudud dan Qisas. Sebenarnya cara ini tidak salah kerana bagi kesalahan takzir,si hakim mempunyai kebebasan untuk menjatuhkan hukuman. Mungkin cara ini sesuai pada zaman dahulu yang mana denda bagi setiap kesalahan kecil berupa pisang,ubi,padi dan beras. Di samping itu beliau juga membina sebuah tali air bagi pengairan sawah di Kampung Mengkarak.Ini bagi meningkatkan pendapatan petani.





Tuk Mengkarak 11 (Imam Nur Qadim1670-1760)
Tokoh ini juga dikenali melalui syair “Ghafilah” yang dikarang oleh Tuk Shahibudin sekitar tahun 1720 yang menyebutkan nama beliau, yang merupakan seorang ulamak yang alim dan banyak membantu ayahndanya di dalam urusan pentadbiran agama di negeri Pahang ketika itu. Semasa hayatnya beliau mengaji kepada bapanya dan kemudian dipercayai mendalami ilmu Mertabat Tujuh di seluruh pelusuk Negeri-negeri Melayu yang ketika itu sangat kuat dipengaruhi oleh aliran Hamzah(Fansuri) ini.

Kemudiannya itu Imam NurQadim
Anak yang tua lagipun alim
Mertabat besar terlalu rahim
Seisi Pahang, tawakal dan salim

Ramai pengkaji tersilap di antara Imam Zu ‘l al-Bayan dengan tokoh ini apabila menyebut mengenai “Tuk Mengkarak”.Tokoh ini merupakan Tuk Mengkarak yang kedua,Tuk Mengkarak yang pertama adalah Imam Zul Bayan. Beliau merupakan mufti kedua yang dapat di kesan yang mengantikan ayahndanya setelah ayahndanya meninggal dunia. Maqam beliau terdapat berhampiran dengan masjid Mengkarak dan juga kesan masjid yang didirikan oleh beliau masih terdapat di sana. Tokoh ini merupakan seorang pendidik yang mempunyai murid yang sangat ramai diPahang ketika itu, namun hasil karya beliau tidak dapat dikesan walaupun menurut sumbar yang tidak rasmi masih ada beberapa orang yang menyimpan naskah-naskah syair karangan beliau.

Imam Nur Qadim mahir di dalam Ilmu Mertabat Tujuh,beberapa perdebatan telah diadakan dengan Imam Syahibudin yang menentang aliran ini,akhirnya oleh kerana pengaruh Gerakan Pembaharuan di Acheh yang dipimping oleh Sheikh Nuruddin al Raniri berjaya mengalahkan fahaman ini,maka Imam Nur Qadim pun mengistiharkan bahawa pendapat mufti Acheh ketika itu dianggap benar dan betul. Kejayaan Tuk Shahibudin mengalahkan Imam Nur Qadim di dalam perdebatan mungkin kerana pada masa itu terdapat pelbagai ajaran di Pahang yang sedikit sebanyak disedari oleh Imam Nur Qadim akan masalah tersebut. Ajaran yang pelbagai bentuk dan cara ini membuatkan terdapat pelbagai ajaran sesat di Pahang ketika itu yang berakarkan Salek Buta dan ajaran Hakikat yang tidak diketahuan asal dan puncanya.
Maka semula penduduk negeri Pahang kepada fahaman Wahdatul Suhud bukan lagi Wahdatul Wujud.

Che Walat Sulong Keramat(1750)
Keramat Kuala Bera, seorang ahli di dalam Ilmu Mertabat Tujuh Hamzah Fansuri dan mengajar juga Ilmu Hakikat dan Makrifat. Tokoh ini disebutkan oleh Tuk Shahibudin di dalam Syair Ghafilah:

Asal makrifat tiga perkara,
Pertama itu akal yang sempurna,
Kedua itu panca indera,
Ketiga riwayat dengan cerita.

Segala yang jahil bernama zulumat,
Kepalanya itu kafir dan murtad,
Kemudian jahil tiada bertaubat,
Seperti Che Walat Sulung Keramat.

Kalau kita perhatikan bahawa kritikan Tuk Shahibudin ini agak keras kepada tokoh ini. Akan tetapi ini bukan sebagaimana kita gambarkan.Kita mesti memahami situasi di Pahang ketika itu yakni sekitar tahun 1720, banyak berlaku krisis politk dan kepimpinan di Pahang disamping krisis akidah sebagaimana di Acheh. Tuk Shahibudin keseorangan pada masa itu untuk menghadapi lawan yang ramai. Pelbagai cara beliau gunakan untuk menbawa lari masyarakat Pahang dari fahaman Mertabat Tujuh yang berakarkan Widhatul Wujud kepada fahaman beliau yang berasaskan Wihdatul Suhud.Apabila beliau menulis sesuatu beliau cuba membawa audien beliau membenci dan melarikan diri dari ajaran yang sedia ada,maka kita dapati beliau menggunakan kata-kata yang agak keras dan kasar.

Diantara ajaran yang dibawa oleh Che Walat Sulong Keramat ialah Ajaran Mengenal Diri, Hakikat Diri dan Diri yang sebenar diri. Dipercayai ajaran ini merupakan olehan beliau dari apa yang beliau pelajari dari Tuk Ku Pulau Manis yang mengajar Kitab Hikam dan juga berasaskan kepada Ajaran Mertabat Tujuh Hamzah Fansuri di Acheh.. Keterangan-keterangan dari Kitab Hikam sangat mengelirukan hingga menyebabkan pelbagai tafsiran dibuat oleh para pengkaji kitab tersebut,Bagi Tuk Shahibudin, ilmu yang semacam ini lebih merupakan imijinasi dan rekaan dari sebahagian para ulamak yang tidak patut dibicarakan di hadapan orang awan yang jahil. Walaupun method ini tidak salah untuk dibicarakan tetapi kadar akal orang awam tidak mampu untuk memahami ilmu ini dan akan menyebabkan mereka sesat.

.Imam Koming(1800an)
Beliau di percayai berasal dari Kampung Pedah di Jerantut,dalam satu perjalanan beliau bertemu dengan seorang pahlawan yang bernama Panglima Koming,orang besar raja. Panglima Komeng menerima kurniaan Sultan Ahmad kerana jasa-jasa beliau membantu Baginda menguasai negeri Pahang, dalam perjalanan yang sama maka kedua-dua Komeng ini bertemu di satu tempat dan mereka dikatakan mengadu kekuatan masing-masing dengan ilmu yang dipelajari di atas perahu masing-masing. Oleh kerana mereka tidak dapat mengalahkan antara satu sama lain maka akhirnya mereka berdamai dan mengaku bersaudara.Maka Pahlawan Koming menjadikan Imam Koming sebagai menantu beliau. Kedua mereka membuka perkampungan di tempat mereka beradu tenaga,kekuatan ilmu zahir dan batin , lalu kampong itu dinamakan dengan sempena tempat mereka mengikat perahu mereka iaitu di Juai Buluh di dalam Sungai Pahang. Oleh kerana sebutan “Juai” menjadi berat pada sebutan lidah maka lama kelamaan di sebut “Guai” sehingga kehari ini di sebut Kampung Guai.Beliau merupakan tokoh yang pertama dapat dikesan mendirikan pondok di Kampong Guai, Bera. Gandingan dua tokoh yang mempunyai kehebatan ilmu dunia dan ilmu akhirat ini akhirnya menjadikan kampong ini tempat rujukan penduduk setempat mendapat pendidikan agama.

.Imam Kassim bin Imam Koming (1840 an)

. Kadi Ismail(1860an)
Kampung Guai adalah diambil nama sempena nama seorang perempuan yang jelita pada masa dahulu. Gadis ini telah dikahwinkan dengan En Comot iaitu cucu kepada Imam Dzu’l al- Bayan. Hasil dari perkahwinan ini maka kedudukan kampong Guai mula berubah. Semangat keagamaan semakin kuat maka mulalah didirikan pondok pengajian di sana. Di antara tanda ketinggian ilmu keagamaan di kampong tersebut lahirnya seorang alim yang akhirnya menjawat jawatan Kadi di Daerah Bera. Kadi Ismail,maqamnya masih kekal sehingga hari ini di Kampung Guai berhampiran dengan Sekolah Agama Al Ittifaqiyyah. Anak cucu beliau ramai yang menjadi ustaz dan ulamak di antaranya Ustaz Ahmad di Kampung Tuk Langit Guai Seberang.

.Tuan Haji Semaun bin Haji Ishak(1900an )

Tokoh ulama ini berasal dari Negeri Sembilan ,ibunya bernama Hajjah Fatiah yang berkahwin dengan bapa kepada Kadi Ahmad di Kg Berhala Gantang,Haji Semaun datang ke Pahang untuk tinggal bersama bapanya akan tetapi membatalkan hasrat beliau apabila dipanggil oleh penduduk kampung Guai untuk menetap di sini.
Di Kampung Guai beliau telah berkahwin dengan Cik Putih anak kepada Imam Kassim bin Koming yang merupakan imam tua di kampung tersebut,beliau juga berkahwin dengan isteri keduanya orang kampung Paya Kecil.

Beliau mendirikan pondok di tapak balai raya kampung Guai dan juga sebuah masjid di situ. Oleh kerana beliau terkenal dengan kealimannya maka ramailah penduduk sekitar yang datang mengaji ke Guai antaranya Bilal Ahmad, bapa kepada Tuk Empat Omar. Anak muridnya datang dari Bera,Lebak,Batu Papan sehingga ke Buntut Pulau

.Imam Awang bin Imam Kassim (1920an

.Tuan Imam Haji Abdul Kadir bin Awang Long
Bapa tokoh ini (Awang Long)berasal dari Kampung Pulau Tawar Jerantut,(dari Sumatera ) datang ke Kampung Guai untuk menuntut ilmu dari Tuan Guru Haji Semaun. Setelah habis mengaji bapa beliau berkahwin dengan seorang wanita penduduk Kg Guai yang bernama Juriah.

Sejak kecil beliau menuntut ilmu dari Tuan Guru Haji Semaun,bapa beliau seorang yang cintakan agama sehingga semua anak cucunya disuruh mengaji ilmu agama dan menjadi orang yang alim seperti Tuan Haji Sham,Lebai Husin dan Mak Cu Busu merupakan guru quraan di Kampung Guai.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Kelantan dan Patani selama lebih sepuluh tahun. Beliau sangat alim di dalam ilmu keagamaan,setelah tamat pengajian beliau di Patani, Haji Abdul Kadir di panggil oleh Kadi Kuala Lipis pada masa itu membantu beliau mengajar di pondok Kampung Tanjung Besar di Kuala Lipis.
Beliau tinggal di Tanjung Besar sejak dari tahun 1926 hingga ke awal perang Jepun dalam tahun 1940,kemudian beliau kembali ke Kampung Asalnya di Guai dan membuka pondok pengajian dimana beliau sebagai pengetuanya sehingga ke tahun 1950.

.Tuan Guru Haji Abdul Majid bin Buyong (1910-1956)

Tuan Guru Haji Abdul Majid bin Buyong al Hafiz,meninggal pada tahun 1956, Berasal dari Ulu Langat Selangor,Beliau berketurunan dari suku Mendailing, apabila usianya remaja dihantar oleh kedua orang tuanya menghafal al Quraan di Kelang, setelah tamat pengajian di Kelang menyambung pengajian di Kedah. Setelah tamat di Kedah,Tuan Guru merasa tidak puas hati dengan ilmu yang ada datang ke Pondok Benut Payung untuk belajar di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir sekitar awal tahun 1940an.

Di Kelantan,Tuan Guru bertemu dengan ramai pelajar dari Pahang terutama dari Kampung Guai,Tuan Guru juga sempat bertemu dengan Tuan Guru Haji Hasanuddin Mohammad dari Kampung Berhala Gantang. Setelah hampir 5 tahun di Kelantan, Tuan Guru Haji Majid berhasrat untuk ke Mekah,akan tetapi beliau telah dipelawa oleh rakan-rakannya dari Kampung Guai untuk membuka pondok di kampung ini. Hasrat itu disambut oleh beliau dengan senang hati. Di Guai beliau berkahwin dengan Cik Nah mendapat tiga orang anak: En Ismail,Ustaz Abdul Aziz dan Salamiah.Isteri kedua bernama Badariah bte Hashim, mendapat dua orang anak: Ustaz Ishak dan Ustazah Rubiah (UKM), Isteri kedua Tuan Guru adalah berasal dari keturunan Cina yang memeluk Islam terkenal dengan panggilan “Tukang Hashim”, beliau pandai membina rumah;antara pekerjaan utama beliau mengambil upah membina masjid. Kesemua anak Tuan Guru tinggal di luar Kampung Guai.

Tuan Guru memulakan pondoknya di satu kawasan yang berhampiran dengan Sungai Pahang di atas tapak seluas setengah ekar,maka didirikan sebuah bangunan dan dibuatkan sebuah rumah untuk beliau. Sebuah surau didirikan di sebelah hulu masjid bagi tujuan mengajar dan latihan solat jemaah, dari surau ke rumah Tuan Guru dibuat satu titian yang panjang supaya memudahkan tuan guru datang ke surau pada waktu solat.Pondok ini mendapat sambutan yang hangat dari penduduk setempat.Menurut En Mohamad bin Mat Taib, sambutan penduduk tempatan terhadap pondok ialah kerana ketika itu zaman dharurat,maka sebahagian penduduk kampung Lebak,Tengguh,Mengkarak datang ke Kampung Guai meminta perlindungan dari Tuan Guru, Sdr Manaf Jepun yang menguasai kawasan Guai ketika itu sangat hormat kepada Tuan Guru Hj Majid dan memberi janji bahawa pasukannya tidak akan membuat kacau di Guai. Keistemewaan Tuan Guru,beliau tidak suka bercakap kosong atau sia-sia, jika tidak ada apa yang hendak diperbualkan maka beliau akan mengaji Quraan dengan kuat,biasanya jika ada jemputan kenduri maka dari penambang ke rumah yang dituju beliau akan diiringi oleh penyambut tetamu dari belakang dan di hadapan beliau akan mengaji al Quraan. Kemerduan suara Tuan Guru menarik hati penduduk setempat untuk semakin rapat kepada beliau.Tuan Guru juga mengadakan kelas Maghrib setiap malam di Masjid Beliau,kelas ini khusus untuk golongan dewasa. Setiap malam di adakan kelas Tafsir,Fekah,Tasawuff,Tauhid dsb, Bagi pelajar pondok pula kelas di adakan sesudah solat subuh dan sebelah pagi, mereka diajar mengikut peringkat kemampuan mereka. Di antara murid Tuan Guru yang masih hidup(ketika artikel ditulis) ialah: Abu Osman bin Abu Bakar (Lanjut),Abdul Wahab bin Osman(Guai),Hj Ahmad bin Chik (Guai),Mat Sham(Buntut Pulau),Ustaz Hj Idris bin Omar(UKM)Usia Tuan Guru tidak panjang, dalam umurnya lebih kurang 46 tahun beliau meninggal dunia.

. Lebai Jaafar bin Abdul Majid ( - 1962)
Tuan Guru Haji Abdul Majid digantikan oleh Lebai Jaafar bin Abdul Majid,Beliau adalah berasal dari Kampung Kerdau, mendapat didikan awal dari Tuan Guru Haji Ibrahim,Bukit Ketumbit Kerdau dan Tuan Guru Haji Bakar Lagu. Beliau merupakan murid Tuan Guru yang paling cerdik dan mempunyai suara yang sangat merdu terutama apabila membaca al Quraan dan berzanji.Dengan kebolehan ini maka beliau dilantik menjadi Mudir mengantikan Tuan Guru. Usia beliau juga tidak panjang, ini kerana setelah berkahwin kesihatan beliau tidak begitu baik dan selalu sakit-sakit. Keadaan ini menyebabkan madrasah tidak terurus dengan baik dan sempurna.ramai pelajar mula lari meninggalkan sekolah.

Setelah empat tahun menjadi mudir di sekolah ini beliau kembali ke rahmatulllah. Antara adik beradik beliau yang dikenali ialah Sdr Yusuf Majid(bekas suami kepada seniwati Sarimah)

  Ustaz Hj Ahmad bin Hj Chik (1935 - )

Lebai Jaafar digantikan pula oleh Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Chik yang mentadbir sekolah ini dari tahun 1961 sehingga 1998, Tuan Guru Hj Ahmad dilahirkan di Kampung Teluk Sentang Mk Sanggang pada 22.9.1935Pendidikan awal di Sek Melayu Kg Sanggang,kemudian di Sekolah Melayu Kg Teluk Sentang . Kemudian beliau dihantar mengaji ke Kampung Guai di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Majid pada tahun 1949 hingga ke tahun 1954, setelah tamat di Sekolah ini beliau menyambung pengajian di Sek Men Agama Arjunid di Singapore . Kemudian Tuan Guru mendapat tawaran belajar di Kolej Islam Kelang di Selangor. Di sana pengajian hanya sempat dihabiskan selama setahun sahaja kerana kekurangan perbelanjaan. Akhirnya beliau kembali ke kampong halamannya dengan hati yang berduka lara.

Pada bulan Januari 1961 telah datang dua orang dari Kampung Guai ke rumah beliau di Teluk Sentang menjemput Tuan Guru datang ke Guai untuk mengantikan Tuan Guru Haji Jaafar. Kedua yang datang itu ialah Ketua Kampung Guai, Tuk Empat Salehuddin dan Ustaz Abdul Rahman bin Haji Kadir. Bermula pada 8hb Jan 1961 maka Tuan Guru mulalah menhidupkan Sekolah Menangah Agama Al Ittifaqiyyah,Kg Guai dengan bersungguh-sungguh hingga dapat melahirkan sebilangan ramai anak murid yang berpendidikan tinggi dan berjaya.Bermula dengan sistem pondok kemudian terus kepada sistem sekolah agama moden yang mana sekolah dilengkapi dengan kemudahan asrama dan bilik kelas yang teratur. Dengan usaha Tuan Guru bermula dari tapak seluas setengah ekar sehingga hari ini jumlah keseluruahan tapak sekolah seluas 12 ekar, terletak di atas kawasan bukit yang cantik pemandangannya.Sekolah Men Agama Al Ittifaqiyyah di ambil alih oleh Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1998 kerana memandangkan negeri ini masih kekurangan sekolah agama kerajaan negeri dengan itu maka jumlah sekolah Kerajaan Negeri Pahang sebanyak 18 buah. Perjuangan beliau untuk menghidupkan sekolah ini merupakan satu perjuangan yang lama dan sukar, ini kerana kedudukan sekolah ini jauh dari arus perdana, akan tetapi hampir lebih 50 orang bekas pelajar sekolah ini berjaya di dalam pendidikan antaranya Tuan Haji Abdul Rahman Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Pahang, Penceramah terkenal Ustaz Mahmud Mat.

Tuan Guru berkahwin dengan Rahmah bt Ismail ,isteri beliau merupakan cucu kepada Kadi Ibrahim bin Hurairah. Di Kampung Teluk Sentang terdapat ramai adik beradik kepada Kadi Ibrahim sebapa , Dari hasil perkahwinan ini beliau memperolehi tiga orang anak; Ustaz Faisal bin Hj Ahmad, Ustazah Salwa bin Haji Ahmad dan Muzammil bin Haji Ahmad.

Isnin, 2 Januari 2012

3 Januari 1966.........Bermula...

Lahir kedunia...................3 Jan 1966 jam 1.34 am,atas tikar ladang(tikar besar dengan bidan kampong).Time tu mana ada letrik hospital dahla jauh,jalan(masih tanah merah) dan kenderaan pulak takde.Alhamdulillah Allah bagi peluang untuk nak tengok dan hidup dalam dunia yang diciptaNya ni.Terima Kasih pada mak/arwah ayah atas kasih sayang tanpa penghujung,adik beradik yang sama ketika susah senang,rodong-rodong(kawan) yang sama merepa(meredah) hutn,terjun sungai,nyelam cari kijens,sama merewei dan menahan aran(alat tangkap ikan),tanpa sikit pun takut kat boye dalam sungai pahang tu.

1973-pas banjir bermula sesi sekolah rendah......................akhir 1978(1977 amik Penilaian darjah 5-result sederhana)

1979-sekolah SAR(Agama Rakyat) ---------1980.(Ting 2)

1980(November) ayah meninggal sakit batu karang.

1981-Belajar di al-Khairiyah Temerluh(SRP-tak berapa nak cemerlang hehehe).

1982-1985-al-Maahad al-Muhammadi jalan Merbau KB-(SMU/SPM/STU/STP)-hidup dirantauan..tengah mencari identiti

1986-1990-UKM Bangi-Sm PI(Syariah wal Qanun)-

1990-1991-UIA-DAIJ-1992 Dip Edu(UKM).

1992 GSST-Tementi Bera 1993-GSST Palong 7.

1994(Feb)-1994(Jun)Bermula Sebagai Peg Syariah(Hakim Syarie) bacth pertama(pra service) di JKNS-ditempatkan di Kuala Pilah.

1994(Julai)1996(Oktober)-Bertukar Ke Biro Bantuan Guaman(sekarang JBG) (c) Kuantan-Peguam Syarie.

1996-2005-Hakim Syarie di Bentong dan Cameron H.

2005-sekarang......................????? kat mana yerr..ada kat Kuantan ni..menjadi pentadbir pulak.

2004-Kursus Pengurusan kanan di Korea Selatan(COTI)-tiga minggu
2008  Kursus Khas kehakiman di Cairo.4 bulan
2009-10-   LL.M di UIAM...............................................................PHD?????? huh tak tahu la na mula bila
2011-Kursus Khas Di Institut Kehakiman Saudi.Riyadh-1 bulan

2012...................alhamdulillah masih lagi diberi peluang olehNya untuk berada di bumi ciptaaNya ini.

46 tahun,551.99 bulan,2400.15 minggu,16801 hari...lebihkurangla


Ps: kena dengar klasik nesenel-MKI(masihkah kau ingat atau ruangan aku dia dan lagu)..baru boleh refresh balik perjalanan hidup yang lebih detail.

Ahad, 1 Januari 2012

Sketsa Tahun Baru

Malam Tahun Baru...

Keluarlah kelkatu,keluar jugak kutu rambu,keluar ulat bulu,,mencari lampu..

Bohsia dan bohjan ketawa sakan,beriring-iringan,berkongsi-kongsian,mengejar impian
di disko malam tadi,ada keladi,terlentok menari,makin dekat ke pagi,galaknya makin menjadi.

Pub-pub disana sini,macam kedai kopi,waktu pagi hari,abih brandy berganti whisky.
Di sebuah lobi,ada bini mencari laki,ada laki terlupa umur sendiri.

Di dada-dada jalan,ada perlumbaan yang dipertaruhkan seorang perempuan,juga sepasang batu nisan.

Di belakang bangunan,ada ahli `perubatan` menyntik jarum ke lengan/badan,didadanya ada harapan,esok nak kembali kepangkal jalan.

Di kaki lima,ada orang tua,anak lapan biniya tiga,selimutnya cuma sehaasta,tutup kaki nampak kepala.

Di satu tempat sunyi,ada dara sunti,sedang menimang bayi,memicit-micit dahu,mahu dimana mencari binti.

Di warung teh tarik sekumpulan pengulas politik,menilik nilik,siapa tumbang,siapa terbalik dengan air liur menitik.

Di kampung ku,surau tua itu,macam selalu tanpa penunggu,tak merasa seronoknya tahun baru..

Selamat Tahun baru..malah selamatkan kami ,kamu dan aku...

Puisi oleh Mansasau-GG 1995.

Ahad, 18 Disember 2011

Perjalanan Haji 1432H(akhir)

salam,

Catatan perjalanan ini hanyalah sekadar merakam peristiwa untuk diabadikan dalam bentuk tulisan( nyata),bagi menimbulkan rasa keinginan untuk melakukan  aktiviti harian(kerja)tanpa jemu(tanda syukur) ,juga sebagai motivasi bahwa,setiap sesuatu itu perlu ada usaha yang maksima,doa yang berterusan,tawakkal yang tinggi.InsyaAllah semuanya menjadi nyata.

12 Zulhijjah.

Persiapan untuk melontar di 3 jamrah bermula tengah hari,selepas itu kami semua kan ke Mekah dan sebahagian besar akan terus pulang kenegara masing-masing.Sekitar jam 1.00 pm,15 belas buah bas dan belasan kereta  rasmi mula menuju ke jamarat,waktu ini kelihatanya jalan agak sesak,ramai para jemaah juga mempunyai tujuan yang sama(berjalan kaki) ketika inilah perjalanan kami tersekat gak lama,walaupun eskot cuba menyuraikan orang ramai,15 minit masa berlalu keadaan menjadi normal,dan perjalanan kami diteruskan,hakikatnya jarak penginapan dan jamaraat sangat dekat sebenarnya(sekitar  1 km je).rombongan kami terus menuju ke bahagian terbawah sekali di jamaraat,keadan lancar da tenang,masa yang diambil sekitar 25 minit semuanya selesai,dan kami bergerak menyusr keluar dari Mina dengan niat melakukan nafar awal untuk terus ke Mekah.Dengan selesainya melontar di tiga2 jamrah bermakna perkerjaan haji kami selesai.Alhamdulillah,mudahan diterima Allah.kesyukuran dipanjatkan dengan doa agar kami diberi kesempatan untuk kembali kesini lagi sebagai  tetamu Allah dimusim yang mendatang.IA.

Di Mekah.
kami dijadualkan hanya berada disini hingga 13 hb sahaja,kemudian bergerak kemadinah 2 hari,selepas itu terus pulang Malaysia.Namun segala perancangan terpaksa diubah apabila salah sorang ahli rombongan terpaksa dimasukan ke hospital akibat muntah2 dan pening kepala(darah tinggi?hari2 makan kambing kut).Meeting tergempar diadakan dan perjalanan ke Madinah dibatalkan,jika keadaan ahli tersebut tidak pulih maka terpaksalah ditinggalkan di Mekah dengan seorang peneman,manakala kami tetap akan pulang ke Malaysia pada 14 hb malam.

13 hb (maghrib).
Setelah selesai Tawaf Wada`(2 jam jugak amik masa)kami bergerak menuju ke Hotel tamu di Jeddah untuk berehat sementara menunggu penerbangan esok malamnya,dua orang(pesakit dan peneman)masih berada di Mekah.tak banyak aktiviti di Jeddah,melainkan ronda-ronda sekitar bandar dan membeli sikit sebanyak ole-ole yang patut(jadual padat/tak sempat shopping heheheh)pastu aktiviti terbesar melayan fb dan sembang  santai sambil minum syai  campur na` na`(pudina).Lewat malam tersebut 2 rakan yang tinggal di Mekah tiba2 muncul kat kat hotel,alhamdulillah semua boleh balik,walaupun nampak member tu jalan pun cam orang mabuk makan ketam je..heheeeh(semangat nak balik jadikan dia sihat).

14 hb.

Jam 9 malam kami mula bergerak ke airport,,kami berehat di lounge ,segala urusan tiket,beg dan cop imigresen telah diuruskan oleh protokol .Jam 12 kami gerak dan alhamdulillah sampai di KLIA jam 11 am.dengan itu selesaila perjalanan haji kami yang seumpama mimpi ini.sesungguhnya pengajaran dari perjalanan ini,jika Allah sudah tetapkan kami menjadi tetamunya,maka itulah takdirnya,walaupun seribu halangan timbul.Perjalanan ini mungkin hanya sekali dalam hidup (sebagai orang biasa yang bukan sesiapa di Malaysia ini)maka itulah ketentuanya.syukur sangat-sangat  pada mu Ya Allah.terimalah haji kami Ya Allah.

Terima Kasih khususnya pada Dewan Diraja KSA, al-Jamiah Al-Imam Muhammad Ibnu saud Riyadh(masyayikh dari Institut Kehakiman Tertinggi Saudi,Pihak Kedutaan KSA dan Malaysia,PM dan rombongan.JKSNT-Dato` Ismail yahya dan Pegawai-Pegawai.Sahabat-sahabat semua yang saling bantu membantu antara satu sama lain.InsyaAllah pada penghujung bulan ini 40 orang lagi peserta daurah khas siri 2,di Univ yang sama.Kursus advance bagi batch pertama khabarnya akan diadakan...bila?WA.



...akan datang nak sambung cerita isu murtad.